Sahabat Sejati

Sunday, 24 July 2016

Tuan Guru Salleh Musa kembali ke rahmatillah


Daripada Abdullah bin 'Amru fin al 'Ash Rodiyallahu 'anhuma, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, dan apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain." (Riwayat Muslim) 

Meninggalnya ulama adalah satu musibah yang besar kepada ummah, dan satu kelompongan yang tidak mampu ditampal semula. Walaupun ada kalimat yang berbunyi, "Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti", namun tidak mungkin ia akan sama dengan yang sebelumnya.

Dengan penuh dukacita, hiba dan redha dengan ketentuan-Nya, saya melahirkan ucapan takziah kepada keluarga, handai taulan serta seluruh murid Allahyarham Tuan Guru Haji Salleh Musa, Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Sik, Kedah, yang telah kembali ke rahmatillah pada 22 Julai 206, jam 8.15. 

Tiadalah perkataan yang diucapkan melainkan apa yang baik berkenaan beliau. Beliau adalah seorang yang alim dan sangat berjasa besar dalam menyumbang kepada perkembangan ilmu dan dakwah. Saya percaya pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada umat Islam, khususnya penduduk negeri Kedah Darul Aman.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat, keampunan dan dikurniakan kebaikan serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmat-Mu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya. Amiinn.

 'Perjalanan terakhir'

Wednesday, 20 July 2016

Seronoknya...

foto hiasan (sumber: whatsapp group Rakan Masjid Qaryah Balok)

Seronok melihat surau dan masjid meriah dengan kebanjiran para jemaah. Ada sesetengahnya sehingga melimpah keluar. Golongan dewasa serta kanak-kanak berduyun-berduyun memakmurkan rumah Allah. Jika sebelum ini ada yang jarang-jarang datang ke surau atau masjid, tetapi berkat bulan ini mereka meringankan kaki untuk melangkah. Silaturrahim terjalin mesra sesama ahli qaryah. 

Seronok mendengar alunan kalamullah yang berkumandang. Gemersik kemerduan suara para hafiz yang dijemput menjadi imam terawih menggamit sesiapa yang mendengar. Kemudian ada pula majlis tadarrus al-Quran setelah selesai berterawih. Tidak cukup di surau dan masjid, bersambung pula di rumah. Pendekata, al-Quran menjadi sibuk dibuka dan dibelek helaiannya. Tidak seperti bulan-bulan sebelumnya, al-Quran diselimuti habuk kerana jarang bersentuh. 

Seronok melihat huluran tangan-tangan kemurahan. Infaq, sumbangan, derma dan sebagainya bagaikan bersambungan memenuhkan harapan si peminta. Bermacam-macam tabung yang tersedia menanti untuk diisi. Si pemberi menghulur tanpa berkira, si peminta pula wajah tersenyum girang. 

Alhamdulillah, inilah rahmat dan keberkatan yang satu, suasana yang jarang kedapatan di bulan-bulan lain. Inilah Ramadhan yang mampu menukar watak sesetengah insan. Menundukkan nafsu yang sekian lama menjadi bak raja. 

Mudah-mudahan ia menjadi kesinambungan pada bulan-bulan seterusnya... Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram.. sehinggalah bertemu Ramadhan kembali.. 

Seputar pesanan ulama, “Jadilah hamba Allah, jangan menjadi hamba Ramadhan...”

Wednesday, 6 July 2016

Rindu...


Rindu yang sangat meruntun jiwa ialah rindu kepada insan yang telah pergi buat selama-lamanya. Tiada mungkin untuk bertemunya kembali di dunia ini melainkan di akhirat dengan izin-Nya...

Jangan lafazkan selamat tinggal tetapi katakan semoga bertemu kembali. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah di akhirat nanti...

Amiinn.

#abuikhwan01Syawal1437H@kampung

Eid Mubarak 1437H


Assalamualaikum warahmatullah, 

Allah SWT berfirman: “.....(Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya, dan supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Pejam dan celik, Ramadhan berlalu mengundurkan diri. Kini tibanya aidilfitri yang disyariatkan untuk kita menyambutnya.

Dikesempatan ini saya ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan hamparan setulus hati, saya memohon ampun dan maaf andai ada gurisan hati disebabkan perbuatan, perkataan maupun tulisan. Saya hanya insan biasa, tentu tidak dapat lari daripada sebarang kesilapan. 

Syawal adalah satu anugerah. Manusia dijadikan tidak sama dengan bermacam-macam tabiat dan pekerti. Oleh yang demikian, sudah pasti timbul berbagai-bagai khilaf dan berbeza kata serta fikiran. Tidak sedikit kelainan itu menyebabkan tercetusnya bibit-bibit pertelingkahan. Namun, Allah SWT Maha Mengetahui apakah yang terbaik buat para hamba-Nya. Maka, dengan kesantunan-Nya, telah dianugerahkan aidilfitri untuk kita melupakan kekhilafan tersebut. 

Oleh itu, jadikanlah Syawal ini sebagai ruang dan peluang untuk kita kunjung-mengunjung serta bermaaf-mafan bagi memutikkan kembali jalinan kemesraan. Tentunya ini sesuatu yang amat sukar untuk kita lakukan di bulan-bulan yang lain. 

Sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan syurga yang penuh kenikmatan pada hamba yang sentiasa memperbaiki hubungan sesama insan. Apakah kita tidak tertawan dengan janji Allah itu. Bukankah Allah tidak sekali-kali memungkiri janji-Nya. Oleh itu, ambillah kesempatan dengan kedatangan aidilfitri ini dengan sebaik-baiknya... 

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian, 
abuikhwan&famili

Monday, 4 July 2016

Rileks sekejap: "Bawa berbincang elok-elok.."

sumber: FB

#Selamat balik kampung kepada semua. Senyum.

Friday, 1 July 2016

Malam yang penuh keberkatan

foto hiasan: sumber

Antara hari dan malam kebesaran dan penuh keberkatan dalam Islam ialah malam al-Qadr atau disebut juga dengan malam nuzul al-Qur`an. Allah menjadikan malam ini penuh keberkatan, ketinggian, kemuliaan dan keagungan, sesiapa menghayatinya kerana mengharapkan keredhaan Allah nescaya diampuni dosa-dosanya yang silam. 

Tiada nas yang menentukan malam al-Qadr berlaku pada malam-malam tertentu secara yakin dan qat`i, seperti malam 27 Ramadhan atau pada malam Jumaat terakhir Ramadhan, malah mengkhususkan beribadat pada malam-malam tertentu atau di tempat-tempat tertentu juga tiada nas yang jelas. Oleh itu, menetapkan sesuatu amalan tanpa nas syar`i yang sahih adalah bid`ah dan bertentangan Sunnah Rasulullah saw. 

Malam al-Qadr sebagaimana dijelaskan di dalam al-Sunnah berlaku mengikut 4 pedoman berikut : 

• Di dalam bulan Ramadhan dan tiada malam al-Qadr dalam bulan-bulan selain Ramadhan. 
• Berlaku dalam 10 akhir Ramadhan, tidak berlaku malam al-Qadr dalam 10 pertama dan 10 pertengahan Ramadhan. 
• Berlaku pada malam-malam ganjil dalam 10 malam terakhir Ramadhan 
• Malam al-Qadr tidak boleh ditetapkan berlaku pada malam-malam tertentu seperti malam 27 Ramadhan atau malam-malam selainnya. 

Ulama mempunyai beberapa pandangan tentang hari dan waktu yang diharap-harapkan berlakunya malam al-Qadr. Pendapat yang paling kuat dan mewakili Jumhur ialah malam 27 Ramadhan dan malam-malam ganjil pada 10 Ramadhan yang akhir iaitu pada 21, 23, 25, 27 dan 29 Ramadhan, namun seperti yang disebutkan tiada nas menentukan malam al-Qadr pasti berlaku pada malam-malam ini, malah al-Hasan al-Basri berpendapat malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan. 

Antara dalil yang menunjukkan malam al-Qadr tidak boleh ditentukan dengan putus dan yakin ialah hadis riwayat al-Bukhari daripada Ubadah ibn al-Samit ra, katanya: “Nabi saw keluar untuk memberitahu kami tentang malam al-Qadr, kebetulan dua orang lelaki dari kalangan Muslimin sedang bertelagah. Lalu Nabi saw bersabda: Aku keluar untuk memberitahu kamu malam al-Qadr, ketika fulan dan fulan sedang bertelagah, lalu ia pun diangkat (dari ingatanku), semoga pengangkatan itu menjadi kebaikan bagi kamu. Oleh itu, tuntutlah malam itu pada 9, 7 dan 5 Ramadhan.” 

Berkata Ibn Hajar : Maksudnya ialah 9, 7 dan 5 daripada 10 malam Ramadhan yang terakhir, ertinya malam-malam 29, 27 dan 25 pada akhir Ramadhan. 

Kebanyakan ulama dari Syafi`yyah mentarjihkan malam 27 sebagai malam al-Qadr. Sebahagian ulama menyatakan, jika kalimah dalam surah al-Qadr ini dibilang dari awal hingga akirnya maka bilangan ke dua puluh tujuh pada perkataan "هي" yang membawa erti “itulah” (malam ke dua puluh tujuh?) 

Sebenarnya penentuan malam al-Qadr dengan perkiraan tidak bersifat ilmiah. Oleh itu, peminat dan ahli ibadat tidak perlu mencarinya dengan mengambil kira pandangan ini. Sesungguhnya, jika Allah SWT ingin menjelaskan malam ini, nescaya dijelaskan tanpa membiarkan menusia mencarinya dengan teka- teki seperti pengadu nasib yang kehilangan arah. 

Hikmah Allah SWT sengaja menyembunyikan malam ini kerana merangsang manusia melakukan ibadat sepanjang malam dan bulan, sehingga tiada malam yang kosong tanpa sebarang doa dan ibadat. Wallahua`lam.

Rehat Minda: Pesan Murabbi 73

Salam Jumaat. Salam Ramadhan.

Kita mampu memiliki hati manusia dengan:

Akhlak yang mulia
Sabar yang cantik
Baik tutur kata
Diam yang menawan
Interaksi yang elok