Sahabat Sejati

Friday, 29 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 26

Salam Jumaat.


Jiwa yang terbaik...
Jiwa yang tidak sesekali melupai kebaikan yang pernah dihulurkan kepadanya...
Sekalipun berlaku pertembungan besar antara keduanya.

Tuesday, 26 May 2015

Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan


“...Sebahagian teks yang ada dalam Talmud adalah keterlaluan, sebahagiannya lagi menjijikkan, dan sebahagian lagi berisi kekufuran...disebabkan itu banyak raja, penguasa negara dan penguasa agama (Paus) di Eropah mengharamkan kitab ini.” (Joseph Barcley, Ilmuan dan Pengkaji Talmud) 

Bukan saja sebagai kitab suci, ‘kitab lama' ini menjadi landasan agung ideologis kaum Zionis dalam hidup mereka. ‘TALMUD', sebenarnya apa yang tak kena dengan kitab ini? Jelas lagi bersuluh, intipati kitab ini sahih mengariskan panduan sesat dan kabur kepada penganut Yahudi, sehinggakan pelaksanaan ajaran itu menjadikan mereka unggul dalam mendera kaum ‘binatang atau najis' dengan sesungguhnya, tidak ubah seperti binatang buas yang lahap melapah mangsanya! 

Lantaran menganggap mereka sebagai ‘Anak Adam yang terpilih dan disayangi Tuhan', silibus kebenciannya mengizinkan penderitaan yang tidak singkat dalam sejarah manusia, dan masih belum berakhir sehinga kini khususnya di tanah Palestin. Dengan dasar ini, terbinalah tamadun Yahudi baru demi membina sendiri dunia mereka. 

Mudah bicara, dengan mengetahui intisari ‘Talmud' kita akan faham matlamat Zionis, memahami kitab tua ini kita akan jelas tentang cita-cita mendatang mereka. Kitab sesat lagi menghitamkan, dan itulah talmud! 

“Sebaik-baik petunjuk ialah Kitabullah (al-Quran), serta sebaik-baik petunjuk ialah petunjuk Rasulullah, iaitu sunnahnya, dan seburuk-buruk perbuatan dan perkataan ialah yang diada-adakan dan setiap yang diada-adakan ialah bidaah dan setiap kebidaahan itu sesat serta setiap kesesatan itu ialah tempatnya di dalam Naar (Neraka).” (Hadis riwayat Muslim) 

Tajuk : Zulmat dan Kehitaman Talmud: Kekarutan dan Songsangnya Kitab Yahudi yang Dirahsiakan
Penulis : Shahriman Wahap & Aeril Zafrel
Penerbit : Hijjaz Records Publishing
Harga : RM39.90

Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan!


Friday, 22 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 25

Salam Jumaat.


Keyakinan diri paling hebat apabila kamu diam tatkala orang mempersendakanmu, kerana kamu tahu siapa kamu dan siapa mereka.

Thursday, 21 May 2015

Hukum mengubati yang kena sihir dengan pengubatan cara sihir juga. Sihir melawan sihir?

Soalan:

Apakah hukum mengubati yang kena sihir dengan pengubatan cara sihir juga. Sihir melawan sihir?

Jawapan:

Orang yang terkena sihir adalah sedang diuji oleh Allah S.W.T, yang boleh diikhtiarkan kesembuhannya melalui amalan yang diluluskan oleh syarak iaitu seperti menggunakan ikhtiar rawatan dengan bacaan doa yang ma'thur. 

Disebut dalam hadis-hadis sahih, iaitu menggunakan daun bidara, ditumbuk dalam batu, dimasukkan ke dalam air, dan didoakan dengan doa-doa daripada ayat-ayat al-Quran dan hadis-hadis Nabi, untuk diminum airnya dan dimandikan pesakit. Ini merupakan salah satu dari cara pengubatan. 

Khusus kepada soalan yang dibangkitkan, iaitu diubati atau diatasi penyakit dengan amalan sihir, pada saya seperti yang dijelaskan sebelum ini, sihir merupakan amalan yang ditegah dan diharamkan oleh Islam kerana ia membawa kepada syirik. 

Menggunakan sihir untuk mengubati sihir diistilahkan dalam syarak, dalam Islam sebagai annusyrah yang bermakna mengubati sihir dengan sihir. 

Dalam hadis riwayat Abu Daud, Rasulullah saw ditanya tentang hukum annusyrah, maka Nabi menjawab bahawa perbuatan itu merupakan perbuatan syaitan. Ertinya Nabi saw melarang pengubatan cara sihir dilakukan. 

Hendaklah difikirkan cara lain selain menggunakan khidmat ahli sihir. 

Jika kita mengetahui orang tersebut ahli sihir dan menggunakan khidmatnya, bermakna kita bersyubahat dengan ilmu yang dilarang oleh Islam. 

Penggunaan ini dalam banyak hal menjerumuskan seseorang kepada tunjuk ajar ahli sihir.
Contohnya berlaku dalam masyarakat apabila ada yang meminta menyembelih seekor ayam atau seekor kambing, menggunakan darah untuk mengubati sesuatu penyakit. 

Perbuatan seperti ini, menyembelih binatang kerana syaitan atau kerana sihir ia tidak menjadi ibadah kerana ia bukan kerana Allah. Jika ini berlaku, ini adalah syirik. 

(Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din)

Monday, 18 May 2015

Rileks sekejap: Ubat anti gempa

Di suatu sudut kaki lima di sebuah kota, terdengar suara seorang penjual ubat sedang mempromosi ubat jualannya. 

Penjual ubat: "Mari! Mari! Adik ,abang, kakak, pak cik dan mak cik! Sebentar lagi bandar ini akan dilanda gempa tepat pukul 11.30 pagi nanti! Sekiranya anda mahu selamat, cubalah ubat saya ini!"

Jam sudah menghampiri pukul 11.30 pagi. Semakin ramai orang yang berkerumun membeli ubat tersebut. Dalam ramai-ramai itu, adalah seorang seorang pak cik yang tergesa-tergesa membelinya kerana waktu gempa semakin hampir.

Pakcik tersebut dan orang lain pun terus memakan ubat berkenaan untuk mengelak dari merasakan gempa bumi dahsyat yang bakal berlaku.

Sekarang... jam sudah menunjukkan pukul 11.30 pagi. Seminit berlalu... dua minit... tiga minit... hingga minit yang kesepuluh, pak cik tadi pun berteriak kepada penjual ubat tersebut.

Pak cik: "Eh! Dah lama ni... Mana gempanya? Awak tipu kami ye?!"

Penjual ubat: "Hah! Kan betul apa yang saya cakap! Pak cik tak rasa apa-apa gegearan gempa selepas memakan ubat saya! Itu petanda ubat saya amat mujarab!"

##Ceria-ceria di hari Isnin...

Friday, 15 May 2015

Rehat Minda : Pesan Murabbi 24

Salam Jumaat.


"Jangan bersedih jika urusan kehidupan menyempitkanmu... 
Sesungguhnya bulan bertambah menawan apabila bertambah kegelapan di sekitarnya."

Thursday, 14 May 2015

Dua pemilik cinta tanpa syarat

“Ya Allah, ampunkanlah dosa kami terhadap kedua orang tua kami. Kami pernah berkata kasar di hadapan mereka. Kami pernah meninggikan suara di hadapan mereka. Kami pernah mengguriskan hati mereka. Kami pernah mencalarkan perasaan mereka. Kami pernah melihat air mata mengalir lesu di pipi mereka. Sesungguhnya kami tidak sengaja melukakan hati mereka. Kami tahu mereka sangat menyayangi kami. 

Ya Allah, sewaktu kami kecil, pipi ini dicium bertalu-talu. Dahi ini dikucup semahunya. Ketika kami kesejukan, mereka memeluk kami dengan penuh kasih sayang. Ketika kami dalam ketakutan, mereka memberi kekuatan kepada kami. Ketika kami kecewa dan berputus asa, mereka memberikan harapan kepada kami. 

Di kala kami ditimpa sakit, mereka turut sakit bersama kami. Di waktu kami keresahan tidak dapat tidur, mereka turut bersengkang mata berjaga bersama kami. Di kala kami membesar, mereka membanting tulang empat kerat di bawah panas terik dan simbahan hujan, bahkan mereka berhutang keliling pinggang untuk memenuhi keinginan kami. 

Ya Allah, apakah dengan dosa ini menyebabkan hati kami menjadi keras. Apakah dengan dosa ini anak-anak kami enggan mendengar kata bicara kami. Apakah dengan dosa ini Engkau memalingkan rahmat-Mu daripada kami. 

Ya Allah, seburuk dan sekeji manapun kami, sebanyak manapun dosa dan keaiban kami, sejelek manapun perbuatan kami, pandanglah kami dengan pandangan rahmat-Mu ya Allah. Pada siapa lagi kami mahu mengadu dan merintih doa ini melainkan pada-Mu ya Allah...” 

Entah mengapa tiba-tiba hati rasa tersentuh dengan doa yang dilafazkan. Sedangkan telah berkali-kali saya melafazkannya. Apakah kerana kerinduan saya kepada keduanya yang telah lama berkelana dijemput Tuhan? 

“Ya Allah, ampunkanlah dosa kami terhadap kedua orang tua kami...” 

Itulah doa dihening subuh tadi. 

Ya, saya benar-benar rindukan ayah dan ibu. Saya rindukannya di saat hidup saya diasak cabaran dan kesukaran. Usapan tangan dan kata bicara lembut mengusir jauh kerunsingan dan keresahan. Kemudian kerunsingan yang berkeliling itu semakin mengecil dan terbang bersama angin lalu. 

Saat matahari pagi memancarkan cahaya redupnya bersama hembusan angin lembut, saya singkap selembar demi selembar kenangan bersama ibu. 

Masih saya ingat, sejuta kenangan yang amat membekas di hati. Ketika saya masih kecil, bonda menyuap nasi ke mulut di beranda rumah pusaka ayahanda. Sambil makan bonda bercerita kisah-kisah yang mencuit hati. Bonda tunjukkan burung yang melompat-lompat di atas ranting pohon jambu air. Kata bonda, burung itu Allah yang jadikan. Lalu saya berkata, saya juga mahu terbang seperti burung itu. Bonda tergelak sambil mengusap kepala saya. Oh Tuhan, manisnya saat itu. 

Ibu, saya mengenalinya seorang insan kental menongkah arus kehidupan. 

Ayahanda, saya tiada kenangan bersamanya. Perginya terlalu awal dikala saya masih bertatih mengenal kehidupan. Hanyalah fotonya sahaja yang menjadi pengubat rindu. Mudah-mudahan Allah SWT mengizinkan agar saya dapat berjumpa dengannya di akhirat nanti, insya-Allah. 

Ayah dan ibu, memberi segalanya dengan hati. Tidak pernah memikirkan ganjaran dan balasan. Itulah hakikatnya pemilik cinta tanpa syarat. 

Kadang-kala saya seakan-akan menyesali kesilapan diri. Banyak yang tidak sempat saya lakukan sebagai amal bakti untuk keduanya. Hari-hari yang pergi umpama mewarisi kesedihan yang terpalit dalam memori. Saya merintih memohon keampunan-Nya atas ilmu-Nya Yang Maha Tahu. 

“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata): “Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil.” (al-Isra’: 24)

Sunday, 10 May 2015

Jernihkan kembali - updated


“Hish…serabutnya kepala, semuanya tak kena. Buat ini salah, buat itu pun salah, tak buat lagi salah.” 

Adakalanya hati resah tidak keruan. Jiwa tertekan, emosi berkecamuk membungkam fikiran. Semuanya tidak menjadi. Mengapa? 

“Aduii...dah 20 kali baca tak ingat-ingat lagi, macamana ni esok dah nak kena ‘test’ dah.” 

Adakalanya ingatan menjadi pudar. Di hadapan semuanya hitam dan kelam. Buntu dan kelu. Benak semakin senak. Mengapa? 

Carilah puncanya... 

“Perbuatan baik adalah sesuatu yang menenangkan jiwa dan mententeramkan hati, sedangkan dosa adalah sesuatu yang tidak menenangkan jiwa dan tidak mententeramkan hati, meskipun engkau mendapat fatwa dari orang ramai.” (Riwayat Imam Ahmad) 

“Sesungguhnya mukmin itu apabila berdosa akan meninggalkan titik hitam dihatinya. Jika ia bertaubat dan berhenti melakukan dosa serta memohon ampun terhapuslah titik hitam itu dari hatinya dan jika bertambah dosa, maka titik hitam itu akan bertambah besar. Itulah dosa yang disebut oleh Allah dalam kitab-Nya.” (Riwayat Ibnu Majah dan Imam Ahmad) 

Ya, sedikit sebanyak mungkin kerana dosa kita kepada Allah. Dosa yang mengundang keresahan, kegoncangan dan gejolak di dalam jiwa. Dosa yang menimbulkan kegelapan hati dan apabila hati menjadi gelap, ia pun menjadi keras dan jauhlah pemilik hati itu dari Allah. Lalu tertutuplah pandangan daripada kebenaran. 

Ubatilah ia. Jangan bertangguh-tangguh.

Maka penawar yang paling mujarab adalah dengan bertaubat kepada Allah. Taubat yang seenar-benarnya. Itulah rahmat dan nikmat yang dikurniakan kepada kita, hamba yang lalai dan leka. Tiap detik dan ketika. 

“Wahai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang sebenarnya. Mudah-mudahan Tuhanmu menghapuskan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai...” (at-Tahrim: 8) 

Taubat adalah jalan menuju keampunan Tuhan. Maka ia akan menyingkirkan perasaan-perasaan yang meresahkan. Menjernihkan jiwa, menguraikan kekusutan. 

“Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami dan jika Engkau tidak mengampuni dan mengasihani kami, nescaya kami menjadi orang-orang yang merugi.” (al-A`raf: 23) 

Bertaubatlah sementara masih diberikan kesempatan. Selagi pintunya masih terbuka, ketika nyawa belum menjengah halkum, maka lunakkan hati dan titiskan air mata penyesalam. Tentu Dia akan menerima kerana rahmat-Nya sentiasa mendahului murka-Nya.

"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang luasnya langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." (ali 'Imran: 133) 

Bukankah rasa ingin bertaubat itu rasa seorang hamba? 

##Peringatan buat diriku...

Friday, 8 May 2015

Rehat Minda: Pesan Murabbi 23

Salam Jumaat.


Berkata Hukama:
Aku pernah menangis kerana berjalan tanpa kasut.. tetapi aku berhenti menangis bila melihat lelaki kudung tanpa kaki!

Sentiasalah ungkapkan Alhamdulillah atas segalanya.