Baca di sini Part 3
|  | 
| foto hiasan ~ sumber | 
Sudah dua hari aku di sini. Langit di tanah ini.. seakan-akan lebih luas daripada langit yang pernah memayungi kehidupanku di masa yang kutinggalkan. Birunya dalam, jernih tanpa hiruk pikuk asap kota; seolah-olah setiap hela nafasku menyingkap tirai baru yang selama ini tidak pernah aku sedari wujud dalam hidup.
Subuhnya pekat. Bukan sekadar gelap, tetapi gelap yang bersujud. Unggas masih belum lena, desah malam masih mencari tempat berteduh sementara embun menggigil di hujung daun. Udara yang singgah ke dadaku terasa seperti zikir alam, membasuh resah masa yang kubawa dari dunia lain.
Di rumah bertiang empat belas itu.. beratap nipah yang luas memayungi rasa aman, dan lantainya dari papan jati tua yang kukuh. Rumah itu tidak tercatat di mana-mana peta sejarah yang pernah aku baca. Namun hatiku tahu, inilah persinggahan yang DIA pilihkan untuk roh dan jasadku menghela nafas kembali.
Pak Andak Musa, lelaki pertengahan usia, berwajah garang pada mata yang pertama, tetapi senyumnya bening seperti air telaga selepas hujan.
Mak Andak Rukiah, halus tutur kata, halus hatinya. Tidak pernah bertanya dari mana aku datang, tidak juga hairan mengapa aku datang tanpa bekal, tanpa saudara, tanpa sekeping masa yang jelas.
Mereka menyambutku bukan dengan syak, tetapi dengan redha. Dan dalam diam, aku malu pada kelembutan itu.
|  | 
| foto hiasan ~ sumber | 
Setiap pagi aku turun ke bendang bersama Pak Andak. Kaki meredah tanah lembut, lumpur melekat di betis, burung bangau bertenggek di badan kerbau sambil mengintai rezeki. Pak Andak tenang, diam lebih banyak daripada berkata-kata. Sesekali beliau menoleh, mengajar dengan bahasa mudah:
“Jangan lawan sawah.. ikut nafas tanah.”
Aku hanya mengangguk, meskipun dalam hatiku bertanya.. berapa lama lagi aku akan mengikut nafas tanah orang lain?
Tengah hari, matahari memaku bayang ke bumi. Aku membantu Busu membawa gugusan daun tembesu ke kandang kambing, membetulkan titi kecil dari buluh di belakang rumah, atau membelah kayu hingga bahu terasa seperti disiat. Tetapi letih itu.. letih yang membahagiakan. Letih yang mendidik hati supaya tunduk pada kehidupan alam.
Petang datang dengan angin dari hujung sawah. Kanak-kanak kampung ketawa berkejaran, gasing berputar, layang-layang bernafas di langit. Aku memandang mereka, terasa masa seolah-olah memegang bahuku dan berbisik:
“Beginilah dunia sebelum kau belajar berlari mengejar masa.”
Dan malamnya, aku bersama Pak Andak ke surau kecil di tengah kampung. Lampu minyak bergoyang, bacaan imam meresap damai, lantai tikar mengkuang sejuk di dahi. Seusai solat, aku hanya duduk di anjung rumah, memandang langit yang penuh bintang-bintang yang di zaman aku sudah lama mati ditelan cahaya lampu jalan dan gedung tinggi.
Namun yang paling sukar.. bukan kerja sawah, bukan sunyi malam, bukan bahasa lama yang perlu aku kunyah lembut di lidah. Yang paling sukar adalah menyembunyikan siapa aku sebenarnya.
Bersambung Part 5..
 
 
13 comments:
MasyaAllah…nukilan yang indah dibaca.
Siapakah aku sebenarnya? Berdebar hihi...
terbaik ingatan, masa lalu yang seakan masih segar dalam ingatan kan Ustaz. Boleh jadi penulis hebat..
Akan ada kesinambungan ..t
akan klik membaca nukilan ustaz ni..
Allahu ...belum layak lagi saya ni cikgu.. jauh sangat lagi.. tulisan syok sendiri je ni cikgu ..ahaha
terima kasih sudi membaca hingga ke huruf yang terakhir
haha.. akak kena gostan part yg sebelum ni baru tahu siapa 'aku' 😁
insya Allah ada.. bergantung kepada ilham.. terima kasih cikgu sudi membaca
susuk pak andak tu mengingatkan sy pd arwah atuk. peorang pesawah yg rajin walaupun ada kerja tetap. tak ckp dgn sawah pokok getah pun ditorehnya. mlm jd muazzin di masjid..
Teringat zaman dulu² berkubang bila masa musim menuai.mengagau ikan sepat..
nasib baik baru part 4,sempat lagi saya undur jap
assalam ustaz afiat tiasa hendaknya...indah sekali lukisan catatan
Boleh imagine ketenangan di kg ni...
Post a Comment