Sahabat Sejati

Showing posts with label satu catatan. Show all posts
Showing posts with label satu catatan. Show all posts

Tuesday, 25 August 2026

Cuti Maulidur Rasul


Masih belum terlewat untuk saya ucapkan Selamat Menyambut Maulidur Rasul SAW kepada semua sahabat. 

Sempena cuti peristiwa hari ini, saya bersama Ummu Ikhwan dan dua orang kakak mengambil kesempatan ke Taman Gelora untuk melakukan aktiviti brisk walk. 

Sampai sekitar pukul 7 lebih, suasana sudah cukup meriah. Ramai yang datang bersenam. Ada yang berlari, senamrobik, zumba dan ada juga yang sekadar bersantai bersama keluarga. Trek Taman Gelora ini kira-kira 1.8 km untuk satu pusingan. Alhamdulillah, dapat juga saya habiskan 5 pusingan. Manakala mereka pula tidak pula saya ketahui berapa pusingan.

Walaupun treknya di tepi pantai, suasananya cukup nyaman kerana diteduhi pepohon rhu yang rendang dan merimbun. Sesekali terasa angin laut menyapa, memang seronok berjalan dalam suasana begitu. 


Yang penting, bukan soal berapa jauh kita berjalan atau berapa banyak kalori yang terbakar. Kadang-kadang yang lebih penting ialah dapat meluangkan masa bersama orang tersayang, menghirup udara pagi dan mensyukuri nikmat tubuh yang masih diberi kesempatan untuk bergerak. 

Hari cuti pun jangan dibiarkan berlalu begitu sahaja. Sedikit langkah, sedikit peluh, banyak pula cerita untuk dikenang. 

Alhamdulillah untuk pagi yang sederhana, tetapi cukup bermakna.

Saturday, 22 August 2026

Dua Pusingan Pun Cukuplah…

Pagi ini sempat brisk walk di Tasik Pelindung. Dapat dua pusingan, lebih kurang 5 kilometer, diselang-seli dengan larian perlahan. Biasanya kalau tenaga masih ada, empat atau lima pusingan saya cuba habiskan. 

Tapi bila usia makin meningkat, kenalah belajar berpada-pada juga.. he he. Tak perlu mengejar angka sangat. Yang penting badan bergerak dan kita masih mampu melangkah. 

Cuaca pagi ini cerah. Jam baru sekitar 8 pagi, bahangnya sudah terasa perit. Penangan El Niño agaknya. 

 

Apa pun, selagi kudrat masih ada, saya cuba kekal konsisten bersenam. Kalau balik awal dari tempat kerja, petang-petang kayuh basikal pula. 

Terfikir juga hendak cuba mengayuh selepas Isyak. Tak perlu jauh. Tiga atau empat kilometer pun sudah memadai. 

Begitulah.. bila usia semakin bertambah, kita bukan lagi berlumba dengan sesiapa. Cukuplah berlumba dengan diri sendiri, supaya esok masih mampu melakukan apa yang hari ini kita mampu lakukan. 

Dua pusingan pun cukuplah. Yang penting, terus bergerak. 😊

Friday, 14 August 2026

Rindu Menjadi Anak

foto hiasan ~ sumber

Kata orang, kalau penat menjadi ayah, baliklah rumah mak. Duduklah sekejap di sisi mak. Biar kita kembali menjadi anak, tempat segala lelah boleh diletakkan. 

Tapi kita yang sudah tiada mak.. nak balik ke mana? Rumah masih ada, kenangan masih ada. Namun suara yang bertanya, “Dah makan?” sudah lama tiada. 

Kadang-kadang kita tidak rindu apa-apa pun. Kita cuma rindu menjadi anak. Rindu ada tempat untuk bersandar. Rindu suara yang memanggil nama kita. 

Rindu seseorang yang melihat kita bukan sebagai ayah yang perlu sentiasa kuat, tetapi sebagai anak yang masih boleh menangis di bahunya. 

Dan malam ini, dalam diam, kita mengaku,  “Mak.. anak mak penat.” 

Namun yang menjawab hanya sunyi. 

Moga suatu hari nanti, kita 'bertemu semula'. Dan saat itu, biarlah kita berlari mendapatkan mak sambil berkata:

“Mak.. anak mak balik.”

Thursday, 6 August 2026

Kayuhan bersama petang ini


 “Jom mengayuh petang ini…” ajakku lembut, memandang Ummu Ikhwan dengan senyuman yang mengajak. Angin lembut seakan turut memujuk, seolah-olah mengerti bahawa petang begini terlalu indah untuk dibiarkan berlalu tanpa sebuah kayuhan bersama.

Tanpa berbasa-basi, Ummu Ikhwan hanya mengangguk kecil, memberikan persetujuan. Senyumnya nipis, namun cukup untuk menenangkan hati. Sudah lama kami tidak mengayuh bersama pada waktu petang begini. Kesibukan kerja sering memaksa aku pulang lewat, meninggalkan senja-senja indah berlalu begitu sahaja tanpa sempat dinikmati. 

Petang itu terasa berbeza. Seakan ada ruang yang kembali terbuka, ruang yang dulu sering kami isi dengan kayuhan santai di jalan kampung. Roda basikal mula berpusing perlahan, menelusuri lorong kecil yang pernah menjadi saksi tawa dan cerita kami suatu ketika dahulu. 

Angin menyapa lembut wajah, membawa bersama harum dedaun dan segar nafas petang yang tenang berbalut cahaya senja. Burung-burung pulang ke sarang, dan langit pula perlahan-lahan berubah warna, dari biru cerah kepada jingga yang redup. 

Kami tidak banyak berbicara. Cukup sekadar sesekali berpandangan dan tersenyum. Namun dalam diam itu, terasa seolah-olah segala yang lama terpisah, kembali bersambung. Kayuhan ini bukan sekadar menggerakkan roda basikal, tetapi juga menggerakkan kembali rasa yang hampir terbiar oleh waktu.

Tuesday, 28 July 2026

Di celah helaian yang kekuningan

`Buku punya pasal`

Hari ini, sebenarnya hati terdetik mahu menyambung kembali siri pengembaraan masa yang sudah lama terhenti. Seolah-olah kisah itu membeku di satu simpang, menunggu langkah untuk diteruskan. Empat minggu berlalu, siri ke-18 masih kaku, sunyi daripada ilham yang biasanya hadir tanpa diundang. 

Begitulah, kadang-kadang kita hanya mampu menunggu menadah langit, berharap ada bisikan halus yang turun menyapa. Entah ada yang masih setia menunggu sambungannya, atau mungkin juga ada yang sudah jemu dengan jalan ceritanya yang makin jauh tersasar.. biasalah, cerita hati, kadang-kadang ikut rasa lebih dari arah. Haha.. 

Di celah helaian yang kekuningan 

Perlahan-lahan aku bangkit menuju rak buku, lalu tangan ini membelek deretan buku yang setia menjadi teman sejak dahulu. naskhah lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis, sedikit lusuh, namun masih setia menyimpan bau nostalgia yang sukar dilupakan. 

Satu persatu judul disentuh, seperti menyapa kenalan lama. Di celah helaian yang kekuningan itu, tiba-tiba mata saya terpaku pada satu nama yang begitu akrab di ingatan: Mohd Ismail Sarbini. 

Sejenak, waktu seakan-akan terhenti. 

Nama itu membawa saya pulang, jauh ke lorong masa yang sunyi, ke sebuah perpustakaan sekolah yang sederhana, tempat saya dulu menghabiskan waktu tanpa jemu. Di situlah saya, seorang anak kecil dengan dunia yang luas di tangan, tenggelam dalam helaian demi helaian cerita, tentang sejarah yang gagah, kembara yang mengujakan, dan penyiasatan yang menggetarkan rasa ingin tahu. 

Saya masih ingat, bagaimana buku-buku nipis itu menjadi sahabat setia. Tidak banyak halaman, namun sarat dengan makna. Setiap naskhah seolah-olah membuka jendela baharu, membawa saya merentas zaman, menjejak langkah pahlawan, dan menyelami jiwa manusia yang pelbagai. 

Nama-nama seperti Mohd Ismail Sarbini, Hamdan Raja Abdullah, Zailiani Taslim, Khadijah Hashim, Sabar Bohari, Amin Minhad, Harun Aminurrashid, Aripin Said, Arman Sani - mereka bukan sekadar penulis, tetapi pencipta dunia yang pernah saya diami dalam diam. Dunia yang kini hanya tinggal kenangan, namun masih berdenyut halus di sudut hati. 

Kini, dalam usia yang semakin dewasa, saya cuba menjejaki semula jejak-jejak lama itu. Mencari kembali buku-buku yang pernah membentuk rasa, membina imaginasi, dan menemani hari-hari yang sederhana tetapi penuh makna. 

Barangkali, saya bukan sekadar mencari buku. Saya sedang mencari diri saya yang pernah hilang di antara halaman-halaman itu.. dan berharap, di celah-celah huruf yang lama, saya akan menemuinya kembali.

Wednesday, 22 April 2026

Kenangan Masih Basah: Desaku Yang Dulu


Masih jelas di mata hatiku, desaku yang dahulu. Tempat aku mula mengenal dunia tanpa keliru, tempat aku mula belajar erti bahagia yang paling tulus. 

Di situ, rumah-rumah kayu bertiang tinggi berdiri anggun di pinggir semak menerung. Dindingnya mungkin sudah senget ditelan usia, tapi di dalamnya penuh cinta dan tawa. Atapnya dari zink atau nipah tua, berdenting lunak kala hujan mencurah dari langit desa. 

Jalan di hadapan rumah belum bertar, belum dicat warna moden. Hanya tanah merah dan batu-batu kecil, yang licin kala hujan, berdebu kala kemarau, namun itulah laluan kita bermain tanpa resah, berkaki ayam, berbasikal cabuk, mengejar senja dan layang-layang yang tersangkut di pucuk ara. 

Sesekali kenderaan menderu, itu pun menjadi hal yang luar biasa. Anak-anak akan berhenti bermain, menjeling dengan penuh takjub, seolah-olah mendengar bunyi kereta adalah cerita dari kota kayangan. 

Desaku yang dahulu, warnanya tidak berubah, masih kehijauan bendang, masih kebiruan langit petang, masih keemasan cahaya mentari yang melimpah di atas daun kelapa. 

Di sana, manusia hidup sebagai satu keluarga. Ikatan hati kuat ibarat akar pepohon tua. Anak aku.. anak kamu, boleh ditegur, boleh dipimpin, boleh ditepuk tangan tanpa benci. Tiada dinding hati yang tinggi. Yang ada hanya kasih yang bersambung dari pintu ke pintu. 

Desaku yang dahulu, damai seperti pagi Aidilfitri, tenang seperti alunan tasbih di surau tua, harmoni seperti orkestra alam. Cengkerik bersahut, burung tukang memanggil, dan kokokan ayam jantan menjemput fajar. 

Kini semuanya tinggal kenangan. Desa itu perlahan-lahan berganti wajah, rumah kayu hilang diganti konkrit bisu, jalan diturap aspal tapi kehilangan suara kanak-kanak, semak menerung ditebas, dan ikatan hati.. kian longgar, kian sepi. 

Tapi dalam hati ini.. desa itu masih hidup, masih segar. Ia wujud di ruang rindu, tempat aku selalu pulang walau hanya dalam mimpi. Desaku yang dahulu tidak pernah mati. Ia hidup dalam setiap denyut nadi ingatanku.

Friday, 17 April 2026

Lumpur, Sabar dan Sebuah Rindu Bernama Aceh

Tiba-tiba hati berputik rindu.. rindu pada tanah Aceh. Bumi yang pernah aku jejak suatu ketika dahulu, saat ia diuji dengan banjir bandang yang merobek tenangnya kehidupan. Entah mengapa, rasa itu datang tanpa diundang, diam-diam menyelinap, lalu menetap. 

Masih segar di ruang mata, hari-hari awal di sana. Kami berteduh di sebuah masjid yang bukan sekadar tempat ibadah, tetapi menjadi rumah, tempat berlindung, tempat menguatkan hati. 

Namun masjid itu.. sangat tidak sempurna. 

Silingnya telah roboh, seakan langitnya runtuh sekali bersama ujian yang menimpa. Di bahagian luar, jubin-jubin pecah berselerakan, tenggelam dalam lumpur setinggi lima kaki, pekat, berat, dan melelahkan. Manakala di dalam masjid, lumpur setinggi tiga kaki memenuhi ruang, menenggelamkan sejadah, memadam kesan sujud yang pernah hidup di situ. 

Tanpa bekalan air bersih, tanpa tenaga elektrik, hanya bergantung pada kudrat dan sabar yang berbaki. 

Hari demi hari, kami berusaha. 

Membersihkan selut dan sampah yang hanyut entah dari mana. Kayu, kain, sisa kehidupan yang dulunya milik seseorang, kini menjadi beban yang harus kami angkat satu persatu. Setiap cebisan yang disingkirkan, terasa seperti mengangkat sedikit demi sedikit luka yang ditinggalkan bencana itu. 

Dari kosong, kami hidupkan kembali harapan, mengusahakan generator, menggali dan membina telaga tiub. Sedikit demi sedikit, kesusahan itu mula terubat, walau tidak sepenuhnya. Namun ujian tetap datang tanpa jemu. 

Ada rakan-rakan yang terkena cirit-birit akibat menggunakan air yang tidak benar-benar bersih. Air yang keruh, yang kami terpaksa gunakan kerana tiada pilihan. Dalam serba kekurangan, kesihatan pun menjadi taruhan. 

Makan pun bercatu, apa yang ada dikongsi bersama. Siang hari ditemani terik dan lalat yang tidak pernah jemu mengerumuni, seolah-olah turut menjadi saksi perjuangan kami. Malam pula, sunyi yang tidak pernah benar-benar sunyi.. ditemani nyamuk yang menggigit tanpa belas, meninggalkan bintat-bintat kecil sebagai kenangan pada tubuh. 

Perit, ya, memang perit untuk dilalui. Namun anehnya, setiap detik itu kini terasa manis untuk dikenang. 

Dalam diam, aku menyimpan satu hasrat, untuk kembali semula ke sana. Bertemu wajah-wajah yang pernah aku santuni, yang pernah berkongsi susah dan senang tanpa banyak bicara. 

Aku jatuh cinta pada warganya yang sederhana tetapi kaya dengan jiwa. Yang diuji dengan kehilangan, namun tetap mampu menghadiahkan senyuman. Yang hidup dalam serba kekurangan, tetapi tidak pernah lokek dengan kasih dan kemanusiaan. 

Aceh, kau bukan sekadar tempat yang pernah aku singgahi. Kau telah menjadi sebahagian daripada cerita hidupku yang setiap kali dikenang, menghadirkan rasa syukur, dan sedikit sayu yang mendewasakan.

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan teladan(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Wednesday, 8 April 2026

Hari ini

"Genap 47 tahun ayahanda berkelana di alam abadi… rindu ini tidak pernah pudar, hanya diam berteduh dalam doa yang tak pernah putus..." 

Ayahanda, Bicara ini sentiasa dengan kalimah redha-Nya. Setiap yang ditaqdirkan pasti ada hikmah kebaikan. Namun, tidak mampu anakanda sembunyikan rindu yang terbenam. Mudah-mudahan dapat jua wajah ayahanda ditatapi depan mata, di akhirat nanti dengan izin-Nya... 

Ayahanda, Sejahtera buatmu di kelana alam barzakh. Moga doa yang dititipkan menemanimu di sana. Daripada anak-anak yang mengasihimu... 

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.

Wednesday, 7 January 2026

Misi Kemanusiaan Tamiang Aceh (Part 1): Bermula Perjalanan

Pesawat yang akan kami naiki dijadualkan berlepas jam 8.30 pagi. Semalam, kami menginap di pejabat HQ YAM di Labohan Dagang, ruang yang sederhana, tetapi penuh dengan niat yang besar. Lantai keras menjadi alas tidur, dan doa menjadi selimut yang paling hangat. 

Seawal jam 6.00 pagi, kami sudah berada di KLIA. Langit masih kelabu, mata masih berat, namun hati sudah melangkah jauh meninggalkan tanah sendiri, menuju tanah orang yang sedang diuji. Harapannya satu, moga penerbangan ini tidak tertangguh, moga segala urusan dipermudahkan. 

Kami tidak terus ke Aceh. Destinasi awal kami ialah Bandara Kualanamu, Medan. Dari situ, perjalanan darat menanti. Mungkin tiga hingga empat jam, mungkin lebih, bergantung kepada keadaan jalan dan takdir di sepanjang laluan.  

Keputusan ini bukan tanpa sebab. Pada awal bencana, pemerintah Indonesia tidak membenarkan kemasukan bantuan daripada relawan luar (sekarang telah dibenarkan). Maka kami memilih jalan yang lebih sunyi, turun sebagai pelancong di Medan, kemudian menyambung ke Tamiang Aceh, menyimpan niat sebagai hamba. Bukan untuk menipu, tetapi untuk memastikan bantuan sampai. Kerana dalam keadaan darurat, yang lebih penting bukan siapa kita, tetapi apa yang kita bawa, dan kepada siapa ia ditujukan. 

Bandara Kualanamu, telah menunggu kenderaan yang akan membawa kami ke Tamiang

Sepanjang penerbangan, doa tidak putus dari bibir. Di antara dengungan enjin dan awan yang berarak perlahan, fikiran saya melayang ke Tamiang Aceh. Bagaimana keadaan mereka di sana? Apakah air sudah surut, atau masih mengurung rumah dan kenangan? Apakah anak-anak masih mampu tersenyum, atau senyum itu sudah lama hanyut bersama arus banjir? 

Perjalanan ini bukan sekadar perpindahan jasad dari satu negara ke negara lain. Ia adalah perjalanan hati, dari selesa kepada peduli, dari tenang kepada tanggungjawab. 

Dan saya tahu, di hujung jalan yang panjang ini, ada manusia yang sedang menunggu, bukan kami, tetapi harapan.

Bersambung Part 2.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca. 

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan


Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Wednesday, 24 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 12): Utusan Senja dan Persalinan Yang Tak Disangka

Baca di sini Part 11 

'foto hiasan'

Petang itu hangatnya sederhana. Angin beralun lembut membawa bau wangi serai dari dapur dan suara burung murai bersahutan di hujung pokok jambu. Kami berempat, aku, Pak Andak, Mak Andak dan Seri Seroja, duduk di beranda rumah, berbual kosong. 

Seri Seroja sedang menghiris daun kaduk untuk dibuat kerabu, sambil mencubit Busu yang asyik mencuit-cuit kucing yang tidur lena. Tawa kecil berselang seli dengan gurau Pak Andak yang gemar menyelit peribahasa pelik-pelik. 

Damai. 

Hinggalah tiba-tiba, bayang-bayang panjang muncul dari hujung laman. Seorang lelaki berbusana biru tua, bertanjak rapi, bersama dua pengiring berkuda. 

"Maaf mengganggu.." suaranya dalam dan penuh adab. 

Kami segera bangun. Mataku dan mata Pak Andak bertembung. 

"Kami datang sebagai utusan rasmi dari Istana Melaka," katanya sambil membuka lipatan surat bermohor lilin merah keemasan. 

"Titah perintah dari Paduka Baginda Sultan Mansur Shah, agar seorang anak muda bernama Ahmad Zahran, menghadap ke balairung istana pada hari esok, sekira-kira ‘hari belum tinggi’." 

Hatiku gugup. Dunia seakan berhenti berputar. Sultan Mansur Shah?!

Aku pandang Pak Andak, dia kaku. Seri Seroja kelihatan terkejut, dan Mak Andak mengurut dadanya. 

“Ampun Datuk, boleh kami tahu atas urusan apa..?” tanya Pak Andak perlahan. 

Utusan itu menjawab, “Berita tentang kepahlawanan anak muda ini yang menyelamatkan Datuk Penghulu Bendahari daripada kekacauan di pasar pagi telah sampai ke istana. Baginda ingin melihat sendiri.. siapakah gerangan anak muda itu.” 

Degupan jantungku makin deras. 

Aku tak tahu harus bangga atau menyesal. 

Dalam hati.. datang rasa bersalah. 

Bukankah aku berjanji tidak mahu mengubah sejarah? 

Bukankah aku ingin hanya menjadi angin yang berlalu di zaman ini? Tapi tindakanku hari itu, walau niatku hanya untuk melindungi, kini telah menjadi gelombang yang tak dapat ditarik semula. 

Pak Andak menepuk bahuku. “Zahran, ini bukan soal pilihanmu lagi. Ini mungkin jalan yang ditentukan untukmu.” 

Aku menunduk. “Tapi Pak Andak.. saya tiada persalinan yang layak ke istana.” 

Sunyi sebentar. Tiba-tiba, dari sebalik tangga, muncul suara yang tidak asing: “Kalau kau tak kisah pakailah baju aku... Aku ada beberapa pasang persalinan baru. Tak pernah pakai pun. Nanti aku bawakan untuk kau cuba ” 

Dia berdiri dengan tangan bersilang, senyum tak begitu lebar, tetapi penuh makna. 

"Mak suruh aku simpan untuk pakai hari kenduri.. tapi rasanya kau lebih layak pakai untuk ke istana." 

Aku terkedu. Dunia berputar lagi. Dulu, dia yang hampir menumbukku. Hari ini, dia yang menutup aibku. 

“Terima kasih, Alang..” kataku perlahan. 

Dia mengangguk. “Kau jaga maruah kampung. Hari ni, biar kami jaga maruah kau." 

Debaran hari esok 

Aku bersiap. Persalinan yang disarungkan, baju sikap hijau tua bersulam benang perak, lengkap dengan bengkung dan tengkolok, memang bukan milikku.. tetapi petang itu, aku memakainya dengan jiwa yang penuh rasa syukur dan gemuruh.

Pak Andak tersenyum, memandang dari sisi. Alang membetulkan bahagian bahuku yang senget sedikit. “Jangan calit apa-apa kat baju tu. Nanti pulang semula,” gurau Alang, separa serius. 

Aku berdiri tegak di depan cermin lama di sudut anjung, melihat bayangan sendiri. 

Persis seorang pahlawan. 

Dan di saat itu, tanpa dapat aku tahan, satu lintasan nakal hadir dalam benak: 

"Aduh.. kenapalah aku tak bawa henfon aku masa ‘tercampak’ ke sini. Kalau tidak.. potret satu dua.. post dalam IG story — 'Throwback zaman Kesultanan Melayu'. Mesti viral." 

Aku ketawa kecil dalam hati sendiri. Tak bersuara, tapi cukup untuk menggoncang jiwa yang sedang berperang antara dua zaman. 

Bersambung Part 13.. 

Tuesday, 23 December 2025

Dah pun sampai..

'Alhamdulillah, dah pun sampai. Tunggu yang lain pulak..'

Parcel yang ditunggu akhirnya mendarat dengan selamat di hadapan pintu pagar. Terima kasih, Mr. Kurier. Jasamu kukenang! 

Dalam dunia yang serba laju ini, sampai dengan elok pun sudah cukup untuk menenangkan hati. 

Koi bukan jenis yang kerap membeli secara dalam talian. Hanya bila ada keperluan dan dalam keadaan tertentu, barulah jari menekan butang checkout. Mungkin sebab itu, setiap parcel yang tiba membawa rasa yang sedikit berbeza, bukan keterujaan kosong, tetapi rasa cukup dan bersedia. 

Satu persatu dibuka, diperiksa. Sleeping bag, air pillow, headlamp. Bateri SJCAM bersama dual charger set. Dan juga waterproof phone pouch case. Alhamdulillah, semuanya sampai dalam keadaan baik, lengkap seperti yang diharapkan. 

Barang-barang ini bukan sekadar senarai keperluan. Ia lambang persediaan, untuk perjalanan, untuk pengalaman, untuk detik-detik yang belum lagi berlaku. Ada sesuatu yang menenangkan apabila kita tahu, perlahan-lahan kita sedang bersiap. 

Masih ada beberapa lagi yang belum tiba, dalam perjalanan agaknya. Seperti banyak perkara lain dalam hidup. InsyaAllah, sampai masanya nanti, ia akan sampai juga. 

Kadang-kadang, hidup ini tidak perlu tergesa-gesa. Cukup kita bersedia, bersyukur, dan percaya.. bahawa apa yang ditunggu akan tiba pada waktunya.

Friday, 19 December 2025

Salam Jumaat: Damai dan tenang di bawah langit kelabu


Cuaca mendung pagi ini seolah-olah menghadiahkan sebuah kedamaian. Langit kelabu, angin lembut dan dingin, dan hati terasa lebih perlahan dari biasa. 

Dalam perjalanan ke tempat bertugas, aku singgah di sebuah warung kecil. Entah kenapa, aku memang suka menikmati sarapan di warung-warung kampung begini. Ada momen yang sukar digambarkan,  kesederhanaan yang menenangkan, dan rasa “cukup” yang jarang ditemui di tempat lain. 

Sekeping roti canai dan segelas teh tarik menjadi santapan di pagi Jumaat yang berkah ini. Tak mewah, tak istimewa pada rupa, tetapi cukup untuk menyusun semula niat sebelum melangkah ke hari yang panjang. 

Kadang-kadang, bahagia itu hanya singgah sebentar. Asal kita sudi berhenti, menikmati, dan mensyukuri ia sudah lebih daripada cukup. 

Selamat pagi Jumaat teman-temanku yang dikasihi. Moga langkah hari ini dipermudah, dan hati sentiasa diberi damai dan tenang.

Thursday, 18 December 2025

Tulislah yang baik-baik wahai diriku

Tulislah yang baik-baik, walau hanya satu ayat yang terasa sederhana. Kerana kadang-kadang, kita sendiri tidak menyedari betapa tulisan kecil yang lahir dari hati itu mampu mengetuk pintu jiwa seseorang yang sedang mencari arah. 

Mungkin ada insan jauh di sudut dunia, yang tidak pernah kita kenal namanya, sedang bergelut dengan hidup, lalu terjumpa kata-kata yang kamu coretkan. Dan pada ketika itu, Tuhan izinkan tulisanmu menjadi cahaya kecil yang menuntunnya pulang. 

Tidak perlu menunggu hebat untuk memberi manfaat. Tidak perlu menunggu sempurna untuk menginspirasi. Setiap huruf yang ditulis dengan niat baik ada nilainya di sisi Allah. Kadang-kadang, apa yang lahir dari hati akan jatuh tepat ke hati yang lain. 

Maka teruslah menulis yang baik-baik.. kerana siapa tahu, mungkin itulah amal jariahmu yang paling senyap, tetapi paling besar timbangannya. 

Moga Allah menjadikan setiap tulisan kita sebagai titisan hidayah, penyebab perubahan, dan saksi kebaikan yang mengalir tanpa henti hingga ke akhirat.

Allahu al-Musta`an..

Wednesday, 17 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 11): Rahsia Di Sebalik Bungkusan

Baca di sini Part 10 

foto hiasan ~ sumber

Malam itu langit gelap tanpa bintang. Angin bertiup sayup dari arah hutan rimba, membelai pucuk-pucuk padi yang sedang bunting. Di rumah Pak Andak, aku duduk di anjung, termenung memikirkan perubahan yang semakin terasa. Bukan hanya pada nasibku dan takdirku, tetapi dalam hatiku sendiri. 

Selepas peristiwa di pasar, penduduk kampung mulai mesra. Berselisih memberi salam, menyapa, malah mengajak berborak. Alang pula, sejak itu tak lagi bersikap dingin. Malah petang tadi, dia datang membawa serumpun ubi kayu dan berkata, “Untuk mak kau.. eh, maksud aku, Mak Andak.” Gagapnya mengundang tawa kecil di dapur. 

 Namun malam ini, sesuatu terasa ganjil.

Pak Andak, selepas solat Isyak, memanggilku masuk ke ruang tengah. Cahaya pelita minyak tanah membuai-buai di dinding, melemparkan bayang-bayang panjang wajahnya yang tenang. 

“Ada sesuatu yang aku nak tunjuk,” katanya perlahan. 

Pak Andak bangkit lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Derap kakinya tenggelam dalam kesenyapan malam. Aku menunggu tanpa bertanya, hanya ditemani bunyi cengkerik di luar dan degup jantungku sendiri yang semakin jelas di telinga. 

Tidak lama kemudian, dia kembali dengan sebuah peti kayu kecil, usang dimamah usia, dibalut kain merah yang warnanya sudah pudar, seakan menyimpan kisah yang lama terpendam. Aku memerhati tanpa mengeluarkan suara, seolah-olah satu hela nafas yang tersalah hembus boleh mengganggu keseimbangan saat itu. 

Peti itu diletakkan di hadapanku. 

Perlahan-lahan, Pak Andak membuka penutupnya. Dari dalam, dia mengeluarkan sehelai kain baldu lama, berlipat kemas, membalut sesuatu yang jelas bukan sekadar besi biasa. 

“Apa tu, Pak Andak?” soalku, hampir berbisik. 

Tiada jawapan serta-merta. Tangannya bergerak hati-hati, membuka balutan baldu itu seolah-olah sedang membuka halaman terakhir sebuah kitab rahsia. 

Saat kain itu diselak sepenuhnya, nafasku terhenti. 

Sebilah keris lama terbaring di situ, bilahnya kusam, namun memantulkan cahaya pelita dengan cara yang ganjil. Hulu kerisnya bertatahkan ukiran yang tidak pernah kulihat sebelum ini; bukan ukiran Melayu yang biasa, sebaliknya lebih purba, lebih asing, seakan datang dari zaman yang tidak tercatat dalam hikayat. 

Dan di pangkalnya, terukir satu simbol, seperti gelung yang tiada hujung dan pangkal, sebuah lingkaran yang seolah-olah bernafas. Lambang masa. Lambang perjalanan yang tidak lurus. 

Aku terpana. Jantungku berdegup laju, seolah-olah bilah itu mengenaliku terlebih dahulu. 

“Keris ni asalnya milik moyangku,” Pak Andak bersuara akhirnya, suaranya rendah tetapi sarat makna. 

“Kemudian diwariskan turun-temurun.. Dia sendiri yang menempanya, dengan berbagai campuran besi, besi gunung, besi sungai, dan besi yang dibawa dari tanah jauh.” 

foto hiasan ~ sumber

Aku menelan liur, mataku tidak lepas daripada keris itu. Setiap lekuknya seperti menyimpan gema masa silam. 

Pak Andak menghela nafas perlahan. 

“Aku berhajat untuk menghadiahkannya kepadamu. Entahlah, Zahran.. hati aku kuat benar untuk memberikannya pada engkau. Dan aku rasa.. engkau layak menyimpannya.” 

Kata-kata itu jatuh satu demi satu, berat, seolah-olah sedang menyerahkan bukan sekadar senjata, tetapi sebuah amanah. 

“Baik, Pak Andak,” jawabku. Suaraku bergetar, tersekat di antara rasa syukur dan gentar.

Keris tua itu berpindah tangan. 

“Zahran, kau gunakanlah keris itu untuk menjaga keselamatan dirimu,” pesan Pak Andak, nadanya lembut tetapi tegas. 

Saat aku menggenggam hulu keris itu, satu rasa aneh merayap masuk, getaran halus yang seakan menyambung urat sarafku dengan besi tersebut. Bukan panas, bukan sejuk. Tetapi hidup. Seolah-olah sesuatu di dalam keris itu sedang mengenali tuannya yang baru. 

Pak Andak memandangku lama. Matanya tenang, tetapi di dasarnya tersimpan kebijaksanaan yang dalam. 

“Zaman ini..” katanya perlahan, hampir seperti berbisik kepada malam, “mungkin bukan kebetulan kau sampai sini.” 

Pelita terus berayun. Bayang-bayang kami berganjak di dinding. Dan di saat itu, aku tahu, detik ini bukan sekadar hadiah, tetapi sebuah pintu. 

Pintu kepada rahsia masa yang sedang menunggu untuk dibuka.

 Bersambung Part 12..

Monday, 15 December 2025

Rindu masakan mak.. kasih sayang dan kenangan

foto hiasan ~ sumber

Pernah tak kita terfikir, kenapa masakan mak sentiasa sedap? Walaupun dia cuma “campak-campak” bahan dalam kuali, tak ukur beria pun garam berapa, bawang berapa, minyak banyak mana, tapi hasilnya tetap buat kita tambah nasi tanpa sedar. 

Sebenarnya, dalam masakan mak ada sesuatu yang kita tak boleh tiru. Yang masuk dalam masakan mak bukan sekadar bahan, bukan juga keterpaksaan, tetapi kasih sayang yang tak pernah berkurang walau sehari. 

Mak tak pernah memasak kerana terpaksa. Dia masak sebab itu bahagian dari cinta yang dia hulurkan tanpa suara. 

Setiap hirisannya ada doa. Setiap senduknya ada harapan. Setiap lauknya ada rela hati yang mahu anak-anak kenyang, sihat, dan bahagia. 

Kita kadang-kadang cuba masak menu yang sama. Resipi ikut tepat. Bahan pun sama. Tapi, rasa tetap tak serupa. Ada sesuatu yang hilang.. 

Itulah rahsianya. Dalam masakan mak ada dua ramuan yang tak boleh dibeli, tak boleh dipinjam, dan tak boleh dipalsukan: kasih sayang.. dan kenangan. 

Kenangan bangun pagi bau tumisan. Kenangan waktu kecil duduk di dapur tunggu mak suapkan. Kenangan makan sama-sama masa hujan. Kenangan yang buat hati kita pulang sebelum kaki kita sempat kembali ke rumah. 

Kadang-kadang, bila rasa rindu, kita bukan rindu lauk mak saja. Kita rindu diri kita yang pernah duduk di sisi mak, tanpa risau apa-apa, cuma menunggu nasi panas dihidang. 

Masakan mak, sebenarnya bukan sekadar makanan. Ia adalah potret cinta yang disajikan setiap hari, dengan cara paling sunyi.. paling sederhana.. tapi paling masuk ke dalam jiwa.

#rindu mak 

Sunday, 14 December 2025

Sarapan pagi, jepuk musim hujan

 

'Jepuk (cekodok) - sedap pulak makan time hujan ni..' 

Asalnya mahu keluar sarapan pagi bersama Ummu Ikhwan. Seperti biasa, pilihan kami tentulah warung kecil di tepi jalan kampung, yang kopinya sederhana, tetapi suasananya sentiasa terasa akrab dan menenangkan. 

Namun hujan turun sejak selepas subuh, perlahan-lahan pada awalnya, kemudian semakin menjadi. 

“Tak apalah, hari lain kita pergi,” tutur Ummu Ikhwan, nada suaranya lembut dan redha. 

Jika diikutkan, boleh sahaja kami keluar. Bukannya ribut, bukannya hujan lebat. Tapi entah kenapa, dalam hujan begini, rasa malas itu datang tanpa dipanggil. Barangkali kerana tubuh mahu berehat, atau jiwa mahu diam seketika. 

Saya menjangkakan hujan cuma singgah sebentar. Rupanya ia setia menemani pagi hingga santak Zohor barulah ia sidang. Itu pun masih renyai-renyai, berkabus, dan langit terus mendung seolah-olah belum bersedia melepaskan awan. 

Hujan begini (di tempat saya), kalau diikutkan hati, tidurlah yang paling nikmat. Berbungkus dalam selimut, bunyi titisan hujan menjadi zikir alam, dan mata pun terpejam tanpa dipaksa, alamatnya tengah hari baru terjaga. 

Tapi dalam malas itu, ada nikmat kecil yang sering kita terlepas pandang. Nikmat duduk diam. Nikmat menangguhkan yang dirancang tanpa rasa rugi. Nikmat menerima bahawa tidak semua hari perlu diisi dengan keluar dan berjalan. 

Ada hari yang Allah jadikan untuk kita berhenti seketika. Untuk duduk di rumah, mendengar hujan, dan mensyukuri sederhana. Kerana bahagia itu bukan selalu di warung hujung kampung, kadang-kadang ia hadir di ruang tamu yang sunyi, bersama secawan air panas dan hati yang tenang. 

Dan pagi itu, kami memilih untuk tidak ke mana-mana, dan kami bersama membuat jepuk (cekodok) air gula untuk dinikmati pagi sebelum makan tengahari.

Thursday, 11 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 10): Jejak Yang Tak Kembali

Baca di sini Part 9 

foto hiasan ~ sumber 

Hidupku di kampung ini terus berjalan dalam harmoni dan sederhana, membantu Pak Andak ke pasar pagi setiap hujung minggu, mengangkat bakul hasil jualan, menyusun hasil kebun, dan sesekali bergurau dengan Busu yang tetap ceria. 

Walaupun masih ada pandangan sinis dari sesetengah orang kampung terhadap asal-usulku, tetapi aku belajar menjadi tenang, tidak memaksa diri untuk diterima. Sejarah bukan sesuatu yang boleh aku gentarkan dengan tangan. Aku hanya mahu hidup sebagai insan yang hadir, bukan mengubah takdir. Asalkan keluarga Pak Andak menerimaku seadanya itu sudah memadai. 

Namun takdir itu sendiri kadang memilih untuk menyingkap rahsia kita. 

Mula dipandang dan diterima 

foto hiasan ~ sumber

Pagi itu, pasar pagi seperti biasa, hiruk-pikuk suara tawar-menawar, aroma kuih-muih dan pucuk daun yang masih segar dibasuh embun. 

Pak Andak seperti biasa menyusun ulam di atas meja. Aku membantu, sementara mata kadangkala melirik ke arah Seri Seroja bersama ibunya yang sibuk di gerai jiran, membeli kuih puli dan kuih dangai. Senyumannya seperti embun yang melekat di hujung rumput, tenang, jujur, dan membuatku lupa bahawa aku bukan dari sini. 

Tiba-tiba, pekikan nyaring meruntuhkan kesunyian pagi. 

Beberapa lelaki berwajah bengis menyerbu ke dalam pasar, mencetuskan kekecohan. Mereka memaki, melanggar gerai, menendang bakul hasil tani. Seorang daripadanya mengacukan parang ke arah orang tua yang cuba menegur. 

Pasar menjadi porak-peranda. 

Dan di tengah-tengah itu.. Datuk Penghulu Bendahari, yang sedang melakukan rondaan bersama beberapa pengiring. Malangnya, saat genting itu, pengawal-pengawal beliau melarikan diri ketakutan. Orang ramai berselerak. 

Dan entah kenapa.. aku tidak bergerak. Seakan ada sesuatu dalam tubuhku yang terpelanting keluar, sesuatu yang lama tersimpan. 

Langkahku laju, menebuk celahan orang ramai. Aku berdiri di hadapan Datuk Penghulu Bendahari. 

Tangan kutegap ke sisi. “Datuk, berlindung di belakang hamba.” 

Tanpa suara, aku mengatur nafas. 

Langkah silat gayung, silih berganti dengan buah kalimah dan tari sendeng. Semua yang kupelajari dahulu dari tiga perguruan utama silat di zamanku, tiba-tiba mengalir dalam gerak tubuhku. Lincah. Cermat. Penuh tenaga. 

Satu demi satu, mereka kutangkis. Ada yang tertolak, ada yang terduduk, dan seorang hampir tersungkur ke dalam parit kecil di sisi pasar. 

Tangan ini, yang dahulu hanya menggenggam alat teknologi moden, kini menjadi dinding untuk sejarah masa silam. 

Dan tanpa aku sedari, Alang dan rakan-rakannya menjadi saksi. 

Dari jauh, aku nampak wajahnya. Tidak lagi garang tetapi tercengang. Antara kagum dan terpinga. Dia tidak berkata apa-apa.. tetapi mata itu telah berkata cukup banyak. 

Peristiwa itu menjadi bualan orang kampung. Namaku disebut bukan lagi sebagai “orang asing yang dipungut Pak Andak”, tetapi sebagai penjaga kehormatan pasar. 

Beberapa hari kemudian, Datuk Penghulu Bendahari mengadakan majlis kesyukuran dan majlis untuk menghargai keberanian. Seisi kampung diundang. 

Aku, Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja, dan Busu turut bersama, duduk di sisi, wajah mereka bangga. 

Datuk Penghulu menyuakan tangannya kepadaku. “Anak muda.. asalmu mungkin jauh, tapi keberanianmu dekat dengan hati kami.” 

Aku hanya tunduk. Dunia ini bukan tempatku, tetapi mengapa aku mula merasa seperti.. aku telah menjadi sebahagian daripadanya? 

Dan sewaktu semua hadirin mula untuk menjamah juadah, Alang menghampiriku. Dia tidak berkata apa-apa. Tapi tangannya terhulur untuk berjabat tangan. 

Dan pada saat itu, aku tahu, dendam kecil telah luntur menjadi hormat. 

Bersambung Part 11..