Sahabat Sejati

Showing posts with label anugerah. Show all posts
Showing posts with label anugerah. Show all posts

Sunday, 8 March 2026

Jangan kita sia-siakan peluang..

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di dalam Ramadan berlalu dengan begitu diam. Tidak berbunyi, tidak juga terasa derap langkahnya. Tiba-tiba sahaja kita tersedar.. hari ini Ramadan telah pun memasuki hari yang ke-18. 

Seakan baru semalam kita menyambut kedatangannya dengan rasa syukur dan harapan. Namun masa tidak pernah berhenti. Ia terus berjalan, membawa bersama hari-hari yang semakin berkurang daripada bulan yang penuh keberkatan ini. 

Mudah-mudahan Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk meniti baki Ramadan yang masih tersisa. Mudah-mudahan setiap amal yang kecil, setiap doa yang kita titipkan di hujung malam, setiap istighfar yang terbit dari hati yang penuh kekurangan, diterima oleh-Nya sebagai bekalan yang berharga. 

Namun di celah-celah keheningan Ramadan ini, hati kadangkala tersentuh mengenang mereka yang telah pergi lebih dahulu. 

Ada yang meninggalkan dunia ini sebelum sempat menyapa Ramadan kali ini. Ada juga yang melalui Ramadan yang lalu tanpa pernah menyangka bahawa itulah Ramadan terakhir dalam hidup mereka. 

Tahun lalu mereka masih bersama kita, duduk di saf yang sama ketika tarawih, berbuka di meja yang sama, atau sekadar bertanya khabar di penghujung petang. 

Hari ini, mereka sudah berada di alam yang berbeza. 

Hanya doa yang mampu kita kirimkan. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada mereka, melapangkan kubur mereka, dan menempatkan mereka dalam reda serta kasih sayang-Nya. 

Dan kita yang masih diberi kesempatan ini.. perlahan-lahan bertanya kepada diri sendiri. 

Bagaimana dengan kita? 

Siapa yang dapat memastikan bahawa kita akan sempat sampai ke penghujung Ramadan ini? Siapa juga yang mampu menjamin bahawa Ramadan tahun hadapan masih menjadi milik kita? 

Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita.. tanpa kita sedari. 

Atau mungkin juga kita tidak sempat menghabiskannya, kerana ajal terlebih dahulu menjemput sebelum bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya. 

Sebab itu, selagi nafas masih di dada.. selagi malam-malam Ramadan masih terbentang.. selagi pintu rahmat dan keampunan masih terbuka.. 

Jangan kita sia-siakan peluang yang sedang Allah hamparkan ini. 

Kerana mungkin.. di antara Ramadan yang pernah kita lalui sepanjang hidup ini, inilah yang terakhir.

Monday, 15 December 2025

Rindu masakan mak.. kasih sayang dan kenangan

foto hiasan ~ sumber

Pernah tak kita terfikir, kenapa masakan mak sentiasa sedap? Walaupun dia cuma “campak-campak” bahan dalam kuali, tak ukur beria pun garam berapa, bawang berapa, minyak banyak mana, tapi hasilnya tetap buat kita tambah nasi tanpa sedar. 

Sebenarnya, dalam masakan mak ada sesuatu yang kita tak boleh tiru. Yang masuk dalam masakan mak bukan sekadar bahan, bukan juga keterpaksaan, tetapi kasih sayang yang tak pernah berkurang walau sehari. 

Mak tak pernah memasak kerana terpaksa. Dia masak sebab itu bahagian dari cinta yang dia hulurkan tanpa suara. 

Setiap hirisannya ada doa. Setiap senduknya ada harapan. Setiap lauknya ada rela hati yang mahu anak-anak kenyang, sihat, dan bahagia. 

Kita kadang-kadang cuba masak menu yang sama. Resipi ikut tepat. Bahan pun sama. Tapi, rasa tetap tak serupa. Ada sesuatu yang hilang.. 

Itulah rahsianya. Dalam masakan mak ada dua ramuan yang tak boleh dibeli, tak boleh dipinjam, dan tak boleh dipalsukan: kasih sayang.. dan kenangan. 

Kenangan bangun pagi bau tumisan. Kenangan waktu kecil duduk di dapur tunggu mak suapkan. Kenangan makan sama-sama masa hujan. Kenangan yang buat hati kita pulang sebelum kaki kita sempat kembali ke rumah. 

Kadang-kadang, bila rasa rindu, kita bukan rindu lauk mak saja. Kita rindu diri kita yang pernah duduk di sisi mak, tanpa risau apa-apa, cuma menunggu nasi panas dihidang. 

Masakan mak, sebenarnya bukan sekadar makanan. Ia adalah potret cinta yang disajikan setiap hari, dengan cara paling sunyi.. paling sederhana.. tapi paling masuk ke dalam jiwa.

#rindu mak 

Saturday, 1 November 2025

Sarapan Bersama Ummu Ikhwan di Warung Kecil

Pagi ini, aku bersarapan bersama Ummu Ikhwan. Tak jauh mana pun, masih dalam lingkungan lokaliti sendiri, tempat yang sudah akrab dengan langkah dan pandangan mata. Kami memilih untuk singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan kampung, warung yang atapnya zink, dindingnya papan separuh, tapi suasananya.. luar biasa damai. 

Aku seperti biasa, memilih roti kahwin, roti lembut paduan roti telur dan roti kosong, kemudian dipanggang hingga keperang-perangan, cukup untuk membangkitkan nostalgia zaman dulu. Ummu Ikhwan pula tidak pernah berubah, tetap setia dengan kegemarannya, roti sardin panas yang baru diangkat dari kuali. 

Sambil ‘mencicip’, kami berbual santai tentang hal-hal kecil yang indah, tentang hari semalam, tentang pokok jambu di halaman rumah yang mula berputik, tentang burung-burung yang setiap pagi datang bertandang di pagar. Di sekeliling, pohon kelapa melambai perlahan, dan dari jauh kedengaran bunyi ayam jantan masih bersahut-sahutan. 

Aku menghirup indo-cafe panas pekat yang dihidang dalam gelas kaca. Wapnya naik lembut, mengisi udara dengan aroma yang mesra di hidung. Angin pagi menyapa lembut wajah, membawa bersama rasa syukur, kerana dalam hidup yang serba pantas ini, masih ada waktu untuk berhenti sejenak, menikmati pagi dengan tenang, ditemani insan yang dekat di hati.

Sunday, 14 September 2025

Kedamaian yang kutemui dalam pelukan alam

'Desaku yang sehari-hari semakin hilang citra wajahnya'

Dalam meniti titian hari-hari kehidupan di desa nan tercinta, mata, telinga dan hati nuraniku terpahat dan terakam pada isi alam damainya. Demikianlah hati kampung seperti aku. Membesar dengan suasana begitu, mana mungkin tidak tercetus ketenangan dan kedamaian dengannya… aku. 

Di celah pepohon yang merimbun, aku menemukan sejenis ketenangan yang tidak mampu kutemui di mana-mana tempat lain. Daun-daun hijau yang bergoyang ditiup angin menyambut kehadiranku seolah-olah mereka memahami gelora dalam dadaku. 

'Menikmati lembut hembusan semilir sungai Pahang'

Dalam setiap hembusan bayu yang menyusup lembut ke kulit, ada bisikan halus yang mengajakku untuk melupakan hiruk-pikuk dunia. 

Haruman bunga-bunga liar yang mekar tanpa dipinta menambah damai ruang udara. Bunga itu tidak pernah memerlukan pujian untuk mekar, dan itulah indahnya alam, ia memberi tanpa menagih. 

Keriangan burung-burung yang bernyanyi bebas di dahan tinggi menyempurnakan suasana. Lagu mereka tidak berseni tinggi, tetapi cukup untuk menggugah rasa, seolah-olah menyampaikan pesan bahawa hidup ini boleh sederhana, namun membahagiakan. 

Di sudut yang lebih sunyi, sahutan katak dari parit dan tali air mencipta irama asli. Ia tidak mengganggu, malah memujuk hati agar terus menghargai hal-hal kecil yang sering kita abaikan. 

Daun-daun yang berlaga ditiup angin menyuarakan lirih alam, tidak lantang, tetapi cukup untuk menenangkan jiwa yang penat. Sesekali, kedengaran cengkerik dan reriang malam, tanda bahawa malam pun tidak sepi, malah punya muziknya yang tersendiri. 

Dan apabila hujan mulai turun, kedamaian itu mencapai kemuncaknya. Titik-titik jernih dari langit menimpa atap dan dedaunan, menghasilkan irama yang barangkali bingit bagi telinga kota, tetapi bagi aku, itulah lagu paling membahagiakan. Ia membuatkan aku mahu memejam mata dan larut dalam dunia yang tidak memerlukan gajet atau manusia untuk merasa hidup. 

Namun, apabila aku kembali ke hutan batu yang keras dan sunyi, di mana pokok tidak sempat berakar, dan langit pun jarang kelihatan, jiwaku cepat mengeras. Aku menjadi patung dalam dunia yang bergerak. 

Tiada lagi desiran angin, tiada suara burung atau titisan hujan yang menyanyi. Hanya hon, siren dan manusia yang berlalu tanpa pandang. Di sini, tiada kedamaian. Yang ada hanyalah jasad yang masih hidup, namun roh terasa jauh tertinggal… di bawah pohon yang dulu, di sisi bunga yang mekar, bersama hujan yang turun dengan kasih.

Monday, 8 September 2025

Kenangan masih basah (Part 3: Akhir) – Sayap di Langit Rindu

Part 2 (baca sini)

Tahun berganti. Pohon mangga di tepi laman sudah lama tumbang dimakan rayap, tangga kayu tempat aku jatuh pun telah reput dimamah masa. Namun di satu pagi yang hening, seekor burung pipit melintas di hadapan jendela rumah ini. 

Bayang itu datang tanpa diundang. Suara emak, lembut seperti dulu, “Kalau nak terbang… belajar dulu macam burung kecil tu.” Ketawa kecilnya terngiang, ketawa yang pernah membungkus luka di lengan dan luka di hati. 

Burung itu hinggap di pagar, menggeleng-geleng kepalanya, lalu terbang semula. Seolah membawa pesan dari alam 'sana' bahawa emak masih mendoakan aku, masih mengajar aku untuk berani melawan angin kehidupan. 

Aku tersenyum dalam sendu, memandang langit yang luas. “Mak… saya dah belajar terbang,” bisikku perlahan. 

Mungkin tak setinggi burung, tapi cukup untuk sampai ke ruang doa, di mana aku yakin… pelukan emak masih menanti di alam abadi.

*Moga roh bonda dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman serta semua amal kebaikannya diterima.

Saturday, 6 September 2025

Kenangan masih basah (Part 2) – Pagi dan Janji Burung

Part 1 (baca sini) 

`foto hiasan ~ sumber

Pagi di kampung menyapa dengan embun berat di hujung rumput. Bunyi ayam berkokok bertingkah-tingkah, diselang-seli kicau murai yang bertenggek di dahan kuini. Udara sejuk pagi itu membuat pipi terasa segar. 

Aku keluar ke beranda, lengan lebamku masih berbalut sapu tangan emak. Burung merbah semalam masih ada di bawah pohon mangga, berlari-lari kecil sebelum hinggap di para yang dijalari pokok labu air. Aku tersenyum sendiri, teringat kata-kata emak. 

Emak muncul dari dapur, membawa cawan berisi kopi panas. “Masih nak terbang ke?” tanya emak sambil meletakkan cawan. 

Aku angguk. 

“Kalau nak terbang… belajar dulu macam burung kecil tu,” katanya, sambil memandang jauh ke langit pagi. 

“Belajar macam mana, mak?” 

“Burung tu tak terus terbang tinggi. Dia lompat-lompat dulu, cuba sayapnya… sampai tiba masa, baru dia berani lawan angin. Hidup pun begitu. Tak semua terus boleh terbang tinggi… tapi kalau kita sabar, Tuhan akan ajar caranya.” 

Aku menghirup minuman sambil memandang burung kecil yang kini meluncur di udara pagi. Di hati, aku berjanji, suatu hari nanti, aku akan belajar terbang, walau sayapku cuma impian di dalam dada.

Thursday, 4 September 2025

Kenangan masih basah (Part 1) – Senja Itu, Pelukan Emak

Senja turun perlahan di kampung. Langit di ufuk barat dilukis dengan warna jingga, merah, dan ungu, seperti lukisan yang Tuhan bentangkan setiap hari untuk mata yang mahu memandang serta hati yang mahu berfikir. Angin membawa bau tanah yang lembap, sementara unggas mulai memanggil pasangan di tepi semak menerung. 

Di tangga rumah kayu, aku berlari kecil sambil ketawa, tak sedar kaki tersalah langkah. Tubuhku terhumban, lengan kiri menghentak anak tangga. Sakitnya menyentak nafas, air mata pun jatuh tanpa diundang. Perlahan-lahan lengan kecilku mula menerbit lebam. Rasa pedih memanjat ke hati.

Emak muncul, wajahnya tenang walau matanya resah. Dipeluknya aku, dikeluarkan sapu tangan dari saku baju lusuhnya, dituamkan pada lebam di lenganku. Hangat sapu tangan itu, bercampur dengan hangat kasihnya, menyedapkan rasa pedih yang baru sebentar tadi menikam. Seakan setiap sentuhan itu menenangkan lebih dari ubat dan kata-kata.  

“Tu… tengok,” emak menunjuk ke pohon jambu air di tepi laman. Seekor burung merbah melompat dari satu ranting ke ranting lain, kemudian mengepak sayap, terbang di udara senja. “Burung tu Tuhan yang jadikan… burung boleh terbang.” 

Aku yang masih tersedu kecil berkata, “Mak… saya pun mahu terbang macam burung tu.” 

Emak ketawa kecil, ketawa yang bunyinya seperti lagu yang tak pernah jemu diulang. Dia memeluk aku rapat-rapat. Di situ, di dadanya, dunia terasa aman. Itulah syurga dunia yang tak mungkin aku lupa.

Dalam pelukan itu, seolah turun sakinah dari langit Ilahi, hangat, damai, dan penuh cinta. Pelukan yang kelak, bila tiada lagi, akan kucari dalam setiap mimpi dan rindu.

Saturday, 30 August 2025

7.56 km pun ok dah..

 

'selalunya mengayuh, tapi hari ini rasa nak menapak pula'

Pagi ni langkah terasa ringan… 7.56 km briskwalk dalam kawasan perumahan saja, tapi tetap rasa puas. Setiap derap kaki di jalan tar, ditemani bayu pagi dan kicauan burung, buat hati rasa damai. 

Walau hanya di sekitar rumah, walau jarak yang tak seberapa, tapi nikmatnya tetap sama. Peluh yang menitis jadi tanda syukur, kerana masih diberi kesihatan dan kekuatan untuk bergerak. 

Kadang kita tak perlu pergi jauh pun untuk hargai nikmat sihat. Cukup dengan langkah sederhana di persekitaran sendiri, ia sudah jadi terapi untuk badan dan jiwa. 

Briskwalk ini bukan sekadar jalan kaki, tapi juga latihan hati. Belajar bersyukur, menghargai masa, dan menjaga amanah tubuh yang dipinjamkan Tuhan. Semoga langkah kecil hari ini membawa semangat besar untuk esok. Insya-Allah.

Tuesday, 27 December 2022

Bertemu kembali

Alhamdulillah, puji-pujian ke hadrat Tuhan yang telah mengembalikan kesihatanku setelah dihilangkan seketika. Moga rahmat-Nya sentiasa memayungi kita semua..

Sunday, 3 April 2022

Ramadhan 1443H - Selamat mencari taqwa!

sumber foto

 Marhaban ya Ramadhan..

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah. 

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani) 

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri. 

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri. 

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia 

Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah. 

Selamat mencari taqwa!

Thursday, 13 May 2021

Salam Aidilfitri 1442H

foto hiasan
 

Assalamualaikum wrm. wbt, 

Taqabballahu Minna wa Minkum Solehal A`mal, Kullu`Am wa Antum Bilkhair... (Semoga Allah menerima amal soleh (ibadatnya) dari kami dan juga kalian, setiap tahun kalian sentiasa di dalam kebaikan...) 

Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan selamat hari raya aidilfitri, kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Dengan ikhlas hati saya memohon maaf zahir dan batin andai ada khilaf baik tulisan maupun ucapan.

Marilah kita semua kembali kepada kebenaran. Kukuhkan semula tautan ukhuwah,jalinkan semula ikatan yang longgar, rebutlah peluang beramal ibadat sementara usia masih tersisa. 

Sesungguhnya hidup ini tidak akan terduga bila tamat riwayatnya, entahkan sampai bila kita mampu menghirup dan menghembus udara. Kemudian kita akan kembali kepada-Nya.

Tahun ini adalah kali kedua sambutan Aidlfitri diraikan dalam keadaan norma baharu, tetapi ia bukan penghalang untuk menghayati makna perayaan ini, di samping mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Justeru, sentiasalah berada di landasan yang diredhai-Nya.

Semoga nikmat Aidilfitri yang disambut tahun ini membawa seribu hikmah dan rahmah buat kita semua..

Sunday, 6 September 2020

Potret hari minggu (060920)

Anakanda Haikal cukup obses dengan air. Selagi tidak disuruh naik, biarpun sudah merah mata, sampai ketar-ketar bibirnya, makin seronok dia berendam. Tak apalah, asalkan dia gembira, kami pun turut gembira.

Air adalah khazanah alam yang tidak ternilai harganya. Ia juga adalah sumber kehidupan. 

"..dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup, maka mengapa mereka tidak mahu beriman?" (al-anbiya': 30)

Semoga air bersih akan sentiasa 'hidup' untuk kita semua nikmati.. 

Friday, 15 June 2018

Eid Mubarak 1439H


Assalamualaikum warahmatullah.

Pertama dan selamanya, segala ucapan tahmid dan takbir dipanjatkan kepada Tuan empunya dunia dan akhirat, Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk menjalani ibadah puasa di bulan barokah Ramadhan sehingga ke penghujungnya. Sesungguhnya ibadah puasa adalah satu perjalanan spiritual, mentarbiah rohani dan menguji fizikal.

Kini Ramadhan telah pun melabuhkan tirainya. Berlalu meninggalkan kita semua tanpa menoleh ke belakang dan akan kembali lagi pada tahun seterusnya dengan izin-Nya. Namun yang pastinya apakah kita masih diberi peluang untuk mendakap Ramadhan yang akan datang? Allah jua yang mengetahui.

Apabila Ramadhan telah berakhir, lalu Syawal pula memunculkan diri yang disyariatkan untuk kita menyambutnya. Justeru, sambutlah Syawal ini dengan penuh kegembiraan dan keinsafan persis meraikan satu  kemenangan setelah bermujahadah  dan mengekang nafsu keinginan pada bulan Ramadhan.
    
Namun, dalam kegembiraan kita menyambut aidilfitri janganlah kita berlebihan sehingga melewati batas syariat. Sebagaimana kita berpuasa mengikut syariat kerana ia adalah ibadah, maka sambutlah aidilfitri dengan mengikut syariat, kerana ia juga adalah ibadat.

Akhir kalam, Eid Mubarak Minal Aidil Wal Faizin Taqabbal Allahu Minna Wa Minkum, Minna Wa Minkum Taqabbal Ya Karim. Kullu am wa antum bi Alf al-Khair... 

Saudara kalian,
Abu Ikhwan dan keluarga
Kuantan, Pahang.

Wednesday, 13 June 2018

Alhamdulillah, sehingga saat ini..

Alhamdulillah, malam yang indah. Taburan bintang di dada langit mengiringi langkah kaki yang diatur untuk pulang ke rumah seusai solat tarawih. Sesekali angin dingin bertiup perlahan membangkitkan detik rasa. Hari ini telah 27 hari umat Islam menjalani ibadah puasa yang difardhukan. Maknanya dalam beberapa hari lagi kita semua akan meninggalkan gerbang Ramadhan yang diberkati ini. 

Hati dan perasaan saya berbunga, Tuhan dengan kemurahan-Nya masih lagi mengurniakan Ramadhan hingga ke saat ini untuk saya nikmati. Bagaimana dengan puasa yang telah dijalani setakat ini. Alhamdulillah, setakat ini cukup. Namun, baik sempurna atau cacat celanya saya serahkan kepada Allah SWT untuk memberi penilaian. Hakikatnya puasa saya hanyalah puasa orang awam. Puasa yang bernilai lapar dan dahaga sahaja (mungkin). Moga puasa ini diterima dengan rahmat dan belas ehsan-Nya, insya-Allah.

Kedatangan Ramadhan mempunyai hikmah yang besar dan tersendiri. Malahan suasana tarbiah Ramadhan memberi ketenangan kepada manusia untuk beribadah. Lihatlah, tangan-tangan yang pemurah di bulan ini. Kaki-kaki yang ringan melangkah menuju ke masjid dan musolla. Manakala lidah-lidah yang tanpa jemu mengalunkan zikir dan kalamullah. Semuanya adalah kerana tarbiah Ramadhan yang diberkati.

Sabda Rasulullah saw:
"Sesiapa yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, mendirikan solat dan berpuasa di bulan Ramadhan, maka adalah satu kebenaran atas Allah memasukkannya ke syurga." (Riwayat Bukhari)

Moga ibadah puasa yang disempurnakan di bulan Ramadhan ini menambah rasa syukur atas segala nikmat kurniaan-Nya. Syukur yang bukan sekadar dilafazkan di bibir tetapi dibuktikan dengan amalan-amalan yang makin mendekatkan diri kepada-Nya. Seterusnya meraih taqwa yang dijanjikan, insya-Allah.    

Friday, 8 June 2018

Bulan menggandakan ibadah semakin dipenghujung

Kita telah pun berada di gerbang terakhir Ramadhan. Begitu pantas masa berlalu meninggalkan hari-hari yang dilewati. Bagaikan masih terasa baru lagi hari pertama, kedua dan ketiga menjalani ibadah puasa, dan kini kita semua telah pun berada di ambang akhir-akhirnya. Kemudian kita akan mengucapkan selamat tinggal Ramadhan.

Berjayalah sesiapa yang dicuit hatinya untuk mengisi kehidupannya di dalam bulan ini dengan menambah amal kebaikan. Sebaliknya kerugian yang besar bagi sesiapa yang menyia-nyiakan kesempatan ini, tanpa berusaha memenuhkan kantung amalan dengan sebanyaknya.

Ramadhan bukanlah bulan ibadah, bukanlah bulan solat, bukanlah bulan membaca al-quran,  bukanlah bulan memakmurkan masjid atau surau dan sebagainya. Sebaliknya, beribadah samada solat, membaca al-Quran dan memakmurkan masjid masanya adalah sepanjang tahun. Tidak benar jika kita katakan Ramadhan adalah bulan ibadat. 

Tepatnya Ramadhan adalah bulan untuk mengganda-ganda atau menambah-nambah ibadah. Jika di bulan lain kita solat fardhu, maka di bulan Ramadhan kita tambahi dengan solat sunat dengan sebanyaknya. Jika di bulan lain kita membaca al-Quran sekadar satu mukasurat, maka di bulan Ramadhan kita gandakan. Begitulah dengan ibadah-ibadah lain.

Allah memuliakan Ramadhan untuk kita. Sambutlah kedatangannya. Syukurilah kesempatan memasukinya. Moga beroleh taqwa yang didambakan.

Wednesday, 23 May 2018

Coretan di Ramadhan 6 (1439H)

'menunggu giliran, cuma kami'

Alhamdulillah, selesai sudah temujanji hari ini. 

Seawal jam 7 pagi saya memulas pemecut motosikal menuju ke HTAA. Si kecil Haikal yang istimewa membonceng di belakang memeluk erat. Cuaca cerah mengiringi perjalanan kami. Insya-Allah, tak hujan hari ini. Lagipun sekarang ini telah pun di luar musim hujan. Jika hari hujan terpaksalah membawa kereta. Satu perkara yang saya tidak minati apabila memenuhi temujanji di HTAA. 

Bukannya apa susah benar mahu mencari ruang 'parking'. Sekiranya 'parking kokse-kokdang', tak pasal-pasal disaman oleh pak polisi trafik atau penguatkuasa majlis perbandaran. Ekoran itu saya lebih suka bermotosikal sahaja. Tetapi jika hari hujan, terpaksa juga membawa kereta, apa boleh buat. 

Oh ya, hari ini temujanji si kecil Haikal di unit Paediatric. Sengaja saya merancang untuk meluar awal kerana sudah faham ragam dan resam di unit tersebut. Jika datang lewat alamat 'berjanggutlah' menunggu angka giliran dipanggil. Sementelah lagi di bulan Ramadhan, pasti penantian tersebut menjadi satu penyeksaan. Cewahh..

Berkat pengorbanan keluar awal membelah kedinginan pagi, tampak berbaloi. Rupa-rupanya kami adalah orang pertama yang meletak buku temujanji di dalam kotak yang disediakan. Harap-harap semuanya berjalan lancar tanpa sebarang kesulitan. Manalah tahu jika fail rawatan tidak ditemui atau berada di unit lain, atau boleh jadi juga doktor pakar lewat datang ke sini kerana perlu menyelesaikan kes di wad. Semua itu boleh menjadi faktor penyumbang "menunggu lama". 

Sewaktu menunggu angka giliran dipanggil, si kecil Haikal menyuakan tangan ke perutnya. Ooo.. maknanya lapar. Memang keluar dari rumah tadi, dia tidak sempat menjamah makanan. Lagipun sudah menjadi kebiasaan saya membawa dia makan seusai temujanji. Kami akan singgah di restoran berhadapan masjid negeri. Menu kegemarannya semestinya roti telur diganding dengan milo susu. 

Masalah pula, bagaimana saya mahu memahamkan si kecil Haikal bahawa sekarang ini bulan Ramadhan. Pada bulan ini umat Islam menjalani ibadah puasa, yakni tidak makan dan minum di siang hari. Anak ini tidak mendengar walaupun memiliki sepasang telinga, malahan tiada juga perkataan biarpun mempunyai mulut seperti orang lain. 

Akhirnya, sebelum pulang ke rumah saya singgah juga di kedai makan tersebut. Alhamdulillah, 'si kecil Haikal yang istimewa' mengangguk-angguk apabila saya tunjukkan pintu kedai makan tertutup rapat. Insya-Allah, dia faham.  

Tuesday, 24 April 2018

Selamat kembali ke sekolah!

 'Menanti giliran'

Alhamdulillah, selamat kembali ke sekolah menyertai rakan-rakanmu yang lain. Ucapan kata hati persis doa saya lantunkan kepada ‘si kecil Haikal yang istimewa.’ Hmm, telah seminggu dia tidak ke sekolah kerana batuk dan selsema yang menyerang. 

Naik kasihan saya melihat keadaannya. Sepanjang tempoh seminggu tersebut, si Haikal banyak menghabiskan masanya dengan ‘melepek’ di atas sofa. Makan pun kurang berselera, suaranya pula bertukar menjadi serak ala-ala 'itik serati' akibat batuk yang menyerang. Ekoran itu, si Haikal terpaksa membatalkan hasrat untuk menyertai rombongan kelasnya ke pameran Petrosains di Perpustakaan Awam Negeri Pahang. Apakan daya..

Pada hari kedua selsema dan batuk, saya membawanya ke klinik untuk menerima rawatan. Bimbang juga jika terdapat penyakit lain. Alhamdulillah, ia hanya sakit yang biasa ujar sang perawat. Memang anak ini mudah dijangkiti penyakit. Selsema, batuk serta demam adalah suatu yang biasa untuk anak ini. Malahan, dalam sebulan atau dua bulan pasti akan diuji dengan masalah kesihatan.

Bukan anak saya seorang sahaja, malah di dalam grup whatsapp kelas PPKI (kelas istimewa) sudah menjadi perkara biasa ibu bapa memaklumkan ketidakhadiran anak mereka ke sekolah. Setiap hari pasti ada yang tidak hadir ke sekolah. Ada yang demam, cirit-cirit, selsema, batuk dan sebagainya. Sekolah pula memberi 'lesen' kepada anak-anak ini. "Tidak perlu datang ke sekolah jika kurang sihat, bimbang berjangkit kepada kawan-kawan yang lain". Pesan GPK PPKI kepada ibu bapa.

Tentunya kondisi mereka yang berstatus 'istimewa' mudah dihinggapi penyakit kerana ketahanan tubuh tidak sama dengan kanak-kanak biasa. Demikianlah, keistimewaan mereka adalah anugerah buat kami semua.

Tuesday, 30 January 2018

Gembiranya anakanda Haikal


Meleret senyum 'sikecil Haikal yang istimewa' tatkala dipakaikan cermin mata barunya, seraya menunjukkan ibu jari 'bagus'. Saya yang berada di sebelah turut tersenyum lalu membalas menunjukkan ibu jari ke atas. Cermin mata yang sedia ada sudah tidak sesuai untuk digunapakai kerana beberapa sebab. 

Selain daripada kondisi cermin mata tersebut yang sudah tidak secocok dengan fizikal wajahnya yang semakin membesar, turut menjadi sebab ia perlu ditukar ialah kerana 'power' kantanya sudah tidak sesuai dengan perkembangan anak matanya. Demikanlah nasihat sang perawat pakar yang menjalankan pemeriksaan tempohari. 

Seingat saya cermin mata lama ini sudah digunakan oleh anakanda Haikal sejak tahun 2011. Sudah ada calar-calar pada kedua-dua belah cermin kantanya. Tentu ia akan membataskan jarak penglihatannya. Keputusan diambil, 'wajib' tukar!

Kanta lekap

Sebelum memakai cermin mata, 'sikecil Haikal yang istimewa' menggunakan kanta lekap. Dek kerana keadaannya yang masih kecil lagi ketika itu, doktor menyarankan menggunakan kanta lekap.

"Itu yang lebih sesuai daripada cermin mata." Kata doktor pakar tersebut.

Saya dan Ummu Ikhwan menurut sahaja yang apa terbaik. Doktor pakar lebih tahu daripada kami berdasarkan ilmu yang dipelajari di dalam bidangnya. Cuma kami pula yang menghadapi banyak masalah. Sudah betul nak menjaga dan mengurus pemakaian kanta lekap ini terhadap anakanda Haikal.

Sebelum memakaikan kanta lekap pada mata si Haikal, tangan perlu dibersihkan, begitu juga kanta lekap dicuci dengan pencucinya. Kemudian barulah boleh dipakaikan dengan berhati-hati. Pakai pula tidak sepanjang hari, cuma dalam beberapa jam sahaja. Terutama waktu tidur, mesti ditanggalkan. Penat. 

Pernah beberapa kali kanta lekapnya tertanggal sebelah tanpa disedari. Mungkin jatuh semasa dia menggosok-gosok matanya. Kelam-kabut juga. Puas menelek, akhirnya ketemu di atas lantai. Sampailah satu masa, akhirnya hilang terus tidak bertemu lagi, mahu tidak mahu terpaksa tempah yang baru.  

Setelah si Haikal besar sedikit, barulah doktor membenarkan memakai cermin mata. Terpaksalah (bukan terpaksa dalam erti kata yang sebenar) mengeluarkan RM..RM..RM kerana power kantanya sangat tinggi.  Padanlah dengan harganya.

Tidak mengapalah, bayar lebih sedikit kerana di fikiran saya memakai cermin mata tidaklah serumit memakai kanta lekap dalam aspek menjaganya. Cuma kadang-kadang terbit juga perasaan segan apabila ada orang yang terkejut dengan mimik muka, seraya menegur dengan suara yang agak kuat betapa tebalnya kanta cermin mata anak saya ini.

Namun demikian, itu dulu. Perasaan dulu-dulu. Sekarang tidak lagi, seupaya saya tepis perasaan segan tersebut dengan mengingatkan 'sikecil Haikal yang istimewa' adalah satu anugerah. Ya, satu anugerah yang tidak ternilai harganya.

Satu anugerah..   

Monday, 15 January 2018

Alhamdulillah, tiba jua masanya..


Alhamdulillah, thumma innal hamdalillah. 

Di usia 13 tahun, akhirnya 'sikecil Haikal yang istimewa' mampu menulis namanya sendiri, kendati sekadar meniru daripada tag nama. Boleh jadi dia sendiri tidak mengerti apa yang ditulisnya itu adalah namanya. Tidak mengapa. Jika itu kemampuannya setakat ini, sepenuh tangan saya merafa` kesyukuran. Sekurang-kurangnya ada peningkatan pada kualiti hidupnya. 

Mungkin bagi sesetengah orang ia suatu yang biasa, tiada apa-apa pun untuk dibanggakan. Namun, bagi saya dan ummu Ikhwan yang membesarkannya, melihat perkembangan hidupnya di depan mata, dengan kesabaran tanpa rasa capek. Justeru, ini satu kegembiraan seharusnya diraikan.    
 
Demikianlah ia termasuk di antara nikmat Ilahi yang seharusnya disyukuri. 

"Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmat-Ku kepada kamu..." (Ibrahim: 7)

Thursday, 7 December 2017

"Sikecil Haikal yang istimewa" sudah 12 tahun


Selamat hari ulangtahun kelahiran buat anakandaku "sikecil Haikal yang istimewa" pada hari ini. 

"Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. Dialah 'si kecil yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak kami semua ke syurga Ilahi yang abadi..."