Sahabat Sejati

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.