Sahabat Sejati

Showing posts with label buku. Show all posts
Showing posts with label buku. Show all posts

Friday, 30 October 2026

Pahlawan Kota Batu: Darah dan Air Mata Sebuah Perjuangan

Buku nipis yang terselit di celah deretan buku di rak saya tarik perlahan. Judul pada kulitnya seakan-akan memanggil rasa, mengusik kenangan dan menggamit keinginan untuk sekali lagi menatap helaian demi helaian kisah di dalamnya. 

Entah sudah berapa kali saya membacanya. Saya sendiri sudah tidak ingat. Namun, ada buku yang biarpun telah berkali-kali kita khatamkan, tetap sahaja terasa seperti ada sesuatu yang tertinggal, sesuatu yang membuatkan kita ingin kembali membacanya.

Kulitnya sudah lusuh, berbekas, ada koyakan dan kesan usia. Buku lama yang ada sejarahnya sendiri. Buku begini jauh lebih bernilai daripada buku yang masih berbau kedai, hematku. 

Buku Pahlawan Kota Batu karya Misran Lasiman ini memang sebuah novel sejarah, diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 1987, dengan 112 muka surat. Rekod katalog UKM turut menyenaraikannya sebagai novel sejarah.

Novel ini mengambil latar zaman Sultan Alauddin Riayat Syah II, yang dilantik menjadi sultan Johor setelah kemangkatan Sultan Mahmud Syah di Kampar pada tahun 1528. Baginda bercita-cita merampas semula Melaka. 

Apa yang menariknya ialah tahun 1987 itu. Maknanya buku ini sudah hampir 40 tahun usianya. Dan gambar pada kulitnya pun terus memberikan rasa novel sejarah Melayu lama - pahlawan, senjata, pakaian tradisional, dan suasana perjuangan. 

Pada kulit belakang (blurb) tertulis: Buku ini mengisahkan kegigihan orang Melayu menentang penjajah. Kekalahan demi kekalahan yang dialami tidak pernah melunturkan tekad dan semangat untuk merebut kembali bumi Melaka yang dijajah. 

Tun Togi Pahlawan Kota Batu – Bapanya mati menentang Feringgi. Usianya baru setahun ketika itu. Menjangkau dewasa seluruh nusantara dijelajahinya, mengumpulkan maklumat dan rakan, merancang untuk menumbangkan Feringgi di Melaka. 

Kerana tekad yang membara, dia meninggalkan ibu dan kekasihnya. Berbakti dan berjuang bersama-sama Sultan Alauddin Riayat Syah II di Johor. Menyaksikan satu demi satu kota kerajaan Johor dimusnakan oleh Feringgi, semuanya menambahkan geram dan tekad Tun Togi. Akhirnya dengan kesungguhan, ketabahan dan semangat perjuangan anak tempatan ini, Melaka dapat dirampas kembali. 

Di sebalik kemenangan yang akhirnya tercipta, tersimpan harga yang terlalu mahal untuk dibayar. Darah yang tumpah, air mata yang mengalir, keluarga yang kehilangan insan tersayang dan kasih yang terpaksa ditinggalkan. 

*** 

Begitulah peritnya perjuangan menentang penjajah. Tanah air mungkin dapat dirampas kembali, tetapi mereka yang telah gugur tidak akan pernah kembali. 

Selesai bacaan 

Entah mengapa, buku ini meninggalkan rasa yang begitu besar dalam diri saya. Semakin jauh saya menghayati kisahnya, semakin terasa beratnya harga sebuah kemerdekaan. Ada rasa sebak, pilu dan bangga yang bercampur baur, sukar untuk saya ungkapkan dengan kata-kata. 

Barangkali inilah kekuatan sebuah karya sejarah; ia bukan sekadar membawa kita mengenali masa silam, tetapi mengajar kita mencintai tanah air melalui pengorbanan mereka yang pernah menitiskan darah dan air mata demi bumi ini. Semoga perjuangan mereka tidak pernah dilupakan.

Tuesday, 22 September 2026

Coret-coret malam ini..

'2 lagi buku untuk bulan September'

Suasana malam ini tenang betul, tambah-tambah lagi bila hujan mula turun lepas maghrib tadi. Boleh tahan juga lebatnya. 

Sekali-sekala terdengar guruh dan nampak kilat menyambar, tapi yang paling lega mestilah bahang panas yang mencucuk-cucuk semenjak dua menjak ni terus hilang. Rasa sejuk sikit bilik malam ni! 

Paling penting, harapkan hujan ni dapatlah 'membasuh' jerebu yang menebal kat luar tu. Alhamdulillah, tempat saya sendiri bacaan IPU dah kembali ke tahap hijau, yang sebelum ini mencecah tahap kuning, maksudnya dah masuk kategori sederhana. Memang sebelum ini terasa juga kering tekak dan pedih mata kalau keluar rumah. 

Bila cuaca sejuk begini, teringat pula dekat parcel buku yang baru sampai tempohari. Bulan September ni nampaknya ada rezeki lebih sikit, sempat melempar 'racun' pada diri sendiri dan beli 2 buah buku lagi. Kalau campur dengan yang awal bulan hari tu, cukuplah 3 buah buku bertukar hak milik untuk bulan ni! 

Luar hujan lebat, ditarik selimut nipis, ditiup angin sejuk, sambil layan buku baru bersulamkan bau kertas fresh.. chef's kiss betul malam ni. 

Korang pula macam mana? Cuaca kat tempat korang hujan tak malam ni, dan buku apa yang tengah korang layan sekarang?

Thursday, 10 September 2026

Buku Pertama September - P. RAMLEE GENIUS SENI MELAYU

Dah pun sampai buku yang dibeli melalui atas talian. Seperti biasa, terima kasih bradar kurir atas khidmatmu. 😊 

Inilah buku pertama yang singgah ke rak saya pada bulan September. 

Sejujurnya, saya agak teruja apabila membuka bungkusan dan melihat kulit depannya buat pertama kali. Cantik! Ada sesuatu pada reka letak dan wajah P. Ramlee di kulit buku ini yang membuatkan saya berhenti seketika, sebelum perlahan-lahan membukanya. 

Buku ini merupakan buku keempat dalam koleksi saya yang berkaitan dengan penulisan mengenai P. Ramlee. Judulnya P. Ramlee Genius Seni Melayu, ditulis oleh Baharudin Ali Masrom Al-Haj, atau lebih dikenali sebagai Prof Bam, bersama Naizatul Hanim Abu Bakar. 

Naskhah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2025, dengan 298 halaman. Menariknya, buku ini diterbitkan dalam dua edisi - kulit keras dan kulit nipis. 

Edisi kulit keras memang cukup menggoda. Foto-fotonya berwarna penuh, dicetak pada kertas yang cantik dan tentunya memberikan pengalaman membaca yang lebih istimewa. Harganya pun sedikit lebih tinggi. 

Asalnya memang saya berhasrat untuk memiliki edisi kulit keras itu. Malangnya, ketika hendak membuat pembelian, stoknya sudah kehabisan. 

Tak mahu menunggu terlalu lama, saya akhirnya memilih edisi kulit nipis. Yang saya terima ini dihiasi foto-foto P. Ramlee dalam versi hitam putih. Ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki edisi yang dihajati. 

Tapi tak apalah.. 

Yang penting, sebuah lagi buku tentang P. Ramlee sudah menjadi sebahagian daripada koleksi. 

Menariknya, selain dihiasi dengan foto-foto, di dalam buku ini juga hampir setiap topik disertakan dengan rujukan berbentuk QR yang membawa kita kepada lirik lagi, petikan filem, dokumentari, petika pendapat dan wawancara baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. 

Di bahagian belakang buku ni tertulis bahawa kandungan naskhah ini merupakan kajian tentang sisi dakwah dan perjalanan hidup P. Ramlee yang dapat diteladani, dijadikan contoh serta sumber inspirasi. 

Dan benar, semakin kita mengenali P. Ramlee, semakin kita sedar bahawa beliau bukan sekadar seorang seniman yang menghiburkan. Beliau meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar filem, lagu dan lakonan. 

Ada pemikiran di sebalik karya-karyanya. Ada teguran. Ada nasihat. Ada kisah tentang manusia dan kehidupan. Dan mungkin itulah sebabnya karya beliau masih mampu menyentuh hati kita, meskipun zaman telah jauh berubah. 

P. Ramlee sudah lama pergi, tetapi suaranya masih tinggal. 

Lagu-lagunya masih berkumandang. Filem-filemnya masih ditonton. Dialog-dialognya masih disebut. Dan namanya masih disebut dengan penuh rasa hormat oleh generasi yang tidak pernah pun sempat mengenalinya ketika beliau masih hidup.  

Barangkali begitulah cara seorang seniman terus hidup selepas kematian bukan melalui jasad, tetapi melalui karya yang enggan mati. 

September baru bermula, dan sebuah lagi buku telah menemukan tempatnya di rak mini library saya. 

Mungkin suatu hari nanti, apabila usia semakin jauh meninggalkan hari ini, saya akan berdiri di hadapan rak itu, menyelak kembali helaian-helaian yang pernah dibaca. 

Dan ketika itu mungkin saya akan tersenyum sendiri.

Friday, 28 August 2026

Membedah P. Ramlee - Naskhah Pertama Yang Dimiliki

`Naskhah penulisan mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pertama saya beli` 

Buku ini merupakan naskhah pertama tentang P. Ramlee yang saya miliki. Sudah saya lupa bila membelinya, cuma saya masih ingat, buku ini sampai ke tangan saya melalui pembelian atas talian. 

Membedah P. Ramlee, judulnya sahaja sudah cukup membuat saya teruja. Naskhah tulisan Daniyal Kadir ini diterbitkan oleh DuBook Press, cetakan pertama pada tahun 2015 dan dengan helaian berjumlah 207 muka surat. 

"Membedah P. Ramlee" adalah buku yang mengupas tentang beberapa filem yang diarah dan dilakonkan oleh P. Ramlee semasa di Malay Film Production (MFP). Menurut penulis, filem-filem yang dihasilkan semasa di MFP memiliki nilai kritikan yang lebih tajam, matlamat pembikinan yang lebih hebat, tanpa menafikan hakikat kehebatan P. Ramlee pasca MFP

Buku ini memilih 15 buah filem P. Ramlee untuk “dibedah”, bukan sekadar dari sudut teknikal perfileman, seperti kaedah shot, suntingan, rekaan produksi atau sebagainya, tetapi meneliti karya P. Ramlee sebagai ciri lengkap dengan masuk ke dalam pemikiran P. Ramlee. Mengkaji pemikiran P. Ramlee telah menjadikan buku ini kekal relevan seribu tahun lagi (PRAKATA m/s 12)

Barangkali itulah yang membuat buku ini terasa berbeza. Kita bukan sekadar melihat P. Ramlee sebagai seniman yang menghiburkan, tetapi sebagai seorang pemikir yang menitipkan sesuatu tentang zamannya melalui filem dan watak-watak yang diciptakannya. 

Namun, yang paling lama melekat di hati saya bukanlah tulisan-tulisan tentang filem itu. Tetapi beberapa baris di kulit belakang buku: 

“Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakon lagi?” 

Lalu jawapan P. Ramlee yang begitu sederhana: “Saya dah tua, dah lama saya berlakon. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya saya pun semua dah kahwin, dah beranak dan dah sembahyang” 

Dan satu lagi kata-kata yang membuat dada terasa sempit: “Kalau P. Ramlee berlakon, siapa nak tengok. nanti budak-budak universiti tanya, apa kelulusan P. Ramlee tu?” 

Entah mengapa, membaca kata-kata itu hari ini terasa seperti mendengar suara seorang seniman yang perlahan-lahan menyedari bahawa zaman sedang meninggalkannya. Sedangkan setelah puluhan tahun beliau pergi, kita masih di sini, masih menonton, masih ketawa dan masih menangis bersama karya-karyanya. 

Mungkin itulah nasib seorang seniman besar. Perginya jasad, tetapi karyanya enggan mati. 

Sunday, 23 August 2026

Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee - Sebuah Naskhah yang Dinanti

`Naskhah ke 3 milik saya -  penulisan berkaitan P. Ramlee`

Akhirnya, sebuah naskhah yang dinanti telah selamat sampai ke tangan. “Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee”, yang dibeli secara atas talian melalui kedai DBPNiaga, sudah pun mendarat di rumah. Seperti biasa, ucapan terima kasih buat bradar kurir yang telah mengirimkannya hingga ke depan pagar dengan selamat. Jasamu ku kenang! 😄 

Beberapa naskhah yang lain masih dalam perjalanan. Mungkin esok, mungkin lusa, satu demi satu akan mendarat pula. Begitulah seronoknya menanti buku. Ada debar kecil setiap kali terdengar bunyi kenderaan berhenti di hadapan rumah. Seolah-olah ada sahabat lama yang sedang mengetuk pintu. 

Naskhah ini ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain (ketika itu belum SN), setebal 279 halaman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang membuatkan saya lebih teruja ialah kedudukan penulisnya yang bukan sekadar menulis tentang P. Ramlee dari jauh. 

SN Abdullah Hussain pernah bergaul rapat dengan P. Ramlee selama kira-kira sepuluh tahun, dari 1951 hingga 1961, malah kemudiannya bekerja di bawah penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. 

Justeru, naskhah ini terasa lebih dekat dengan sumber asalnya. Ia bukan semata-mata cerita yang dipungut daripada khabar orang, tetapi datang daripada seseorang yang pernah duduk dekat, mengenali dan menyaksikan sendiri sebahagian perjalanan hidup Seniman Agung itu. 

Dalam prakata, Abdullah Hussain menyebut bahawa bahan tentang kehidupan P. Ramlee bukan mudah diperoleh. P. Ramlee sendiri dikatakan tidak begitu gemar ditemu bual oleh wartawan tentang kisah hidupnya. 

Maka, cerita-cerita itu dikumpulkan sedikit demi sedikit,daripada percakapannya sendiri, daripada cerita yang terlepas tanpa ditanya ketika suasana hatinya baik, dan daripada sahabat-sahabat rapat yang sentiasa berada di sisinya. (halaman Sekadar Salam m/s v) 

Dan di situlah barangkali letaknya nilai naskhah ini. Ada cerita yang tidak tertulis dalam temu bual. Ada kisah yang hanya terbit daripada percakapan bersahaja. Ada kenangan yang keluar tanpa dirancang, ketika seseorang sedang mengenang masa lalu. 

Kadangkala, cerita yang demikianlah yang paling jujur. Saya percaya, apabila seorang penulis begitu dekat dengan subjek yang ditulisnya, tentu ada sisi-sisi manusiawi yang lebih mudah terlihat.

Bukan sekadar P. Ramlee sebagai bintang besar di layar perak, tetapi juga sebagai seorang manusia dengan suka dukanya, ketawa dan dukanya, impian dan kesunyian yang mungkin tidak pernah terlihat oleh jutaan mata yang memandangnya dari jauh. 

Kini naskhah ini sudah ada di tangan. Tinggal menunggu masa untuk dibuka dan diselak halaman demi halaman. Selebihnya, biarlah cerita-cerita lama itu membawa saya perlahan-lahan mengenali sosok Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dari sisi yang mungkin belum pernah saya kenali. 

Jom kita baca.. mana tahu, ada cerita lama yang mampu membuat kita tersenyum, dan mungkin juga terdiam seketika. 😊

Thursday, 30 July 2026

Titisan Darah.. menekuni sebuah naskhah perjuangan

Siapa yang tidak kenal dengan nama Zailiani Taslim? (semoga Allah mencucuri rahmat ke atas rohnya) 

Bagi generasi yang membesar dalam dekad 80-an dan 90-an, nama ini bukan sekadar sebaris tulisan pada kulit buku, tetapi sebuah kenangan yang hidup, yang pernah singgah dalam hari-hari muda yang sederhana. 

Beliau hadir sebagai sosok yang banyak menabur bakti dalam dunia kesusasteraan tanah air, khususnya melalui novel-novel remaja yang sarat dengan imaginasi dan nilai. 

Karya-karyanya merentasi pelbagai genre - daripada fiksyen sains yang mengajak kita berfikir di luar batas, kepada sejarah yang menghidupkan semula kisah silam, hinggalah kepada cerita kemasyarakatan yang dekat dengan denyut nadi kehidupan. 

Hari ini, saya kembali menekuni salah satu naskhahnya yang sekian lama diam tersimpan, namun tidak pernah benar-benar hilang dari ingatan. Pada helaian-helaian yang sudah dimamah usia itu, masih terperangkap harum kenangan, seolah-olah masa lalu perlahan-lahan bernafas semula di hujung jari. 

Titisan Darah.. karya Zailiani Taslim, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1987. Tidak tebal, cuma 178 muka surat, tetapi beratnya terasa di dada. 

Kisah Awang Saga dan rakan-rakan, jiwa-jiwa merdeka yang bangkit melawan penjajah. Kecekalan mereka bukan sekadar cerita.. ia adalah luka, adalah pengorbanan, adalah darah yang benar-benar menitis demi tanah yang mereka cintai. 

Pejuang seperti Awang Saga  banyak sekali berkorban demi kesejahteraan dan keamanan desanya, juga mengelakkan api persengketaan yang akan menjejaskan perpaduan. Dia sanggup menerima perlantikan Daim sebagai penghulu sedangkan dia adalah pewaris yang berhak. Dia juga difitnah sebagai pembelot..

Setiap kali membaca kisah perjuangan seperti ini, ada satu perkara yang tidak pernah berubah, pengakhirannya hampir selalu diselubungi duka. Seolah-olah sejarah sendiri berbisik, kemerdekaan itu mahal, dan harga yang dibayar bukan sedikit. 

Dan entah kenapa.. setiap kali sampai ke halaman terakhir, hati terasa sepi. Bukan kerana kisah itu berakhir.. tetapi kerana kita sedar, ada pejuang yang tidak sempat melihat fajar kebebasan yang mereka perjuangkan dengan seluruh jiwa.

Zailiani Taslim (26 April 1959 - 03 Februari 2016)

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan


Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Tuesday, 16 December 2025

Dalam Sunyi Malam, Saya Memilih Sebuah Kisah Lama

Saya membelek-belek buku yang tersusun di rak mini library saya. Mata melompat dari satu judul ke satu judul, hati pula berkira-kira, “Buku mana pula nak dibaca ni..?” 

Setelah puas memilih, akhirnya tangan saya berhenti pada sebuah buku nipis, sebuah novel sejarah bertajuk Darah Titik Di Semantan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986. 

Karya Arman Sani ini tidak tebal, hanya 152 muka surat, namun isinya cukup untuk memikul berat sebuah zaman. 

"Ia mengisahkan perjuangan anak bangsa menentang penjajah. Latar gelanggangnya di Pahang, dipimpin oleh Datuk Bahaman dan para pengikut setianya. Lawannya, para pegawai Inggeris yang melanggar perjanjian, merampas hak, dan menghina anak negeri dengan sikap angkuh serta tamak haloba." 

Selembar demi selembar, saya disentuh oleh kenyataan pahit yang tidak pernah bersisa daripada sejarah: 

"Dalam usaha menegakkan kebenaran, ujian datang bertindih-tindih. Ada yang menangguk di air keruh. Ada yang menjadi talam dua muka. Ada pula yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri kerana kepentingan diri yang sempit. Inggeris pula bijak bermain jarum, memecahbelahkan, memfitnah, dan meracik perpaduan rakyat sedikit demi sedikit." 

Saat saya menekuni bab terakhir, hati saya tiba-tiba dihimpit rasa sayu. Ada luka halus yang terbuka, bukan kerana cerita itu baharu selesai saya baca, tetapi kerana ia mengingatkan kembali betapa mahalnya harga sebuah perjuangan. 

Dan di antara sunyi malam yang menemani bacaan saya, saya terfikir: Demikianlah sejarah.. Kadang ia jauh di belakang, tapi gema perjuangannya tetap mengetuk dada hari ini.

Judul yang sama tetapi berlainan edisi

Monday, 8 December 2025

Kisah lama yang masih bernafas


Novel lama setebal 96 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak mengambil masa lama pun untuk saya khatamkan. Judulnya 'Kisah Di Sempadan', cetakan pertama tahun 1979, tulisan Nazel Hashim Mohamad. 

Sebuah cerita pengembaraan berlatar sempadan Malaysia–Negeri Thai, tentang sekumpulan pelajar yang akhirnya berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Kisah yang ringkas, tetapi tegang dan hidup, penuh ketekunan, kebijaksanaan dan keberanian. 

Buku-buku lama seperti ini membawa saya kembali ke zaman sekolah. Ada masanya saya jumpa di perpustakaan sekolah, ada ketikanya kakak-kakak saya yang meminjamnya di perpustakaan, lalu saya pinjam pula untuk dibaca. Dan saya, seperti biasa, akan membaca sepantas mungkin, sebelum buku itu dipulangkan semula. 

Entah kenapa, setiap kali membuka buku lama, terasa seperti membuka semula pintu kenangan. Ada bau nostalgia, ada gema suara masa lalu, dan ada saya yang kecil, duduk di beranda, membaca dunia yang tak pernah saya jejaki, tetapi tetap saya rindui.

Monday, 1 December 2025

Selesai bacaan 'Pelanduk Hutan Keningau'


Selesai saya menghadam sebuah novel nipis, hanya 122 halaman semuanya. Tak lama pun untuk dikhatam, tapi 'rasa' yang ditinggalkan.. panjang. 

Buku ini adalah antara buku lama yang saya miliki, cetakan pertama tahun 1989, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judulnya Pelanduk Hutan Keningau karya Mahmud Eddie, sebuah judul yang kedengaran sederhana, tapi rupanya menyimpan dunia kecil yang tidak dijangka. 


Kisahnya tentang tiga remaja — Tumin, Salbin dan Justin, yang mengembara ke pedalaman Sabah. Niat asal hanya mahu melihat pelanduk, sambil menimba pengalaman di hutan Keningau. Namun hutan tak selalu sekadar hijau dan tenang; kadang-kadang ia menyembunyika n sisi manusia yang lebih gelap. 

Penipuan dan kerakusan, rupa-rupanya, bukan hanya milik kota. 

Di dalam hutan belantara pun ia tumbuh diam-diam. 

Tumin, Salbin dan Justin, ditemani Suin dan abangnya, Mijan, akhirnya terperangkap oleh satu kumpulan yang jalankan kegiatan tersembunyi di tengah hutan. Dalam kekalutan, Justin dan Salbin berjaya meloloskan diri.. meski tidak sepenuhnya selamat. 

Salbin pengsan di tepi anak sungai. Justin pula sesat dalam hutan yang luas dan sunyi. 

Mijan, anak muda keturunan Murut pengsan dipukul kerana cuba melawan. 

Apakah sebenarnya dilakukan oleh kumpulan yang menawan Tumin dan rakan-rakannya? 

Saat saya membaca helaian demi helaian, saya seperti ikut berjalan bersama mereka. Dingin embun di hujung dedaun, bunyi serangga, dan rasa cemas yang tak menentu.. semuanya macam hidup kembali dalam imaginasi. 


Dan yang paling mencuit hati, halaman-halaman yang disertakan ilustrasi. Ilustrasi yang ringkas, gaya buku cerita zaman sekolah rendah dulu-dulu. Sekali pandang saja, terus saya terimbas kembali saat duduk bersila di kerusi kayu perpustakaan sekolah, baca buku tanpa sedar hari dah lewat. 

Ada sesuatu pada buku lama: bau kertasnya, nadanya yang jujur, dan kenangan yang datang tanpa disuruh. 

Begitulah Pelanduk Hutan Keningau buat saya, tipis saja, tapi penuh rasa. 

Kadang-kadang, buku kecil pun mampu membuka pintu memori yang besar.

Sunday, 23 November 2025

Entah berapa kali ulang, puluhan mungkin..

Terbitan 1985

Baru sahaja saya menutup halaman terakhir sebuah buku yang sangat dekat di hati "Jatuhnya Kubu di Jerampai", novel sejarah lama terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, cetakan pertama tahun 1985, tulisan Arman Sani. 

Entah kali ke berapa saya membacanya. Puluhan kali mungkin. Setiap kali habis, saya tetap rasa seolah-olah baru pertama kali mengenali watak-wataknya. 

Saya mula membaca buku ini sewaktu di perpustakaan sekolah rendah. Ketika itu, dunia saya tidak luas.. tapi buku-buku seperti inilah yang membuka pintu sejarah, membenarkan saya melangkah ke belantara Pahang abad ke-19 tanpa bergerak dari meja kayu di perpustakaan lama itu. 

Kisah dua jejaka yang menjadi penganiayaan Inggeris, Seisi kampung diusir ke pedalaman, keluarga menderita. Pasukan Inggeris tidak henti-henti mengacau, membunuh rakyat dan memusnahkan harta benda. Kemarahan itu menyatukan mereka dengan Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Nama-nama besar yang membakar semangat tanah air. 

Setiap halaman seperti membawa saya berjalan bersama mereka, merasakan debu, peluh, dan nyawa yang dipertaruhkan demi maruah bangsa. 

Bab akhir

Halaman terakhir (muka surat 123).. ah, sampai sekarang masih membuat saya hampir menitis air mata. Ada novel yang kita baca untuk hiburan, dan ada yang kita baca untuk mengenang. Yang ini.. jatuh dalam kategori kedua. 

Di usia sekarang, saya mula kembali mencari buku-buku lama yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak dan remaja saya. Judul-judul yang pernah saya baca sambil duduk bersila di lantai koridor luar kelas, atau sambil tunggu loceng balik sekolah. 

Tapi, mencari buku lama bukan kerja mudah. Nasib baik sekarang ada internet. Walaupun harga ada yang mencanak, biasalah barang koleksi, tetapi kadang-kadang jumpa juga penjual yang baik hati, dan harga pun jadi mesra poket. 

Alhamdulillah, banyak juga buku lama yang sudah berjaya saya kumpulkan semula. Namun, masih banyak judul yang sedang saya buru. Doakan saya berjaya mengumpul semuanya ya. 

Lepas ni.. buku mana pula yang akan saya baca? Tunggu dulu. Nanti saya kongsi.

Friday, 21 November 2025

Thank you.. aok sudi neman koi

'Salam Jumaat'

Pagi ini, di warung kecil yang masih berwap teh panas, ia muncul dengan langkah kecil dan mata yang bersinar-sinar. Tak semena-mena ia panjat kerusi sebelah aku, duduk sambil menjulurkan kepala. Matanya jernih. 

“Terima kasih.. mujur aok sudi teman koi makan. Kalau tak, sunyi pulak.” Aku bersuara perlahan, tapi renungannya cukup untuk buat hati aku lembut. 

Sesekali dia jeling aku menyuap nasi. “Aok lapar?” aku tanya. 

Ia diam. Malu-malu, mungkin

“Tak apa.. nanti koi belanja aok ayam goreng. Tapi tak boleh makan sini.. nanti tuan kedai bising.” 

Aku menunjuk bawah meja. 

“Aok makan kat bawah.” Ia segera menurut. 

Aku ketawa kecil. Begitulah kisah sarapan pagi ini, ditemani makhluk kecil yang polos, yang tak minta apa-apa.. cuma sedikit perhatian.

Dan dalam hati, aku bersyukur. 

Kadang-kadang, teman sekecil itulah yang menghilangkan sunyi.

Saturday, 15 November 2025

Coretan pagi Sabtu yang dingin

'Menekuni lembaran demi lembaran yang mengenyangkan minda'

Hasrat hati nak buat brisk walk pagi ini. Tapi hujan renyai yang turun sebaik sahaja selepas subuh seakan memegang tangan dan berkata, “Rehatlah dulu.” 

Jadi, pagi ini aku biarkan sahaja ritma hujan menepuk lembut atap rumah. Dengan secawan minuman panas di sisi, aku menyelak kembali naskhah yang sudah lama setia dalam simpanan, “MALACCA HAS FALLEN – Keruntuhan Sebuah Empayar Agung”, terbitan 2019. 

Entah bagaimana, aku boleh tenggelam sampai ke muka surat 206 tanpa sedar masa bergerak. Lembaran demi lembaran dihadam mengenyangkan minda. 

Di celah-celah helaian sejarah itu, tiba-tiba terlintas tentang siri imaginasi PENGEMBARAAN MASA ABAD ke-15 - yang telah berhenti pada Part 6 - baca. 

Terdetik juga soalan yang tak pernah terjawab: Perlu ke aku sambung? Ada ke orang nak baca? Atau sebenarnya aku ni syok sendiri je.. 😊 

Tapi, begitulah kan.. Ada cerita yang hidup bukan kerana ramai yang membaca, tetapi kerana hati sendiri terasa ingin bercerita.

Friday, 14 November 2025

Hadiah daripada anakanda


Mr. kurier datang dengan senyum nipisnya, menghulurkan satu bungkusan berat yang dibalut kemas. Saya ucapkan terima kasih, seolah-olah rasa syukur itu tak habis-habis mengalir. 

Rupa-rupanya ia adalah parcel, 'hadiah' daripada anak saya yang sedang menuntut di UITM. Bungkusan itu menampakkan isinya. Empat naskhah buku elok terikat berada tangan saya. 

Saya menghubungi beliau menerusi aplikasi vc. 

"Guna baucer.." terangnya.

“Kenapa tak beli buku untuk pengajian?” saya bertanya sambil membelek bungkusan. 

“Untuk belajar guna online.. ebook..” jawabnya, selamba seperti biasa. 

Saya tergelak kecil. “Zaman abi dulu senget bahu pikul beg. Zaman kamu, bawa tablet je sekeping..” Dia angguk kepala, senyum di hujung bibirnya menguntum. 

Katanya lagi, dia sebenarnya dah beli beberapa novel kesukaannya, rupanya ada lebihan baucer yang kawan hadiahkan. “Dia tak minat membaca. Jadi tak tahu nak beli buku apa..” tambah anak saya. 

Saya hanya mengangguk. Diam-diam saya tersentuh. Dalam banyak pilihan, dia pilih untuk mengisi ‘kelebihan’ itu dengan hadiah untuk ayahnya.. hadiah untuk penyakit saya yang paling kronik, sejarah. 

Akhirnya empat buku itu kini berada dalam genggaman: 

• Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 1

 • Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 2 

• Misteri Taming Sari 

• Pertempuran di Hutan 

Semua genre sejarah. Semua yang seakan memanggil nama saya sejak lama. Anakanda saya memang sudah maklum, minat saya terhadap sejarah ini bukan sekadar hobi, tapi satu ketagihan yang sudah sebati dengan darah dan tulang. 

Saya menatap keempat-empat buku itu. Entah kenapa, hati saya terasa penuh. Bukan kerana judulnya yang menarik, tetapi kerana fahamnya dia akan jiwa seorang ayah yang selalu tenggelam dalam kisah bangsa sendiri. 

Kadang-kadang, hadiah bukan sekadar barang. Ia adalah petanda bahawa seseorang memahami kita lebih dalam daripada kata-kata. 

Dan hari ini, saya menerima bukan empat buku, tapi empat rasa kasih dalam bentuk yang paling sunyi dan indah.

Monday, 27 October 2025

Makan aiskrim malam di Mixue

Setiap hari bila pulang dari kerja, saya akan melalui deretan kedai moden yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Mixue, Momoyo, dan macam-macam lagi. Tak jauh pun dari rumah, berjalan kaki pun belum sempat berpeluh. 

Tapi entah kenapa, tak pernah lagi terlintas nak singgah. Mungkin sebab jiwa masih pekat dengan cara hidup generasi X — minum teh panas lebih nikmat daripada makan aiskrim malam-malam. 

Tapi malam ini lain ceritanya. Anak-anak bersungguh-sungguh mengajak saya dan Ummu Ikhwan ke Mixue. “Makan aiskrim malam-malam?” saya separuh bergurau. Terus teringat zaman kecil dulu, pantang arwah mak nampak kami makan aiskrim waktu malam, katanya “nanti batuk!” Nak makan, tunggu siang esok. 

Aiskrim dulu pun bukanlah sehebat sekarang; cuma ais batu dalam plastik panjang, berperisa sirap, oren, atau jagung, atau perisa bubur kacang. Orang kampung panggil “aiskrim Malaysia.” Tapi nikmatnya, aduh.. tak ada tandingan. 

Akhirnya malam ini saya dan Ummu Ikhwan akur juga dengan ajakan anak-anak. Lagipun, bukan selalu dapat duduk bersama sambil bergelak kecil, menikmati manisnya aiskrim dan lebih manis lagi, masa bersama keluarga. 

“Oh ya, kamu tolong order ya.. Abi dan Ummi ikut aje.” 

Di meja itu, sambil menyedut aiskrim perisa mangga lembut, saya sempat tersenyum sendiri. Zaman berubah, citarasa berubah, tapi kasih dalam keluarga tetap manis, tak pernah cair ditelan waktu.

Perisa mangga

Tuesday, 12 August 2025

Menyusun Semula Masa Membaca

Ada masa, buku-buku di rak hanya menjadi hiasan sunyi. Debu yang menempel bukan salah mereka, tetapi kerana aku membiarkan waktu mengalir tanpa sempat membuka halamannya. 

Hari ini, aku mahu mengubah itu. Aku mahu duduk semula di meja, atau di sudut jendela yang pernah menjadi teman senja, membuka helaian demi helaian, dan membiarkan setiap ayat meresap ke dalam hati. 

Membaca bukan sekadar mengisi pengetahuan, tetapi menghidupkan semula jiwa yang letih, menyambung kembali benang-benang fikir yang pernah terputus. 

Namun aku tahu, keinginan saja tidak cukup, aku perlu memotivasi diri untuk konsisten. Mungkin aku akan bermula dengan buku-buku kecil, nipis, dan ringan isinya, sekadar tonik perangsang untuk membiasakan kembali jemariku menyelak halaman, dan mataku menari di atas baris-baris huruf. 

Setelah membelek buku-buku yang tersusun di rak, akhirnya aku memilih sebuah buku nipis yang pada hematku sesuai dijadikan permulaan, buku berjudul Anak Watan tulisan Resat Salleh, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986, dengan bilangan mukasurat sebanyak 108. 

'Buku lama DBP, beli melalui online, mengembalikan nostalgia zaman sekolah rendah'

Kulitnya sudah sedikit pudar dimamah masa, namun baunya, bau kertas lama yang mengandungi seribu kenangan, membawa aku kembali kepada era di mana cerita disampaikan dengan jujur, di mana bahasa Melayu mengalir lembut seperti sungai di kampung, dan semangat cinta tanah air terselit di setiap ayatnya. 

Ada sesuatu pada judul dan tahun terbitnya yang terasa seperti bisikan masa lalu, mengajak aku menyelami kisahnya sambil perlahan-lahan menghidupkan kembali minat membaca yang pernah aku miliki. 

InsyaAllah, selepas ini aku akan cuba menulis ulasan bagi setiap buku yang aku baca, bukan sekadar untuk mengingati isinya, tetapi untuk merakam perjalanan hati dan fikiran yang ku lalui bersama setiap helaian, supaya kelak, aku dapat kembali menelusuri jejak bacaan itu seperti menjejak langkah di jalan kenangan. 

Aku mahu mengatur masa seperti menyusun manik-manik doa, satu demi satu, hingga terjalin kalung indah bernama tabiat membaca. Kerana di setiap buku, ada dunia yang menunggu untuk aku jelajahi, dan aku tidak mahu lagi membiarkan mereka menunggu terlalu lama.

Tuesday, 22 July 2025

Di Hadapan Deretan Buku..


Aku merenung rak buku yang kian padat. Deretan naskhah tersusun rapat, ada yang sudah lama tidak disentuh, ada yang masih berbalut plastik sejak dibeli. Anggaranku, mungkin mencecah ribuan judul. 

Dari buku-buku agama yang menenangkan jiwa, novel yang membawa terbang ke dunia fiksi, catatan travelog yang mengembara tanpa bergerak, motivasi yang membakar semangat, kisah mistik dan horror yang sering kutatap tika lewat malam, hinggalah ke genre sejarah yang paling banyak menghuni rak, penuh kisah silam yang menjadi cermin masa depan. 

Sejarah... itulah cinta pertama yang aku kenali sejak kecil. Ketika rakan-rakan sebaya bermain di halaman, aku sudah tekun membelek buku teks abang dan kakak. Tiada siapa memaksa, tiada hadiah yang dijanjikan. Cuma rasa ingin tahu yang bergelora dalam dada seorang anak kecil. 

Dek kerana terlalu obses dengan buku dan membaca, setiap bulan, aku pastikan ada sekurang-kurangnya satu buku baharu menghuni ruang rak, bagaikan hadiah kecil untuk jiwa yang dahagakan ilmu. 


Namun, masa kini semakin laju berlari. Usia makin bertambah, tetapi masa untuk membaca makin menipis. Kesibukan kerja, tanggungjawab yang menimbun, keletihan tubuh yang tidak lagi sekuat dahulu, semuanya menjadi alasan yang membatasi aku dari berdamai dengan minat lamaku ini. 

Sesekali, aku duduk membelek kembali helaian lama. Bau kertas yang pudar masih menggamit kenangan. Ada catatan tangan yang pernah kutulis di tepi margin. Ada cebisan kenangan bersama setiap buku, seolah-olah aku pernah hidup dalam setiap halaman itu. 

Buku-buku itu seperti sahabat lama. Mereka menunggu aku tanpa merungut. Dan aku... masih percaya, satu hari nanti aku akan kembali duduk diam bersama mereka. Kerana cinta yang sebenar tak pernah padam, ia cuma berehat sebentar, menunggu masa yang tepat untuk kembali menyala.

Wednesday, 1 May 2019

Dah sampai pun..

'satu lagi untuk koleksi'

Alhamdulillah, thumma innal hamdalillah.

Dah pun sampai. Tengahari semalam encik posmen menyerahkannya di hadapan pintu pagar. Teruja, gembira, besar hati dan bermacam-macam lagi perasaan yang positif. Buku 'MAHKOTA RATU - Antologi Cerpen Karyawan Wanita' telah berada di tangan saya. Hadiah daripada sahabat blogger yang sangat saya hormati dan kasihi iaitu akak Paridah Ishak. (http://karyaku-paridahishak.blogspot.com/) 

Buku yang setebal 188 mukasurat ini telah 'digigihsempurnakan' oleh 20 karyawan wanita terpilih termasuk akak Paridah. Diselenggarakan oleh Tunku Zarita Tunku Mohd Mokhtar dan Sabariah Nor Salleh dan diterbitkan oleh BAHTERA PUBLISHING. Manakala di kulit belakang antologi cerpen disenaraikan judul cerpen bersama penulisnya.    

Sememangnya 'hantu buku' seperti saya amat teruja apabila menerima hadiah buku daripada seseorang. Bagi saya buku adalah harta yang tidak ternilai harganya. Justeru, saya telah menyediakan satu ruang untuk dijadikan perpustakaan mini bagi menyimpan koleksi buku yang telah pun mencecah ribuan naskah itu. Percaya atau tidak, buku di zaman bersekolah rendah dulu masih lagi tersimpan kemas, Teringat kata murabbi saya di zaman belajar dulu, "Biar miskin bercincin besi, bergadai buku tidak sekali".

Buku hadiah akak Paridah belum sempat lagi dibaca sepenuhnya, cuma sepintas lalu saya membelek-belek dan membaca beberapa perenggan. Insya-Allah, akan saya cuba hadamkan secepat mungkin dari kulit ke kulit, dari huruf pertama hinggalah ke titipan huruf terakhir. Akan saya cari apa erti dan makna yang tersurat dan tersirat di dalam buku ini.

Untuk akak Paridah, ucapan terima kasih 'daun keladi' di atas hadiah yang amat besar maknanya bagi saya. Moga rahmat Allah SWT sentiasa tercurah buatmu akak Paridah.    

Sunday, 29 July 2018

Falsafah Hidup


Dengan perjuangan kita dilahirkan. Di dalam gerak tangis kita mulai membuka mata. Di dalam bedungan ibu kita menggerakkan badan melepaskan ikatan bedung. Lepas dari asuhan ibu, kita merangkak, kita ansur tegak dan kita jatuh, lalu kita tegak lagi dan jatuh lagi. Kemudian tegak terus untuk pergi berjuang ke medan permainan, lalu ke medan hidup, lalu ke perjuangan dalam batin kita sendiri, menegakkan yang baik dan melawan yang buruk. 

Selama hidup kita kerjakan demikian, menjalankan titah perintah Tuhan Yang Maha Esa. Berapa pun yang dapat kita kerjakan, harus kita syukuri. Setiap hari atau masa kita hitunglah laba dan rugi. Sampai kelak datang panggilan. Panggilan yang tidak dapat ditakhirkan walau satu saat dan tak dapat pula ditaqdimkan walaupun satu saat. Panggilan yang tak dapat dielakkan oleh setiap yang bernyawa. 

Maka terbukalah pintu kubur. Maknanya pindahlah kita dari hidup fana kepada hidup baqa, dari hidup dunia kepada hidup akhirat. Demikianlah kita menempuh hidup; lahir, berjuang dan akhirnya mati. Betapa juapun kita harus percaya, bahawa kebaikan juga yang menang. Sebab asal-usul kejahatan kita bukan jahat, hanya baik semata. Kalau kejahatan pernah menang, hanyalah lantaran dorongan nafsu. Bila nafsu telah reda, kebaikan jualah yang kita junjung. Sebab itu hendaklah kita percaya hidup penuh dengan Iman dan baik sangka kepada Tuhan. Itulah Falsafah Hidup.

Tajuk: Falsafah Hidup
Penulis: Prof Dr Hamka
Penerbit: Pustaka Dini
Cetakan: 2007
Harga: RM30.00
Mukasurat: 334

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhan-mu yang telah menciptakan."

Saturday, 19 May 2018

Himpunan Soal-Jawab Puasa


Setiap amalan anak Adam itu ada ganjaran pahala yang ada hadnya, kecuali puasa. Sesungguhnya puasa itu untukKu, dan Akulah yang akan memberikan balasannya." (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Puasa adalah sebahagian daripada ibadah. Puasa ada berbagai-bagai jenis. Ada puasa wajib seperti puasa di bulan Ramadan, puasa qada, puasa kafarah, puasa nazar dan ada juga puasa sunat seperti puasa Isnin dan Khamis, puasa hari putih iaitu 13, 14 dan 15 haribulan qamari dan banyak lagi. Puasa sebenarnya cukup sinonim bagi umat Islam dan antara ibadah yang paling disukai Allah. 

Walau bagaimanapun, sebelum berpuasa, penting bagi umat Islam mengetahui syarat-syarat mencapai matlamatnya, bermula dari sah dan batal hingga kepada perkara yang remeh seperti perkara-perkara sunat yang dibuat tetapi mencapai ganjaran yang cukup besar. 

Buku Himpunan Soal Jawab Puasa adalah himpunan soal jawab daripada kebanyakan soal jawab yang sering menjadi persoalan di kalangan umat Islam. Setiap soalan diambil dan ditapis baik daripada pandangan ulama tradisional mahupun persoalan-persoalan yang terkini dan kontemporari. 

Tajuk: Himpunan Soal-Jawab Puasa
Penyusun: Ahmad Adnan Fadzil & Zulkarnain Dollah
Penerbit: PTS Media Group
Mukasurat: 112
Harga RM4.50

"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"