Sahabat Sejati

Showing posts with label ramadhan. Show all posts
Showing posts with label ramadhan. Show all posts

Sunday, 8 March 2026

Jangan kita sia-siakan peluang..

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di dalam Ramadan berlalu dengan begitu diam. Tidak berbunyi, tidak juga terasa derap langkahnya. Tiba-tiba sahaja kita tersedar.. hari ini Ramadan telah pun memasuki hari yang ke-18. 

Seakan baru semalam kita menyambut kedatangannya dengan rasa syukur dan harapan. Namun masa tidak pernah berhenti. Ia terus berjalan, membawa bersama hari-hari yang semakin berkurang daripada bulan yang penuh keberkatan ini. 

Mudah-mudahan Allah SWT masih memanjangkan usia kita untuk meniti baki Ramadan yang masih tersisa. Mudah-mudahan setiap amal yang kecil, setiap doa yang kita titipkan di hujung malam, setiap istighfar yang terbit dari hati yang penuh kekurangan, diterima oleh-Nya sebagai bekalan yang berharga. 

Namun di celah-celah keheningan Ramadan ini, hati kadangkala tersentuh mengenang mereka yang telah pergi lebih dahulu. 

Ada yang meninggalkan dunia ini sebelum sempat menyapa Ramadan kali ini. Ada juga yang melalui Ramadan yang lalu tanpa pernah menyangka bahawa itulah Ramadan terakhir dalam hidup mereka. 

Tahun lalu mereka masih bersama kita, duduk di saf yang sama ketika tarawih, berbuka di meja yang sama, atau sekadar bertanya khabar di penghujung petang. 

Hari ini, mereka sudah berada di alam yang berbeza. 

Hanya doa yang mampu kita kirimkan. Mudah-mudahan Allah SWT melimpahkan rahmat dan keampunan-Nya kepada mereka, melapangkan kubur mereka, dan menempatkan mereka dalam reda serta kasih sayang-Nya. 

Dan kita yang masih diberi kesempatan ini.. perlahan-lahan bertanya kepada diri sendiri. 

Bagaimana dengan kita? 

Siapa yang dapat memastikan bahawa kita akan sempat sampai ke penghujung Ramadan ini? Siapa juga yang mampu menjamin bahawa Ramadan tahun hadapan masih menjadi milik kita? 

Mungkin Ramadan kali ini adalah yang terakhir buat kita.. tanpa kita sedari. 

Atau mungkin juga kita tidak sempat menghabiskannya, kerana ajal terlebih dahulu menjemput sebelum bulan yang mulia ini melabuhkan tirainya. 

Sebab itu, selagi nafas masih di dada.. selagi malam-malam Ramadan masih terbentang.. selagi pintu rahmat dan keampunan masih terbuka.. 

Jangan kita sia-siakan peluang yang sedang Allah hamparkan ini. 

Kerana mungkin.. di antara Ramadan yang pernah kita lalui sepanjang hidup ini, inilah yang terakhir.

Friday, 27 February 2026

Tubuh Yang Tewas, Jiwa Yang Terjaga

05 Ramadan 1447H - Melepek. Bukan melepak.

Hari ini aku melepek di perbaringan. Demam urat, batuk dan selsema datang menziarah tanpa jemputan. 

Kebelakangan ini, setiap kali pulang dari misi seberang laut, beginilah jadinya. Tubuh ini seperti menuntut haknya. Seakan berkata, “Aku bukan lagi seperti dahulu.” Akur. Usia tidak pernah menipu. Kudrat tidak lagi sama seumpama dulu. 

Namun dalam lemah itu, ada satu rasa yang tidak pernah lemah, iaitu rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk berkhidmat. 

Aku sedar, misi kemanusiaan bukan tentang menjadi kuat sepanjang masa. Ia tentang memberi walau dalam keterbatasan. Tentang hadir walau diri sendiri belum sempurna. Dan mungkin inilah pelajaran terbesar Ramadan kali ini, bahawa kekuatan sebenar bukan pada tubuh yang tidak pernah sakit, tetapi pada hati yang tidak pernah jemu untuk peduli. 

'Masjid Desa Pante Beureune, di Kecamatan Meurah Dua, Kabupaten Pidie Jaya yang dijadikan posko agihan sembako dan uang tunai kepada setiap keluarga. Puing-puing banjir masih kelihatan' 

Jika suatu hari nanti kaki ini tidak lagi mampu melangkah jauh, biarlah doa tetap mampu terbang lebih jauh daripada pesawat yang pernah aku naiki. Kerana akhirnya, yang kekal bukan perjalanan, bukan pujian, bukan gambar-gambar yang sempat dirakam, tetapi kesan kecil yang kita tinggalkan dalam hidup orang lain. 

Dan andai tubuh ini semakin menua, biarlah jiwa terus muda dalam berbuat baik.. 

Penafian: Tulisan ini bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah, sebaliknya sekadar berkongsi pengalaman dan pengajaran(jika ada). Mohon maaf sekiranya timbul salah tafsir di pihak pembaca.

Tuesday, 24 February 2026

Pulang Dengan Jiwa Yang Tidak Lagi Sama

04 Ramadan 1447H

Alhamdulillah. Kaki ini akhirnya menjejak kembali bumi 'Malaya' yang bertuah. Menamatkan musafir ke tanah jiran serumpun. 

Bermula di Aceh Tamiang, kemudian pulang seketika melepas rindu pada keluarga, kemudian terbang kembali menyambung tugas di Aceh, tetapi lokasinya di Pidie Jaya pula. Ia bukan perjalanan yang dekat. Bukan juga perjalanan yang ringan. Ia jauh dari segi jarak, dan lebih jauh lagi dari segi rasa. 

'Sebuah rumah yang telah dibuang lumpur sekelilingnya, tetapi tatkala hujan ia digenangi air pula. Lihat paras lumpur pada dindingnya'

Aku sempat menyambut Ramadan beberapa hari di bumi Aceh. Berpuasa di tanah yang baru saja diuji. Berbuka dengan wajah-wajah yang masih menyimpan luka. Ada perbedaan budaya yang aku raikan iaitu cara mereka menyambut Ramadan, berterawih dan sebagainya. Namun di sebalik semua perbezaan itu, satu perkara terasa sama: iman yang bertahan walau dunia runtuh seketika. 

Ramadan di sana mengajarku sesuatu, bahawa lapar itu bukan sekadar menahan diri daripada makan dan minum, tetapi memahami perut-perut yang kosong bukan kerana pilihan, tetapi kerana keadaan. 

'Seorang bocah dihadapan rumahnya. Perhatikan lumpur yang hampir mencecah bumbung dan sudah pun mengeras'

Berbagai pengalaman terpahat di hati. Bau lumpur yang masih teringat, suara kanak-kanak yang tetap ketawa walau rumahnya hilang, wajah-wajah tua yang tidak pernah berhenti mengucap “Alhamdulillah”. Semua itu tidak akan hilang. Ia sudah menjadi sebahagian daripada aku.

Saturday, 8 April 2023

Thursday, 6 April 2023

Ngomelan 15 Ramadan 1444

foto hiasan (sumber)

 Sukar untuk saya gambarkan perasaan ketika ini. Semuanya tergaul sebati bercampur rasa. Namun, tidak lupa untuk saya panjatkan ucapan memuji-Nya. Syukur kepada-Mu Tuhan. Ya, saya punya alasan untuk berkata demikian. Mengapa? 

Dengan kesantunan dan kasih sayang-Nya, masih mengizinkan saya untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini. Walaupun tiada jaminan mampu menghabiskan sehingga ke penghujungnya, namun peluang bertemu Ramadan tahun ini, adalah satu nikmat yang sangat disyukuri. 

Tidak pernah sesekali terlupa, bahawa kematian seringkali mengintai-ngintai tanpa lalai di setiap saat. Bahkan disebutkan di dalam hadis baginda yang mulia, dalam sehari 70 kali malaikat maut mengunjungi. Moga saya berjaya mengharungi Ramadan hingga ke akhirnya.

Hari ini kita telah memasuki 15 Ramadan. Bagaikan tidak tersedar cepatnya masa berlalu. Pejam dan celik, tinggal lagi separuh Ramadan akan berakhir. Bagaimana agaknya kualiti puasa kita setakat ini? Puasa yang menatijahkan taqwa atau hanya bernilai lapar dan dahaga. Pertanyaan ini lebih menjurus kepada diri saya sendiri. 

Masa yang masih berbaki ini, marilah kita jadikan medan untuk muhasabah diri tentang ibadat yang telah dilakukan. Peluang untuk melakukan kebaikan masih terbentang luas di depan mata. Marilah kita beriltizam dan beristiqamah untuk menggandakan amalan dan mengharapkan pahala disisi-Nya.

Thursday, 23 March 2023

Selamat datang bulan yang dilimpahi keberkatan

 
Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, telah difardhukan ke atas kamu berpuasa, sebagaimana ia telah difardhukan ke atas orang-orang sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu beroleh taqwa." (al-Baqarah: 183)

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Semoga sepanjang Ramadhan yang dilalui ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah.

Kita telah diberi kesempatan dan peluang untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini, maka gunakanlah anugerah Allah ini dengan bersungguh-sungguh mengisi waktu dengan ibadat dan amalan yang soleh. Mudah-mudahan tatkala tiba penghujungnya nanti, kita keluar dengan hati yang suci bersih seumpama bayi yang baru dilahirkan. Begitulah pengharapannya. 

Mohon maaf atas kekhilafan yang ada, lisan dan ucapan yang tidak terjaga serta hati yang selalu berprasangka.

Sunday, 3 April 2022

Ramadhan 1443H - Selamat mencari taqwa!

sumber foto

 Marhaban ya Ramadhan..

Di kesempatan yang terluang, ini saya ingin mengucapkan selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan sepanjang Ramadhan ini kita semua sentiasa dilimpahi rahmah dan barakah. 

Dari Ubadah bin Shamit, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan keberkatan, Allah mengunjungimu pada bulan ini dengan menurunkan rahmat, menghapuskan dosa-dosa dan mengabulkan doa. Allah melihat berlumba-lumbanya kamu pada bulan ini dan membanggakanmu kepada para malaikat-Nya, maka tunjukkanlah kepada Allah hal-hal yang baik dari dirimu. Kerana orang yang sengsara ialah yang tidak mendapat rahmat Allah di bulan ini.” (Riwayat at-Thabrani) 

Sesungguhnya puasa Ramadhan bukan sekadar menahan lapar dan dahaga. Puasa Ramadhan adalah proses melatih kita mengawal diri. 

Kita tidak makan bukan kerana tiada makanan. Kita tidak minum bukan kerana tiada minuman. Kita tidak makan dan minum kerana mentaati perintah Allah SWT, walaupun ketika itu kita mempunyai segudang makanan dan minuman. Itulah latihan mengawal diri. 

Penuhi siang dengan kebaikan sesama manusia 

Isikan malam dengan mengharap kebaikan daripada Allah. 

Selamat mencari taqwa!

Thursday, 22 April 2021

Mana nak cari...

 Buah melaka 2021...

Friday, 16 April 2021

Persoalan puasa (2)

1 - Soalan: 

Bagaimana kes pesakit buasir? Adakah batal puasanya? 

Jawapan: 

Lelaki atau perempuan yang terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf menambah, yang mengharuskan berbuka dan hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dii’timadkan oleh al-Azraie. Saya (peng.) bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh al-Baghawi, al-Hawarizmi dan al-Azraie kerana orang ini dari sudut yang lain adalah sihat. 

 

2 - Soalan:

Apakah hukum menggunakan eye-mo? 

Jawapan:

Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini kerana ia tidak mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya ia adalah keperluan untuk kesihatan. 

 

3 - Soalan:

Apakah hukum suntikan melalui urat dan bukan melalui rongga terbuka? 

Jawapan:

Suntikan melalui urat tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa. 

Dalam hal ini, Ijmak ulama masa kini bahawa suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Fiqh al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi. 

Ini berbetulan dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan uat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak termasuk dalam anggota rongga terbuka.” Saya (peng.) menyokong pendapat ini.

Haa....tak pose..!

 

Monday, 5 April 2021

Persoalan puasa (1)

1 - Soalan: 

Apakah hukum memakan pil kecil diletak di bawah lidah untuk orang yang gila atau sakit jiwa? 

Jawapan: 

Orang yang gila atau sakit jiwa yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini, sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal.73). Walaupun begitu, amat perlu ditanya kepada pakar perubatan untuk mengetahui implikasi dan kesan jika mengambil atau tidak ubat tersebut. 

 

2 - Soalan: 

Apakah hukum berbekam pada masa puasa? 

Jawapan: 

Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadan menjadi khilaf. Yang masyhur dalam kalangan ramai sahabat dan tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas R.A melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam R.A, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecualai Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. 

Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66). Saya (peng.) lebih cenderung kepada pendapat supaya tidak berbekam ketika berpuasa untuk keluar dari sebarang khilaf. 

 

3 - Soalan 

Apakah hukum meletakkan minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit.

Jawapan: 

Meletakkan atau melumuri minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya, tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain Makhluf (Mantan Mufti ad-Diyar al-Misriyyah). Saya (peng.) sependapat dengan fatwa mantan Mufti Mesir ini. Ini kerana ia termasuk dalam darurat dan bukan bersifat makan dan minum.

Tuesday, 5 May 2020

Alhamdulillah, masih di Ramadhan ini..

Adalah sebuah kurniaan besar oleh Allah kepada kita apabila masih dipanjangkan umur untuk bertemu lagi Ramadan kali ini. Rasulullah saw mengajar kita supaya memohon kepada Allah supaya dikurniakan bertemu dengan Ramadan setiap kali masuknya bulan Rejab lagi. 

Rasulullah saw berdoa:

Ya Allah, berkatilah kami dengan bulan Rejab, dan Sya'ban, serta sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan" (Riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi) 

Di kala seronoknya kita hendak menyambut Ramadan di waktu Pandemik COVID19, sedarkah kita bahawa Allah sedang menguji persaudaraan kita sesama Muslim serta rakan-rakan kita yang belum Muslim? 

Rasullah saw menyebut: 

Bukan orang yang beriman jika dia dalam keadaan kenyang, sementara tetangga sebelahnya kelaparan." (H.R. al-Hakim dan al-Baihaqi) 

Ujian COVID19 benar benar menguji kebergantungan kita kepada Allah SWT. Ada kalanya kita putus harapan disebabkan kehilangan sumber rezeki apabila kita berasa bahawa rezeki itu datangnya daripada manusia. 

Ketahuilah, antara amaran yang Rasulullah saw sebut tadi tersirat kepertanggungjawaban di dalam amanah sosial dan kewangan yang Allah kurniakan kepada kita. 

Bantulah semampu yang boleh jiran sahabat sekeliling kita yang diuji supaya kita tergolong bersama Nabi di akhirat nanti. 

Ramadhan adalah bulan penuh keberkatan, bulan saling berkasih sayang sesama Muslim dan bulan untuk melipatgandakan pahala kita.

Friday, 24 April 2020

ADAKAH BERSAHUR SUDAH DIKIRA NIAT PUASA?

SOALAN:

Ada orang kata kalau kita bangun makan sahur maka tidak wajib lagi niat puasa kerana makan sahur sudah dikira sebagai niat puasa. Mohon penjelasan.

JAWAPAN :

Ulamak berselisih pada masalah seorang yang makan sahur adakah dikira sudah berniat puasa dan tidak lagi dia perlu berniat seperti biasa sebelum dia tidur atau selepas dia makan sahur. 

Sebahagian fuqahak berkata makan sahur semata-mata tidak dikira telah berniat puasa. 

Berkata Imam Al-Mutawalli :

 لَوْ تَسَحَّرَ لِيَقْوَى عَلَى الصَّوْمِ أَوْ عَزَمَ فِي أَوَّلِ اللَّيْلِ أَنْ يَتَسَحَّرَ فِي آخِرِهِ لِيَقْوَى عَلَى الصَّوْمِ لَمْ يَكُنْ هَذَا نِيَّةً لِأَنَّهُ لَمْ يُوجَدْ قَصْدُ الشُّرُوعِ فِي الْعِبَادَةِ 
Artinya : “Jikalau seorang itu bersahur supaya kuat berpuasa atau berazam pada waktu malam untuk bangun makan sahur di akhir malam nanti supaya kuat atas mengerjakan puasa nescaya tidak menjadi niat kerana sungguhnya tidak ada qasad pada syarak mengerjakan ibadah.” Dan sebahagian fuqahak mengatakan makan sahur sudah menjadi niat puasa. 

Berkata Imam Ar-Rauyani :

 أَنَّهُ لَوْ قَالَ أَتَسَحَّرُ لِلصَّوْمِ أَوْ أَشْرَبُ لَدَفْعِ الْعَطَشِ نَهَارًا أَوْ امْتَنَعَ مِنْ الْأَكْلِ وَالشُّرْبِ وَالْجِمَاعِ مَخَافَةَ الْفَجْرِ كَانَ ذَلِكَ نِيَّةً لِلصَّوْمِ 
Artinya : Sungguhnya jikalau seorang berkata aku bersahur untuk puasa atau aku minum air supaya tidak dahaga esok harinya atau seorang itu tidak mahu makan atau minum atau jimak sebab bimbang ia masuk waktu subuh nescaya adalah demikian itu dikira niat bagi puasa.” 

Dan syarat bersahur itu menjadi niat puasa ialah jika hadir didalam hatinya kerana berpuasa atau supaya kuat badannya atas berpuasa atau seumpamanya dari lintasan yang menunjukan makan sahurnya itu kerana puasa. 

Berkata Imam Ar-Rafi’ie :

 وَهَذَا هُوَ الْحَقُّ إنْ خَطَرَ بِبَالِهِ الصَّوْمُ بِالصِّفَاتِ الْمُعْتَبَرَةِ لِأَنَّهُ إذَا تَسَحَّرَ لِيَصُومَ صَوْمَ كَذَا فَقَدْ قَصِدَه 
Artinya : Inilah yang benar jika hadir pada hatinya hendak berpuasa dengan sifat yang diambil kira apabila bersahur kerana hendak menunaikan puasa maka sungguhnya dia telah melakukan qasad.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab) 

Bermula pendapat yang mengatakan bersahur jika ada dalam hatinya kerana hendak berpuasa maka telah menjadi niat ialah pendapat yang muktamad sisi mazhab.

Berkata Syeikh Khatib Syarbini :

 والمعتمد أنه لو تسحر ليصوم أو شرب لدفع العطش نهارا أو امتنع من الاكل أو الشرب أو الجماع خوف طلوع الفجر كان ذلك نية إن خطر بباله الصوم بالصفات التي يشترط التعرض لها لتضمن كل منها قصد الصوم 
Artinya : “Dan yang muktamad ialah jikalau seorang makan sahur kerana berpuasa atau minum supaya tidak dahaga disiang hari atau terhalang dari makan atau minum atau jimak kerana takut masuk waktu subuh nescaya adalah demikian itu niat dengan syarat hadir pada hatinya berpuasa dengan sifat yang disyaratkan ada Ketika berniat akan qasad berpuasa.” (Kitab Al-Iqna’ Syarah Abi Syuja’) 

Kesimpulan 

Siapa yang makan sahur dan hadir pada hatinya bersahurnya itu kerana hendak puasa atau kerana menguatkan badan ketika berpuasa maka jadilah dia dikira sudah berniat dan sah puasanya pada hari itu. 

Siapa yang makan sahur dan tiada pada hatinya makan sahur itu kerana hendak berpuasa maka dia dikira belum berniat dan tidak sah puasanya pada hari itu. 

Wallahua'lam

Thursday, 23 April 2020

Salam Ramadhan Kareem 1441H


Alhamdulillah, segala puji bagi Allah kerana masih memberi peluang kepada kita semua untuk menikmati keberkatan bulan Ramadhan al-Mubarak. Walaupun tahun ini kita menyambut kedatangannya dalam suasana yang sangat berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, namun itu tidak suatu yang menghalang semangat kita untuk terus menghidupkan bulan yang mulia ini. 

Kita telah diberi kesempatan dan peluang untuk memasuki bulan yang penuh keberkatan ini, maka gunakanlah anugerah Allah ini dengan bersungguh-sungguh mengisi waktu dengan ibadat dan amalan yang soleh. Berapa ramai kaum keluarga dan sahabat handai yang telah pergi mendahului tanpa mengetahui bahawa Ramadhan yang lalu adalah yang terakhir buat mereka.

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.” (al-Baqarah: 183) 

Sifat taqwa melahirkan rasa perhambaan dan takut kepada Allah SWT, sehingga menggerakkan diri melaksanakan perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya. Justeru, rebutlah piala taqwa yang dijanjikan oleh Allah SWT melalui ibadat puasa ini. 

Akhir sekali, marilah kita mendoakan dengan keberkatan bulan yang mulia ini, semoga Allah SWT menerima segala amalan kita, diampunkan dosa-dosa dan dijauhi daripada segala wabak penyakit.

Dikesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan selamat menyambut kedatangan Ramadhan al-Mubarak kepada sahabat-sahabat sekelian, khususnya pengunjung pondok kecil Abuikhwan ini. Tentunya penghargaan yang setingginya atas sokongan selama ini

Saturday, 8 June 2019

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (2)

Sambungan daripada: Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (1)

3 – Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu? 

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain. Sekiranya dilakukan maka puasanya tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat. 

Ada dikalangan ulama Syafi`iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. (Lihat: Mughni al-Muhtaj 2/184, Hasyiah asy-Syarqawi 1/428, Fatawa al-Azhar 9/261 Al-Maktabah asy-Syamilah) 

Setelah dikaji, pandangan ulama yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Quran dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyatul masjid). Wallahua`lam. 

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula). 

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw. 

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit daripada sunnah Rasulullah saw. 

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan. 

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah SWT akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. 

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah SWT ke jalan yang diredhai-Nya.

Friday, 7 June 2019

Risalah Puasa Sunat Enam Syawal: Persoalan Sunat Sebelum Qadha & Menggabungkan Qadha dan Sunat (1)

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari Isnin dan Khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan), dan puasa tahunan (hari Arafah, Asyura dan enam hari dalam bulan Syawal). 

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah ra. meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda, Allah SWT berfirman (dalam hadis Qudsi): “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” 

(Rasulullah saw menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” (Muslim, no: 1151) 

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat. 

Abu Said al-Khudri ra. berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah SWT menjauhkan mukanya daripada api neraka selama 70 tahun.” (al-Bukhari, no: 2840) 

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Risalah ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini. 

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal 

Abu Ayyub al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” (Muslim, no: 1164) 

Di dalam hadis ini, Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun. 

Para ulama menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut, kerana setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. 

Hukum Puasa Enam Syawal Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam an-Nawawi rham: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafie, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian daripada puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah daripada puasa Ramadhan.” (Syarah Sahih Muslim, 8/56) 

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal? 

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra. berkata: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” (al-Bukhari, no: 1991) 

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal? Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama ialah: 

1 – Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus? 

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. 

Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal. Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah SWT: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhanmu, dan (ke arah mendapatkannya) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” (Ali-Imran: 133) 

2 – Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan 

Wujud perbincangan di kalangan para ulama, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Perbincangan ini menghasilkan dua pendapat: 

Pendapat Pertama: 
Boleh melakukannya, berdasarkan dalil daripada Aisyah rha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya`ban yang akan datang. Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bukan Sya`ban.” kerana sibuk melayani Rasulullah saw. (Muslim, no: 1146. Al-Bukhari, no: 1950) Penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa`id. 

Para ulama yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah rha, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya`ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan. 

Pendapat Kedua: 
Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari daripada bulan Syawal, maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. 

Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan yang ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal. 

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Ali-Imran yang dikemukan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada yang sunat. 

Namun, sekiranya seseorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah rha. 

Menurut Imam an-Nawawi rham, mazhab Malik, Abu Hanifah, asy-Syafie , Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (`ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya.” (Syarah Sahih Muslim 8/22) 

Menurut al-Khatib asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat.” (Mughni al-Muhtaj 2/181, cet. Darul Kutub al-Ilmiah, Beirut).

Thursday, 30 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1) 

Cara-caranya (kaifiyat) Solat Hari Raya 

a - Solat hari raya tidak perlu dilaungkan azan dan iqamah. Ditunaikan sebanyak 2 rakaat. Rakaat pertama ada 7 kali takbir dan rakaat kedua ada 5 kali takbir. Hukum bilangan-bilangan takbir ini adalah sunat bukan wajib. Jika takbir ini tertambah atau terkurang, solat hari raya tetap sah. Sunnah mengangkat tangan ketika takbir-takbir ini kerana thabit daripada para sahabat Nabi saw. 

b – Imam membaca pada rakaat yang pertama surah al-A`la dan pada rakaat yang kedua membaca surah al-Ghasiyah berdasarkan hadis riwayat Muslim. Atau membaca surah Qaf pada rakaat pertama dan membaca surah al-Qamar pada rakaat kedua, juga berdasarkan hadis riwayat Muslim.Kedua-dua bacaan ini sahih daripada Nabi saw. 

c - Dilakukan solat raya terlebih dahulu diikuti khutbah. Ini berdasarkan hadis Ibnu Abbas rhuma, katanya: "Aku menyaksikan solat hari raya sebelum khutbah, kemudian baginda berkhutbah." 

d - Menyegerakan solat hari raya dan tidak memanjangkannya. Disunatkan menyegerakan solat hari raya selepas terbitnya matahari (selepas waktu larangan). Ibnu Hajar al-Asqalani telah menukilkan di dalam Fath al-Bari: "Telah sepakat para fuqaha` bahawa solat hari raya tidak dilaksanakan sebelum atau ketika terbit matahari, sebaliknya ia dilakukan ketika disunatkan solat sunat." 

9 - Keluar dengan berjalan kaki ke tempat solat hari raya 

Ibnu Majah meriwayatkan daipada Ibnu Umar katanya: "Adalah Rasulullah saw keluar ke tempat solat hari raya dengan berjalan dan baginda pulang darinya juga dengan berjalan." (sahih Ibnu Majah, hasan) 

Kata Ibnu al-Munzir: "Orang yang berjalan kaki ke hari raya (tempat solat hari raya) adalah lebih baik dan lebih hampir kepada maksud tawadhu`, dan tidak mengapa bagi sesiapa yang berkenderaan." 

Bagi mereka yang uzur atau rumahnya jauh daripada musolla/masjid tidak mengapa menaiki kenderaan. 

10 - Wanita yang uzur juga keluar menyaksikan solat hari raya 

Para wanita keluar untuk menunaikan solat hari raya adalah termasuk di dalam sunnah Nabi saw. Untuk menyaksikan perhimpunan umat Islam dan mendengar nasihat (khutbah). 

Dari Umm `Aisyah rha. katanya: "Kami disuruh oleh Nabi saw untuk mengeluarkan mereka (semua wanita) pada hari raya al-Fitri dan al-Adha. Wanita yang baru baligh atau hampir baligh, wanita haid dan anak dara. Adapun wanita haid diasing dariada tempat sembahyang." 

11 - Zakat Fitrah 

Nabi saw menyuruh membayar zakat al-fitri sebelum solat hari raya. Harus mengeluarkannya sehari atau dua hari awal. 

Imam al-Bukhari meriwayatkan: "Adalah mereka (sahabat Nabi saw) mengeluarkan (zakat al-fitri) sebelum hari raya sehari atau dua hari." 

KESALAHAN YANG DILAKUKAN PADA HARI RAYA 

Ramai dikalangan kita telah mengambil mudah dengan hari raya. Bila hari raya datang, mereka menganggap hari raya adalah 'hari free' iaitu hari yang terlepas daripada ikatan agama (agama asing, kita asing). 

Mereka menganggap hari raya ini merupakan lesen bagi mereka untuk bebas bercampur gaul, bersalaman lelaki dan perempuan yang bukan mahram (Ajnabi: yang halal dinikahi). 

Berpakaian dan berhias sebebasnya bagi perempuan dan rumah-rumah pula dipenuhi dengan alunan muzik dan filem-filem yang melalaikan. Wallahua`lam. 

"Semoga `Eidil-Fitri yang kita sambut pada tahun ini dipenuhi dengan keberkatan dan kebajikan"

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Sunnah-Adab Berhari Raya (1)

Adab-Adab Menyambut Hari Raya 

`Eid al-Fitri atau Hari Raya Fitrah adalah hari yang disyariatkan umat Islam menyambutnya, sebagai hari bergembira dan bersyukur di atas nikmat yang Allah SWT anugerahkan kepada hamba-Nya yang berjaya melakukan ibadat pada bulan Ramadhan. Oleh itu untuk mendapatkan kesempurnaan sambutan ini, hendaklah mengikut panduan sunnah Rasulullah saw menyambut Hari Raya, antaranya ialah: 

1 - Mandi sebelum keluar menunaikan solat Hari Raya 

Imam Malik rah. meriwayatkan: Sesungguhnya Abdullah bin Umar ra. akan mandi pada pagi hari raya al-fitri sebelum beliau keluar ke tempat solat hari raya. Al-Imam al-Nawawi menyebut para ulama telah bersepakat atas sunatnya mandi untuk solat hari raya. 

2 - Makan sebelum keluar untuk menunaikan solat hari raya `Eid al-Fitri dan untuk `Eid al-Adha makan selepas solat. 

Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Sesungguhnya Rasulullah saw tidak keluar pada pagi hari raya al-Fitri sehinggalah baginda makan terlebih dahulu beberapa biji tamar…dan baginda memakannya dalam jumlah yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari: 953) 

Sekiranya tidak ada tamar, makanlah sesuatu yang harus dimakan. 

Al-Imam Ibnu Hajar al-Asqalani mengulas hadis ini dengan berkata: “Ini kerana untuk mengelakkan (tanggapan) adanya tambahan dalam berpuasa, ianya juga (petunjuk) bersegera mentaati arahan Allah SWT (untuk tidak berpuasa pada hari tersebut).” (Fath al-Bari: 2/446) 

3 - Bertakbir pada Hari Raya 

Takbir hari raya adalah termasuk sunnah yang agung berdasarkan firman Allah SWT: “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu bertakbir mengagungkan Allah atas petunjuknya yang diberikan kepada kamu , supaya kamu bersyukur.” (al-Baqarah: 185) 

Daripada al-Walid bin Muslim katanya: “Aku bertanya kepada al-Auza`ie dan Malik bin Anas tentang menzahirkan takbir pada dua hari raya. Kata mereka berdua: “Ya, adalah Abdullah bin Umar menzahirkan takbir pada hari raya al-Fitri sehinggalah imam keluar (untuk menunaikan solat raya).” 

Waktu bertakbir bagi Hari Raya al-Fitri ialah bermula pada malam raya iaitu setelah tenggelamnya matahari pada akhir Ramadhan sehingga masuknya imam ke tempat solat untuk solat hari raya. 

4 – Lafaz Takbir Hari Raya 

Di dalam Musannaf Ibnu Abi Syaibah dengan sanad yang sahih daripada Ibnu Mas`ud ra. yang bertakbir pada hari Tasyrik dengan lafaz: 

“Allah Maha Besar, Allah Maha Besar, tidak ada tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala puji-pujian.” 

Al-Mahamiliy meriwayatkan dengan sanad yang sahih juga tentang lafaz takbir raya daripada Ibnu Mas`ud: 

“Allah Maha Besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha besar sebesar-besarnya, Allah Yang Maha Besar dan Yang Maha Agung, Allah Yang Maha Besar dan bagi Allah segala pujian.” (Irwa` al-Ghalil: 3/126) 

Kata ulama: Ada keluasan dalam lafaz takbir ini, mana-mana lafaz boleh dibaca dan diamalkan. Diangkatkan suara dalam melafazkan takbir bagi lelaki dan tidak bagi perempuan. Ia dilakukan di merata tempat; di masjid, di rumah dan di pasar-pasar. 

5 – Ucapan Tahniah Pada Hari Raya 

Termasuk dalam adab berhari raya ialah menyampaikan ucap tahniah sesama muslim dengan sebarang ucapan yang baik seperti ucapan: 

"Semoga Allah menerima (amalan) daripada kami dan anda semua" 

"(Selamat) hari raya yang diberkati." 

Atau ucapan yang seumpama dengan di atas yang terdiri daripada ungkapan-ungkapan tahniah yang dibenarkan. Jubair bin Nufair berkata: “Para sahabat Nabi saw apabila mereka bertemu sesama mereka pada hari raya, mereka mengucapkan: Ibnu Hajar berkata: Isnad (riwayat ini) hasan. [Fath al-Bari 2/446] 

Antara ucapan yang masyhur juga: 

"Setiap tahun kamu sentiasa dalam kebaikan" 

6 – Berpakaian baru/cantik di Hari Raya 

Daripada Jabir ra. katanya: “Nabi saw mempunyai sehelai jubah yang baginda akan memakainya untuk dua hari raya dan hari Jumaat.” (sahih Ibnu Khuzaimah: 1765) 

Memakai pakaian cantik pada hari raya ini adalah untuk kaum lelaki. 

Adapun untuk kaum wanita, mereka boleh mengenakan pakaian yang biasa (di sebelah luar/atasnya) seperti sabda Nabi saw: “Jangan kamu tegah hamba perempuan Allah daripada masjid Allah, tetapi hendaklah kaum wanita keluar dalam keadaan meninggalkan wangian.” (riwayat Ahmad dan Abu Daud, sahih) 

Keluar dengan berpakaian biasa di luar dan tidak bertabarruj berhias dan mengenakan wangian yang dihidu baunya oleh lelaki ajnabi. Sekiranya wanita berkumpul dalam kelompok mereka sahaja tidak mengapa untuk berpakaian cantik. 

7 – Keluar ke tempat solat melalui jalan lain dan balik daripadanya melalui jalan lain 

Jabir bin Abdillah rhuma katanya: “Adalah Nabi saw pada hari raya, baginda membezakan jalan (pergi dan balik dari solat hari raya).” (Bukhari: 986) Dikatakan terdapat beberapa hikmah dalam perbuatan ini: 

i. Semoga dua jalan yang berbeza tersebut menjadi saksi di hadapan Allah pada hari Kiamat nanti. Ini kerana bumi akan membicarakan pada hari Kiamat apa yang dilakukan di atasnya dari perkara-perkara yang baik dan jahat. 

ii. Untuk menzahirkan syiar-syiar Islam. 

iii. Untuk menzahirkan zikir kepada Allah SAW iv. Untuk mengambil tahu keperluan orang-orang yang memerlukan sebarang bantuan atau untuk menziarahi sanak-saudara dan menghubungkan silaturrahim. 

8 – Solat Hari Raya 

Para ulama berbeza pendapat tentang hukum solat hari raya. Sebahagian mengatakan hukumnya sunat muakkad/fadhu kifayah dan fardhu ain (wajib), berdosa bagi sesiapa yang meninggalkannya. Inilah pendapat Imam Mazhab Abu Hanifah. Pendapat ini dipilih juga oleh beberapa orang ulama semasa.

Monday, 27 May 2019

"Jangan sibuk.."

sumber: fb

Friday, 24 May 2019

Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (2)

Sambungan daripada artikel: Risalah Ramadhan al-Mubarak: Lailatul Qadar dan I`tiqaf (1) 

b) I`tiqaf 

Antara kelebihan khusus sepuluh terakhir Ramadhan ini ialah digalakkan beri`tiqaf padanya. 

Apakah erti i`tiqaf

 I`tiqaf dari segi bahasa ialah: Menahan, menetap dan melazimi sesuatu. 

Dari segi istilah i`tiqaf ialah: Melazimi masjid oleh individu tertentu dengan niat. Sesetengah ulama manambah”...untuk melakukan ketaatan.” 

Tujuan ditambah ayat ini untuk memberi isyarat bahawa hendaklah memulakan ibadah ini dengan niat ikhlas kerana Allah. Bukan datang ke masjid kerana ingin berbual-bual dengan rakan-rakan. Bukan juga kerana semata-mata ingin mengasingkan diri daripada orang lain. Tetapi mestilah datang untuk membuat ketaatan kepada Allah. 

Hukum beri`tiqaf 

Beberapa ulama ijma` menaqalkan bahawa hukumnya adalah sunat, tidak wajib. Ia hanya menjadi wajib sekiranya dinazarkan. 

Kata Ibnu Syihab: “Alangkah peliknya orang-orang muslimin yang meninggalkan i`tiqaf, sedangkan Rasulullah saw tidak pernah sekalipun meninggalkannya semenjak baginda masuk ke Madinah.” 

Walaupun i`tiqaf boleh dilakukan pada bila-bila masa sahaja, tetapi terdapat galakan khusus untuk beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan. 

Aisyah rha. berkata: “Nabi saw beri`tiqaf pada sepuluh terakhir Ramadhan sehingga Allah mewafatkan baginda. Kemudian, isteri-isterinya terus beri`tiqaf selepasnya.” (Riwayat Bukhari) 

Amalan ketika beri`tiqaf 

I`tiqaf adalah di antara ibadat yang terkumpul di dalamnya banyak amalan-amalan soleh dan ketaatan seperti membaca al-Quran, solat, zikir, doa dan sebagainya. 

Satu perkara yang sepatutnya diketahui oleh orang-orang yang beri`tiqaf ialah hukum, syarat, peraturan dan adab beri`tiqaf. Secara ringkas, orang yang beri`tiqaf tidak dibenarkan keluar daripada masjid sehinggalah selesai pada waktu yang sepatutnya. 

Keringanan untuk keluar hanyalah bagi, memenuhi hajat-hajat yang lazim untuk keperluan diri seperti mencari makanan dan ke tandas. Sepatutnya mereka juga meninggalkan apa jua urusan yang tidak berkaitan dengan ibadat seperti urusan keduniaan dan cakap-cakap kosong. 

Sesetengah ulama mengatakan digalakkan juga dalam tempoh i`tiqaf ini menghadiri majlis-majlis ilmu di masjid tempat i`tiqafnya. Ini kerana menuntut ilmu adalah salah satu ibadah kepada Allah SWT sebagaimana sesetengah ulama salaf mengatakan: “Tiada ibadah kepada Allah yang lebih baik daripada menuntut ilmu.” 

Hikmah digalakkan beri`tiqaf pada sepuluh malam terakhir 

* Supaya seorang muslim lebih terjaga dirinya daripada terlalai dan melakukan larangan Allah. Apabila berada di dalam masjid peluang untuk membuat maksiat adalah terhad. 

* Supaya mudah dan dekat dengan ibadah-ibadah dan ketaatan 

* Mengharapkan supaya bertemu dengan Lailatul Qadar, kerana ia hanya berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadhan sahaja. 

Penutup 

Sabda Rasulullah saw sewaktu menaiki mimbar di Madinah: “Sangat malang, orang yang berkesempatan melalui Ramadhan tetapi tidak diampunkan dosanya.” (Riwayat Ibnu Khuzaimah, al-Baihaqi) 

Oleh itu, tidak sepatutnya bagi seseorang muslim yang berakal melepaskan yang amat bernilai ini untuk dirinya dan keluarganya. Ia bukanlah satu masa yang panjang. Hanya beberapa malam yang boleh dihitung dengan jari. 

Boleh jadi, pada malam-malam ini seseorang muslim mendapat pemberian daripada Tuhannya, lalu dia termasuk di kalangan orang yang berbahagia di dunia dan akhirat. 

Akhirnya, sama-samalah kita berdoa kepada Allah supaya diberikan kekuatan, taufiq dan hidayah supaya kita semua dapat mengambil peluang keemasan ini. Ia adalah peluang untuk menggandakan amalan dan peluang untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. 

Mudah-mudahan kita dipertemukan dengan Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan dalam keadaan melakukan amal soleh dengan sepenuhnya.