Sahabat Sejati

Showing posts with label perubatan. Show all posts
Showing posts with label perubatan. Show all posts

Monday, 24 November 2025

InsyaAllah, tahun ketiga jadi "Geng Sedut Darah'

Medal gangsa 'ADIWIRA PAHANG' daripada HTAA untuk penderma darah kali ke 48. Sahabat saya punya, bukan saya

“HTAA dah bagi tarikh kosong untuk derma darah Ramadan nanti..”
ujar seorang sahabat saya, pagi tadi. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak Unit Tabung Darah HTAA menghantar senarai tarikh kosong kepada kami untuk ditawarkan kepada masjid-masjid yang berminat menjadi tuan rumah. Bagi Ramadan tahun 2026 nanti, ada 10 tarikh semuanya, cukup untuk kami susun satu perjalanan kecil sepanjang Ramadan nanti. 

2025 - Di MTBZ

Ramadan yang bakal tiba ini menandakan masuk tahun ketiga kami di Yayasan Amal Malaysia berkolaborasi dengan HTAA dan masjid-masjid sekitar Kuantan dalam kempen derma darah Ramadan. Dan ya.. ini juga tahun ketiga saya officially menyertai Geng “Sedut Darah”, nama manja kami bagi memudahkan cerita. 

Selalunya, bukan sahaja masjid di sekitar Kuantan yang berminat. Ada juga satu dua masjid dari daerah lain yang akan menghantar permohonan untuk turut serta menjadi tuan rumah. Bila semangat rakyat Malaysia untuk beramal bertemu dengan Ramadan, memang cepat saja jadual penuh. 

2025 - Di MTAA

Kempen Derma Darah Ramadan ini salah satu ikhtiar kecil kami membantu pihak Unit Tabung Darah HTAA menampung bekalan darah yang sering kritikal, terutama bila tiba musim perayaan. Ramai yang bercuti, banyak kes kecemasan, dan keperluan darah meningkat. 

Jadi, apa yang kami buat ini mungkin nampak sederhana.. tapi besar maknanya untuk mereka yang memerlukan. 

2025 - Di MSAS

Setiap Ramadan, selain ibadah dan amal peribadi, kami harap usaha kecil ini menjadi sebab lebih ramai orang dapat diselamatkan. Semoga tahun ketiga ini lebih lancar, lebih meriah, dan lebih banyak pahala yang mengalir untuk semua yang terlibat.

** Kempen derma darah ini diadakan pada sebelah malam. Tahun lalu 8 buah masjid di daerah Kuantan dan 1 di Temerloh.  

Sunday, 17 January 2016

Cara Mengelakkan Daripada Dihimpit Ketika Tidur (Kaedah Islam)


Untuk pengetahuan anda, syaitan bukan sahaja mempengaruhi hati manusia tetapi juga mimpi yang dialami oleh manusia. Hadis riwayat Qatadah, Rasulullah saw menjelaskan:

ﺍﻟﺮُّﺅْﻳَﺎ ﺍﻟﺼَّﺎﻟِﺤَﺔُ ﻣِﻦْ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﺍﻟْﺤُﻠُﻢُ ﻣِﻦْ ﺍﻟﺸَّﻴْﻄَﺎﻥِ ﻓَﺈِﺫَﺍ ﺣَﻠَﻢَ ﺃَﺣَﺪُﻛُﻢْ ﺣُﻠُﻤًﺎ ﻳَﺨَﺎﻓُﻪُ ﻓَﻠْﻴَﺒْﺼُﻖْ ﻋَﻦْ ﻳَﺴَﺎﺭِﻩِ ﻭَﻟْﻴَﺘَﻌَﻮَّﺫْ ﺑِﺎﻟﻠَّﻪِ ﻣِﻦْ ﺷَﺮِّﻫَﺎ ﻓَﺈِﻧَّﻬَﺎ ﻻَ ﺗَﻀُﺮُّﻩُ . 
"Mimpi yang baik adalah dari Allah manakala mimpi yang buruk adalah dari syaitan.Maka apabila seseorang kalian mengalami mimpi buruk yang menakutkannya,hendaklah dia meludah ke arah kirinya dan minta perlindungan dari Allah dari keburukannya kerana setelah itu ia (mimpi tersebut) tidak akan mengakibatkan apa-apa kemudaratan." (Sahih Muslim no 4195)

Rasulullah saw mengajar kita agar berlindung kepada Allah apabila didatangi mimpi-mimpi yang menakutkan, dengan menyebut a’uzubillah, ayat Tiga Qul dan sebagainya, kemudian meludah ke bahagian kiri dengan tiga kali ludah, yang ringan (anda jangan ludah betul-betul pula! sekadar memadai dengan isyarat hembusan semata-mata, dengan tanpa mengeluarkan sedikit pun air liur basi dari mulut anda), kemudian cuba beralih tempat tidur iaitu dengan mengubah posisi tidur. Daripada mengiring kiri, ubah mengiring kanan atau pindah ke tempat lain.

Rasulullah juga mengajar kita agar mengibaskan tempat tidur sebanyak tiga kali dengan kain sebelum baring. Rasulullah pada setiap malam ketika berada di tempat pembaringan, merapatkan kedua-dua belah tapak tangannya kemudian meniup kedua-duanya dan membaca surah Tiga Qul, kemudian menyapu badannya dengan kedua-dua tapak tangan, yang dimulakan daripada kepala, muka dan seluruh tubuh yang tercapai oleh kedua-dua tapak tangannya sebanyak tiga kali.

Yang dimaksudkan dengan Tiga Qul di sini ialah surah an-Nas, al-Falaq dan surah al-Ikhlas.Serahlah diri kepada Allah. Terlalu banyak doa yang boleh dibaca yang berkaitan dengannya diantaranya ialah doa yang bermaksud, Ya Allah,dengan menyebut nama-Mu, ya Tuhanku kuletakkan lambungku, maka ampunilah dosaku. Setelah itu barulah membaca ayat al-Kursi dengan lidah. Baca ayat al-Kursi dalam hati apabila lidah mula tidak berupaya menyebutnya sehingga tertidur.

Disebutkan dalam sebuah hadis bahawa orang yang membaca ayat al-Kursi ketika berada di tempat pembaringan, Allah akan mengutus dua malaikat menjaganya sehingga subuh. Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai.

Akhir sekali jangan lupa membaca Sayyidul Istighfar (Penghulu Istighfar). Banyak kaedah yang merangkumi zikir-zikir dan kaifiat tertentu yang diajar oleh Rasulullah dalam usaha mengatasi masalah tidur. Kaedah ini berbeza-beza, menurut tahap-tahap serius gangguan yang dialami.

Perbanyakkan istighfar ketika di tempat pembaringan. Allah mengampuni dosa-dosa mereka yang beristighfar tiga kali ketika berada di tempat pembaringan biarpun dosanya sebanyak buih di laut, sebanyak bintang di langit ataupun sebanyak pasir di pesisiran pantai. 

Sumber: Tranungkite

Sunday, 23 November 2014

Kena diet nampak gayanya...


Seawal pagi, saya menyusuri aspal jalan raya. Turut bersama mengiringi awan mendung dan rintik-rintik hujan yang menimpa bumi. Insya-Allah hujan rahmat. Tidak banyak kenderaan di jalan raya. Mungkin kerana cuti hujung minggu dan juga hujan yang turun, maka ramai yang lebih selesa berehat di rumah bersama keluarga. Saya membuat telahan. 

Hari ini, selama 3 hari bermula hari Jumaat, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan mengadakan program yang dikendalikan oleh para pelajarnya. Saya telah lupa nama program itu. Ada booth pameran, pemeriksaan kesihatan, gerai jualan, gerai permainan dan sebagainya. Hari ini adalah hari yang terahir sebelum ia melabuhkan tirai. Hari ini juga merupakan giliran saya menjaga booth Yayasan Amal Malaysia yang telah diundang untuk pameran dan sesi penerangan. 

 'Tuan Haji Jamaluddin sedang memberikan penerangan kepada para pelajar mengenai Yayasan Amal Malaysia'

Yayasan Amal Malaysia adalah sebuah NGO yang banyak terlibat dalam misi kemanusian, kebajikan dan pembangunan di dalam negara dan di wilayah-wilayah umat Islam. Setiap kali berlaku bencana alam di tempat-tempat tersebut, Yayasan Amal Malaysia akan segera menghantar sukarelawannya untuk membantu. Termasuk misi kemanusian dan pembangunan sepanjang masa iaitu di Gaza. 

Selain daripada booth kami, terdapat juga booth pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan oleh para pelajar UIA. Apa lagi, saya tidak melepaskan peluang untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Percuma! Mula-mula saya membuat pemeriksaan telinga. Alhamdulillah, luar telinga, tengah telinga dan telinga disebelah dalam masih dalam keadaan baik. Maknanya saya belum lagi termasuk mereka yang kurang pendengaran, apa lagi kategori tidak mendengar. Teringat cerita “Keluarga 69” lakonan allahyarham P. Ramlee dan A. R Tompel. Al-Fatihah. 

Kemudian saya menjengah pula ke booth pemeriksaan mata. Banyak yang diperiksa termasuk tahap kerabunan, silau, jarak membaca, juling. Buat masa ini, saya tidak perlu memakai cermin mata. Sekali lagi Alhamdulillah semuanya dalam keadaan baik. 

'Salah satu booth pelajar'
 
Selepas itu saya beralih ke booth di sebelah untuk pemeriksaan diet. Ada pemeriksaan BMI, Kolesterol, muscle dan sebagainya. Allah, bermacam-macam masalah rupanya badan saya ini. Tak periksa rasa nak periksa. Dah periksa rasa menyesal pula. Kalau tidak taklah rasa takut begini. Senyum. 

Macam-macam benda yang perlu dikawal, ini tak boleh makan, itu kena kurang. Yang itu kena tiga sudu sahaja, yang itu kena seminggu sekali. Maklumlah umur pun sudah menghampiri ke angka 40. Aduhai, nampaknya saya kena berdiet untuk mendapatkan semula berat badan unggul. Tak apalah untuk kebaikan. Tetapi saranan menjaga makan bukan sahaja ketika usia memasuki angka 40. Tidak kira usia berapa makan mesti dijaga. Jika tidak pasti akan menimbulkan masalah dan keburukan. 

Firman Allah SWT:
“...makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu berlebih-lebihan; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang berlebih-lebihan.” (al-A`raaf: 31) 

Sabda Rasulullah saw: 
“Perut manusia itu tempat segala penyakit, manakala pencegahan itu pokok dari segala pengubatan.” (Riwayat ad-Dailami) 

Keprihatinan hidup merupakan saranan untuk mengekang diri dari sikap yang rakus dan seterusnya menjaga kesihatan diri. Islam tidak melarang umatnya menikmati kebaikan dunia. Apa sahaja yang baik adalah kurnia Allah SWT termasuklah makan dan minum. Tetapi agama mengatur dan mengawal agar tidak memudaratkan. 

Makan dan minum sekadar untuk mencukupi keperluan kehidupan. Hikmah berlapar yakni tidak berlebih-lebihan dalam makan dan minum bagi kesihatan manusia amat banyak. Perut yang sarat dengan makan dan minum akan membuatkan badan menjadi berat dan malas. Badan yang terlalu gemuk akan mendatangkan pelbagai penyakit. Tentunya ubat yang tanpa biaya ialah menjaga makan dan minum. 

Sabda Rasulullah saw: 
“Cukuplah bagi anak Adam, suapan kecil-kecilan untuk mengisi perutnya; dan kalau mungkin maka sepertiga untuk makanan, sepertiga untuk minuman dan sepertiga untuk pernafasan.” (Riwayat Tirmidzi) 

#Nasihat buat saya...

Wednesday, 8 October 2014

Petua, cubalah...InsyaAllah

(kredit foto: FB)

Hari ini ketika membelek-belek laman FB, tersua dengan satu petua perubatan daripada Ustaz Sharhan Syafie.  Siapa yang tidak kenal dengan Ustaz Sharhan Syafie, seorang pengamal perubatan Islam yang banyak menulis buku mengenai perubatan Islam. Selalu juga kelibatnya di televisyen dalam slot-slot yang berkaitan.

Balik pada petua tersebut, hmm..nampak menarik. Petua untuk mengubati penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Penyakit tiga serangkai yang menjadi wabak bagi golongan berusia di Malaysia. Terasa ingin berkongsi dengan sahabat-sahabat yang lain. Ini petuanya:

1 - Ambil sebiji kelapa muda yang berisi lembut (istilah orang kampung isi berhinggus).
2 - Kemudian ambil 3 batang serai yang diketuk
3 - 7 biji halba

Serai dan halba dimasukkan  ke dalam kelapa dan dipanaskan. Selepas itu diminum airnya. Amalkan selang sehari sebanyak 7 biji kelapa dihabiskan dalam masa 14 hari. Selamat mencuba. InsyaAllah. 

SHARE tip penting ini kepada rakan anda yang menghidap sakit jantung, kencing manis dan darah tinggi.

 (Gambaran yang lebih jelas - kredit foto: FB)

Biografi ringkas Ustaz Sharhan Syafie:

Berasal dari kampung Air Merah, Machang, Kelantan. Mendapat pendidikan awal di sekolah kebangsaan Air Merah kemudian menyambung pengajian ke sekolah Menengah Arab Syamsul Maarif. Seterusnya menyambung pengajian tinggi ke Kolej Sultan Zainal Abidin (KUSZA) . Selepas itu meneruskan pengajian ke Al- Azhar Kaherah Mesir selama 3 tahun. Di sana beliau memperdalamkan lagi ilmu perubatan Islam dengan tokoh terkenal iaitu Syeikh Wahid Adb Salam, kemudian menamatkan pengajian di Kolej INSANIAH Kedah.