Sahabat Sejati

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan


Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Jangan lupa DUIT - Doa, Usaha, Ikhtiar, Tawakal

foto hiasan

Dalam hidup, bukan setiap hari langit cerah dan bukan setiap langkah terasa ringan. Ada waktu kita tersungkur, ada masa kita letih menanggung sesuatu yang hanya Tuhan yang tahu beratnya. 

Namun ingatlah, setiap ujian bukan bertujuan melemahkan, tetapi membentuk. Seperti besi yang ditempa api, begitulah hati manusia dibentuk oleh dugaan, agar menjadi lebih kuat, lebih matang, lebih mengenal erti bergantung kepada Allah. 

Jangan kecewa jika perjalananmu perlahan. Yang penting, kamu terus melangkah. Jangan kecilkan dirimu hanya kerana hari ini kamu tidak sehebat yang kamu impikan; mungkin esok adalah giliranmu bersinar. 

Teruskan usaha, teruskan doa, dan teruskan percaya bahawa Allah tidak pernah sia-siakan air mata yang jatuh kerana berharap kepada-Nya. 

Setiap pagi adalah peluang baharu. Setiap nafas adalah tanda bahawa kamu masih diberi ruang untuk membaiki, memperbaiki, dan mendaki. 

Percayalah, ada kebaikan yang Allah sedang aturkan untukmu, cuma masanya belum tiba. Sampai saat itu, kuatlah, kerana perjalanan orang sabar sentiasa berakhir dengan indah.

Allahu al-Musta`an.. 

Wednesday, 24 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 12): Utusan Senja dan Persalinan Yang Tak Disangka

Baca di sini Part 11 

'foto hiasan'

Petang itu hangatnya sederhana. Angin beralun lembut membawa bau wangi serai dari dapur dan suara burung murai bersahutan di hujung pokok jambu. Kami berempat, aku, Pak Andak, Mak Andak dan Seri Seroja, duduk di beranda rumah, berbual kosong. 

Seri Seroja sedang menghiris daun kaduk untuk dibuat kerabu, sambil mencubit Busu yang asyik mencuit-cuit kucing yang tidur lena. Tawa kecil berselang seli dengan gurau Pak Andak yang gemar menyelit peribahasa pelik-pelik. 

Damai. 

Hinggalah tiba-tiba, bayang-bayang panjang muncul dari hujung laman. Seorang lelaki berbusana biru tua, bertanjak rapi, bersama dua pengiring berkuda. 

"Maaf mengganggu.." suaranya dalam dan penuh adab. 

Kami segera bangun. Mataku dan mata Pak Andak bertembung. 

"Kami datang sebagai utusan rasmi dari Istana Melaka," katanya sambil membuka lipatan surat bermohor lilin merah keemasan. 

"Titah perintah dari Paduka Baginda Sultan Mansur Shah, agar seorang anak muda bernama Ahmad Zahran, menghadap ke balairung istana pada hari esok, sekira-kira ‘hari belum tinggi’." 

Hatiku gugup. Dunia seakan berhenti berputar. Sultan Mansur Shah?!

Aku pandang Pak Andak, dia kaku. Seri Seroja kelihatan terkejut, dan Mak Andak mengurut dadanya. 

“Ampun Datuk, boleh kami tahu atas urusan apa..?” tanya Pak Andak perlahan. 

Utusan itu menjawab, “Berita tentang kepahlawanan anak muda ini yang menyelamatkan Datuk Penghulu Bendahari daripada kekacauan di pasar pagi telah sampai ke istana. Baginda ingin melihat sendiri.. siapakah gerangan anak muda itu.” 

Degupan jantungku makin deras. 

Aku tak tahu harus bangga atau menyesal. 

Dalam hati.. datang rasa bersalah. 

Bukankah aku berjanji tidak mahu mengubah sejarah? 

Bukankah aku ingin hanya menjadi angin yang berlalu di zaman ini? Tapi tindakanku hari itu, walau niatku hanya untuk melindungi, kini telah menjadi gelombang yang tak dapat ditarik semula. 

Pak Andak menepuk bahuku. “Zahran, ini bukan soal pilihanmu lagi. Ini mungkin jalan yang ditentukan untukmu.” 

Aku menunduk. “Tapi Pak Andak.. saya tiada persalinan yang layak ke istana.” 

Sunyi sebentar. Tiba-tiba, dari sebalik tangga, muncul suara yang tidak asing: “Kalau kau tak kisah pakailah baju aku... Aku ada beberapa pasang persalinan baru. Tak pernah pakai pun. Nanti aku bawakan untuk kau cuba ” 

Dia berdiri dengan tangan bersilang, senyum tak begitu lebar, tetapi penuh makna. 

"Mak suruh aku simpan untuk pakai hari kenduri.. tapi rasanya kau lebih layak pakai untuk ke istana." 

Aku terkedu. Dunia berputar lagi. Dulu, dia yang hampir menumbukku. Hari ini, dia yang menutup aibku. 

“Terima kasih, Alang..” kataku perlahan. 

Dia mengangguk. “Kau jaga maruah kampung. Hari ni, biar kami jaga maruah kau." 

Debaran hari esok 

Aku bersiap. Persalinan yang disarungkan, baju sikap hijau tua bersulam benang perak, lengkap dengan bengkung dan tengkolok, memang bukan milikku.. tetapi petang itu, aku memakainya dengan jiwa yang penuh rasa syukur dan gemuruh.

Pak Andak tersenyum, memandang dari sisi. Alang membetulkan bahagian bahuku yang senget sedikit. “Jangan calit apa-apa kat baju tu. Nanti pulang semula,” gurau Alang, separa serius. 

Aku berdiri tegak di depan cermin lama di sudut anjung, melihat bayangan sendiri. 

Persis seorang pahlawan. 

Dan di saat itu, tanpa dapat aku tahan, satu lintasan nakal hadir dalam benak: 

"Aduh.. kenapalah aku tak bawa henfon aku masa ‘tercampak’ ke sini. Kalau tidak.. potret satu dua.. post dalam IG story — 'Throwback zaman Kesultanan Melayu'. Mesti viral." 

Aku ketawa kecil dalam hati sendiri. Tak bersuara, tapi cukup untuk menggoncang jiwa yang sedang berperang antara dua zaman. 

Bersambung Part 13.. 

Tuesday, 23 December 2025

Dah pun sampai..

'Alhamdulillah, dah pun sampai. Tunggu yang lain pulak..'

Parcel yang ditunggu akhirnya mendarat dengan selamat di hadapan pintu pagar. Terima kasih, Mr. Kurier. Jasamu kukenang! 

Dalam dunia yang serba laju ini, sampai dengan elok pun sudah cukup untuk menenangkan hati. 

Koi bukan jenis yang kerap membeli secara dalam talian. Hanya bila ada keperluan dan dalam keadaan tertentu, barulah jari menekan butang checkout. Mungkin sebab itu, setiap parcel yang tiba membawa rasa yang sedikit berbeza, bukan keterujaan kosong, tetapi rasa cukup dan bersedia. 

Satu persatu dibuka, diperiksa. Sleeping bag, air pillow, headlamp. Bateri SJCAM bersama dual charger set. Dan juga waterproof phone pouch case. Alhamdulillah, semuanya sampai dalam keadaan baik, lengkap seperti yang diharapkan. 

Barang-barang ini bukan sekadar senarai keperluan. Ia lambang persediaan, untuk perjalanan, untuk pengalaman, untuk detik-detik yang belum lagi berlaku. Ada sesuatu yang menenangkan apabila kita tahu, perlahan-lahan kita sedang bersiap. 

Masih ada beberapa lagi yang belum tiba, dalam perjalanan agaknya. Seperti banyak perkara lain dalam hidup. InsyaAllah, sampai masanya nanti, ia akan sampai juga. 

Kadang-kadang, hidup ini tidak perlu tergesa-gesa. Cukup kita bersedia, bersyukur, dan percaya.. bahawa apa yang ditunggu akan tiba pada waktunya.

Monday, 22 December 2025

"..Pertemukanlah kami.."

foto hiasan ~ sumber

Subuh tadi, doa itu mengalir dari bibir imam surau kami.. 

“Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya’ban, serta pertemukanlah kami dengan Ramadan.” 

Aku aminkan perlahan, bersama hati yang tiba-tiba terasa sayu. 1 Rejab telah menyingkap tirainya hari ini. Rejab datang seperti ketukan lembut di pintu jiwa, mengingatkan bahawa masa tidak pernah menunggu, dan Ramadan sedang berjalan perlahan ke arah kita. 

Lebih kurang enam puluh hari lagi. Ia bukanlah jangka masa yang terlalu lama. Hari silih berganti, pejam dan celik,  

"Ya Allah, berkatilah kami dalam bulan Rejab dan Sya`ban, serta pertemukanlah kami dengan Ramadan."

Ada rindu yang belum bernama, ada harap yang dipintal bersama doa. Moga langkah kita dipermudah, dan hati ini sempat dibersihkan sebelum tirai bulan yang paling dirindui itu dibuka.

Sunday, 21 December 2025

Cendok Kuali, satu kuali kongsi dua..

'Satu kuali kena kongsi 2 orang'

Cuaca agak panas hari ini.Matahari memancar tanpa segan silu, seolah-olah mengerit kulit kami yang keluar rumah tengah hari begini. 

“Panas-panas macam ni.. pekena cendol memang ngam,” bisik hati, sambil mata sudah mula membayangkan ais yang berkerincing dan manis gula Melaka yang cair di lidah. 

Tanpa banyak fikir, aku membawa Ummu Ikhwan dan anak-anak ke sebuah kedai cendol milik sahabatku di Cenderawasih, tidak jauh dari pusat bandar. Cendol Kuali, nama yang ringkas, tapi cukup menggoda. 

Sebaik melangkah masuk, mata terus tertancap pada menu yang tertera. Satu persatu seperti memanggil, seolah berkata, “pilih aku dulu.” Anak-anak pula sudah tidak sabar, masing-masing ada pilihan sendiri, lengkap dengan senyuman yang tak perlu dipujuk. 


Saat suapan pertama mencecah lidah, terasa benar nikmatnya. Manisnya sederhana, sejuknya menenangkan, dan panas terik di luar seakan-akan hilang perlahan-lahan. Bukan sekadar cendol, tapi momen kecil yang mengikat kebahagiaan keluarga. 

Bahagia itu sederhana. Cukup dengan cuaca panas, semangkuk cendol, dan orang-orang yang kita cintai di sisi.

Saturday, 20 December 2025

Hari ini bersama Dapur Rakyat

Hari ini saya dan Ummu Ikhwan, rezeki dapat turun padang bersama Tim Dapur Rakyat anjuran Yayasan Amal Malaysia di Chendering. 

Program ni ringkas tapi besar maknanya, memasak dan menghantar makanan buat para petugas yang mencuci rumah mangsa banjir. 


 

Paling menceriakan, bekerja dengan geng veteran, aka geng pencen. Macam-macam karenah yang buat dapur tak sunyi dengan gelak ketawa. Uniknya, dapur kami berasap, betul-betul guna kayu api. (Terasa seperti kenduri kahwin dulu-dulu) Kalau kami yang (masih muda) ni, mungkin terus pilih dapur gas. Mudah, cepat, dan kurang drama nasi mentah atau hangit 😄 


Hari ni sempat juga menyiapkan dua periuk besar nasi, gulai ayam, goreng kobis dan sambal belacan. Lepas siap, tugasan packing disempurnakan oleh tim Amalnita. Saya pula sambung misi seterusnya, menghantar makanan ke beberapa lokasi petugas pembersihan. 

Penat? Ya. Tapi puas hati tu.. tak boleh dibayar dengan apa-apa.

Balik rumah, zzz.. zzz.. 

Friday, 19 December 2025

Salam Jumaat: Damai dan tenang di bawah langit kelabu


Cuaca mendung pagi ini seolah-olah menghadiahkan sebuah kedamaian. Langit kelabu, angin lembut dan dingin, dan hati terasa lebih perlahan dari biasa. 

Dalam perjalanan ke tempat bertugas, aku singgah di sebuah warung kecil. Entah kenapa, aku memang suka menikmati sarapan di warung-warung kampung begini. Ada momen yang sukar digambarkan,  kesederhanaan yang menenangkan, dan rasa “cukup” yang jarang ditemui di tempat lain. 

Sekeping roti canai dan segelas teh tarik menjadi santapan di pagi Jumaat yang berkah ini. Tak mewah, tak istimewa pada rupa, tetapi cukup untuk menyusun semula niat sebelum melangkah ke hari yang panjang. 

Kadang-kadang, bahagia itu hanya singgah sebentar. Asal kita sudi berhenti, menikmati, dan mensyukuri ia sudah lebih daripada cukup. 

Selamat pagi Jumaat teman-temanku yang dikasihi. Moga langkah hari ini dipermudah, dan hati sentiasa diberi damai dan tenang.

Thursday, 18 December 2025

Tulislah yang baik-baik wahai diriku

'Anakandaku si Haikal yang istimewa'

Tulislah yang baik-baik, walau hanya satu ayat yang terasa sederhana. Kerana kadang-kadang, kita sendiri tidak menyedari betapa tulisan kecil yang lahir dari hati itu mampu mengetuk pintu jiwa seseorang yang sedang mencari arah. 

Mungkin ada insan jauh di sudut dunia, yang tidak pernah kita kenal namanya, sedang bergelut dengan hidup, lalu terjumpa kata-kata yang kamu coretkan. Dan pada ketika itu, Tuhan izinkan tulisanmu menjadi cahaya kecil yang menuntunnya pulang. 

Tidak perlu menunggu hebat untuk memberi manfaat. Tidak perlu menunggu sempurna untuk menginspirasi. Setiap huruf yang ditulis dengan niat baik ada nilainya di sisi Allah. Kadang-kadang, apa yang lahir dari hati akan jatuh tepat ke hati yang lain. 

Maka teruslah menulis yang baik-baik.. kerana siapa tahu, mungkin itulah amal jariahmu yang paling senyap, tetapi paling besar timbangannya. 

Moga Allah menjadikan setiap tulisan kita sebagai titisan hidayah, penyebab perubahan, dan saksi kebaikan yang mengalir tanpa henti hingga ke akhirat.

Allahu al-Musta`an..

Wednesday, 17 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 11): Rahsia Di Sebalik Bungkusan

Baca di sini Part 10 

foto hiasan ~ sumber

Malam itu langit gelap tanpa bintang. Angin bertiup sayup dari arah hutan rimba, membelai pucuk-pucuk padi yang sedang bunting. Di rumah Pak Andak, aku duduk di anjung, termenung memikirkan perubahan yang semakin terasa. Bukan hanya pada nasibku dan takdirku, tetapi dalam hatiku sendiri. 

Selepas peristiwa di pasar, penduduk kampung mulai mesra. Berselisih memberi salam, menyapa, malah mengajak berborak. Alang pula, sejak itu tak lagi bersikap dingin. Malah petang tadi, dia datang membawa serumpun ubi kayu dan berkata, “Untuk mak kau.. eh, maksud aku, Mak Andak.” Gagapnya mengundang tawa kecil di dapur. 

 Namun malam ini, sesuatu terasa ganjil.

Pak Andak, selepas solat Isyak, memanggilku masuk ke ruang tengah. Cahaya pelita minyak tanah membuai-buai di dinding, melemparkan bayang-bayang panjang wajahnya yang tenang. 

“Ada sesuatu yang aku nak tunjuk,” katanya perlahan. 

Pak Andak bangkit lalu melangkah masuk ke dalam bilik. Derap kakinya tenggelam dalam kesenyapan malam. Aku menunggu tanpa bertanya, hanya ditemani bunyi cengkerik di luar dan degup jantungku sendiri yang semakin jelas di telinga. 

Tidak lama kemudian, dia kembali dengan sebuah peti kayu kecil, usang dimamah usia, dibalut kain merah yang warnanya sudah pudar, seakan menyimpan kisah yang lama terpendam. Aku memerhati tanpa mengeluarkan suara, seolah-olah satu hela nafas yang tersalah hembus boleh mengganggu keseimbangan saat itu. 

Peti itu diletakkan di hadapanku. 

Perlahan-lahan, Pak Andak membuka penutupnya. Dari dalam, dia mengeluarkan sehelai kain baldu lama, berlipat kemas, membalut sesuatu yang jelas bukan sekadar besi biasa. 

“Apa tu, Pak Andak?” soalku, hampir berbisik. 

Tiada jawapan serta-merta. Tangannya bergerak hati-hati, membuka balutan baldu itu seolah-olah sedang membuka halaman terakhir sebuah kitab rahsia. 

Saat kain itu diselak sepenuhnya, nafasku terhenti. 

Sebilah keris lama terbaring di situ, bilahnya kusam, namun memantulkan cahaya pelita dengan cara yang ganjil. Hulu kerisnya bertatahkan ukiran yang tidak pernah kulihat sebelum ini; bukan ukiran Melayu yang biasa, sebaliknya lebih purba, lebih asing, seakan datang dari zaman yang tidak tercatat dalam hikayat. 

Dan di pangkalnya, terukir satu simbol, seperti gelung yang tiada hujung dan pangkal, sebuah lingkaran yang seolah-olah bernafas. Lambang masa. Lambang perjalanan yang tidak lurus. 

Aku terpana. Jantungku berdegup laju, seolah-olah bilah itu mengenaliku terlebih dahulu. 

“Keris ni asalnya milik moyangku,” Pak Andak bersuara akhirnya, suaranya rendah tetapi sarat makna. 

“Kemudian diwariskan turun-temurun.. Dia sendiri yang menempanya, dengan berbagai campuran besi, besi gunung, besi sungai, dan besi yang dibawa dari tanah jauh.” 

foto hiasan ~ sumber

Aku menelan liur, mataku tidak lepas daripada keris itu. Setiap lekuknya seperti menyimpan gema masa silam. 

Pak Andak menghela nafas perlahan. 

“Aku berhajat untuk menghadiahkannya kepadamu. Entahlah, Zahran.. hati aku kuat benar untuk memberikannya pada engkau. Dan aku rasa.. engkau layak menyimpannya.” 

Kata-kata itu jatuh satu demi satu, berat, seolah-olah sedang menyerahkan bukan sekadar senjata, tetapi sebuah amanah. 

“Baik, Pak Andak,” jawabku. Suaraku bergetar, tersekat di antara rasa syukur dan gentar.

Keris tua itu berpindah tangan. 

“Zahran, kau gunakanlah keris itu untuk menjaga keselamatan dirimu,” pesan Pak Andak, nadanya lembut tetapi tegas. 

Saat aku menggenggam hulu keris itu, satu rasa aneh merayap masuk, getaran halus yang seakan menyambung urat sarafku dengan besi tersebut. Bukan panas, bukan sejuk. Tetapi hidup. Seolah-olah sesuatu di dalam keris itu sedang mengenali tuannya yang baru. 

Pak Andak memandangku lama. Matanya tenang, tetapi di dasarnya tersimpan kebijaksanaan yang dalam. 

“Zaman ini..” katanya perlahan, hampir seperti berbisik kepada malam, “mungkin bukan kebetulan kau sampai sini.” 

Pelita terus berayun. Bayang-bayang kami berganjak di dinding. Dan di saat itu, aku tahu, detik ini bukan sekadar hadiah, tetapi sebuah pintu. 

Pintu kepada rahsia masa yang sedang menunggu untuk dibuka.

 Bersambung Part 12..

Tuesday, 16 December 2025

Dalam Sunyi Malam, Saya Memilih Sebuah Kisah Lama

Saya membelek-belek buku yang tersusun di rak mini library saya. Mata melompat dari satu judul ke satu judul, hati pula berkira-kira, “Buku mana pula nak dibaca ni..?” 

Setelah puas memilih, akhirnya tangan saya berhenti pada sebuah buku nipis, sebuah novel sejarah bertajuk Darah Titik Di Semantan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986. 

Karya Arman Sani ini tidak tebal, hanya 152 muka surat, namun isinya cukup untuk memikul berat sebuah zaman. 

"Ia mengisahkan perjuangan anak bangsa menentang penjajah. Latar gelanggangnya di Pahang, dipimpin oleh Datuk Bahaman dan para pengikut setianya. Lawannya, para pegawai Inggeris yang melanggar perjanjian, merampas hak, dan menghina anak negeri dengan sikap angkuh serta tamak haloba.

Selembar demi selembar, saya disentuh oleh kenyataan pahit yang tidak pernah bersisa daripada sejarah: 

"Dalam usaha menegakkan kebenaran, ujian datang bertindih-tindih. Ada yang menangguk di air keruh. Ada yang menjadi talam dua muka. Ada pula yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri kerana kepentingan diri yang sempit. Inggeris pula bijak bermain jarum, memecahbelahkan, memfitnah, dan meracik perpaduan rakyat sedikit demi sedikit." 

Saat saya menekuni bab terakhir, hati saya tiba-tiba dihimpit rasa sayu. Ada luka halus yang terbuka, bukan kerana cerita itu baharu selesai saya baca, tetapi kerana ia mengingatkan kembali betapa mahalnya harga sebuah perjuangan. 

Dan di antara sunyi malam yang menemani bacaan saya, saya terfikir: Demikianlah sejarah.. Kadang ia jauh di belakang, tapi gema perjuangannya tetap mengetuk dada hari ini.

Judul yang sama tetapi berlainan edisi

Monday, 15 December 2025

Rindu masakan mak.. kasih sayang dan kenangan

foto hiasan ~ sumber

Pernah tak kita terfikir, kenapa masakan mak sentiasa sedap? Walaupun dia cuma “campak-campak” bahan dalam kuali, tak ukur beria pun garam berapa, bawang berapa, minyak banyak mana, tapi hasilnya tetap buat kita tambah nasi tanpa sedar. 

Sebenarnya, dalam masakan mak ada sesuatu yang kita tak boleh tiru. Yang masuk dalam masakan mak bukan sekadar bahan, bukan juga keterpaksaan, tetapi kasih sayang yang tak pernah berkurang walau sehari. 

Mak tak pernah memasak kerana terpaksa. Dia masak sebab itu bahagian dari cinta yang dia hulurkan tanpa suara. 

Setiap hirisannya ada doa. Setiap senduknya ada harapan. Setiap lauknya ada rela hati yang mahu anak-anak kenyang, sihat, dan bahagia. 

Kita kadang-kadang cuba masak menu yang sama. Resipi ikut tepat. Bahan pun sama. Tapi, rasa tetap tak serupa. Ada sesuatu yang hilang.. 

Itulah rahsianya. Dalam masakan mak ada dua ramuan yang tak boleh dibeli, tak boleh dipinjam, dan tak boleh dipalsukan: kasih sayang.. dan kenangan

Kenangan bangun pagi bau tumisan. Kenangan waktu kecil duduk di dapur tunggu mak suapkan. Kenangan makan sama-sama masa hujan. Kenangan yang buat hati kita pulang sebelum kaki kita sempat kembali ke rumah. 

Kadang-kadang, bila rasa rindu, kita bukan rindu lauk mak saja. Kita rindu diri kita yang pernah duduk di sisi mak, tanpa risau apa-apa, cuma menunggu nasi panas dihidang. 

Masakan mak, sebenarnya bukan sekadar makanan. Ia adalah potret cinta yang disajikan setiap hari, dengan cara paling sunyi.. paling sederhana.. tapi paling masuk ke dalam jiwa.

#rindu mak 

Sunday, 14 December 2025

Sarapan pagi, jepuk musim hujan

 

'Jepuk (cekodok) - sedap pulak makan time hujan ni..' 

Asalnya mahu keluar sarapan pagi bersama Ummu Ikhwan. Seperti biasa, pilihan kami tentulah warung kecil di tepi jalan kampung, yang kopinya sederhana, tetapi suasananya sentiasa terasa akrab dan menenangkan. 

Namun hujan turun sejak selepas subuh, perlahan-lahan pada awalnya, kemudian semakin menjadi. 

“Tak apalah, hari lain kita pergi,” tutur Ummu Ikhwan, nada suaranya lembut dan redha. 

Jika diikutkan, boleh sahaja kami keluar. Bukannya ribut, bukannya hujan lebat. Tapi entah kenapa, dalam hujan begini, rasa malas itu datang tanpa dipanggil. Barangkali kerana tubuh mahu berehat, atau jiwa mahu diam seketika. 

Saya menjangkakan hujan cuma singgah sebentar. Rupanya ia setia menemani pagi hingga santak Zohor barulah ia sidang. Itu pun masih renyai-renyai, berkabus, dan langit terus mendung seolah-olah belum bersedia melepaskan awan. 

Hujan begini (di tempat saya), kalau diikutkan hati, tidurlah yang paling nikmat. Berbungkus dalam selimut, bunyi titisan hujan menjadi zikir alam, dan mata pun terpejam tanpa dipaksa, alamatnya tengah hari baru terjaga. 

Tapi dalam malas itu, ada nikmat kecil yang sering kita terlepas pandang. Nikmat duduk diam. Nikmat menangguhkan yang dirancang tanpa rasa rugi. Nikmat menerima bahawa tidak semua hari perlu diisi dengan keluar dan berjalan. 

Ada hari yang Allah jadikan untuk kita berhenti seketika. Untuk duduk di rumah, mendengar hujan, dan mensyukuri sederhana. Kerana bahagia itu bukan selalu di warung hujung kampung, kadang-kadang ia hadir di ruang tamu yang sunyi, bersama secawan air panas dan hati yang tenang. 

Dan pagi itu, kami memilih untuk tidak ke mana-mana, dan kami bersama membuat jepuk (cekodok) air gula untuk dinikmati pagi sebelum makan tengahari.

Friday, 12 December 2025

Salam Jumaat: Syukur itu tenang

foto hiasan ~ sumber

Syukur itu cahaya yang menenangkan jiwa. Biar langkah perlahan, asal hati tenang dengan redha. Tidak semua yang kurang itu kekurangan, kerana kadang di sebalik yang sederhana, Allah titipkan bahagia yang luar biasa. 

Syukur menjadikan sedikit terasa cukup, dan yang sederhana jadi indah. Hati yang tahu berterima kasih, tidak pernah merasa miskin, kerana dia kaya dengan rasa tenang. 

Setiap pagi adalah hadiah, setiap nafas adalah nikmat, setiap detik adalah kesempatan. Maka ucaplah syukur, kerana syukur itu jalan menuju bahagia tanpa sempadan. 

"Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Al-Nahl: 114)

Thursday, 11 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 10): Jejak Yang Tak Kembali

Baca di sini Part 9 

foto hiasan ~ sumber 

Hidupku di kampung ini terus berjalan dalam harmoni dan sederhana, membantu Pak Andak ke pasar pagi setiap hujung minggu, mengangkat bakul hasil jualan, menyusun hasil kebun, dan sesekali bergurau dengan Busu yang tetap ceria. 

Walaupun masih ada pandangan sinis dari sesetengah orang kampung terhadap asal-usulku, tetapi aku belajar menjadi tenang, tidak memaksa diri untuk diterima. Sejarah bukan sesuatu yang boleh aku gentarkan dengan tangan. Aku hanya mahu hidup sebagai insan yang hadir, bukan mengubah takdir. Asalkan keluarga Pak Andak menerimaku seadanya itu sudah memadai. 

Namun takdir itu sendiri kadang memilih untuk menyingkap rahsia kita. 

Mula dipandang dan diterima 

foto hiasan ~ sumber

Pagi itu, pasar pagi seperti biasa, hiruk-pikuk suara tawar-menawar, aroma kuih-muih dan pucuk daun yang masih segar dibasuh embun. 

Pak Andak seperti biasa menyusun ulam di atas meja. Aku membantu, sementara mata kadangkala melirik ke arah Seri Seroja bersama ibunya yang sibuk di gerai jiran, membeli kuih puli dan kuih dangai. Senyumannya seperti embun yang melekat di hujung rumput, tenang, jujur, dan membuatku lupa bahawa aku bukan dari sini. 

Tiba-tiba, pekikan nyaring meruntuhkan kesunyian pagi. 

Beberapa lelaki berwajah bengis menyerbu ke dalam pasar, mencetuskan kekecohan. Mereka memaki, melanggar gerai, menendang bakul hasil tani. Seorang daripadanya mengacukan parang ke arah orang tua yang cuba menegur. 

Pasar menjadi porak-peranda. 

Dan di tengah-tengah itu.. Datuk Penghulu Bendahari, yang sedang melakukan rondaan bersama beberapa pengiring. Malangnya, saat genting itu, pengawal-pengawal beliau melarikan diri ketakutan. Orang ramai berselerak. 

Dan entah kenapa.. aku tidak bergerak. Seakan ada sesuatu dalam tubuhku yang terpelanting keluar, sesuatu yang lama tersimpan. 

Langkahku laju, menebuk celahan orang ramai. Aku berdiri di hadapan Datuk Penghulu Bendahari. 

Tangan kutegap ke sisi. “Datuk, berlindung di belakang hamba.” 

Tanpa suara, aku mengatur nafas. 

Langkah silat gayung, silih berganti dengan buah kalimah dan tari sendeng. Semua yang kupelajari dahulu dari tiga perguruan utama silat di zamanku, tiba-tiba mengalir dalam gerak tubuhku. Lincah. Cermat. Penuh tenaga. 

Satu demi satu, mereka kutangkis. Ada yang tertolak, ada yang terduduk, dan seorang hampir tersungkur ke dalam parit kecil di sisi pasar. 

Tangan ini, yang dahulu hanya menggenggam alat teknologi moden, kini menjadi dinding untuk sejarah masa silam. 

Dan tanpa aku sedari, Alang dan rakan-rakannya menjadi saksi. 

Dari jauh, aku nampak wajahnya. Tidak lagi garang tetapi tercengang. Antara kagum dan terpinga. Dia tidak berkata apa-apa.. tetapi mata itu telah berkata cukup banyak. 

Peristiwa itu menjadi bualan orang kampung. Namaku disebut bukan lagi sebagai “orang asing yang dipungut Pak Andak”, tetapi sebagai penjaga kehormatan pasar. 

Beberapa hari kemudian, Datuk Penghulu Bendahari mengadakan majlis kesyukuran dan majlis untuk menghargai keberanian. Seisi kampung diundang. 

Aku, Pak Andak, Mak Andak, Seri Seroja, dan Busu turut bersama, duduk di sisi, wajah mereka bangga. 

Datuk Penghulu menyuakan tangannya kepadaku. “Anak muda.. asalmu mungkin jauh, tapi keberanianmu dekat dengan hati kami.” 

Aku hanya tunduk. Dunia ini bukan tempatku, tetapi mengapa aku mula merasa seperti.. aku telah menjadi sebahagian daripadanya? 

Dan sewaktu semua hadirin mula untuk menjamah juadah, Alang menghampiriku. Dia tidak berkata apa-apa. Tapi tangannya terhulur untuk berjabat tangan. 

Dan pada saat itu, aku tahu, dendam kecil telah luntur menjadi hormat. 

Bersambung Part 11.. 

Tuesday, 9 December 2025

Alkisah sarapan pagi ini

Kenal lagi kat aku ye Budin..

Pagi ini, seperti biasa aku menunggu roti telur dan teh O limau, sarapan ringkas yang selalu menjadi peneman hari-hari yang tenang. 

Belum sempat makanan tiba, ada sahabat kecil datang memanjat kerusi yang kududuki. 

“Eh Budin.. kamu kenal lagi aku, ya?” “Lama dah aku tak singgah makan di sini.” 

Budin adalah panggilan yang kuberikan padanya. Si kucing comel yang selalu muncul setiap kali aku bersarapan di warung ini. Tidak pernah gagal menemaniku. Dan kalau sudah menemani, tentu ada rezekinya. 

Hari ini aku pesan roti telur. Maknanya, roti untukku.. dan telur, seperti selalu, rezeki untuk Budin. 

Melihat dia makan perlahan-lahan, sambil ekornya bergoyang gembira, hati aku tiba-tiba jadi syahdu. Rezeki Allah itu luas. Budin datang sebagai seekor kucing yang mengingatkan aku untuk berkongsi walau sedikit. 

Dan pagi ini, syukur rasanya.. Aku kenyang, Budin pun senang.

Manja Budin lepas makan

Monday, 8 December 2025

Kisah lama yang masih bernafas


Novel lama setebal 96 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak mengambil masa lama pun untuk saya khatamkan. Judulnya 'Kisah Di Sempadan', cetakan pertama tahun 1979, tulisan Nazel Hashim Mohamad. 

Sebuah cerita pengembaraan berlatar sempadan Malaysia–Negeri Thai, tentang sekumpulan pelajar yang akhirnya berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Kisah yang ringkas, tetapi tegang dan hidup, penuh ketekunan, kebijaksanaan dan keberanian. 

Buku-buku lama seperti ini membawa saya kembali ke zaman sekolah. Ada masanya saya jumpa di perpustakaan sekolah, ada ketikanya kakak-kakak saya yang meminjamnya di perpustakaan, lalu saya pinjam pula untuk dibaca. Dan saya, seperti biasa, akan membaca sepantas mungkin, sebelum buku itu dipulangkan semula. 

Entah kenapa, setiap kali membuka buku lama, terasa seperti membuka semula pintu kenangan. Ada bau nostalgia, ada gema suara masa lalu, dan ada saya yang kecil, duduk di beranda, membaca dunia yang tak pernah saya jejaki, tetapi tetap saya rindui.

Sunday, 7 December 2025

Hari ini adalah hari Haikal

'Moga sentiasa sihat anakanda yang istimewa'

Dalam pejam dan celik, silih hari yang bergulir, dengan belas kasihan-Nya telah menyampaikan kami sehingga ke saat ini. 

Syukur, terima kasih Tuhan atas nikmat ini, yang sentiasa tercurah tanpa berkira-kira sedangkan amat sedikit yang kami panjatkan di dalam doa. 

Selamat hari ulang tahun kelahiran buat 'Haikal yang istimewa' pada hari ini. 

Dialah yang meresahkan dada abi dan ummi, dia juga yang menyejukkan mata dan mendamaikan hati abi dan ummi. 

Dialah 'si Haikal yang istimewa'. Mudah-mudahan menjadi penolak kami semua ke syurga Ilahi yang abadi.

Saturday, 6 December 2025

Alhamdulillah, Pagi Yang Basah, Hati Yang Tetap Melangkah


Pagi ini, azan Subuh baru sahaja berkumandang, bunyi hujan sudah memukul bumbung rumah seperti gendang yang tidak sabar-sabar. 

Aku hanya mampu mengeluh kecil, "Nampaknya kensel lah brisk walk pagi ni..". Ada sedikit kecewa.. Nak buat macamana. Tapi hujan kan rezeki, hujan kan rahmat. 

Masuk hampir jam 8, hujan mula malu-malu. Turun renyai, berkabus, macam dia pun sedang fikir nak berhenti ke nak sambung. Aku pula cepat-cepat bersiap, pakai baju sukan, capai kasut, dan siapkan kuda perang, beroda dua. 

Alhamdulillah, hujan berhenti sepenuhnya. Masih ada titis halus, tapi langit sendu tetap memberi peluang. Perjalanan ke trek Balok Pine pun lancar. 

Target aku: 10 pusingan. Itu pun kalau langit tak buat perangai lagi. Masuk pusingan kelima.. Haa, hujan datang balik tanpa segan-silu. Aku terus berhenti dan berlindung di gazebo. 


Sedikit terkilan, ya.. tapi badan sudah panas, peluh pun dah keluar. Lima pusingan tetap lima pusingan. Lebih baik daripada tiada langsung. Betulkan?

Kadang-kadang kita lupa bersyukur pada yang sedikit, sedangkan yang sedikit itulah yang membuka ruang untuk yang lebih besar. 

InsyaAllah kalau cuaca mengizinkan, petang nanti aku sambung lagi. Mungkin aku singgah ke Tasik Pelindung pula, treknya lebih panjang, anginnya pun lebih manja. 

Hari hujan pun boleh jadi indah, asalkan hati tetap mahu melangkah.😊

Thursday, 4 December 2025

Pertama Kali Cuba Goreng Pisang Dengan Sambal Kicap

Eksperimen hari ini

Hari ini saya buat satu eksperimen kecil yang mungkin boleh menggoncang identiti orang Pahang saya, goreng pisang dicicah sambal kicap. 😄

Ya, sambal kicap. Benda yang saya selalu dengar, tapi tak pernah rasa. Selama ini goreng pisang bagi saya ialah “makanan suci” yang dimakan begitu sahaja.. atau kalau nak bergaya sikit, cicah air lada. Standard Pahang. 

Cerita asalnya bermula bertahun dulu. Seorang sahabat kerja (dah bersara pun), orang Tanjung Sedili, Kota Tinggi, pernah beritahu: “Eh, kami kat Johor makan goreng pisang cicah sambal kicap tau.” 

Masa itu saya terus terdiam. Dalam hati, “Hah? Betul ke ni atau dia nak prank aku?” Maklumlah, kita ni membesar dengan budaya goreng pisang versi ‘single’, tiada pasangan, tiada sos, tiada drama. 

Tapi hari ini, entah kenapa saya tergerak hati nak cuba juga. Pisang nangka beli dengan sahabat yang berkebun, sambal kicap pula baru belajar melalui YouTube (YouTube ni kadang-kadang lebih boleh diharap daripada kawan bagi resepi). 

Dan bila saya cicah.. dan saya rasa..  

Eh, boleh tahan juga! Mulut saya pun macam terkejut kecil, tapi terkejut yang gembira, bukan terkejut macam jumpa biawak dalam stor. 

Lulus! kena dengan tekak 😁

Rupanya manis pisang dan pedas-manis sambal kicap tu saling melengkapi. Macam pasangan drama Melayu, mula-mula pelik, lama-lama sweet. 

Kesimpulannya, hari ini saya belajar satu perkara: Jangan pandang pelik makanan orang lain selagi kita tak cuba. Kadang-kadang yang kita anggap ‘aneh’ itulah yang sebenarnya mungkin sedap. 

Dan.. saya rasa saya dah faham kenapa orang Johor bangga dengan sambal kicap mereka.

#Tapi goreng pisang cicah air lada tetap pilihan utama😁

Dua 'S' : Senjata Ulung Dalam Keluarga

foto hiasan ~ sumber

Dalam hidup berkeluarga, kita tak selalu menang dengan hujah. Kadang-kadang kita menang dengan budi. 

Dan dua benda paling kecil tapi paling kuat kesannya ialah: Senyum dan Senyap

Senyum itu sederhana, tapi dia boleh mencairkan hati yang sedang tegang. Kadang orang marah bukan sebab isu besar, cuma sebab hati letih. Senyum kita boleh jadi ubat yang tak dijangka. 

Senyap pula bukan tanda kalah. Senyap yang bertempat itu tanda kita memilih damai. Bila nada mula naik, bila emosi dah mula goyah, diam seketika boleh selamatkan banyak hati. 

Senyum selesaikan banyak masalah. Senyap elakkan banyak sengketa. 

Dan bila dua-dua ini digunakan dengan hikmah, rumah pun terasa lebih sejuk, jiwa lebih tenang, dan sayang pun tumbuh tanpa banyak suara.

Mudah-mudahan.. 

Tuesday, 2 December 2025

Pengembaraan Masa (Part 9): Konflik di Pinggir Sawah

 Baca di sini Part 8 

foto hiasan ~ sumber

Sejak peristiwa perbalahan dengan Alang di pinggir sawah tempoh hari, aku memilih untuk menyimpannya jauh di sudut paling dalam. Biar luka itu aku yang tanggung, biar parutnya hanya aku yang tahu. 

Kepada Busu pun aku tegaskan, “Jangan cerita pada sesiapa, terutama pada Pak Andak.” 

Aku tak mahu menambah resah di wajah lelaki tua itu, wajah yang sejak awal menerima aku seperti anak sendiri, walau asal-usulku menjadi pertanyaan yang tak berjawab. 

Beberapa hari berlalu, dan aku berusaha menjauh sejauh-jauhnya daripada Alang. Namun, tidak bagi dia. Langkahnya seperti bayang gelap yang sentiasa mengejar matahari, tak pernah berhenti, tak jemu mencari peluang untuk menyalakan bara. 

Pernah suatu petang, ketika aku dan Busu sedang memancing di tali air, tenang angin sawah tiba-tiba bertukar menjadi ribut. Alang muncul bersama tiga orang kuncunya. Senyum mereka sinis, bersulam niat yang tidak baik. 

Sebelum sempat aku bangun, joran kami dipatahkan satu-persatu seperti ranting kering. Busu menjerit kecil, tetapi aku hanya mampu menggenggam penumbuk. 

Dan ketika aku melangkah setapak ke depan, Alang menolak dadaku dengan kasar. Tubuhku hilang imbangan lalu terjatuh, menyelam dalam air keruh yang memercikkan lumpur dan kehinaan. 

Jangan ganggu kami!” jerit Busu sambil cuba menghalang mereka, namun dia juga didorong ke tepi. 

Ketika pulang petang itu, Pak Andak menunggu di serambi. Tatapan matanya tajam tetapi berlapik risau. “Kenapa baju basah?” soalnya. 

foto hiasan

Aku menarik nafas dalam-dalam. “Tergelincir di tali air,” jawabku ringkas, cuba menyembunyikan getar pada suara sendiri. 

Aku tak tahu sama ada Pak Andak percaya atau tidak. Cuma aku nampak renungan panjangnya seolah-olah mengukur sesuatu yang aku sendiri tidak nampak. 

Beberapa hari kemudian, rahsia yang aku cuba kuburkan mula timbul juga ke permukaan. Seperti bangkai, seperti bau busuk yang tak mungkin ditutup selamanya. 

Petang itu, ketika aku membantu Pak Andak dan Mak Andak mengikat daun nipah, Pak Andak tiba-tiba bersuara, tenang, tetapi tajam seperti pisau yang sering diguna untuk menyadap mayang nipah. 

“Aku dengar kau bergaduh dengan anak ketua kampung,” katanya tanpa memandang aku. Aku tersentak. Hati serasa jatuh ke buku lali. 

“Err.. mana Pak Andak tahu?” tanyaku dengan suara yang seperti hilang separuh keberanian. 

“Orang kampung bercerita..” Pak Andak menutup kata-katanya sambil memandang terus ke mataku. 

“Zahran, kau kena tahu.. dunia sini tidak sama dengan dunia yang kau tinggalkan. Di sini, setiap langkah membawa akibat. Dan setiap musuh yang kau dapat.. boleh jadi penentu takdirmu nanti.” 

Kata-katanya tidak tinggi, tetapi cukup untuk membuatkan hatiku bergetar. Ada sesuatu di sebalik nasihat itu. Sesuatu yang lebih besar daripada sekadar pergaduhan budak kampung. 

“Yalah Zahran, Mak Andak pun bimbang apa-apa yang terjadi kepada kamu,” Mak Andak pula menyambung, suaranya bergetar perlahan. 

Di angin senja yang mulai dingin, aku sedar.. konflik kecil yang bermula di tepi sawah itu mungkin hanya permulaan kepada arus besar yang bakal menelan aku. 

Dan jauh di dada langit, burung-burung putih berterbangan, seolah-olah menjadi saksi kepada bab kecil yang semakin menapak menjadi takdir. 

Bersambung Part 10.. 

Monday, 1 December 2025

Selesai bacaan 'Pelanduk Hutan Keningau'


Selesai saya menghadam sebuah novel nipis, hanya 122 halaman semuanya. Tak lama pun untuk dikhatam, tapi 'rasa' yang ditinggalkan.. panjang. 

Buku ini adalah antara buku lama yang saya miliki, cetakan pertama tahun 1989, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judulnya Pelanduk Hutan Keningau karya Mahmud Eddie, sebuah judul yang kedengaran sederhana, tapi rupanya menyimpan dunia kecil yang tidak dijangka. 


Kisahnya tentang tiga remaja — Tumin, Salbin dan Justin, yang mengembara ke pedalaman Sabah. Niat asal hanya mahu melihat pelanduk, sambil menimba pengalaman di hutan Keningau. Namun hutan tak selalu sekadar hijau dan tenang; kadang-kadang ia menyembunyika n sisi manusia yang lebih gelap. 

Penipuan dan kerakusan, rupa-rupanya, bukan hanya milik kota. 

Di dalam hutan belantara pun ia tumbuh diam-diam. 

Tumin, Salbin dan Justin, ditemani Suin dan abangnya, Mijan, akhirnya terperangkap oleh satu kumpulan yang jalankan kegiatan tersembunyi di tengah hutan. Dalam kekalutan, Justin dan Salbin berjaya meloloskan diri.. meski tidak sepenuhnya selamat. 

Salbin pengsan di tepi anak sungai. Justin pula sesat dalam hutan yang luas dan sunyi. 

Mijan, anak muda keturunan Murut pengsan dipukul kerana cuba melawan. 

Apakah sebenarnya dilakukan oleh kumpulan yang menawan Tumin dan rakan-rakannya? 

Saat saya membaca helaian demi helaian, saya seperti ikut berjalan bersama mereka. Dingin embun di hujung dedaun, bunyi serangga, dan rasa cemas yang tak menentu.. semuanya macam hidup kembali dalam imaginasi. 


Dan yang paling mencuit hati, halaman-halaman yang disertakan ilustrasi. Ilustrasi yang ringkas, gaya buku cerita zaman sekolah rendah dulu-dulu. Sekali pandang saja, terus saya terimbas kembali saat duduk bersila di kerusi kayu perpustakaan sekolah, baca buku tanpa sedar hari dah lewat. 

Ada sesuatu pada buku lama: bau kertasnya, nadanya yang jujur, dan kenangan yang datang tanpa disuruh. 

Begitulah Pelanduk Hutan Keningau buat saya, tipis saja, tapi penuh rasa. 

Kadang-kadang, buku kecil pun mampu membuka pintu memori yang besar.