Sahabat Sejati

Saturday, 1 November 2025

Sarapan Bersama Ummu Ikhwan di Warung Kecil

Pagi ini, aku bersarapan bersama Ummu Ikhwan. Tak jauh mana pun, masih dalam lingkungan lokaliti sendiri, tempat yang sudah akrab dengan langkah dan pandangan mata. Kami memilih untuk singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan kampung, warung yang atapnya zink, dindingnya papan separuh, tapi suasananya.. luar biasa damai. 

Aku seperti biasa, memilih roti kahwin, roti lembut paduan roti telur dan roti kosong, kemudian dipanggang hingga keperang-perangan, cukup untuk membangkitkan nostalgia zaman dulu. Ummu Ikhwan pula tidak pernah berubah, tetap setia dengan kegemarannya, roti sardin panas yang baru diangkat dari kuali. 

Sambil ‘mencicip’, kami berbual santai tentang hal-hal kecil yang indah, tentang hari semalam, tentang pokok jambu di halaman rumah yang mula berputik, tentang burung-burung yang setiap pagi datang bertandang di pagar. Di sekeliling, pohon kelapa melambai perlahan, dan dari jauh kedengaran bunyi ayam jantan masih bersahut-sahutan. 

Aku menghirup indo-cafe panas pekat yang dihidang dalam gelas kaca. Wapnya naik lembut, mengisi udara dengan aroma yang mesra di hidung. Angin pagi menyapa lembut wajah, membawa bersama rasa syukur, kerana dalam hidup yang serba pantas ini, masih ada waktu untuk berhenti sejenak, menikmati pagi dengan tenang, ditemani insan yang dekat di hati.

Thursday, 30 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 5): Rahsia Yang Dititipkan Masa

 Baca di sini Part 4

foto hiasan ~ sumber

Pagi di desa ini.. tidak pernah bising dengan enjin, tidak pernah sesak dengan berita yang meresahkan jiwa. 

Yang ada hanya kokokan ayam jantan bersahut-sahutan, daun kelapa bergesel lembut, dan unggas dari belukar memuji Tuhan dalam bahasa yang hanya alam mengerti. 

Embun pagi menyentuh pipi seperti kasih ibu yang merindui anaknya pulang. Dan aku menurut langkah Pak Andak dan Busu ke sawah, lewat lorong tanah padat yang dipijak generasi demi generasi, diapit buluh yang melengkung dan senduduk ungu yang tumbuh tanpa dipinta. 

Di sini, hidup bersandar pada alam. Rumah kayu beratap nipah dan ijok, dapur berasap kayu, bunyi alu dan lesung bernyanyi dari serambi rumah, dan anak-anak ketawa mandi sungai, membina rakit dari batang pisang. 

Tiada siapa mengejar masa. Di sini, masa yang mengalir perlahan.. menenangkan jiwa. 

Dan entah sejak bila, aku sendiri sudah mula selesa, selesa hidup tanpa telefon, tanpa skrin, tanpa berita yang menghakis iman perlahan-lahan. 

Seolah aku kembali kepada fitrah. Hidup untuk Tuhan, untuk tanah, untuk sesama manusia. Bukan untuk dunia yang menggantikan rasa dengan angka, dan menggantikan hati dengan mesin.

Seri Seroja 

Seri Seroja. Nama itu sendiri seperti kelopak doa yang gugur ke tasik senja. 

Dia tidak banyak bicara, tetapi wajahnya membawa satu teduhan yang jarang ditemui di zaman aku datang. Lembut, sopan, dan setiap tunduk matanya adalah maruah dan budi yang tidak perlu dipromosikan. 

Dia membantu di dapur, menjahit di serambi, dan kadang-kadang bersenandung gurindam lama dengan suara serendah angin petang. Aku cuba menjaga jarak, tetapi mata sering tewas, bukan kerana parasnya.. tetapi kerana dia adalah jelmaan ketenangan zaman ini. 

Namun aku tahu, aku tidak boleh. Aku bukan dari sini. Dan takdir di zaman ini bukan milikku untuk disentuh sesuka hati

"Jika aku menyentuh satu helaian pun dari takdir zaman ini, mungkinkah sejarah juga akan bergeser, akan berubah?" 

Lalu aku simpan rasa itu, dalam diam, dalam doa, dan dalam setiap tarikan nafas yang aku sembunyikan dari mata dunia.

Rahsia Masa Yang Dibawa 

foto hiasan ~ sumber

Mereka tidak akan mengerti jika aku katakan bahawa aku datang dari masa yang belum wujud bagi mereka. Mereka tidak akan faham tentang kereta yang meluncur tanpa kuda, tentang lampu yang menelan gelap hanya dengan satu sentuhan, atau tentang suara manusia yang terbang melalui udara. 

Sekali aku tersasul menyebut “kereta”, dahi Pak Andak berkerut kecil. Mujur aku cepat menukar kisah, menukar nada, menukar jalan cerita. 

Di sini, lidah bukan sekadar alat bercakap, ia benteng masa. Aku belajar menapis kata, merendahkan bicara, memelihara adab, mengatur bahasa agar dinding zaman tidak pecah oleh kelalaianku sendiri.

"Jika aku gagal menyesuaikan diri, masa akan menelan aku." 

Maka aku belajar. Belajar menerima takdir tanpa menyoal terlalu banyak. Belajar membungkus rindu pada keluarga dan dunia lampu neon. Belajar menjadi insan baru di bumi lama yang suci dan mulia ini. 

Petang itu, ketika aku mengangkat memenuhkan air di dalam tempayan, aku terdengar suara Pak Andak melalui celah papan:  

“Aku rasa.. dia bukan orang sini. Tapi tak apa. Kalau Allah kirimkan dia, tentu ada hikmah-Nya.” 

Tanganku kaku. Tali timba basah dan dingin, dan hatiku pecah perlahan seperti air yang menitis dari hujung timba ke tanah. 

Sudahkah mereka meneka? Atau aku sedang menunggu suatu ujian, ujian untuk memilih antara kembali ke dunia aku, atau kekal di zaman yang mula menghidupkan jiwaku semula? 

Angin petang menyisir wajahku lembut. Aku pejamkan mata, perlahan.

“Jika benar Kau kirimkan aku ke sini, Ya Allah.. tuntunlah aku dalam hikmah yang belum aku nampak.” 

Dan malam itu, buat pertama kalinya, aku tidak lagi bertanya bila aku akan pulang. Sebaliknya, aku bertanya dengan hati yang berat dan jujur: 

"Adakah aku mahu kembali?"

Bersambung Part 6.. 

Pengembaraan Masa (Part 4): Tersangkut Antara Langit Dan Waktu

Baca di sini Part 3 

foto hiasan ~ sumber 

Sudah dua hari aku di sini. Langit di tanah ini.. seakan-akan lebih luas daripada langit yang pernah memayungi kehidupanku di masa yang kutinggalkan. Birunya dalam, jernih tanpa hiruk pikuk asap kota; seolah-olah setiap hela nafasku menyingkap tirai baru yang selama ini tidak pernah aku sedari wujud dalam hidup. 

Subuhnya pekat. Bukan sekadar gelap, tetapi gelap yang bersujud. Unggas masih belum lena, desah malam masih mencari tempat berteduh sementara embun menggigil di hujung daun. Udara yang singgah ke dadaku terasa seperti zikir alam, membasuh resah masa yang kubawa dari dunia lain. 

Di rumah bertiang empat belas itu.. beratap nipah yang luas memayungi rasa aman, dan lantainya dari papan jati tua yang kukuh. Rumah itu tidak tercatat di mana-mana peta sejarah yang pernah aku baca.  Namun hatiku tahu, inilah persinggahan yang DIA pilihkan untuk roh dan jasadku menghela nafas kembali. 

Pak Andak Musa, lelaki pertengahan usia, berwajah garang pada mata yang pertama, tetapi senyumnya bening seperti air telaga selepas hujan. 

Mak Andak Rukiah, halus tutur kata, halus hatinya. Tidak pernah bertanya dari mana aku datang, tidak juga hairan mengapa aku datang tanpa bekal, tanpa saudara, tanpa sekeping masa yang jelas. 

Mereka menyambutku bukan dengan syak, tetapi dengan redha. Dan dalam diam, aku malu pada kelembutan itu. 

foto hiasan ~ sumber

Setiap pagi aku turun ke bendang bersama Pak Andak. Kaki meredah tanah lembut, lumpur melekat di betis, burung bangau bertenggek di badan kerbau sambil mengintai rezeki. Pak Andak tenang, diam lebih banyak daripada berkata-kata. Sesekali beliau menoleh, mengajar dengan bahasa mudah:

“Jangan lawan sawah.. ikut nafas tanah.” 

Aku hanya mengangguk, meskipun dalam hatiku bertanya.. berapa lama lagi aku akan mengikut nafas tanah orang lain? 

Tengah hari, matahari memaku bayang ke bumi. Aku membantu Busu membawa gugusan daun tembesu ke kandang kambing, membetulkan titi kecil dari buluh di belakang rumah, atau membelah kayu hingga bahu terasa seperti disiat. Tetapi letih itu.. letih yang membahagiakan. Letih yang mendidik hati supaya tunduk pada kehidupan alam. 

Petang datang dengan angin dari hujung sawah. Kanak-kanak kampung ketawa berkejaran, gasing berputar, layang-layang bernafas di langit. Aku memandang mereka, terasa masa seolah-olah memegang bahuku dan berbisik: 

“Beginilah dunia sebelum kau belajar berlari mengejar masa.” 

Dan malamnya, aku bersama Pak Andak ke surau kecil di tengah kampung. Lampu minyak bergoyang, bacaan imam meresap damai, lantai tikar mengkuang sejuk di dahi. Seusai solat, aku hanya duduk di anjung rumah, memandang langit yang penuh bintang-bintang yang di zaman aku sudah lama mati ditelan cahaya lampu jalan dan gedung tinggi. 

Namun yang paling sukar.. bukan kerja sawah, bukan sunyi malam, bukan bahasa lama yang perlu aku kunyah lembut di lidah. Yang paling sukar adalah menyembunyikan siapa aku sebenarnya.

Bersambung Part 5.. 

Wednesday, 29 October 2025

Perjalanan ke Raub – Menyusuri Jejak Ziarah Mahabbah

sumber foto

Jam menunjukkan 8.30 pagi. Tayar kenderaan mula bergolek perlahan, melanyak aspal jalan yang keras dan berkilau di bawah cahaya matahari yang baru memanjat kaki langit. Angin pagi masih segar, menyapa lembut wajah kami bertiga yang dalam rangka perjalanan ke daerah Raub, sebuah daerah yang sarat dengan nostalgia dan damai kehijauan bukit-bukau. 

Di kiri kanan jalan, kabus pagi masih bersisa di celah pepohonan, menebar suasana tenang dan syahdu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Destinasi pertama kami ialah pejabat MUIP, bagi menghadiri mesyuarat berkenaan program Ziarah Mahabbah di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol. Mesyuarat yang dijadualkan bersama Pengurus Majlis Ugama Islam Islam Pahang MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang, JAKOA, PERKIM Raub dan PMOA JAKIM berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni. 

Mesyuarat di MUIP

Masing-masing membawa semangat yang sama, untuk menjalin kasih, mengukuh ukhuwah dan memperluas dakwah kasih sayang dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Di meja mesyuarat yang sederhana itu, kami bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi menyatukan niat dan doa agar perjalanan misi ini diberkati Tuhan. 

 Ke KOA Sungai Yol

Selesai mesyuarat, kami meneruskan perjalanan ke KOA Sungai Yol. Jalan menuju ke kampung itu berlekok dan sempit, dikelilingi kehijauan rimba yang sesekali menyingkap pemandangan aliran kecil di tepi jalan. Airnya jernih, mengalir tenang seolah-olah menyambut kedatangan kami. 

Di celah dedaun hutan, suara burung bersahutan, irama alam yang menenangkan jiwa dalam perjalanan yang sederhana namun bermakna. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari di tepi jalan tanah merah, melambai sambil tersenyum malu, wajah polos yang membawa damai ke dalam hati. 

Timbalan tok batin Medang menyambut kami, tok batin tiada kerana pergi berubat 

Di penghujung jalan, kami disambut mesra oleh Timbalan Tok Batin, iaitu Medang, sosok berwajah teduh dengan senyum yang mengundang hormat. Langkahnya perlahan namun penuh wibawa, mencerminkan seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakatnya. 

Tujuan kami jelas, mendapatkan beberapa maklumat tentang penduduk kampung, sebagai persiapan awal untuk menjayakan program yang mendekatkan hati antara masyarakat Islam dan saudara-saudara kita di pedalaman. 

Sambil berbual di serambi rumahnya yang sederhana, angin hutan meniup lembut kain langsir lusuh yang menutupi jendela. Aroma suasana kampung menginjak petang menambah kedamaian. Sesekali mata saya memandang ke arah bukit yang biru di kejauhan, lalu terlintas dalam hati, betapa luasnya kasih Tuhan yang mempertemukan insan-insan dari dua dunia yang berbeza di bawah satu payung rahmah. 

Di tengah kehijauan dan kesederhanaan itu, saya belajar sesuatu yang besar, bahawa dakwah bukan hanya tentang bicara di pentas atau pena di kertas, tetapi tentang hadir dan menghulur tangan dengan kasih. 

Perjalanan ini mungkin sekadar urusan kerja di atas kertas, namun jauh di dasar hati, saya tahu, setiap langkah ke perkampungan ini adalah langkah menuju kasih, menuju pengertian, menuju mahabbah yang sejati.