Sahabat Sejati

Showing posts with label rehat minda. Show all posts
Showing posts with label rehat minda. Show all posts

Tuesday, 22 September 2026

Coret-coret malam ini..

'2 lagi buku untuk bulan September'

Suasana malam ini tenang betul, tambah-tambah lagi bila hujan mula turun lepas maghrib tadi. Boleh tahan juga lebatnya. 

Sekali-sekala terdengar guruh dan nampak kilat menyambar, tapi yang paling lega mestilah bahang panas yang mencucuk-cucuk semenjak dua menjak ni terus hilang. Rasa sejuk sikit bilik malam ni! 

Paling penting, harapkan hujan ni dapatlah 'membasuh' jerebu yang menebal kat luar tu. Alhamdulillah, tempat saya sendiri bacaan IPU dah kembali ke tahap hijau, yang sebelum ini mencecah tahap kuning, maksudnya dah masuk kategori sederhana. Memang sebelum ini terasa juga kering tekak dan pedih mata kalau keluar rumah. 

Bila cuaca sejuk begini, teringat pula dekat parcel buku yang baru sampai tempohari. Bulan September ni nampaknya ada rezeki lebih sikit, sempat melempar 'racun' pada diri sendiri dan beli 2 buah buku lagi. Kalau campur dengan yang awal bulan hari tu, cukuplah 3 buah buku bertukar hak milik untuk bulan ni! 

Luar hujan lebat, ditarik selimut nipis, ditiup angin sejuk, sambil layan buku baru bersulamkan bau kertas fresh.. chef's kiss betul malam ni. 

Korang pula macam mana? Cuaca kat tempat korang hujan tak malam ni, dan buku apa yang tengah korang layan sekarang?

Thursday, 10 September 2026

Buku Pertama September - P. RAMLEE GENIUS SENI MELAYU

Dah pun sampai buku yang dibeli melalui atas talian. Seperti biasa, terima kasih bradar kurir atas khidmatmu. 😊 

Inilah buku pertama yang singgah ke rak saya pada bulan September. 

Sejujurnya, saya agak teruja apabila membuka bungkusan dan melihat kulit depannya buat pertama kali. Cantik! Ada sesuatu pada reka letak dan wajah P. Ramlee di kulit buku ini yang membuatkan saya berhenti seketika, sebelum perlahan-lahan membukanya. 

Buku ini merupakan buku keempat dalam koleksi saya yang berkaitan dengan penulisan mengenai P. Ramlee. Judulnya P. Ramlee Genius Seni Melayu, ditulis oleh Baharudin Ali Masrom Al-Haj, atau lebih dikenali sebagai Prof Bam, bersama Naizatul Hanim Abu Bakar. 

Naskhah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2025, dengan 298 halaman. Menariknya, buku ini diterbitkan dalam dua edisi - kulit keras dan kulit nipis. 

Edisi kulit keras memang cukup menggoda. Foto-fotonya berwarna penuh, dicetak pada kertas yang cantik dan tentunya memberikan pengalaman membaca yang lebih istimewa. Harganya pun sedikit lebih tinggi. 

Asalnya memang saya berhasrat untuk memiliki edisi kulit keras itu. Malangnya, ketika hendak membuat pembelian, stoknya sudah kehabisan. 

Tak mahu menunggu terlalu lama, saya akhirnya memilih edisi kulit nipis. Yang saya terima ini dihiasi foto-foto P. Ramlee dalam versi hitam putih. Ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki edisi yang dihajati. 

Tapi tak apalah.. 

Yang penting, sebuah lagi buku tentang P. Ramlee sudah menjadi sebahagian daripada koleksi. 

Menariknya, selain dihiasi dengan foto-foto, di dalam buku ini juga hampir setiap topik disertakan dengan rujukan berbentuk QR yang membawa kita kepada lirik lagi, petikan filem, dokumentari, petika pendapat dan wawancara baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. 

Di bahagian belakang buku ni tertulis bahawa kandungan naskhah ini merupakan kajian tentang sisi dakwah dan perjalanan hidup P. Ramlee yang dapat diteladani, dijadikan contoh serta sumber inspirasi. 

Dan benar, semakin kita mengenali P. Ramlee, semakin kita sedar bahawa beliau bukan sekadar seorang seniman yang menghiburkan. Beliau meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar filem, lagu dan lakonan. 

Ada pemikiran di sebalik karya-karyanya. Ada teguran. Ada nasihat. Ada kisah tentang manusia dan kehidupan. Dan mungkin itulah sebabnya karya beliau masih mampu menyentuh hati kita, meskipun zaman telah jauh berubah. 

P. Ramlee sudah lama pergi, tetapi suaranya masih tinggal. 

Lagu-lagunya masih berkumandang. Filem-filemnya masih ditonton. Dialog-dialognya masih disebut. Dan namanya masih disebut dengan penuh rasa hormat oleh generasi yang tidak pernah pun sempat mengenalinya ketika beliau masih hidup.  

Barangkali begitulah cara seorang seniman terus hidup selepas kematian bukan melalui jasad, tetapi melalui karya yang enggan mati. 

September baru bermula, dan sebuah lagi buku telah menemukan tempatnya di rak mini library saya. 

Mungkin suatu hari nanti, apabila usia semakin jauh meninggalkan hari ini, saya akan berdiri di hadapan rak itu, menyelak kembali helaian-helaian yang pernah dibaca. 

Dan ketika itu mungkin saya akan tersenyum sendiri.

Friday, 26 December 2025

'Karun Dari Selat'.. karun dari kenangan


Saya menyudahkan bacaan sebuah novel lama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Nipis sahaja, sekitar 151 halaman, namun cukup untuk membawa saya mengembara jauh. 

Judulnya Karun Dari Selat, karya Hamdan Raja Abdullah, seorang penulis yang telah melahirkan banyak novel dan cerpen menarik sepanjang perjalanan sasteranya. Novel ini diterbitkan pada tahun 1984, dan terasa benar nafas zamannya. 

Kisahnya bermula dengan rahsia syiling emas, harta karun yang dihanyutkan dari selat. Tiga sahabat, Amli, Helmi dan Miguel, menjadi penemunya. Namun penemuan itu bukan membawa bahagia, sebaliknya membuka pintu kepada kerakusan manusia. Seisi Kampung Muara meredah paya bakau mencari syiling yang berbaki. Ada pula yang tamak ingin mengaut untung, ayah Amli dijadikan tebusan, dan kampung yang selama ini damai mula bergegar oleh dengki dan ketamakan. 

Novel ini bukan sekadar kisah pengembaraan, tetapi cermin kecil tentang manusia. Tentang bagaimana harta boleh menguji persahabatan, menggoncang kepercayaan, dan merobek keharmonian sebuah komuniti. 

Menutup helaian terakhirnya, saya terdiam seketika. Ada rasa rindu yang sukar dijelaskan, rindu pada cerita-cerita lama yang jujur, rindu pada zaman membaca tanpa tergesa, dan rindu pada nilai-nilai yang diselitkan halus di celah-celah kisah pengembaraan. 

Mungkin itulah karun sebenar novel ini. Bukan syiling emas dari selat, tetapi pengajaran yang terus berkilau dalam ingatan.

Sunday, 21 December 2025

Cendok Kuali, satu kuali kongsi dua..

'Satu kuali kena kongsi 2 orang'

Cuaca agak panas hari ini.Matahari memancar tanpa segan silu, seolah-olah mengerit kulit kami yang keluar rumah tengah hari begini. 

“Panas-panas macam ni.. pekena cendol memang ngam,” bisik hati, sambil mata sudah mula membayangkan ais yang berkerincing dan manis gula Melaka yang cair di lidah. 

Tanpa banyak fikir, aku membawa Ummu Ikhwan dan anak-anak ke sebuah kedai cendol milik sahabatku di Cenderawasih, tidak jauh dari pusat bandar. Cendol Kuali, nama yang ringkas, tapi cukup menggoda. 

Sebaik melangkah masuk, mata terus tertancap pada menu yang tertera. Satu persatu seperti memanggil, seolah berkata, “pilih aku dulu.” Anak-anak pula sudah tidak sabar, masing-masing ada pilihan sendiri, lengkap dengan senyuman yang tak perlu dipujuk. 

Saat suapan pertama mencecah lidah, terasa benar nikmatnya. Manisnya sederhana, sejuknya menenangkan, dan panas terik di luar seakan-akan hilang perlahan-lahan. Bukan sekadar cendol, tapi momen kecil yang mengikat kebahagiaan keluarga. 

Bahagia itu sederhana. Cukup dengan cuaca panas, semangkuk cendol, dan orang-orang yang kita cintai di sisi.

Friday, 19 December 2025

Salam Jumaat: Damai dan tenang di bawah langit kelabu


Cuaca mendung pagi ini seolah-olah menghadiahkan sebuah kedamaian. Langit kelabu, angin lembut dan dingin, dan hati terasa lebih perlahan dari biasa. 

Dalam perjalanan ke tempat bertugas, aku singgah di sebuah warung kecil. Entah kenapa, aku memang suka menikmati sarapan di warung-warung kampung begini. Ada momen yang sukar digambarkan,  kesederhanaan yang menenangkan, dan rasa “cukup” yang jarang ditemui di tempat lain. 

Sekeping roti canai dan segelas teh tarik menjadi santapan di pagi Jumaat yang berkah ini. Tak mewah, tak istimewa pada rupa, tetapi cukup untuk menyusun semula niat sebelum melangkah ke hari yang panjang. 

Kadang-kadang, bahagia itu hanya singgah sebentar. Asal kita sudi berhenti, menikmati, dan mensyukuri ia sudah lebih daripada cukup. 

Selamat pagi Jumaat teman-temanku yang dikasihi. Moga langkah hari ini dipermudah, dan hati sentiasa diberi damai dan tenang.

Tuesday, 16 December 2025

Dalam Sunyi Malam, Saya Memilih Sebuah Kisah Lama

Saya membelek-belek buku yang tersusun di rak mini library saya. Mata melompat dari satu judul ke satu judul, hati pula berkira-kira, “Buku mana pula nak dibaca ni..?” 

Setelah puas memilih, akhirnya tangan saya berhenti pada sebuah buku nipis, sebuah novel sejarah bertajuk Darah Titik Di Semantan, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986. 

Karya Arman Sani ini tidak tebal, hanya 152 muka surat, namun isinya cukup untuk memikul berat sebuah zaman. 

"Ia mengisahkan perjuangan anak bangsa menentang penjajah. Latar gelanggangnya di Pahang, dipimpin oleh Datuk Bahaman dan para pengikut setianya. Lawannya, para pegawai Inggeris yang melanggar perjanjian, merampas hak, dan menghina anak negeri dengan sikap angkuh serta tamak haloba." 

Selembar demi selembar, saya disentuh oleh kenyataan pahit yang tidak pernah bersisa daripada sejarah: 

"Dalam usaha menegakkan kebenaran, ujian datang bertindih-tindih. Ada yang menangguk di air keruh. Ada yang menjadi talam dua muka. Ada pula yang sanggup mengkhianati bangsa sendiri kerana kepentingan diri yang sempit. Inggeris pula bijak bermain jarum, memecahbelahkan, memfitnah, dan meracik perpaduan rakyat sedikit demi sedikit." 

Saat saya menekuni bab terakhir, hati saya tiba-tiba dihimpit rasa sayu. Ada luka halus yang terbuka, bukan kerana cerita itu baharu selesai saya baca, tetapi kerana ia mengingatkan kembali betapa mahalnya harga sebuah perjuangan. 

Dan di antara sunyi malam yang menemani bacaan saya, saya terfikir: Demikianlah sejarah.. Kadang ia jauh di belakang, tapi gema perjuangannya tetap mengetuk dada hari ini.

Judul yang sama tetapi berlainan edisi

Friday, 12 December 2025

Salam Jumaat: Syukur itu tenang

foto hiasan ~ sumber

Syukur itu cahaya yang menenangkan jiwa. Biar langkah perlahan, asal hati tenang dengan redha. Tidak semua yang kurang itu kekurangan, kerana kadang di sebalik yang sederhana, Allah titipkan bahagia yang luar biasa. 

Syukur menjadikan sedikit terasa cukup, dan yang sederhana jadi indah. Hati yang tahu berterima kasih, tidak pernah merasa miskin, kerana dia kaya dengan rasa tenang. 

Setiap pagi adalah hadiah, setiap nafas adalah nikmat, setiap detik adalah kesempatan. Maka ucaplah syukur, kerana syukur itu jalan menuju bahagia tanpa sempadan. 

"Bersyukurlah akan nikmat Allah, jika benar kamu hanya menyembah-Nya semata-mata." (Al-Nahl: 114)

Monday, 8 December 2025

Kisah lama yang masih bernafas


Novel lama setebal 96 muka surat, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, tidak mengambil masa lama pun untuk saya khatamkan. Judulnya 'Kisah Di Sempadan', cetakan pertama tahun 1979, tulisan Nazel Hashim Mohamad. 

Sebuah cerita pengembaraan berlatar sempadan Malaysia–Negeri Thai, tentang sekumpulan pelajar yang akhirnya berjaya membongkar sindiket pengedaran dadah dan penyeludupan senjata api. Kisah yang ringkas, tetapi tegang dan hidup, penuh ketekunan, kebijaksanaan dan keberanian. 

Buku-buku lama seperti ini membawa saya kembali ke zaman sekolah. Ada masanya saya jumpa di perpustakaan sekolah, ada ketikanya kakak-kakak saya yang meminjamnya di perpustakaan, lalu saya pinjam pula untuk dibaca. Dan saya, seperti biasa, akan membaca sepantas mungkin, sebelum buku itu dipulangkan semula. 

Entah kenapa, setiap kali membuka buku lama, terasa seperti membuka semula pintu kenangan. Ada bau nostalgia, ada gema suara masa lalu, dan ada saya yang kecil, duduk di beranda, membaca dunia yang tak pernah saya jejaki, tetapi tetap saya rindui.

Thursday, 4 December 2025

Dua 'S' : Senjata Ulung Dalam Keluarga

foto hiasan ~ sumber

Dalam hidup berkeluarga, kita tak selalu menang dengan hujah. Kadang-kadang kita menang dengan budi. 

Dan dua benda paling kecil tapi paling kuat kesannya ialah: Senyum dan Senyap. 

Senyum itu sederhana, tapi dia boleh mencairkan hati yang sedang tegang. Kadang orang marah bukan sebab isu besar, cuma sebab hati letih. Senyum kita boleh jadi ubat yang tak dijangka. 

Senyap pula bukan tanda kalah. Senyap yang bertempat itu tanda kita memilih damai. Bila nada mula naik, bila emosi dah mula goyah, diam seketika boleh selamatkan banyak hati. 

Senyum selesaikan banyak masalah. Senyap elakkan banyak sengketa. 

Dan bila dua-dua ini digunakan dengan hikmah, rumah pun terasa lebih sejuk, jiwa lebih tenang, dan sayang pun tumbuh tanpa banyak suara.

Mudah-mudahan.. 

Monday, 1 December 2025

Selesai bacaan 'Pelanduk Hutan Keningau'


Selesai saya menghadam sebuah novel nipis, hanya 122 halaman semuanya. Tak lama pun untuk dikhatam, tapi 'rasa' yang ditinggalkan.. panjang. 

Buku ini adalah antara buku lama yang saya miliki, cetakan pertama tahun 1989, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Judulnya Pelanduk Hutan Keningau karya Mahmud Eddie, sebuah judul yang kedengaran sederhana, tapi rupanya menyimpan dunia kecil yang tidak dijangka. 


Kisahnya tentang tiga remaja — Tumin, Salbin dan Justin, yang mengembara ke pedalaman Sabah. Niat asal hanya mahu melihat pelanduk, sambil menimba pengalaman di hutan Keningau. Namun hutan tak selalu sekadar hijau dan tenang; kadang-kadang ia menyembunyika n sisi manusia yang lebih gelap. 

Penipuan dan kerakusan, rupa-rupanya, bukan hanya milik kota. 

Di dalam hutan belantara pun ia tumbuh diam-diam. 

Tumin, Salbin dan Justin, ditemani Suin dan abangnya, Mijan, akhirnya terperangkap oleh satu kumpulan yang jalankan kegiatan tersembunyi di tengah hutan. Dalam kekalutan, Justin dan Salbin berjaya meloloskan diri.. meski tidak sepenuhnya selamat. 

Salbin pengsan di tepi anak sungai. Justin pula sesat dalam hutan yang luas dan sunyi. 

Mijan, anak muda keturunan Murut pengsan dipukul kerana cuba melawan. 

Apakah sebenarnya dilakukan oleh kumpulan yang menawan Tumin dan rakan-rakannya? 

Saat saya membaca helaian demi helaian, saya seperti ikut berjalan bersama mereka. Dingin embun di hujung dedaun, bunyi serangga, dan rasa cemas yang tak menentu.. semuanya macam hidup kembali dalam imaginasi. 


Dan yang paling mencuit hati, halaman-halaman yang disertakan ilustrasi. Ilustrasi yang ringkas, gaya buku cerita zaman sekolah rendah dulu-dulu. Sekali pandang saja, terus saya terimbas kembali saat duduk bersila di kerusi kayu perpustakaan sekolah, baca buku tanpa sedar hari dah lewat. 

Ada sesuatu pada buku lama: bau kertasnya, nadanya yang jujur, dan kenangan yang datang tanpa disuruh. 

Begitulah Pelanduk Hutan Keningau buat saya, tipis saja, tapi penuh rasa. 

Kadang-kadang, buku kecil pun mampu membuka pintu memori yang besar.

Sunday, 30 November 2025

Sarapan Nostalgia di Bandaraya Lestari

 

Usai menghantar anak ke terminal bas untuk pulang ke UiTM, kami sekeluarga tidak terus balik. Hati terasa sayang hendak berpisah begitu sahaja dengan pagi yang masih muda. 

Jadi, kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan seketika di bandaraya Kuantan. Perut pun kebetulan sudah mula berbunyi minta diisi. Tanpa banyak fikir, kami singgah di Restoran Selera Padang di hadapan Jalan Mahkota, sebuah tempat yang sudah lama saya suka. 

foto Google

foto Google

foto Google

Bukan sekadar kerana makanannya, tapi kerana vibe klasiknya yang mengundang kenangan. Ruang dalamannya dihiasi dengan barang-barang lama, radio kayu, pinggan lama, gambar hitam putih, seolah membawa kita pulang ke zaman dulu yang penuh sederhana. 

Pagi itu, saya dan si Haikal 'yang istimewa' memilih lempeng, manakala Ummu Ikhwan dan angah Irsalina  memilih lontong sebagai teman santapan. 

Harumnya lempeng panas yang baru diangkat dari kuali, lembut disuap dengan sambal tumis bilis, benar-benar menyentuh jiwa yang rindu suasana kampung. 

foto Google

foto Google

Sambil menikmati sarapan, saya termenung sejenak, betapa indahnya detik kecil seperti ini. Sekadar duduk bersama keluarga, berkongsi cerita dan tawa, di sebuah restoran klasik di tengah bandar yang perlahan-lahan sibuk dengan kehidupan. 

Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak perlu dicari jauh. Ia ada di depan mata, di dalam secawan minuman dan sepinggan lempeng di pagi yang damai.

Saturday, 15 November 2025

Coretan pagi Sabtu yang dingin

'Menekuni lembaran demi lembaran yang mengenyangkan minda'

Hasrat hati nak buat brisk walk pagi ini. Tapi hujan renyai yang turun sebaik sahaja selepas subuh seakan memegang tangan dan berkata, “Rehatlah dulu.” 

Jadi, pagi ini aku biarkan sahaja ritma hujan menepuk lembut atap rumah. Dengan secawan minuman panas di sisi, aku menyelak kembali naskhah yang sudah lama setia dalam simpanan, “MALACCA HAS FALLEN – Keruntuhan Sebuah Empayar Agung”, terbitan 2019. 

Entah bagaimana, aku boleh tenggelam sampai ke muka surat 206 tanpa sedar masa bergerak. Lembaran demi lembaran dihadam mengenyangkan minda. 

Di celah-celah helaian sejarah itu, tiba-tiba terlintas tentang siri imaginasi PENGEMBARAAN MASA ABAD ke-15 - yang telah berhenti pada Part 6 - baca. 

Terdetik juga soalan yang tak pernah terjawab: Perlu ke aku sambung? Ada ke orang nak baca? Atau sebenarnya aku ni syok sendiri je.. 😊 

Tapi, begitulah kan.. Ada cerita yang hidup bukan kerana ramai yang membaca, tetapi kerana hati sendiri terasa ingin bercerita.

Friday, 7 November 2025

Salam Jumaat: Redha


Berdamai dengan takdir, bukan bererti menyerah, tetapi percaya bahawa setiap yang Allah tulis, ada indahnya. 

Ujian bukan musuh, tapi sahabat jiwa. Ia datang bukan untuk melemahkan, tetapi untuk menguatkan. 

Bahagia bukan pada hidup tanpa derita, tetapi pada hati yang mampu redha.

Thursday, 6 November 2025

Catatan Hari Ini – Dalam Sakit Ada Didikan

Banner program

Hari ini tubuh masih belum sepenuhnya kuat. Seluruh sendi terasa berat dan tidak selesa, namun saya gagahkan juga melangkah ke tempat bertugas. Ada beberapa amanah yang perlu dibereskan, dan selagi mampu, saya cuba bertahan. 

Dalam hati, saya hanya mampu memohon, “Ya Allah, Engkau yang menganugerahkan penyakit, di sisi Engkau jua penawar kesembuhannya.” 

Hujung minggu nanti saya dijadualkan ke Raub. Sabtu dan Ahad bersama sahabat-sahabat yang lain. Kami akan bermalam di Kampung Orang Asli (KOA) di Sungai Yol. Program dakwah dan kebajikan yang sudah lebih sebulan disusun, turun naik bertemu agensi, ulang-alik ke kampung tersebut, merancang langkah demi langkah. Tentu ada rasa ralat di sudut hati jika akhirnya tidak dapat hadir. 

Sempat singgah beli, untuk acara lelaki dewasa

Namun, jika ini ketentuan-Nya, apa lagi daya kita? Perjalanan hidup ini bukan milik kita sepenuhnya. Kita merancang sekadar hamba, sedang rancangan terbaik tetap milik Allah. Ada masanya kita ingin berlari, tetapi Dia mengajar kita untuk berhenti, berehat, merenung, lalu menyerah diri kepada takdir-Nya. 

Apapun jalannya, redha itu jalan paling tenang. 

Ya Rabb.. sembuhkanlah. Berikanlah kekuatan untuk melangkah lagi.

Allahu al-Musta`an.. 

Saturday, 1 November 2025

Sarapan Bersama Ummu Ikhwan di Warung Kecil

Pagi ini, aku bersarapan bersama Ummu Ikhwan. Tak jauh mana pun, masih dalam lingkungan lokaliti sendiri, tempat yang sudah akrab dengan langkah dan pandangan mata. Kami memilih untuk singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan kampung, warung yang atapnya zink, dindingnya papan separuh, tapi suasananya.. luar biasa damai. 

Aku seperti biasa, memilih roti kahwin, roti lembut paduan roti telur dan roti kosong, kemudian dipanggang hingga keperang-perangan, cukup untuk membangkitkan nostalgia zaman dulu. Ummu Ikhwan pula tidak pernah berubah, tetap setia dengan kegemarannya, roti sardin panas yang baru diangkat dari kuali. 

Sambil ‘mencicip’, kami berbual santai tentang hal-hal kecil yang indah, tentang hari semalam, tentang pokok jambu di halaman rumah yang mula berputik, tentang burung-burung yang setiap pagi datang bertandang di pagar. Di sekeliling, pohon kelapa melambai perlahan, dan dari jauh kedengaran bunyi ayam jantan masih bersahut-sahutan. 

Aku menghirup indo-cafe panas pekat yang dihidang dalam gelas kaca. Wapnya naik lembut, mengisi udara dengan aroma yang mesra di hidung. Angin pagi menyapa lembut wajah, membawa bersama rasa syukur, kerana dalam hidup yang serba pantas ini, masih ada waktu untuk berhenti sejenak, menikmati pagi dengan tenang, ditemani insan yang dekat di hati.

Saturday, 11 October 2025

Duduk di Jeti Menghadap Sungai

 

Aku duduk di hujung jeti kayu yang dah sedikit lusuh, tapi masih kukuh menampung badan. Angin petang berhembus perlahan, bawa sekali bau air sungai yang sejuk dan nyaman. Sungai di hadapan mengalir tenang, macam ada cerita rahsia yang dibisikkan bersama riak-riak kecil di permukaan. 

Burung-burung sesekali melintas, suaranya jadi latar, seolah-olah irama untuk suasana yang damai. Aku pandang jauh ke hujung sungai, di mana cahaya matahari jatuh berkilauan, macam taburan emas atas permukaan air. Indah sungguh. 

Di jeti ni, masa terasa lambat. Fikiran pun jadi ringan, macam hanyut ikut arus sungai. Tak ada beban, tak ada hiruk-pikuk, cuma aku, angin, dan air yang setia mengalir tanpa henti. Duduk di jeti sambil termenung begini, rasa macam dunia luar tak penting,  yang ada cuma detik ini, penuh ketenangan.

Alhamdulillah.. 

Friday, 10 October 2025

Salam Jumaat: Sibuk, Tetapi Biarlah Ada Nilai di Sisi-Nya

'foto hiasan ~ sumber FB'

Dalam hidup ini, kita memang tidak pernah sunyi daripada kesibukan. Hari-hari kita dikejar masa, ditarik tanggungjawab, dipikul amanah. 

Namun, sibuk itu bukan alasan untuk kosong jiwa. Sibuk kita biarlah bererti. Sibuk kita biarlah membawa pahala. Sibuk kita biarlah mendekatkan diri kepada-Nya. 

Kerana apa guna sibuk yang hanya menambah resah, jika tidak menambah dekat dengan Allah? 

Biarlah tangan penat bekerja, asalkan hati tetap ingat kepada Pencipta. Biarlah langkah kita jauh mencari rezeki, asalkan arah tetap menuju redha Ilahi. 

Sibuk itu indah.. jika setiap lelah ditukar menjadi ibadah.

Wednesday, 8 October 2025

Berdamai Dengan Takdir, Bersahabat Dengan Ujian

foto hiasan (sumber)

Ada waktunya kita merancang seindah pelangi, namun hujan tetap turun tanpa henti. Ada ketika kita menggenggam harapan sekuat tenaga, namun takdir memilih jalan yang berbeza. Di situlah kita belajar, bahawa hidup bukan tentang memaksa segalanya berlaku mengikut kehendak kita, tetapi tentang berdamai dengan apa yang telah Allah aturkan. 

Berdamai dengan takdir bukan bererti menyerah kalah, tetapi menerima dengan hati yang redha. Kerana setiap yang tersurat, pasti ada hikmah yang tersirat. Air mata yang menitis hari ini mungkin benih ketabahan esok hari. Kehilangan yang merobek jiwa, mungkin membuka pintu bahagia yang lebih bermakna. 

Dan ujian.. ia bukan musuh yang harus dibenci. Ujian adalah sahabat yang menguatkan. Ia datang bukan untuk menghancurkan, tetapi untuk mendidik hati agar lebih tabah, lebih sabar, lebih bergantung kepada Tuhan. Seperti besi yang ditempa api, jiwa juga ditempa derita agar menjadi lebih bernilai. 

Maka jangan gentar dengan takdir, jangan lari dari ujian. Peluklah keduanya dengan jiwa yang percaya. Kerana di hujung segala luka, ada penawar. Di balik setiap kepayahan, ada janji kemudahan. Dan di setiap perjalanan yang penuh duri, ada 'tangan' Tuhan yang sentiasa memimpin kita menuju jalan kembali. 

Berdamai dengan takdir, bersahabat dengan ujian, itulah seni hidup seorang hamba. Dan di situlah kita temui, bahawa bahagia sejati bukan pada hidup tanpa derita, tetapi pada hati yang mampu redha.

Friday, 3 October 2025

Jangan Gundah, Jangan Menyerah… Saya Ada DIA

(foto hiasan) konvoi Global Sumud Flotilla

Hidup ini ibarat lautan yang luas. Kadang tenang mempesona, kadang bergelora tanpa diduga. Ada waktu kita berdiri tegak di puncak kejayaan, ada masa pula kita tersungkur dalam lembah ujian. Hati menjadi gundah, jiwa terasa lelah, dan seakan tiada lagi cahaya untuk menerangi langkah. 

Namun, dalam setiap kelam itu.. jangan sekali-kali menyerah. Kerana kita tidak pernah benar-benar sendiri. Saat manusia berpaling, saat dunia seakan menutup pintu, ada Dia, Tuhan yang sentiasa mendengar, sentiasa dekat, sentiasa bersama. Dialah tempat segala keluhan ditumpahkan. Dialah yang menguatkan ketika kita hampir rebah. Dialah yang menyalakan harapan walau secubit, sehingga hati kembali yakin bahawa esok masih ada sinar. 

Jangan gundah, kerana duka bukan untuk selamanya. Jangan menyerah, kerana kekuatan tidak datang dari diri kita semata-mata, tetapi dari pergantungan pada Yang Maha Esa. Saat tangan terangkat dalam doa, saat lidah menyebut nama-Nya dengan penuh pengharapan, di situlah lahir kekuatan yang tidak mampu dibeli oleh dunia. 

Hidup ini bukan sekadar perjalanan mencari bahagia, tetapi perjalanan mengenal siapa yang mencipta bahagia. Maka, biarlah badai datang menguji, biarlah luka singgah di hati. Selagi kita yakin bahawa “saya ada DIA”, selagi itu kita akan terus mampu melangkah, setapak demi setapak, menuju cahaya yang abadi.

Thursday, 2 October 2025

Erti Hidup Dengan Memberi

'Relawan kami di bumi Gaza ~ foto hiasan'

Hidup ini bukan tentang berapa banyak yang kita kumpul, tetapi tentang berapa banyak yang kita kongsi. 

Ketika tangan menadah, kita menjadi penerima. Tetapi ketika tangan menghulur, kita menjadi insan yang hidup. Kerana pada memberi, hati dibasuh dari sifat tamak, jiwa ditinggikan dengan rasa ikhlas. 

Memberi tidak semestinya harta. Kadang ia senyuman yang menghapus duka, kata-kata yang menyalakan semangat, atau doa yang terbit dalam sunyi malam. 

Hidup terasa sempit bila segalanya tentang diri sendiri, namun lapang dan indah bila kita belajar berkongsi. Seperti matahari yang tidak pernah meminta balasan, namun tetap memancarkan cahaya setiap hari. 

Maka, hiduplah dengan memberi. Kerana di situlah rahsia bahagia, dan di situlah sebenar-benar erti sebuah kehidupan.