Sahabat Sejati

Thursday, 18 September 2025

Ziarah Mahabbah Tanah Borneo (Part 1) – Permulaan Perjalanan

'6.30 petang tercongok di KLIA. Teringat peristiwa ketinggalan pesawat ketika mahu berprogram di Kota Belud suatu ketika dahulu'

Malam itu, jam di tangan menunjukkan hampir pukul lapan. Kami bersiap sedia menanti panggilan masuk ke perut pesawat yang akan membawa kami terbang ke Tanah Borneo. Perjalanan kali ini bukan sekadar sebuah kembara biasa, tetapi sebuah ziarah yang sarat dengan misi dan amanah, menuju Tadika Amal Kunak, Tawau. 

Tadika Amal ini bukanlah tadika biasa yang beroperasi dengan yuran bulanan atau bergantung kepada keuntungan. Ia lahir daripada rasa prihatin dan kasih, dibangunkan oleh Yayasan Amal Malaysia untuk membuka ruang pendidikan kepada anak-anak kecil di pedalaman. Mereka yang kebanyakan tidak punya peluang mengakses pendidikan formal, kini diberi sinar baru. 

'Di antara sahabat baik Ustaz Din Amal'

Di Tadika Amal, anak-anak asnaf, fakir miskin dan mualaf, khususnya di pelosok Sabah dan Sarawak, datang belajar tanpa bayaran. Percuma sepenuhnya, kerana pendidikan itu bukanlah hak istimewa, tetapi hak setiap insan kecil yang ingin mengenal huruf, angka, dan kehidupan. 

Namun, di sebalik percuma itu, terselit pengorbanan yang besar. Program ini bernafas kerana adanya dermawan yang tidak jemu memberi, orang ramai yang sudi berkongsi, serta sukarelawan yang ikhlas menyumbang tenaga dan masa. Mereka inilah denyut nadi Tadika Amal, menggerakkan roda dakwah dan pendidikan di tanah yang luas ini. 

Kini, sembilan buah Tadika Amal telah berdiri di bumi Sabah, satu di Sarawak, dan insyaAllah akan terus diperluas ke daerah-daerah lain. Dan di antara semua itu, kami di negeri Pahang telah diamanahkan untuk mengurus Tadika Amal Kunak, Tawau. Sebuah tanggungjawab yang berat, namun disambut dengan hati yang penuh doa dan harapan. 

'Bismillahi tawakkalna `alallah..'

Maka bermulalah perjalanan malam itu, dengan pesawat yang bakal membawa kami bukan sekadar merentas laut dan awan, tetapi juga merentas sebuah misi kemanusiaan. 

bersambung part 2.. 

Wednesday, 17 September 2025

Pertemuan bermakna di Muzium Negara

'Pintu masuk ~ kunjungan semula setelah 37 tahun'

Ahad yang lalu, saya dan keluarga ke kota Kuala Lumpur kerana menyelesaikan suatu urusan. Setelah semuanya selesai, saya mengajak mereka wisata ke destinasi yang telah lama tidak saya kunjungi — Muzium Negara, sebuah gedung sejarah yang menyimpan khazanah bangsa. Kami berjalan di sekitarnya, masuk ke dalam, meneliti artifak dan barang pameran yang sarat dengan kisah silam. 

Tiba-tiba, hati saya disapa rasa nostalgik. Kali pertama saya melangkah ke sini adalah pada tahun 1988, sewaktu menyertai lawatan sekolah. Ketika itu, anak kecil bernama saya begitu teruja, hanya mengenal Muzium Negara menerusi kaca televisyen, lalu akhirnya menatapnya dengan mata sendiri. Kenangan itu masih segar, masih indah. 

'Pertemuan yang sangat bermakna dengan sdr Radzi Sapiee'

Sedang saya leka melangkah, anak mata tertancap pada satu sosok yang tidak asing. Seorang yang saya kagumi dari jauh, seorang pengkaji yang saya ikuti melalui blognya — Catatan Si Merah Silu. Blog beliau bukan sekadar tulisan, tetapi himpunan catatan sejarah, warisan, dan perjalanan yang menghidupkan kembali nadi bangsa. Ia mengajak pembaca menyelam jauh, memahami akar budaya, serta merenung warisan yang sering kita abaikan. Beliau sering juga diundang bagi membentang kajian serta program bedah buku yang telah ditulisnya. 

Gembira sungguh hati ini bila dapat bertemu secara nyata. Kami sempat berbual santai, bertukar-tukar fikiran. Ternyata beliau seorang yang tidak sombong, mudah mesra, malah terasa bagai sudah lama mengenali. 

Pertemuan singkat itu meninggalkan kesan mendalam, bukan sahaja kerana dapat melihat artifak lama di muzium, tetapi kerana berpeluang bertemu dengan insan yang selama ini menghidupkan semangat sejarah dalam diri saya. 

Ahad itu bukan sekadar kunjungan keluarga. Ia menjadi catatan kenangan, yang saya simpan dengan rasa syukur.

Tuesday, 16 September 2025

Aktiviti brisk walk lagi pagi ini..

Pagi ini saya bersama Ummu Ikhwan sekali lagi melakukan aktiviti brisk walk di Tasik Pelindung. Dua pusingan sudah cukup memadai. Badan terasa penat, peluh menitis, tapi jiwa jadi ringan, hati jadi tenang. 

Di sepanjang laluan, tasik memantulkan cahaya pagi, burung berterbangan, angin mengusap lembut wajah. Sesekali saya berhenti, menegur pemancing yang setia duduk menunggu rezeki dari air. 

“Dapat ikan, bang?” saya sapa sambil tersenyum. 

Salah seorang mengangkat bahu, ketawa kecil. “Ada... tapi belum besar. Kena sabar sikit.” 

Seorang lagi menyampuk, “Selain ikan, udang pun ada kat sini. Kadang rezeki udang lebih galak dari ikan.” 

Saya tersenyum, mengangguk. Hidup ini rupanya sama seperti memancing, ada masanya rezeki cepat, ada ketika perlu menunggu dengan sabar. 

Langkah diteruskan, matahari makin meninggi. Dua pusingan sudah cukup untuk pagi ini, cukup untuk mengisi nafas dengan rasa syukur. 

Alhamdulillah.. 

🇲🇾✨ Selamat Hari Malaysia 2025 ✨🇲🇾

 

Hari ini kita menyambut ulang tahun lahirnya sebuah negara bernama Malaysia, tanah air yang kita cintai, tempat berpijak, tempat berteduh, tempat kita berkongsi suka duka. 

Malaysia bukan sekadar peta di atlas, tapi cerita hati rakyatnya. Dari Sabah ke Sarawak, dari utara ke selatan, kita dipertemukan dalam satu nama, Malaysia. 

Marilah kita terus pupuk kasih sayang, eratkan silaturrahim, dan jadikan perbezaan itu sebagai kekuatan. 

Moga Malaysia terus aman, makmur, diberkati Allah, dan generasi akan datang mewarisi sebuah negara yang penuh kebaikan dan harapan.

بَلْدَةٌ طَيِّبَةٌ وَرَبٌّ غَفُورٌ

"Negeri yang baik dan mendapat keampunan Tuhan" 

Selamat Hari Malaysia 2025!

Monday, 15 September 2025

Teringat-ingat: zaman manis

foto hiasan ~ sumber

Kadang-kadang bila aku melalui jalan lama, atau singgah di tempat yang pernah aku jejaki dulu, seakan-akan mataku menangkap bayangan diriku sendiri. 

Di hujung lorong itu, aku nampak seorang kanak-kanak berlari tanpa kasut, ketawa tanpa beban. Di bawah pohon besar, ada aku yang sedang duduk mengikat layang-layang dengan benang panjang. 

Tempat-tempat itu tidak banyak berubah, cuma aku yang kini membawa usia. Namun dalam diam, ia seolah memeluk kembali kenangan, mengingatkan aku pada diri yang pernah sederhana, pernah gembira dengan sekadar angin, hujan, dan tanah merah. 

Dan aku pun tersenyum sendiri.. kerana rupanya, aku tidak pernah benar-benar meninggalkan masa lalu itu.

Sunday, 14 September 2025

Kedamaian yang kutemui dalam pelukan alam

'Desaku yang sehari-hari semakin hilang citra wajahnya'

Dalam meniti titian hari-hari kehidupan di desa nan tercinta, mata, telinga dan hati nuraniku terpahat dan terakam pada isi alam damainya. Demikianlah hati kampung seperti aku. Membesar dengan suasana begitu, mana mungkin tidak tercetus ketenangan dan kedamaian dengannya… aku. 

Di celah pepohon yang merimbun, aku menemukan sejenis ketenangan yang tidak mampu kutemui di mana-mana tempat lain. Daun-daun hijau yang bergoyang ditiup angin menyambut kehadiranku seolah-olah mereka memahami gelora dalam dadaku. 

'Menikmati lembut hembusan semilir sungai Pahang'

Dalam setiap hembusan bayu yang menyusup lembut ke kulit, ada bisikan halus yang mengajakku untuk melupakan hiruk-pikuk dunia. 

Haruman bunga-bunga liar yang mekar tanpa dipinta menambah damai ruang udara. Bunga itu tidak pernah memerlukan pujian untuk mekar, dan itulah indahnya alam, ia memberi tanpa menagih. 

Keriangan burung-burung yang bernyanyi bebas di dahan tinggi menyempurnakan suasana. Lagu mereka tidak berseni tinggi, tetapi cukup untuk menggugah rasa, seolah-olah menyampaikan pesan bahawa hidup ini boleh sederhana, namun membahagiakan. 


Di sudut yang lebih sunyi, sahutan katak dari parit dan tali air mencipta irama asli. Ia tidak mengganggu, malah memujuk hati agar terus menghargai hal-hal kecil yang sering kita abaikan. 

Daun-daun yang berlaga ditiup angin menyuarakan lirih alam, tidak lantang, tetapi cukup untuk menenangkan jiwa yang penat. Sesekali, kedengaran cengkerik dan reriang malam, tanda bahawa malam pun tidak sepi, malah punya muziknya yang tersendiri. 

Dan apabila hujan mulai turun, kedamaian itu mencapai kemuncaknya. Titik-titik jernih dari langit menimpa atap dan dedaunan, menghasilkan irama yang barangkali bingit bagi telinga kota, tetapi bagi aku, itulah lagu paling membahagiakan. Ia membuatkan aku mahu memejam mata dan larut dalam dunia yang tidak memerlukan gajet atau manusia untuk merasa hidup. 

Namun, apabila aku kembali ke hutan batu yang keras dan sunyi, di mana pokok tidak sempat berakar, dan langit pun jarang kelihatan, jiwaku cepat mengeras. Aku menjadi patung dalam dunia yang bergerak. 

'Kedamaian yang kutemui dalam pelukan alam'

Tiada lagi desiran angin, tiada suara burung atau titisan hujan yang menyanyi. Hanya hon, siren dan manusia yang berlalu tanpa pandang. Di sini, tiada kedamaian. Yang ada hanyalah jasad yang masih hidup, namun roh terasa jauh tertinggal… di bawah pohon yang dulu, di sisi bunga yang mekar, bersama hujan yang turun dengan kasih.

Saturday, 13 September 2025

Alhamdulillah, moga konsisten

'Rempit manja'

Pagi mendung itu bukan alasan untuk bermalas. Dengan senyuman kecil, saya bawa Ummu Ikhwan “merempit manja” dan santai ke Tasik Pelindung. Angin lembut menyapa, suasana damai. 

Ramai juga yang sama-sama menjejak kaki, ada yang berjalan perlahan, ada yang berlari penuh semangat, bahkan warga emas pun tak mahu ketinggalan. Sesekali terlihat pemancing tekun menunggu rezeki dari air yang tenang. 

'2 pusingan tasik memadai dah'

Alhamdulillah, dua pusingan mengelilingi tasik cukup membuat peluh menitis, badan terasa ringan, hati pun lapang. Dalam usia begini, inilah nikmat yang patut dijaga, jasad sihat, minda segar, jiwa tenang. 


Syukur, kerana masih diberi peluang untuk terus melangkah, sambil berharap agar langkah ini konsisten, pagi mahupun petang. Bahagia itu rupanya sederhana, udara segar, tubuh cergas, hati yang penuh syukur

Friday, 12 September 2025

Salam Jumaat: Jangan gusar.. teruskan usaha, doa

foto hiasan

Kadang kita sibuk buat kira-kira hidup, rasa macam tak cukup, takut tertinggal. Tapi percayalah.. rezeki itu bukan hanya wang atau harta. Rezeki boleh jadi kesihatan yang baik, kawan yang memahami, keluarga yang mendoakan, atau hati yang masih mampu tenang walau diuji. 

Yang paling indah, rezeki selalu datang dengan cara yang tak kita sangka. Tiba-tiba dapat pertolongan, tiba-tiba doa kita dijawab, tiba-tiba hati jadi lapang. Semua itu tanda kasih sayang Tuhan. 

Jadi jangan gusar.. teruskan usaha, teruskan doa. Sebab apa yang ditakdirkan untuk kita, tak akan pernah terlepas. Dan apa yang bukan milik kita, tak akan pernah melekat

Thursday, 11 September 2025

Ucapan Buat Sahabat Tersayang – Azman & Helmi

Sahabatku Azman dan Helmi, (sahabat team Yayasan Amal Malaysia)

Perjalanan kalian bersama delegasi Global Sumud Fotilla ke bumi Gaza bukan sekadar sebuah misi, ia adalah langkah iman, saksi cinta, dan bukti keberanian. Kalian telah memilih jalan yang tidak semua sanggup lalui, jalan penuh getir namun disinari dengan janji Allah tentang kemenangan dan rahmat-Nya. 

Kami di sini, hati-hati kami mengikuti setiap jejak kalian dengan doa yang tidak pernah putus. Semoga bahu kalian dikuatkan, hati kalian ditenteramkan, langkah kalian dijaga malaikat, dan niat tulus kalian diganjari pahala syahid walau pulang semula ke tanah air. 

Kalian bukan hanya sahabat kami, tetapi duta kecil ummah, membawa suara kasih, doa, dan solidariti dari jauh. Sesungguhnya setiap titisan peluh kalian, setiap degup jantung yang bergetar di sana, menjadi bukti bahawa masih ada hati yang peduli, masih ada jiwa yang berani. 

'Terkandas di Itali, sentiasa menyampaikan berita terkini buat sahabat-sahabat di Malaysia'

Azman, Helmi.. teruslah berjuang dengan sabar, kerana di hujung kesabaran itu ada cahaya kemenangan. Kembalilah dengan selamat, dengan cerita-cerita yang menyuburkan iman, dengan semangat yang membakar jiwa kami untuk terus berdiri bersama Palestin. 

Kami bangga, kami terharu, dan kami berdoa, semoga Allah menerima setiap usaha kalian sebagai amal soleh yang tinggi nilainya di sisi-Nya. 

Salam doa dari tanah air, untuk kalian di tanah perjuangan

Wednesday, 10 September 2025

Rindu di Seberang Waktu..

'di sini bersemadi sebahagian daripada kasih sayangku'

Ada sunyi yang tak terungkap,
tinggal di penjuru hati yang paling dalam.
Di situ tersimpan wajah arwah ibu dan ayah,
yang kini hanya hadir dalam mimpi,
dan dalam helaian kenangan yang semakin pudar,
namun harum kasih mereka tetap kekal bersemi.

Aku masih ingat suara lembut ibu,
menyebut namaku setiap kali aku pulang lewat senja.
Dan tawa ayah yang menjadi pelindung kala hujan turun deras,
yang kini hanya gema..
di lorong-lorong sepi sebuah rumah yang telah lama tidak bersuara.

Wahai saudara-maraku yang telah mendahului,
satu demi satu pergi meninggalkan ruang kosong di meja makan,
dan dalam gambar-gambar lama yang sudah kekuningan,
aku mencari sisa suara,
aku mengutip sisa pelukan yang pernah menghangatkan jiwa.

Rakan taulan yang pernah kita berkongsi ketawa,
berkejaran di halaman kampung yang kini sunyi,
aku rindu bicara lama,
aku rindu hari-hari tanpa kesedihan..
tapi kalian telah dijemput Ilahi,
dan aku masih di sini,
menghitung hari demi hari yang kehilangan.

Kadang kala, aku duduk sendirian..
memandang ke langit petang,
berharap angin membawa rindu ini
sampai ke taman syurga tempat kalian bersemadi.
Jika rindu ini punya suara,
pastilah ia sebak yang tak pernah reda.
Jika rindu ini punya tangan,
pastilah ia mahu memeluk kalian semula.

Tapi aku hanya manusia,
yang bisa berdoa dan menitip harapan,
agar kelak kita bertemu kembali
di negeri abadi..
tanpa air mata,
tanpa perpisahan,
hanya cinta, kasih.. dan keabadian.

Ziarah Mahabbah ke KOA Sungai Yol, Raub

'Bergambar di hadapan surau yang cantik'

Hari ini, saya bersama team YAM Pahang bergandingan dengan YAM Pusat telah menjejakkan kaki ke Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol, Raub, dalam satu Ziarah Mahabbah yang penuh makna. 

Tujuan kunjungan ini tidak lain untuk mendapatkan gambaran awal sebelum menjayakan sebuah program bersama masyarakat orang asli yang insya-Allah akan berlangsung pada awal November nanti.  

'Tok batin Marang berbaju putih'

Turut serta dalam ziarah ini ialah wakil PMOA Jakim, Ustaz Zahirudin, insan yang sabar dan tekun menyelia kerja-kerja dakwah di kawasan ini. 

Perbincangan awal kami bersama Tok Batin Marang membuka banyak ruang pengetahuan. Dari butir bicaranya, tersingkap kehidupan masyarakat di sini. tentang penduduk, kegiatan harian, serta keperluan yang wajar diberi perhatian. 

Jujurnya, saya teruja. Dikelilingi hutan hijau yang mendamaikan, seolah-olah alam turut mengiringi langkah kami dengan bisikan mesra. 

'Di tengah tu orang Sudan, bukannya orang Asal'

Semoga Ziarah Mahabbah ini menjadi jambatan ukhuwah yang lebih erat. Dan semoga program yang dirancang kelak benar-benar memberi manfaat, membekas indah dalam hati masyarakat orang asli di Sungai Yol.

Tuesday, 9 September 2025

Jangan mengalah

'misi mengekalkan saiz pinggang 30, ditemani anakanda Haikal yang istimewa (foto hiasan)

Kadang hidup ni rasa berat.. macam jalan jauh yang tak nampak hujung. Tapi percayalah, setiap langkah kecil pun ada nilainya. 

Jangan pandang rendah pada usaha sendiri, walaupun nampak biasa, itu yang sedang bawa kita makin dekat dengan impian. 

Kalau jatuh, bangun balik. Kalau penat, rehat sekejap.. tapi jangan putus asa. Hidup bukan tentang siapa paling laju, tapi siapa yang terus melangkah walaupun perlahan. 

Ingat, hari ni mungkin susah.. tapi esok boleh jadi indah. Selagi kita bernafas, peluang itu masih ada.

Monday, 8 September 2025

Kenangan masih basah (Part 3: Akhir) – Sayap di Langit Rindu

Part 2 (baca sini)

'Mak, saya dah belajar terbang..'

Tahun berganti. Pohon mangga di tepi laman sudah lama tumbang dimakan rayap, tangga kayu tempat aku jatuh pun telah reput dimamah masa. Namun di satu pagi yang hening, seekor burung pipit melintas di hadapan jendela rumah ini. 

Bayang itu datang tanpa diundang. Suara emak, lembut seperti dulu, “Kalau nak terbang… belajar dulu macam burung kecil tu.” Ketawa kecilnya terngiang, ketawa yang pernah membungkus luka di lengan dan luka di hati. 

Burung itu hinggap di pagar, menggeleng-geleng kepalanya, lalu terbang semula. Seolah membawa pesan dari alam 'sana' bahawa emak masih mendoakan aku, masih mengajar aku untuk berani melawan angin kehidupan. 

Aku tersenyum dalam sendu, memandang langit yang luas. “Mak… saya dah belajar terbang,” bisikku perlahan. 

Mungkin tak setinggi burung, tapi cukup untuk sampai ke ruang doa, di mana aku yakin… pelukan emak masih menanti di alam abadi.

*Moga roh bonda dicucuri rahmat dan ditempatkan dikalangan orang beriman serta semua amal kebaikannya diterima.

Saturday, 6 September 2025

Kenangan masih basah (Part 2) – Pagi dan Janji Burung

Part 1 (baca sini) 

`foto hiasan ~ sumber

Pagi di kampung menyapa dengan embun berat di hujung rumput. Bunyi ayam berkokok bertingkah-tingkah, diselang-seli kicau murai yang bertenggek di dahan kuini. Udara sejuk pagi itu membuat pipi terasa segar. 

Aku keluar ke beranda, lengan lebamku masih berbalut sapu tangan emak. Burung merbah semalam masih ada di bawah pohon mangga, berlari-lari kecil sebelum hinggap di para yang dijalari pokok labu air. Aku tersenyum sendiri, teringat kata-kata emak. 

Emak muncul dari dapur, membawa cawan berisi kopi panas. “Masih nak terbang ke?” tanya emak sambil meletakkan cawan. 

Aku angguk. 

“Kalau nak terbang… belajar dulu macam burung kecil tu,” katanya, sambil memandang jauh ke langit pagi. 

“Belajar macam mana, mak?” 

“Burung tu tak terus terbang tinggi. Dia lompat-lompat dulu, cuba sayapnya… sampai tiba masa, baru dia berani lawan angin. Hidup pun begitu. Tak semua terus boleh terbang tinggi… tapi kalau kita sabar, Tuhan akan ajar caranya.” 

Aku menghirup minuman sambil memandang burung kecil yang kini meluncur di udara pagi. Di hati, aku berjanji, suatu hari nanti, aku akan belajar terbang, walau sayapku cuma impian di dalam dada.

Thursday, 4 September 2025

Kenangan masih basah (Part 1) – Senja Itu, Pelukan Emak

'Senja di desaku nan permai'

Senja turun perlahan di kampung. Langit di ufuk barat dilukis dengan warna jingga, merah, dan ungu, seperti lukisan yang Tuhan bentangkan setiap hari untuk mata yang mahu memandang serta hati yang mahu berfikir. Angin membawa bau tanah yang lembap, sementara unggas mulai memanggil pasangan di tepi semak menerung. 

Di tangga rumah kayu, aku berlari kecil sambil ketawa, tak sedar kaki tersalah langkah. Tubuhku terhumban, lengan kiri menghentak anak tangga. Sakitnya menyentak nafas, air mata pun jatuh tanpa diundang. Perlahan-lahan lengan kecilku mula menerbit lebam. Rasa pedih memanjat ke hati.

Emak muncul, wajahnya tenang walau matanya resah. Dipeluknya aku, dikeluarkan sapu tangan dari saku baju lusuhnya, dituamkan pada lebam di lenganku. Hangat sapu tangan itu, bercampur dengan hangat kasihnya, menyedapkan rasa pedih yang baru sebentar tadi menikam. Seakan setiap sentuhan itu menenangkan lebih dari ubat dan kata-kata.  

“Tu… tengok,” emak menunjuk ke pohon jambu air di tepi laman. Seekor burung merbah melompat dari satu ranting ke ranting lain, kemudian mengepak sayap, terbang di udara senja. “Burung tu Tuhan yang jadikan… burung boleh terbang.” 

Aku yang masih tersedu kecil berkata, “Mak… saya pun mahu terbang macam burung tu.” 

Emak ketawa kecil, ketawa yang bunyinya seperti lagu yang tak pernah jemu diulang. Dia memeluk aku rapat-rapat. Di situ, di dadanya, dunia terasa aman. Itulah syurga dunia yang tak mungkin aku lupa.

Dalam pelukan itu, seolah turun sakinah dari langit Ilahi, hangat, damai, dan penuh cinta. Pelukan yang kelak, bila tiada lagi, akan kucari dalam setiap mimpi dan rindu.

Wednesday, 3 September 2025

Kerana Masa Silam Itu Tidak Pernah Pergi

foto hiasan ~ sumber

Ada yang bertanya… Mengapa aku selalu menulis tentang masa lalu? 

Tentang kenangan kanak-kanak yang berlari di batas dan tali air, tentang bunyi lesung menumbuk padi, tentang tawa emak di dapur kayu, tentang ayah bersama kerusi 'malas' yang akrab dan tak lupa atuk dan nenek yang duduk diam di serambi sambil mengira waktu. 

Mungkin, kerana masa silam itu tidak pernah benar-benar pergi. Ia tinggal diam di sudut hatiku yang paling dalam. Dan setiap kali aku menulis, aku sedang memanggilnya pulang. 

Aku suka menulis tentang zaman kanak-kanak.. kerana di sana, hidup begitu polos dan tulus. Segala derita terasa ringan, dan dunia, meskipun kecil, terasa cukup. 

Aku menulis tentang desa yang dulu.. kerana di situlah jati diriku dibentuk. Rumah papan, jalan tanah merah, suara azan dari surau kecil di pinggir jalan, semuanya bukan sekadar memori, tapi akar kepada siapa aku hari ini. 

Dan tentang orang-orang tua yang telah pergi..aku menulis untuk merawat rindu yang tak sempat terluah. Untuk menghidupkan kembali suara mereka yang kini hanya tinggal gema. 

Menulis ialah caraku mendoakan, dan dalam setiap bait itu, aku cuba menyentuh tangan mereka walau hanya melalui kata. 

Barangkali, aku menulis tentang masa silam kerana dunia hari ini terlalu laju dan bising, sedang hatiku rindu pada waktu yang lambat, pada suasana yang damai, pada cinta yang tidak bertukar ganti. 

foto hiasan ~ sumber

Dan sesungguhnya, ia adalah kerana satu rindu. Rindu yang tidak pernah habis, tidak pernah letih dan tidak pernah padam. 

Kerana nostalgia itu seperti pelita kecil di malam yang panjang, menghangatkan jiwa yang kian menua, dan menenangkan hati yang letih mencari makna. 

Aku menulis bukan kerana enggan melangkah ke depan, tetapi kerana aku tahu, siapa yang lupa pada semalamnya, tidak akan tahu ke mana arah esoknya.

Tuesday, 2 September 2025

Thank you Allah..

'yuk kita senaman..'

Setiap pagi adalah hadiah yang indah, udara masih segar, matahari baru menjenguk malu-malu di ufuk timur.  Angin pagi yang lembut seakan berbisik, “syukur, engkau masih diberi peluang untuk hari baru.” 

Di saat dunia masih perlahan, hati jadi tenang. Burung berkicau, daun-daun bergetar halus, semua seperti sedang bertasbih memuji Pencipta. 

Nikmat pagi bukan sekadar cahaya mentari atau udara yang nyaman, tetapi rasa segar dalam jiwa, bahawa kita masih hidup, masih punya ruang untuk memperbaiki diri, masih ada kesempatan untuk melangkah ke arah kebaikan. 

Setiap pagi adalah lembaran kosong, tinggal kita yang menulisnya dengan langkah, doa, dan usaha. 

'Allahu al-musta`an..' 

Monday, 1 September 2025

Teruskan langkah..

'senyum selalu ~ sumber foto'

Kadang kita rasa lambat capai apa yang kita nak.. tapi jangan banding diri dengan orang lain. Hidup ni bukan perlumbaan siapa cepat atau siapa lambat, tapi perjalanan masing-masing. 

Kalau penat, tarik nafas.. senyum sikit. Rezeki takkan salah alamat, peluang takkan terlepas kalau memang tertulis untuk kita. 

Ingat, setiap hari yang kita lalui, walaupun kecil usahanya, tetap satu langkah ke depan. Teruskan je, lama-lama kita akan nampak hasilnya. 

Insya-Allah.. 

Sunday, 31 August 2025

Salam kemerdekaan.. 10 km je!

Hari ini tak ke mana-mana. Di luar sana, meriah dengan acara sambutan hari merdeka, aturcara sudah bermula sejak malam tadi. Tapi hati ini lebih memilih untuk duduk diam di rumah. Dulu masa kecil, lain rasanya.. pantang ada peluang, terus berlari nak tengok orang berarak. Kini, minat itu makin sederhana, cukup sekadar menjeling sebentar di skrin laptop.

Pagi tadi sempat briskwalk, dapatlah sekitar 10 km. Langkah demi langkah di jalan perumahan termasuk jalan kampung bukan saja menggerakkan tubuh, tapi turut melapangkan dada dan menenangkan fikiran. Ada rasa syukur terbit, kerana masih mampu melangkah sejauh itu, masih dikurniakan nikmat sihat. 

Balik rumah, rehat sebentar. Niatnya mahu tonton perarakan hari kebangsaan, tapi mata pula terasa seakan disangkut pemberat. Sekejap menonton, sekejap terlena. Mungkin begitulah hidup.. tak semua kita kejar dengan penuh semangat, ada masa kita perlu beri ruang pada diri untuk rehat dan diam. 

'Antara laluan hari ini'

Dan di situlah pengajarannya, merdeka bukan hanya soal negara, tetapi juga jiwa. Merdeka daripada rasa tergesa-gesa, merdeka daripada beban fikiran yang tidak perlu. Kadang, kebebasan yang paling indah ialah bila kita belajar untuk tenang, syukur, dan menghargai apa yang kita ada pada saat ini.

Selamat menyambut hari Kemerdekaan ke 68 kepada semua yang berjiwa merdeka.. 

Saturday, 30 August 2025

7.56 km pun ok dah..

 

'selalunya mengayuh, tapi hari ini rasa nak menapak pula'

Pagi ni langkah terasa ringan… 7.56 km briskwalk dalam kawasan perumahan saja, tapi tetap rasa puas. Setiap derap kaki di jalan tar, ditemani bayu pagi dan kicauan burung, buat hati rasa damai. 

Walau hanya di sekitar rumah, walau jarak yang tak seberapa, tapi nikmatnya tetap sama. Peluh yang menitis jadi tanda syukur, kerana masih diberi kesihatan dan kekuatan untuk bergerak. 

Kadang kita tak perlu pergi jauh pun untuk hargai nikmat sihat. Cukup dengan langkah sederhana di persekitaran sendiri, ia sudah jadi terapi untuk badan dan jiwa. 

Briskwalk ini bukan sekadar jalan kaki, tapi juga latihan hati. Belajar bersyukur, menghargai masa, dan menjaga amanah tubuh yang dipinjamkan Tuhan. Semoga langkah kecil hari ini membawa semangat besar untuk esok. Insya-Allah.

Friday, 29 August 2025

Salam Jumaat: Sifat ihsan..

'foto hiasan'

Ihsan itu cahaya, lahir dari hati yang lembut dan jiwa yang mengenal Tuhan. Ia bukan sekadar memberi pada yang meminta, tetapi menghulur sebelum ada tangan yang mengharap. 

Sifat ihsan menyejukkan dunia, ketika yang lapar diberi makan, yang letih dibantu, yang bersedih dihiburkan. Lidah yang lembut, senyuman yang tulus, bahu yang sudi dipinjamkan, semuanya wajah-wajah ihsan. 

Di mana ada ihsan, di situ lahir kedamaian. Ia menyatukan yang jauh, melembutkan yang keras, dan membangunkan yang rebah. 

Kerana pada akhirnya, hidup ini bukan tentang apa yang kita kumpul untuk diri sendiri, tetapi tentang berapa banyak hati yang sempat kita sejukkan dengan kasih sayang.

Thursday, 28 August 2025

Laksana aliran sungai

'Pagi di Kuala Sat' 

Hidup ini ibarat sungai yang mengalir perlahan. Ada waktunya deras, ada waktunya tenang. Walau bagaimana pun alurnya, air tetap menuju lautan. Begitu juga kita, walau berliku jalan, akhirnya semua kembali kepada Tuhan. 

Kadang kita rasa lelah, hilang arah, atau seakan terbeban. Tapi hakikatnya, setiap kesusahan itu ada hikmah yang mendidik jiwa. Setiap air mata yang jatuh, sebenarnya menyucikan hati agar lebih dekat dengan-Nya. 

Bila kita berhenti sejenak, menghela nafas, dan memandang langit, di situ ada tanda kasih sayang Tuhan. Bahawa kita tidak pernah benar-benar sendiri. 

Tenang itu bukan bila tiada ujian, tetapi bila hati tahu kepada siapa harus bergantung.

Monday, 25 August 2025

Capai Bahagia dengan Memberi..

'foto hiasan ~ Agihan beras oleh YAMC Pahang di salah sebuah Pusat Pengajian Islam di Negeri Pahang

Bahagia itu tidak selalu datang daripada apa yang kita genggam, tetapi daripada apa yang sanggup kita lepaskan untuk orang lain. Memberi bukan sekadar tentang harta benda, tetapi juga masa, senyuman, doa, perhatian, dan kasih sayang. 

Ketika tangan memberi, hati menjadi lapang. Rasa syukur tumbuh kerana kita masih berpeluang menjadi sebab orang lain tersenyum. Betapa indahnya melihat mata anak kecil bercahaya saat menerima sekeping roti, atau wajah orang tua yang redup kembali tenang dengan sapaan penuh hormat. Bahagia itu menyusup perlahan, tidak hingar, tetapi menenangkan jiwa. 

Memberi juga mendidik hati agar tidak terikat dengan dunia. Kita sedar, apa yang kita miliki hanyalah pinjaman. Dengan memberi, kita memadam ego dan melatih diri mencintai sesama manusia. Sering kali, apa yang kita sangka kecil, sebutir doa, seulas senyum, seteguk air, rupanya menjadi sebesar-besar rahmat bagi penerimanya. 

'foto hiasan ~ YAMC Pahang menyerahkan sumbangan untuk rakyat Palestin melalui CGM (Ustaz Nadir al-Nuri)

Hakikatnya, memberi adalah jalan pulang kepada diri sendiri. Semakin banyak kita memberi, semakin banyak pula kebahagiaan yang Allah kembalikan. Ia hadir dalam bentuk ketenangan batin, kelapangan rezeki, dan rasa cukup walaupun sedikit. 

Benarlah kata orang bijaksana, bahagia bukan kerana banyak menerima, tetapi kerana ikhlas memberi. Dalam memberi, kita sebenarnya sedang menyuburkan cinta, menanam harapan, dan menuai kebahagiaan yang hakiki.

'Di sana'.

Sunday, 24 August 2025

Foto `84, momen terindah yang tidak terlupakan..

'Moga Allah SWT merahmati bondaku dan semua yang telah kembali ke alam abadi'

Di antara momen terindah dan mengasyikkan ialah tatkala menyelongkar album foto-foto lama. Saat membelek dari selembar ke selembar menghadiahkan kemanisan dan kenyamanan. Manisnya momen itu tidak mampu digambarkan dengan bual bicara melainkan detaknya pada deria rasa. 

Setiap foto yang terselit kemas di dada album ada nostalgia dan kisahnya yang tersendiri. Berbicara dan bercerita tanpa suara tentang zamannya (zaman yang telah jauh ditinggalkan). Biarpun telah kemerahan dan kabur rona fotonya, namun kenangannya masih segar dan hijau di ruangan mata, sehingga bisa meramas jari-jari kerinduan. 

Selembar demi selembar helaian album tua diselak. Membongkar kembali memoir silam dengan menatap wajah-wajah insan yang terpotret padanya. Tersenyum sendirian kerana ada di antaranya terselit kisah kelucuan. Kemudian, ada pula getaran sebak dan kesedihan apabila jiwa tiba-tiba dipagut. Ah, kesedihan kerana ada di antara mereka yang telah ‘pergi’ meninggalkan kehidupan di dunia. Pergi yang tidak akan kembali, selama-lamanya. 

Aku selak lagi lembaran album tua, dan apa yang aku lihat? Sekeping foto yang tertera susunan aksara.. 'Foto 84' di tepinya. Bola mataku merayap-rayap dan entah mengapa begitu lekap. Mesra lagi akrab pada foto nan 'bernilai' ini. Rupa-rupanya ia sekeping foto yang telah dipotretkan pada malam aidilfitri tahun 1984. 

Sesusuk tubuh bonda sedang memeriksa tapai pulut yang sudah masak. Damai wajah bonda kepuasan. Sebentar lagi mereka yang membuat tempahan akan datang mengambilnya. Bonda mengasingkan siap-siap agar mudah diagihkan nanti. Begitulah rutin bonda setiap kali Syawal menjelang. Ada sahaja orang kampung yang menempah tapai pulut hasil air tangan 'ajaib' bonda. 

Ekoran terlalu banyak tempahan, kami adik-beradik turut menjadi ‘mangsa’ kerahan. Kakak-kakak membantu menyediakan pulut serta membungkusnya. Manakala aku dan abang mengambil tugasan mencari daun getah yang banyak kedapatan di pinggir kampung. Jika daun getah tidak mencukupi, ada alternatif lainnya. Kami memetik pula daun jambu laut yang hidup subur di sepanjang pantai kampung kami. 

Apabila kutatap kembali foto ini, hatiku berdetak, ah sudah 41 tahun usiamu.

Abang Long dan abang Ngah telah lama 'pergi'. Bonda juga telah menyusulnya. Namun ingatan kepada mereka tidak sekali terlupakan. 

Demikian, dalam dingin lembut angin sore permulaan bulan Rabiul Awwal, aku mulai berkhayal-khayal dan mengelamun. Memunggah kembali bongkah-bongkah memoir yang masih terlekat di kotak minda. Dalam lamun dan khayalku pada dekad silam bagaikan meneroka menembusi terowong masa. 

Dingin angin lembut di luar masih setia berhembus. Aku pula masih enak menekuri lembaran album tua ini. 

#Moga Allah SWT cucuri rahmat buat semua yang telah mendahului..

Senja di Kampung, Lagu Alam yang Mendamaikan

'Desaku nan permai'

Apabila matahari mula melabuhkan tirainya, kampungku disimbah cahaya jingga yang mengulit bumi dengan lembut dan damai. Awan-awan berarak perlahan, langit yang tadinya biru mulai dilukis warna tembaga, dan angin senja bertiup lesu, membawa serta aroma dedaunan dan tanah yang telah seharian disinari mentari. 

Waktu senja di kampung bukan sekadar perubahan siang ke malam, ia adalah sebuah peralihan rasa. Suasana menjadi perlahan, seolah-olah seluruh alam sedang bersujud dalam keheningan yang kudus. Dan di saat itu, bunyi-bunyian alam mula mengambil tempat, menghidupkan senja dengan irama yang tak pernah gagal menyentuh hati. 

Dari balik semak, nyanyian cengkerik mula kedengaran, halus, namun tetap setia mengisi ruang. Ia bersahut-sahutan, membentuk simfoni sunyi yang menjadi peneman setia ketika matahari mula terbenam. 

Di hujung dusun, burung tukang melaungkan suaranya yang lengking dan dalam, seakan memanggil-manggil waktu agar jangan cepat berakhir. Sekali-sekala, kedengaran kokok ayam jantan yang tersasar masa, dan di celah rimbunan pokok tua, bunyi burung merbah bersiul lirih, menambah hening pada petang yang mula gelap. 

Aku duduk di tangga rumah papan pusaka, memandang jauh ke semak menerung yang mulai digenangi bayang senja. Angin membawa bersama bunyi dedaun kelapa yang berdesir perlahan, seperti bisikan seorang ibu yang menenangkan anaknya. Di kaki langit, kelompok burung pulang terbang senada, mencoretkan garis-garis indah yang perlahan-lahan menghilang di balik rimba. 

Ketika kecil, waktu begini adalah waktu paling syahdu. Kami adik-beradik akan duduk berkelompok, menanti emak memanggil pulang untuk mandi dan makan malam. Ayah pula, duduk di pangkin dengan rokok daun di jari, matanya memandang jauh, entah apa yang difikirkan, namun wajahnya selalu tenang, seiring damainya senja desa. 

Kini, senja tetap datang seperti dulu, tetapi ramai yang telah tiada. Rumah yang dulunya riuh kini sunyi, dan pangkin tempat ayah duduk kini hanya tinggal kayu tua yang mulai reput. 

Namun, setiap kali aku pulang, aku akan duduk di tangga yang sama, mendengar cengkerik dan burung tukang, dan membiarkan hatiku diselubungi kenangan. Di situlah aku temui kembali diriku yang pernah kecil, yang pernah berlari, melompati di batas parit dan tidur di pangkuan kasih. 

Senja di kampung adalah puisi yang ditulis oleh alam dan dikenang oleh hati. Ia tak pernah gagal mengajarkan tentang rindu, tenang, dan erti pulang. Dalam setiap gema cengkerik dan kokok burung di kejauhan, aku temui semula bahagian diriku yang paling tulus, yang hanya wujud ketika matahari tenggelam di ufuk desa.

Thursday, 21 August 2025

Singgah sebentar di Pulau Jeha

'Mendarat di Pulau Jeha (sebutan seperti meja)'  

Bot tiub yang kami naiki perlahan menghampiri Pulau Jeha, secebis daratan hijau yang timbul di tengah Sungai Pahang. Pulau ini sepi dan redup, seolah-olah sedang lena dalam mimpinya sendiri. Bot dilabuhkan rapat ke tebingnya yang landai, pasir kasar dan batu-batu kerikil merapat ke air. 

Langkah pertama di pulau ini terasa seperti masuk ke dunia lain, sunyi, tapi tidak kosong. Burung berkicau bersahut-sahutan di rimbunan pohon. Angin di sini tidak bising, ia menyapa seperti seorang tua yang tahu menjaga rahsia. 

'Meninjau-ninjau di atas pulau'

Aku berjalan perlahan di bawah bayang pohon ara dan rimbunan semak, sambil menguis dedaunan gugur yang berserak di lantai pulau. Ada kesan seperti pondok usang, tinggal rangka, mungkin bekas nelayan sungai, atau orang lama yang pernah menjadikan pulau ini tempat berteduh dari dunia. 

Ada juga kesan tapak kaki kerbau yang banyak kedapatan. Di sini pemandangan biasa kawanan kerbau menyeberangi sungai Pahang. Dari seberang sana, kawanan melintas naik ke Pulau Jeha untuk meragut rumput, kemudian menyeberang ke seberang sini. Unik, mereka berenang 

Aku duduk seketika di atas seketul batu, memandang ke arah sungai yang tenang mengalir, memeluk pulau kecil ini seperti memeluk anaknya sendiri. Terasa seperti Pulau Jeha sedang bernafas perlahan, dengan nafas yang mendalam dan penuh rahsia. 

Usai berehat dan menghirup damai yang cuma ada di sini, aku kembali ke bot. Enjin kembali dihidupkan, dan aku sambung perjalanan mudikku. Pulau Jeha perlahan hilang di belakang, tapi rasanya tinggal dalam dada. 

Dan sungai terus memanggil, kerana di hulunya, masih ada cerita yang menunggu.

'Musim panas bolehlah turun mandi kerana air sungai Pahang menjadi cetek. Kelihatan Pulau Jeha di belakang'

Wednesday, 20 August 2025

Aku Damai Dengan Alam

Hutan menghijau terbentang, umpama benteng ketenangan yang memeluk jiwa. Pepohon tua berdiri megah, daunnya berbisik lembut tatkala disentuh bayu. Di celah rimba, sungai jernih mengalir, melata di atas pasir halus yang memutih, membawa irama yang mengalunkan zikir semesta. 

Angin berhembus perlahan, seakan menyapu segala resah yang bersarang di hati. Udara yang segar menyusup ke dalam rongga dada, memberi kehidupan yang sebenar pada tubuh yang sering terpenjara oleh hiruk pikuk dunia. 

Di kejauhan, suara mergastua bergema, ada yang bernyanyi merdu, ada yang bersahut-sahutan, menjadikan hutan ini sebuah orkestra alami tanpa konduktor, tetapi tetap harmoni. Burung-burung kecil berterbangan, sesekali hinggap di dahan, seolah-olah ingin menyapa sesiapa sahaja yang sudi menjadi pendengar setia. 

'Pagi yang damai'

Di sini, tiada kekayaan emas dan permata. Namun ada ketenangan yang tidak bisa ditukar ganti. Alam mengajarkan bahawa damai itu sederhana, sekadar duduk, memejam mata, membiarkan jiwa larut bersama alunan air, desir angin, dan nyanyian rimba. 

Damai dengan alam adalah damai dengan diri sendiri. Kerana di tengah sunyi hutan dan derasnya sungai, kita kembali mengenal Sang Pencipta, yang mencipta indah segala ini untuk kita hayati.

Tuesday, 19 August 2025

Insya-Allah, hadir

 

Ayuh orang Pahang, khususnya penduduk Kuantan, malam esok. 

Sama-sama kita zahirkan sokongan buat arwah adik Zara Qairina di Program 'Justice for Zara Qairina' yang akan berlangsung di Serambi Teruntum Tanjung Lumpur Kuantan, bermula jam 9 malam.

Himpunan ini adalah anjuran badan bukan kerajaan (NGO) dan para peserta digalakkan berpakaian hitam. Bawalah plakad, sepanduk dan kain rentang bertulis 'Justice For Zara'.
 
Semoga keadilan berpihak kepada yang hak.. 

Monday, 18 August 2025

Tazkirah: Sabar

'sumber foto'

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, 

Alhamdulillah, segala puji hanya bagi Allah yang mengurniakan kita nikmat iman dan Islam. Marilah kita sama-sama merenung sejenak tentang satu sifat mulia yang sangat ditekankan dalam Islam, iaitu sabar. 

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Baqarah ayat 153: "Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan dengan sabar dan solat; sesungguhnya Allah bersama orang-orang yang sabar." 

Sabar ini bukan sekadar menahan marah, tetapi ia mencakupi tiga perkara: 

1. Sabar dalam ketaatan – kita istiqamah melakukan ibadah walaupun hati kadang terasa malas atau badan letih. 

2. Sabar menjauhi maksiat – kita tahan diri daripada godaan syaitan dan hawa nafsu. 

3. Sabar ketika ditimpa ujian – menerima segala musibah dengan redha, yakin bahawa setiap ujian ada hikmah di sisi Allah. 

Sifat sabar ini menjadi kunci ketenangan. Bila kita sabar, hati tidak mudah gelisah. Bila kita sabar, kita lebih dekat dengan rahmat Allah. Ingatlah, setiap titisan air mata, setiap kesabaran menahan ujian, semuanya akan diganjarkan pahala yang besar. 

Rasulullah saw bersabda: "Sungguh menakjubkan keadaan orang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik baginya; jika dia mendapat nikmat, dia bersyukur, maka itu baik baginya. Jika dia ditimpa musibah, dia bersabar, maka itu juga baik baginya." (HR Muslim) 

Oleh itu, marilah kita hiasi diri dengan sifat sabar. Sabar itu pahit pada permulaannya, tetapi manis hasilnya. Dengan sabar, hidup lebih tenteram, hubungan dengan manusia lebih baik, dan yang paling utama, kita mendapat keredhaan Allah SWT. 

Wallahu a’lam.

Saturday, 16 August 2025

Kayuhan pagi ini

'Sepeda B40 je'

Pagi ini saya kayuh basikal lipat, bukan basikal mahal pun. Sekadar teman riadah. Jalan yang saya pilih bukan jalan besar, tapi jalan baruh di belakang kampung. Kiri kanan ada tanaman penduduk, hijau dan segar dipandang. 

Saya berhenti seketika di tepi aliran air. Tarik nafas dalam-dalam, rasa lega dan puas. Suasana tenang, damai, harmoni. Bunyi burung berkicau, kokok ayam bersahut-sahutan. Semuanya buat jiwa rasa lapang. 

Dalam usia begini, kenalah juga ada masa untuk aktiviti ringan. Badan perlukan peluh, perlukan gerak supaya tetap cergas. Kayuh basikal ini antara cara paling mudah, tak perlu mahal, asalkan boleh bergerak dan rasa segar. 

Harap esok pagi masih berpeluang mengayuh lagi.

Friday, 15 August 2025

Salam Jumaat: Hari yang Mengusap Jiwa

'sumber foto'
 

Di hujung minggu yang panjang, Jumaat hadir seperti sahabat lama yang membawa wangi doa, membisikkan zikir ke telinga hati. 

Langkah ke masjid terasa ringan, azan bergema seperti panggilan pulang, dan setiap hela nafas menjadi tasbih yang tak terucap. 

Di celah-sela waktu, ada pintu langit yang terbuka, menunggu siapa sahaja yang mahu memohon. Di hari ini, hati yang letih belajar untuk kembali tenang, kerana Jumaat bukan sekadar hari, ia adalah pelukan rahmat dari Tuhan.

Tuesday, 12 August 2025

Menyusun Semula Masa Membaca

'Moga konsisten membaca buku sekurangnya 5 naskhah sebulan, sebagai permulaan' 

Ada masa, buku-buku di rak hanya menjadi hiasan sunyi. Debu yang menempel bukan salah mereka, tetapi kerana aku membiarkan waktu mengalir tanpa sempat membuka halamannya. 

Hari ini, aku mahu mengubah itu. Aku mahu duduk semula di meja, atau di sudut jendela yang pernah menjadi teman senja, membuka helaian demi helaian, dan membiarkan setiap ayat meresap ke dalam hati. 

Membaca bukan sekadar mengisi pengetahuan, tetapi menghidupkan semula jiwa yang letih, menyambung kembali benang-benang fikir yang pernah terputus. 

Namun aku tahu, keinginan saja tidak cukup, aku perlu memotivasi diri untuk konsisten. Mungkin aku akan bermula dengan buku-buku kecil, nipis, dan ringan isinya, sekadar tonik perangsang untuk membiasakan kembali jemariku menyelak halaman, dan mataku menari di atas baris-baris huruf. 

Setelah membelek buku-buku yang tersusun di rak, akhirnya aku memilih sebuah buku nipis yang pada hematku sesuai dijadikan permulaan, buku berjudul Anak Watan tulisan Resat Salleh, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama tahun 1986, dengan bilangan mukasurat sebanyak 108. 

'Buku lama DBP, beli melalui online, mengembalikan nostalgia zaman sekolah rendah'

Kulitnya sudah sedikit pudar dimamah masa, namun baunya, bau kertas lama yang mengandungi seribu kenangan, membawa aku kembali kepada era di mana cerita disampaikan dengan jujur, di mana bahasa Melayu mengalir lembut seperti sungai di kampung, dan semangat cinta tanah air terselit di setiap ayatnya. 

Ada sesuatu pada judul dan tahun terbitnya yang terasa seperti bisikan masa lalu, mengajak aku menyelami kisahnya sambil perlahan-lahan menghidupkan kembali minat membaca yang pernah aku miliki. 

InsyaAllah, selepas ini aku akan cuba menulis ulasan bagi setiap buku yang aku baca, bukan sekadar untuk mengingati isinya, tetapi untuk merakam perjalanan hati dan fikiran yang ku lalui bersama setiap helaian, supaya kelak, aku dapat kembali menelusuri jejak bacaan itu seperti menjejak langkah di jalan kenangan. 

Aku mahu mengatur masa seperti menyusun manik-manik doa, satu demi satu, hingga terjalin kalung indah bernama tabiat membaca. Kerana di setiap buku, ada dunia yang menunggu untuk aku jelajahi, dan aku tidak mahu lagi membiarkan mereka menunggu terlalu lama.