Sahabat Sejati

Showing posts with label Kenali sosok. Show all posts
Showing posts with label Kenali sosok. Show all posts

Thursday, 10 September 2026

Buku Pertama September - P. RAMLEE GENIUS SENI MELAYU

Dah pun sampai buku yang dibeli melalui atas talian. Seperti biasa, terima kasih bradar kurir atas khidmatmu. 😊 

Inilah buku pertama yang singgah ke rak saya pada bulan September. 

Sejujurnya, saya agak teruja apabila membuka bungkusan dan melihat kulit depannya buat pertama kali. Cantik! Ada sesuatu pada reka letak dan wajah P. Ramlee di kulit buku ini yang membuatkan saya berhenti seketika, sebelum perlahan-lahan membukanya. 

Buku ini merupakan buku keempat dalam koleksi saya yang berkaitan dengan penulisan mengenai P. Ramlee. Judulnya P. Ramlee Genius Seni Melayu, ditulis oleh Baharudin Ali Masrom Al-Haj, atau lebih dikenali sebagai Prof Bam, bersama Naizatul Hanim Abu Bakar. 

Naskhah ini diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, cetakan pertama 2025, dengan 298 halaman. Menariknya, buku ini diterbitkan dalam dua edisi - kulit keras dan kulit nipis. 

Edisi kulit keras memang cukup menggoda. Foto-fotonya berwarna penuh, dicetak pada kertas yang cantik dan tentunya memberikan pengalaman membaca yang lebih istimewa. Harganya pun sedikit lebih tinggi. 

Asalnya memang saya berhasrat untuk memiliki edisi kulit keras itu. Malangnya, ketika hendak membuat pembelian, stoknya sudah kehabisan. 

Tak mahu menunggu terlalu lama, saya akhirnya memilih edisi kulit nipis. Yang saya terima ini dihiasi foto-foto P. Ramlee dalam versi hitam putih. Ada sedikit rasa terkilan kerana tidak dapat memiliki edisi yang dihajati. 

Tapi tak apalah.. 

Yang penting, sebuah lagi buku tentang P. Ramlee sudah menjadi sebahagian daripada koleksi. 

Menariknya, selain dihiasi dengan foto-foto, di dalam buku ini juga hampir setiap topik disertakan dengan rujukan berbentuk QR yang membawa kita kepada lirik lagi, petikan filem, dokumentari, petika pendapat dan wawancara baharu yang belum pernah dibuat sebelum ini. 

Di bahagian belakang buku ni tertulis bahawa kandungan naskhah ini merupakan kajian tentang sisi dakwah dan perjalanan hidup P. Ramlee yang dapat diteladani, dijadikan contoh serta sumber inspirasi. 

Dan benar, semakin kita mengenali P. Ramlee, semakin kita sedar bahawa beliau bukan sekadar seorang seniman yang menghiburkan. Beliau meninggalkan sesuatu yang lebih besar daripada sekadar filem, lagu dan lakonan. 

Ada pemikiran di sebalik karya-karyanya. Ada teguran. Ada nasihat. Ada kisah tentang manusia dan kehidupan. Dan mungkin itulah sebabnya karya beliau masih mampu menyentuh hati kita, meskipun zaman telah jauh berubah. 

P. Ramlee sudah lama pergi, tetapi suaranya masih tinggal. 

Lagu-lagunya masih berkumandang. Filem-filemnya masih ditonton. Dialog-dialognya masih disebut. Dan namanya masih disebut dengan penuh rasa hormat oleh generasi yang tidak pernah pun sempat mengenalinya ketika beliau masih hidup.  

Barangkali begitulah cara seorang seniman terus hidup selepas kematian bukan melalui jasad, tetapi melalui karya yang enggan mati. 

September baru bermula, dan sebuah lagi buku telah menemukan tempatnya di rak mini library saya. 

Mungkin suatu hari nanti, apabila usia semakin jauh meninggalkan hari ini, saya akan berdiri di hadapan rak itu, menyelak kembali helaian-helaian yang pernah dibaca. 

Dan ketika itu mungkin saya akan tersenyum sendiri.

Friday, 28 August 2026

Membedah P. Ramlee - Naskhah Pertama Yang Dimiliki

`Naskhah penulisan mengenai Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang pertama saya beli` 

Buku ini merupakan naskhah pertama tentang P. Ramlee yang saya miliki. Sudah saya lupa bila membelinya, cuma saya masih ingat, buku ini sampai ke tangan saya melalui pembelian atas talian. 

Membedah P. Ramlee, judulnya sahaja sudah cukup membuat saya teruja. Naskhah tulisan Daniyal Kadir ini diterbitkan oleh DuBook Press, cetakan pertama pada tahun 2015 dan dengan helaian berjumlah 207 muka surat. 

"Membedah P. Ramlee" adalah buku yang mengupas tentang beberapa filem yang diarah dan dilakonkan oleh P. Ramlee semasa di Malay Film Production (MFP). Menurut penulis, filem-filem yang dihasilkan semasa di MFP memiliki nilai kritikan yang lebih tajam, matlamat pembikinan yang lebih hebat, tanpa menafikan hakikat kehebatan P. Ramlee pasca MFP

Buku ini memilih 15 buah filem P. Ramlee untuk “dibedah”, bukan sekadar dari sudut teknikal perfileman, seperti kaedah shot, suntingan, rekaan produksi atau sebagainya, tetapi meneliti karya P. Ramlee sebagai ciri lengkap dengan masuk ke dalam pemikiran P. Ramlee. Mengkaji pemikiran P. Ramlee telah menjadikan buku ini kekal relevan seribu tahun lagi (PRAKATA m/s 12)

Barangkali itulah yang membuat buku ini terasa berbeza. Kita bukan sekadar melihat P. Ramlee sebagai seniman yang menghiburkan, tetapi sebagai seorang pemikir yang menitipkan sesuatu tentang zamannya melalui filem dan watak-watak yang diciptakannya. 

Namun, yang paling lama melekat di hati saya bukanlah tulisan-tulisan tentang filem itu. Tetapi beberapa baris di kulit belakang buku: 

“Mengapa Abang Ramlee tidak mahu berlakon lagi?” 

Lalu jawapan P. Ramlee yang begitu sederhana: “Saya dah tua, dah lama saya berlakon. Orang-orang pun dah tak suka saya lagi. Peminat-peminat saya saya pun semua dah kahwin, dah beranak dan dah sembahyang” 

Dan satu lagi kata-kata yang membuat dada terasa sempit: “Kalau P. Ramlee berlakon, siapa nak tengok. nanti budak-budak universiti tanya, apa kelulusan P. Ramlee tu?” 

Entah mengapa, membaca kata-kata itu hari ini terasa seperti mendengar suara seorang seniman yang perlahan-lahan menyedari bahawa zaman sedang meninggalkannya. Sedangkan setelah puluhan tahun beliau pergi, kita masih di sini, masih menonton, masih ketawa dan masih menangis bersama karya-karyanya. 

Mungkin itulah nasib seorang seniman besar. Perginya jasad, tetapi karyanya enggan mati. 

Sunday, 23 August 2026

Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee - Sebuah Naskhah yang Dinanti

`Naskhah ke 3 milik saya -  penulisan berkaitan P. Ramlee`

Akhirnya, sebuah naskhah yang dinanti telah selamat sampai ke tangan. “Kisah Hidup Seniman Agung P. Ramlee”, yang dibeli secara atas talian melalui kedai DBPNiaga, sudah pun mendarat di rumah. Seperti biasa, ucapan terima kasih buat bradar kurir yang telah mengirimkannya hingga ke depan pagar dengan selamat. Jasamu ku kenang! 😄 

Beberapa naskhah yang lain masih dalam perjalanan. Mungkin esok, mungkin lusa, satu demi satu akan mendarat pula. Begitulah seronoknya menanti buku. Ada debar kecil setiap kali terdengar bunyi kenderaan berhenti di hadapan rumah. Seolah-olah ada sahabat lama yang sedang mengetuk pintu. 

Naskhah ini ditulis oleh Sasterawan Negara Abdullah Hussain (ketika itu belum SN), setebal 279 halaman dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Yang membuatkan saya lebih teruja ialah kedudukan penulisnya yang bukan sekadar menulis tentang P. Ramlee dari jauh. 

SN Abdullah Hussain pernah bergaul rapat dengan P. Ramlee selama kira-kira sepuluh tahun, dari 1951 hingga 1961, malah kemudiannya bekerja di bawah penerbitan P. Ramlee yang menerbitkan majalah Gelanggang Filem. 

Justeru, naskhah ini terasa lebih dekat dengan sumber asalnya. Ia bukan semata-mata cerita yang dipungut daripada khabar orang, tetapi datang daripada seseorang yang pernah duduk dekat, mengenali dan menyaksikan sendiri sebahagian perjalanan hidup Seniman Agung itu. 

Dalam prakata, Abdullah Hussain menyebut bahawa bahan tentang kehidupan P. Ramlee bukan mudah diperoleh. P. Ramlee sendiri dikatakan tidak begitu gemar ditemu bual oleh wartawan tentang kisah hidupnya. 

Maka, cerita-cerita itu dikumpulkan sedikit demi sedikit,daripada percakapannya sendiri, daripada cerita yang terlepas tanpa ditanya ketika suasana hatinya baik, dan daripada sahabat-sahabat rapat yang sentiasa berada di sisinya. (halaman Sekadar Salam m/s v) 

Dan di situlah barangkali letaknya nilai naskhah ini. Ada cerita yang tidak tertulis dalam temu bual. Ada kisah yang hanya terbit daripada percakapan bersahaja. Ada kenangan yang keluar tanpa dirancang, ketika seseorang sedang mengenang masa lalu. 

Kadangkala, cerita yang demikianlah yang paling jujur. Saya percaya, apabila seorang penulis begitu dekat dengan subjek yang ditulisnya, tentu ada sisi-sisi manusiawi yang lebih mudah terlihat.

Bukan sekadar P. Ramlee sebagai bintang besar di layar perak, tetapi juga sebagai seorang manusia dengan suka dukanya, ketawa dan dukanya, impian dan kesunyian yang mungkin tidak pernah terlihat oleh jutaan mata yang memandangnya dari jauh. 

Kini naskhah ini sudah ada di tangan. Tinggal menunggu masa untuk dibuka dan diselak halaman demi halaman. Selebihnya, biarlah cerita-cerita lama itu membawa saya perlahan-lahan mengenali sosok Allahyarham Tan Sri Dr P. Ramlee dari sisi yang mungkin belum pernah saya kenali. 

Jom kita baca.. mana tahu, ada cerita lama yang mampu membuat kita tersenyum, dan mungkin juga terdiam seketika. 😊

Tuesday, 18 June 2019

AS SYAHID DR. MOHAMMAD MORSI... Bergembiralah kamu dengan jualan kamu yang diterima Allah

Telah pergi seorang pejuang menemui Rabb-nya.

Begitulah kisah panjang seorang insan bernama Dr. Mohamed Morsi al-Hafiz. Beliau dilantik secara sah oleh rakyat menjadi Presiden Mesir ke-5 antara tahun 2012-2013. Namun digulingkan pada 30 Jun 2013 oleh perampas kuasa dikepalai Ketua Tentera Mesir, Abdel Fattah al-Sisi (kini menjadi Presiden Mesir ke-6). Lalu beliau dituduh, difitnah, ditangkap, diseksa di dalam penjara. Semalam, ketika dalam perbicaraan kes tuduhannya beliau rebah pengsan dan meninggal dunia, pergi buat selama-lamanya. Allahu Rabbi. Semoga Allah SWT mengangkat darjat dan merahmati rohnya.


Perjuangan ini milik Allah SWT. Ia pasti dipelihara oleh Allah SWT. Setiap yang gugur Syahid adalah kekasih Allah SWT. Pasti akan ada pengganti yang akan terus memperjuangkan agama Allah ini, hingga ke hari yang dijanjikan oleh Allah SWT. Tetap teguhlah kita di jalan ini. Allahumma ameen. Al-fatihah buat As-Syahid Dr Muhammad Mursi al-Hafiz. 



RASMI DARI PARTI KEADILAN DAN SEJAHTERA (FJP) - PRESIDEN MORSI MENDAKWA PEMBUNUHAN TERANCANG TERHADAPNYA (Terjemahan)

Dalam ayat terakhir Presiden Morsi: Saya berhadapan kematian yang disengajakan

.. Saya dipengsankan lebih daripada sekali pada minggu lepas.

Terdapat mesej penting kepada rakyat yang saya ingin pertahankan, sedangkan hakim menjadi penghalang dan menutup suara.

Al-Syahid Dr Mohamed Morsi berkata yang beliau menghadapi kematian yang disengajakan oleh pihak berkuasa kudeta, dan keadaan kesihatannya semakin merosot.

Beliau menambah, semasa kes perbicaraan itu yang dikenali sebagai "serangan penjara", beliau telah dipengsankan sepanjang minggu lalu, tanpa rawatan atau bantuan kecemasan.

Presiden Morsi meminta ketika pembelaannya agar mahkamah membenarkannya bertemu dengan pasukan pembelaannya, kerana dia mahu menyampaikan amanat kepada rakyat Mesir mengenai hal-hal penting.

Namun, Mahkamah menutup suaranya dan menghalangnya daripada terus bercakap, sehingga beliau pengsan di dalam sangkar kaca yang kedap bunyi.

Monday, 12 February 2018

Telah tiga tahun pemergiannya..

Tarikh ini, beliau dijemput untuk mengadap-Nya, setelah berpenatan menggalas dan memikul amanah-Nya. Saat 11 pagi sempurnalah pengkebumiannya, maka bersemadilahlah Tuan Guru di alam barzakh sana. Moga Allah SWT menjadikan kuburan Tuan Guru dan arwah yang lain di kalangan `illiyin.. 12.2.2015 - 12.2.2018, telah tiga tahun pemergiannya.. Al-fatihah.


sumber foto: FB

Thursday, 28 April 2016

Beberapa fakta mengenai Abu Bakar as-Siddiq

 foto hiasan

Abu Bakar as-Shiddiq adalah salah seorang sahabat Rasulullah yang telah dijamin akan masuk syurga. Abu Bakar al-Siddiq (أبو بكر الصديق‎) ialah khalifah pertama orang Muslim dari tahun 632-634.

Beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (hamba Kaabah) kerana ibunya telah bernazar sekiranya mendapat anak lelaki akan dinamakan Abdul Kaabah. Tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah. Namun beliau selalu digelar Abu Bakar yang bermaksud ayah unta muda kerana masa mudanya suka memelihara anak-anak unta.

Nama lengkap Abu Bakar adalah Abdullah bin Usman bin Amir bin Amru bin Ka'ab bin Sa'ad bin Tayyim bin Murrah bin Ka'ab bin Lu'ay bin Ghalib bin Fihir at-Tamimi. Bertemu nasabnya dengan nabi pada jurai keturunannya, Murrah bin Ka'ab bin Lu'ai, dan ibu dari Abu Bakar adalah Ummu al-Khair Salma binti Shakhr bin Amir bin Ka'ab bin Sa'ad bin Taim yang bererti ayah dan ibunya sama-sama dari kabilah Bani Taim.  Ayahnya yang bernama Usman atau lebih dikenali dengan nama Abi Qahafah.

Beliau amat terkenal dengan gelaran As-Siddiq (yang membenarkan) kerana sentiasa membenarkan setiap perkataan dan tindakan Rasulullah saw. Peristiwa yang membawa kepada gelaran ini ialah apabila berlakunya peristiwa Isra` dan Mi`raj yang telah dialami oleh Rasulullah saw. Apabila orang ramai mengatakan baginda berdusta, malah ada dikalangan sahabat yang ragu-ragu tentang peristiwa tersebut, Abu Bakar menjadi orang pertama membenarkan dan mempercayai peristiwa tersebut dengan penuh keyakinan tanpa ragu-ragu.

Saiyidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634 di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi khalifah. Ada dua pendapat mengenai sebab kematian Saiyidina Abu Bakar. Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula yang mengatakannya meninggal dunia secara biasa.

Sebelum kewafatannya, Saiyidina Abu Bakar mengesa masyarakat menerima Umar al-Khatab sebagai khalifah yang baru. Saiyidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad saw. di Masjid an-Nabawi yang terletak di Madinah.

Saiyidina Abu Bakar walaupun hanya memerintah selama dua tahun (632-634), tetapi beliau banyak menyumbang terhadap perkembangan Islam. Beliau berjaya menumpaskan golongan Riddah iaitu golongan murtad, yang tidak mahu membayar zakat dan ada diantaranya mengaku sebagai nabi. Beliau juga mula mengumpulkan ayat-ayat Al-Quran dan beliau juga berjaya meluaskan pengaruh Islam.  

Berikut adalah beberapa fakta mengenai Saiyidina Abu Bakar bin Abi Qahafah as-Siddiq ra:

1. Dia adalah sahabat dan tetangga Nabi Muhammad saw sebelum turunnya Quran.

2. Dia adalah orang dewasa pertama dan yang pertama di luar keluarga Nabi Muhammad saw yang memeluk Islam.

3. Dia adalah orang keempat yang memeluk Islam secara keseluruhan (Setelah Khadijah rha – wanita pertama, Ali ra – anak pertama dan Zaid Bin Haritsah – budak pertama)

4. Dia adalah orang pertama yang membebaskan budak di jalan Allah.

5. Dia memiliki gelar ‘Siddiq’ dan ‘Atiq’ dari Nabi saw

6. Dari semua sahabat, Abu Bakar adalah yang paling dekat dan paling menyayangi Nabi. Dia menjadi pendamping Nabi dalam gua ketika hijrah dari Makkah ke Madinah.

7. Puterinya Aisyah rha, menikah dengan Nabi Muhammad saw

8. Tanah untuk Masjid Nabawi di Madinah (Yathrib) dibeli dengan wang dari Abu Bakar.

9. Ketika Abu Bakar memeluk Islam, beliau memiliki 40.000 dirham. Dia menghabiskan seluruh wang untuk Islam. Nabi menyatakan bahwa kekayaan Abu Bakar digunakan untuk Islam lebih dari kekayaan orang lain. Dalam perang Tabuk, Abu Bakar memberikan semua kekayaannya.

10. Nabi saw senang menunjuk Abu Bakar sebagai orang yang pertama bergelar “Amirul Hajj” dalam sejarah Islam.

11. Ketika Rasulullah saw sakit, baginda melantik Abu Bakar as-Siddiq imam solat.

12. Dalam pidato terakhirnya di Masjid Nabawi, Nabi memerintahkan agar semua pintu ke masjid harus ditutup kecuali pintu menuju ke rumah Abu Bakar.

13. Abu Bakar adalah khalifah pertama dalam sejarah Islam.

14. Dia adalah satu-satunya Khalifah dalam sejarah Islam yang mengembalikan kekayaannya ke perbendaharaan negara pada saat kematiannya yang ia perolehi ketika menjawat sebagai khalifah.

15. Nabi saw berkata: Orang yang sanggup berkorban dengan harta dan dirinya kerana aku ialah Abu Bakar. Sekiranya aku mahu mengambil seorang khalil (kekasih), aku akan mengambil Abu Bakar, tetapi beliau adalah saudaraku (dalam Islam). Sesungguhnya di masjid ini terdapat jendela besar di antara dua buah rumah untuk Abu Bakar.” (Hadis Abu Said ra)

16. Ketika Rasulullah saw berada di atas mimbar, baginda berkata: "Terdapat seorang hamba, di mana Allah memberi pilihan kepadanya, samada beliau ingin memilih kemewahan dunia ataupun diberi sesuatu yang ada di sisi Allah. Ternya beliau memilih apa yang ada di sisi Allah." Selepas itu Abu Bakar menangis dan berkata: "Aku menebus kamu dengan bapa dan ibuku." Abu Said berkata: "Rasulullah yang dipilihnya dan Abu Bakar sendiri yang memberitahu perkara itu kepadaku." (Hadis Abu Said ra) 

17. Saiyidina Abu Bakar mendapat kehormatan dimakamkan tepat di sebelah Nabi Muhammad saw di Madinah.

Monday, 25 April 2016

5 Fakta tentang Asma' binti Abu Bakar


ASMA’ binti Abu Bakar telah dicatat oleh sejarah sebagai salah satu wanita yang mulia dalam perjuangannya kepada Islam. Berikut adalah beberapa fakta tentangnya yang dikumpulkan dari berbagai sumber: 

1. Asma’ dilahirkan tahun 27 sebelum Hijrah. Asma’ 10 tahun lebih tua daripada saudaranya seayah, Aisyah, Ummul Mu’minin dan dia adalah saudara se-kandung dari Abdullah bin Abu Bakar. 

2. Asma’ mendapat gelar Dzatun nithaqain (si empunya dua ikat pinggang), karena dia mengambil ikat pinggangnya, lalu memotongnya menjadi dua. Kemudian, yang satu dia gunakan untuk sufrah (bungkus makanan untuk bekal) Rasulullah SAW, dan yang lain sebagai pembungkus qirbahnya pada waktu malam, ketika Rasulullah SAW dan Abu Bakar Ash- Shiddiq keluar menuju gua. 

3. Asma’ ikut dalam Perang Yarmuk bersama suaminya, Az-Zubair, dan menunjukkan keberaniannya yang baik. Dia membawa sebilah belati dalam pasukan Said bin Ash di masa fitnah, lalu diletakkannya di balik lengan bajunya. Kemudian ditanyakan kepadanya: “Apa yang kamu lakukan dengan membawa ini?” Asma’ menjawab :”Jika ada pencuri masuk kepadaku, maka aku tusuk perutnya.” 

4. Umar ibnul Khaththab. memberi tunjangan untuk Asma’ sebanyak 1000 dirham. Asma’ meriwayatkan 58 hadits dari Nabi SAW; dan dalam suatu riwayat dikatakan : bahwa dia meriwayatkan 56 hadits [Al-Kazaruni, “Mathaali’ul Anwaar”]. Telah sepakat antara Bukhari dan Muslim atas 14 hadits. Bukhari meriwayatkan sendiri atas 4 hadits, sedangkan Muslim juga meriwayatkan sebanyak itu pula. [Al-Hafih Al-Maqdisi, Al-Kamaal fii Ma’rifatir Rijaal]. 

5. Asma’ adalah wanita penyair dan pemberani yang mempunyai logika dan bayan. Dia berkata mengenai suaminya, Az-Zubair, ketika dibunuh oleh Amru bin Jarmuz Al-Mujasyi’i di Wadi As-Siba’ (5 mil dari Basrah) ketika kembali dari Perang Jamal : “Ibnu Jarmuz mencurangi seorang pendekar dengan sengaja di waktu perang, sedang dia tidak lari. Hai, Amru, kiranya kamu ingatkan dia tentu kamu mendapati dia bukan seorang yang bodoh, tidak kasar hati dan tangannya semoga ibumu menangisi, karena kamu bunuh seorang Muslim dan kamu akan terima hukuman pembunuhan yang disengaja.”

(sumber: islampos.com)