Sahabat Sejati

Showing posts with label negeriku tercinta. Show all posts
Showing posts with label negeriku tercinta. Show all posts

Sunday, 30 November 2025

Sarapan Nostalgia di Bandaraya Lestari

 

Usai menghantar anak ke terminal bas untuk pulang ke UiTM, kami sekeluarga tidak terus balik. Hati terasa sayang hendak berpisah begitu sahaja dengan pagi yang masih muda. 

Jadi, kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan seketika di bandaraya Kuantan. Perut pun kebetulan sudah mula berbunyi minta diisi. Tanpa banyak fikir, kami singgah di Restoran Selera Padang di hadapan Jalan Mahkota, sebuah tempat yang sudah lama saya suka. 

foto Google

foto Google

foto Google

Bukan sekadar kerana makanannya, tapi kerana vibe klasiknya yang mengundang kenangan. Ruang dalamannya dihiasi dengan barang-barang lama, radio kayu, pinggan lama, gambar hitam putih, seolah membawa kita pulang ke zaman dulu yang penuh sederhana. 

Pagi itu, saya dan si Haikal 'yang istimewa' memilih lempeng, manakala Ummu Ikhwan dan angah Irsalina  memilih lontong sebagai teman santapan. 

Harumnya lempeng panas yang baru diangkat dari kuali, lembut disuap dengan sambal tumis bilis, benar-benar menyentuh jiwa yang rindu suasana kampung. 

foto Google

foto Google

Sambil menikmati sarapan, saya termenung sejenak, betapa indahnya detik kecil seperti ini. Sekadar duduk bersama keluarga, berkongsi cerita dan tawa, di sebuah restoran klasik di tengah bandar yang perlahan-lahan sibuk dengan kehidupan. 

Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak perlu dicari jauh. Ia ada di depan mata, di dalam secawan minuman dan sepinggan lempeng di pagi yang damai.

Sunday, 23 November 2025

Entah berapa kali ulang, puluhan mungkin..

Terbitan 1985

Baru sahaja saya menutup halaman terakhir sebuah buku yang sangat dekat di hati "Jatuhnya Kubu di Jerampai", novel sejarah lama terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, cetakan pertama tahun 1985, tulisan Arman Sani. 

Entah kali ke berapa saya membacanya. Puluhan kali mungkin. Setiap kali habis, saya tetap rasa seolah-olah baru pertama kali mengenali watak-wataknya. 

Saya mula membaca buku ini sewaktu di perpustakaan sekolah rendah. Ketika itu, dunia saya tidak luas.. tapi buku-buku seperti inilah yang membuka pintu sejarah, membenarkan saya melangkah ke belantara Pahang abad ke-19 tanpa bergerak dari meja kayu di perpustakaan lama itu. 

Kisah dua jejaka yang menjadi penganiayaan Inggeris, Seisi kampung diusir ke pedalaman, keluarga menderita. Pasukan Inggeris tidak henti-henti mengacau, membunuh rakyat dan memusnahkan harta benda. Kemarahan itu menyatukan mereka dengan Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Nama-nama besar yang membakar semangat tanah air. 

Setiap halaman seperti membawa saya berjalan bersama mereka, merasakan debu, peluh, dan nyawa yang dipertaruhkan demi maruah bangsa. 

Bab akhir

Halaman terakhir (muka surat 123).. ah, sampai sekarang masih membuat saya hampir menitis air mata. Ada novel yang kita baca untuk hiburan, dan ada yang kita baca untuk mengenang. Yang ini.. jatuh dalam kategori kedua. 

Di usia sekarang, saya mula kembali mencari buku-buku lama yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak dan remaja saya. Judul-judul yang pernah saya baca sambil duduk bersila di lantai koridor luar kelas, atau sambil tunggu loceng balik sekolah. 

Tapi, mencari buku lama bukan kerja mudah. Nasib baik sekarang ada internet. Walaupun harga ada yang mencanak, biasalah barang koleksi, tetapi kadang-kadang jumpa juga penjual yang baik hati, dan harga pun jadi mesra poket. 

Alhamdulillah, banyak juga buku lama yang sudah berjaya saya kumpulkan semula. Namun, masih banyak judul yang sedang saya buru. Doakan saya berjaya mengumpul semuanya ya. 

Lepas ni.. buku mana pula yang akan saya baca? Tunggu dulu. Nanti saya kongsi.

Wednesday, 29 October 2025

Perjalanan ke Raub – Menyusuri Jejak Ziarah Mahabbah

sumber foto

Jam menunjukkan 8.30 pagi. Tayar kenderaan mula bergolek perlahan, melanyak aspal jalan yang keras dan berkilau di bawah cahaya matahari yang baru memanjat kaki langit. Angin pagi masih segar, menyapa lembut wajah kami bertiga yang dalam rangka perjalanan ke daerah Raub, sebuah daerah yang sarat dengan nostalgia dan damai kehijauan bukit-bukau. 

Di kiri kanan jalan, kabus pagi masih bersisa di celah pepohonan, menebar suasana tenang dan syahdu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Destinasi pertama kami ialah pejabat MUIP, bagi menghadiri mesyuarat berkenaan program Ziarah Mahabbah di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol. Mesyuarat yang dijadualkan bersama Pengurus Majlis Ugama Islam Islam Pahang MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang, JAKOA, PERKIM Raub dan PMOA JAKIM berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni. 

Mesyuarat di MUIP

Masing-masing membawa semangat yang sama, untuk menjalin kasih, mengukuh ukhuwah dan memperluas dakwah kasih sayang dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Di meja mesyuarat yang sederhana itu, kami bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi menyatukan niat dan doa agar perjalanan misi ini diberkati Tuhan. 

 Ke KOA Sungai Yol

Selesai mesyuarat, kami meneruskan perjalanan ke KOA Sungai Yol. Jalan menuju ke kampung itu berlekok dan sempit, dikelilingi kehijauan rimba yang sesekali menyingkap pemandangan aliran kecil di tepi jalan. Airnya jernih, mengalir tenang seolah-olah menyambut kedatangan kami. 

Di celah dedaun hutan, suara burung bersahutan, irama alam yang menenangkan jiwa dalam perjalanan yang sederhana namun bermakna. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari di tepi jalan tanah merah, melambai sambil tersenyum malu, wajah polos yang membawa damai ke dalam hati. 

Timbalan tok batin Medang menyambut kami, tok batin tiada kerana pergi berubat 

Di penghujung jalan, kami disambut mesra oleh Timbalan Tok Batin, iaitu Medang, sosok berwajah teduh dengan senyum yang mengundang hormat. Langkahnya perlahan namun penuh wibawa, mencerminkan seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakatnya. 

Tujuan kami jelas, mendapatkan beberapa maklumat tentang penduduk kampung, sebagai persiapan awal untuk menjayakan program yang mendekatkan hati antara masyarakat Islam dan saudara-saudara kita di pedalaman. 

Sambil berbual di serambi rumahnya yang sederhana, angin hutan meniup lembut kain langsir lusuh yang menutupi jendela. Aroma suasana kampung menginjak petang menambah kedamaian. Sesekali mata saya memandang ke arah bukit yang biru di kejauhan, lalu terlintas dalam hati, betapa luasnya kasih Tuhan yang mempertemukan insan-insan dari dua dunia yang berbeza di bawah satu payung rahmah. 

Di tengah kehijauan dan kesederhanaan itu, saya belajar sesuatu yang besar, bahawa dakwah bukan hanya tentang bicara di pentas atau pena di kertas, tetapi tentang hadir dan menghulur tangan dengan kasih. 

Perjalanan ini mungkin sekadar urusan kerja di atas kertas, namun jauh di dasar hati, saya tahu, setiap langkah ke perkampungan ini adalah langkah menuju kasih, menuju pengertian, menuju mahabbah yang sejati.

Sunday, 31 August 2025

Salam kemerdekaan.. 10 km je!

Hari ini tak ke mana-mana. Di luar sana, meriah dengan acara sambutan hari merdeka, aturcara sudah bermula sejak malam tadi. Tapi hati ini lebih memilih untuk duduk diam di rumah. Dulu masa kecil, lain rasanya.. pantang ada peluang, terus berlari nak tengok orang berarak. Kini, minat itu makin sederhana, cukup sekadar menjeling sebentar di skrin laptop.

Pagi tadi sempat briskwalk, dapatlah sekitar 10 km. Langkah demi langkah di jalan perumahan termasuk jalan kampung bukan saja menggerakkan tubuh, tapi turut melapangkan dada dan menenangkan fikiran. Ada rasa syukur terbit, kerana masih mampu melangkah sejauh itu, masih dikurniakan nikmat sihat. 

Balik rumah, rehat sebentar. Niatnya mahu tonton perarakan hari kebangsaan, tapi mata pula terasa seakan disangkut pemberat. Sekejap menonton, sekejap terlena. Mungkin begitulah hidup.. tak semua kita kejar dengan penuh semangat, ada masa kita perlu beri ruang pada diri untuk rehat dan diam. 

'Antara laluan hari ini'

Dan di situlah pengajarannya, merdeka bukan hanya soal negara, tetapi juga jiwa. Merdeka daripada rasa tergesa-gesa, merdeka daripada beban fikiran yang tidak perlu. Kadang, kebebasan yang paling indah ialah bila kita belajar untuk tenang, syukur, dan menghargai apa yang kita ada pada saat ini.

Selamat menyambut hari Kemerdekaan ke 68 kepada semua yang berjiwa merdeka.. 

Tuesday, 29 July 2025

Sungai Pahang - Bersama angin, bersama arus yang sabar.

Dengan sebuah bot tiup sederhana (inflatable boat), aku dan dua rakan mudik perlahan ke hulu Sungai Pahang, sungai tua yang menyimpan rahsia negeri dan cerita bangsa. Airnya keruh keemasan, tidak deras, tetapi tetap punya arah dan cita. Sesekali angin menyapa pipi, menyiram wajah dengan titis halus air yang terpercik dari birai bot yang melanggar arus. 

Di kiri dan kanan, rumah-rumah kayu berdiri setia di tebing, seperti penjaga waktu. Ada yang masih kukuh, beratap zink yang berkarat manja; ada juga yang condong, namun tetap tabah berdiri, mengingatkan aku kepada nenek tua yang sabar menunggu cucu pulang dari perantauan. 

Anak-anak kampung melambai dari pangkin, ada yang menjerit girang melihat botku, seperti melihat sesuatu dari luar dunia mereka. Ayam berkokok, lembu menguak, burung ruak-ruak terbang berkawan di celah semak bakung. Dan jauh di hutan seberang, bunyi seruling alam, mungkin dari burung tukang atau dari masa lalu yang bersiul pada kenangan. 


Aku terus mudik. Dalam diam, aku dengar denyut jantung sungai ini. Ia bukan sekadar sungai. Ia seperti urat nadi orang Pahang, membawa kisah pahlawan, nelayan, petani, dan anak-anak kecil yang membesar dengan mimpi di dalam pelita malam. 

Tiada kota, tiada deruan kenderaan bersimpang-siur. Hanya tenang yang menyapa jiwa, dan alam yang berbicara dengan bahasa sunyi. Di sungai ini, aku tidak mencari ke mana aku mahu pergi. Tapi aku sedang mengingat siapa aku pernah jadi.

Monday, 23 May 2022

Bicara santai: Syawal yang masih berbaki

Assalamulaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, puji dan syukur yang sebanyaknya kepada Allah SWT yang mengizinkan kita semua untuk bertemu kembali. Biarpun pertemuan ini berlangsung cuma di alam maya, namun ia juga termasuk nikmat yang seharusnya disyukuri.

Hampir sebulan tidak mencoretkan apa-apa di lembaran kesayangan ini. Mungkin ada sahabat-sahabat yang tertanya-tanya atau mungkin juga tidak. Jika hilang tidak tersisa terus dilupakan orang. Demikianlah kehidupan di dunia ini.

Alhamdulillah, Ramadhan dan Syawal tahun ini begitu bererti dan meriah sekali. Cukup puas meraikannya bersama kaum kerabat dan teman-teman, kerana boleh dikatakan kondisi hampir normal sepenuhnya ekoran kelonggaran SOP yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan.

Sama-sama kita berdoa agar Allah SWT mengangkat dan menghilangkan terus Covid 19 ini daripada tanahair yang tercinta ini dan kehidupan menjadi semakin baik untuk kita nikmati. 

Tahun ini banyak sungguh undangan rumah terbuka Aidilfitri. Samada di kalangan sahabat-sahabat maupun undangan anjuran agensi-agensi. Jenuh juga mahu memenuhi setiap undangan. Maklumlah dua tahun aidilfitri tanpa 'apa-apa' sambutan. Kali ini, haa.. tu dia, lepas geram masing-masing. 

Dalam kemeriahan menyambut raya, memenuhi undangan rumah terbuka, jangan pula lupa untuk 'membereskan' puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Rugi jika tidak melaksanakannya. Jika tidak sempat tahun ini, maka perlu menunggu sehingga tahun hadapan pula. Itupun jika usia masih ada, wallahua`lam. 

Saturday, 19 February 2022

Bicara santai: Bimbang juga!

Assalamualaikum warahmatullah. 

Alhamdulillah, sama-sama kita merafa`kan rasa syukur kepada tuan empunya dunia, Allah SWT yang masih memberikan kepada kita semua bermacam-macam nikmat. Tentunya dengan semua nikmat tersebut kita dapat menjalani kehidupan dengan sebaiknya di dunia ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya tidak terkira, sesungguhnya manusia itu sangat zalim lagi engkar.” (Ibrahim: 34)

Di antara nikmat-nikmat yang tertinggi daripada semua nikmat itu ialah nikmat Islam kerana dengan Islam-lah Allah SWT menyempurnakan agama (Ad-Deen) melengkapi nikmatnya buat kita, dan redha dengan Islam sebagai agama kita kerana Islam adalah penutup kepada semua agama.

Alhamdulillah adalah ungkapan ringkas sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT terhadap nikmat dan rezeki yang dikurniakan. Sedangkan Allah SWT juga menegaskan, bagi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur akan ditambah nikmat mereka. Sifat syukur juga membolehkan seseorang mendapat pahala yang besar. Justeru, marilah kita menyebut "ALHAMDULILLAH"

Hari ini kes jangkitan virus Covid-19 semakin meningkat. Bahkan setiap hari makin bertambah. Di lingkungan  tempat tinggal saya sendiri sudah lebih 20 orang yang dikenalpasti positif. Samada orang dewasa maupun kanak-kanak. Ini juga termasuk di antara perkara yang agak membimbangkan. Harap-harap tidak berlaku PKPD atau apa-apa `P` sudahlah! 

Tambahan pula sekarang ini kita semua dalam menghitung hari menuju Ramadhan. Moga tidak berulang kembali sebagaimana Ramadhan yang lalu. Doakan..

Wednesday, 6 October 2021

Mari belajor loghat Pahang (6)

Assalamualaikum warahmatullah sahabat-sahabat.

Alhamdulillah, kes penularan pandemik covid-19 mencatatkan jumlah penurunan walaupun masih lagi di aras empat angka. Semalam mencatatkan jumlah kes sebanyak 8K lebih dengan negeri saya masih bertahan di angka enam ratus lebih kes. 

Justeru, marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan agar penularannya semakin menurun setiap hari. Dan dalam masa yang sama turut berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala, insya-Allah. 

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata.

Contoh Ayat : Kan keh dah kabor... jangan letok kete bawoh pokok tu... ataih pokok tu banyok 'Angry Bird'... Kala kete dah besempudei dengan taik burung gini, aok toksoh pegi basuh la... aok pegi buat report polih jer, kira 'Total Loss' la kala cenggini..

 

 Contoh Ayat : Amender yak aok pandang tu weh??? Sampei ekor mencudat gitume.... Ader kucing lawo ker? Atau ader anjing seksi?..

 

Contoh Ayat : Aii Pak Aji, takkan la bebuka sampei perut mentek gini? Agok-agok la kala nok makan te.. Kala dah terbungkang gini, goner nok pegi terawih ni karang...

 

Contoh Ayat : Aok kala naik bas pegi nengok bolor kat stadium tu nanti, memolek sikit.... jangan sampai terapik kat pintu bas pulok. Dah la bas orang bagi free... takmboh berambi lalu... Malu orang kampung weh!

Tuesday, 31 August 2021

Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2021

sumber foto

Alhamdulillah, sekali lagi kita menyambut tarikh keramat 31 Ogos. Walaupun dalam suasana mengekang dan melawan pandemik covid 19, kegembiraan dan kebanggaan seharusnya tetap dizahirkan.

Sudah masuk tahun ke-64 membina negara bangsa mengikut acuan sendiri. Dalam tempoh panjang tersebut, seharusnya mematangkan semua warga dalam membina kemakmuran.

Marilah sama- sama berganding bahu untuk mengukuhkan ikatan perpaduan yang telah disemai sesama kita. Semoga kita tidak lupa kepada perjuangan generasi terdahulu yang telah menumpahkan airmata, keringat dan darah demi untuk mendapatkan kemerdekaan ini. 
 
Marilah kita sama-sama menikmati kemerdekaan ini dengan penuh kesyukuran. MALAYSIA PRIHATIN.

Tuesday, 2 February 2021

Mari belajor loghat Pahang (5)

Assalamualaikum warahmatullah. 
Kes penularan pandemik covid-19 masih lagi mencatatkan jumlah empat angka. Hari ini menteri yang berkaitan telah mengisytiharkan PKP dilanjutkan sehingga 18 Februari 2021, kecuali bagi negeri Sarawak yang masih dalam PKPB. 

Justeru, marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan agar penularannya semakin menurun setiap hari. Dan dalam masa yang sama turut berdoa agar keadaan kembali pulih seperti sediakala, insya-Allah. 

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata. 



Contoh Ayat : Mende buleh cebek, buat mende dukung.... jabir banyok lagi ni... 




Contoh Ayat : Bini koi ni serentok pulok tiga-tiga mengidam nok makan buoh... nok memanjat tak reti... koi hogoh je la... buoh gugur nanti, pandai-pandai la deme kutip.. jangan tumbang sudoh. 




Contoh Ayat : Patut la gulei cepat ngat basinyer.. nyer bantei ghacok gitu haje.. sudu ander tu aki.. 




Contoh Ayat : Dah berpuluh taun dah keh main bolor... dah jenuh dah muka keh ni tertomoih ke tanoh... takde hei lalu laa... Keknyer hari ni, ntoh mender la suey nyer... tertomoih kat sini pulok dah.... letih la kena samok muka keh ni nanti.




Contoh Ayat : Ish aok neh... kan keh dah kabor... Rambut anok jantan keh jer yak buat macam dalam gambor ni... Anok pempuan keh tak payoh la potong sampei gonggot gini.... Baik aok repair balik... kala tidok, keh takmboh bayor.....
p/s : Gonggot : guntingan rambut yang tak sekata...

Nanti sambung lagi...:)

Monday, 16 November 2020

Mari belajor loghat Pahang (4)

 Assalamualaikum warahmatullah.

Alhamdulillah, sudah dua hari cuaca cerah. Jika tidak, pagi atau tengahari, petang atau malam pasti hujan turun membasahi di tempat saya. Biasalah sudah pun memasuki permulaan musim tengkujuh walaupun sebenarnya ia agak lewat. Jika sebelum ini di pantai timur musim hujan seawal bulan Oktober. Apa pun, mudah-mudahan tidak berlaku banjir pada tahun ini. 

Dalam santai-santai, moh kita belajar beberapa perkataan loghat Pahang. Moga ia dapat menambah dan meperkayakan perbendaharaan kata.


Contoh Ayat: Hah?? Goner buleh jadi gini... sampei terkelewok tayar te? Tu la.. lain kali kala nok bawok besika te, jangan la bawok lelaju... ni deme bantei merempit pulok.. sekali jatuh terpukang.. habih terkelewok belake... tak pasei-pasei kena beli besika baru.

Terkelewok: bengkok


Contoh Ayat: Balerrr... Baru 2 minggu keh beli kasut bolo ni.. dah longkoh dah.. Tak dan nok lawan ngan rimo mude... Kena beli baru lagi laaa.... 

Buah rambutan lekang juga biasa disebut sebagai 'Buoh mutan longkoh'


Contoh Ayat: Goner ni? Belum makan lagi dah taih eskrem nih... Panaih sangat ke cuaca ari ni? Kena beli se lagi la jawaknyer....

Taih: Cair


Contoh Ayat: Biasa la tu Buntat... Kala dah nampok bunga2 nak kaloh tu... Aokme main beria-ia pun takde maknenyer... Pangkoh jer la sorang berdua... Nok mujur berusung keluor padang..

Pangkoh: Bentes, terjah, 'tackle', peteh..


Contoh Ayat: Kala terserempok dengan rodong-rodong yak tepeghelos kaki dengan tayar vespa dalam lubang cenggini... pakat-pakat la tulung. Ni tidok.. pakat tulung tengok ngan tulung gelok jer.... semer nyer pakat kabor... Biorrr ke lantokkkk!! ........:

Tepeghelos: terperosok

Wednesday, 9 September 2020

Belajor loghat Pahang (3)

 Assalamualaikum warahmatullah.

Semalam mencatatkan kes penularan pandemik covid-19 sebanyak tiga angka. Jika kondisi begini berterusan, tidak mustahil pihak kerajaan akan menguatkuasakan kembali PKP. Apa pun marilah kita semua berdoa agar keadaan ini tidak berlarutan. Dan dalam masa yang sama marilah kita mematuhi SOP yang telah digariskan oleh pihak kerajaan.

Sambil-sambil itu apa kata kita layan/belajar loghat Pahang. Mudah-mudahan dapat menambah lagi perbendaharaan kata. 


Contoh ayat : Keh dah kabor kan.. kala nok turun tangga ter... turun la memolek.. jangan nok buat 'cat walk' pulok... Sekali tersempat anok tangga te, jatuh terjerembok cenggini... habih la muka...


Contoh Ayat : Pepalih aok... Keri amat aok nengok duit belabok gitume... sampei nok terjeluo biji mate... Yer la... orang tua pon keri jugek kala duit bertambun gitu... Tak ketahuan nok buat mende dah...


Contoh ayat : Weeehhh dimeh.. Mat nyer condir ngat nyer letok bekas ikan te? Eeee... coper ngat duduknyer... Serio bulu tengkok keh nengok nyer.. Buatnyer ikan dalam te, nyer bantei menggelatat pulok karang.... mboh belempung ke bawoh.....


Contoh ayat :  Alahai Tipoh... Kala nak letok gambo dalam pesbuk tu, letok la gambo memolek sikit... tak payoh la letok gambo yak terjuih-juih, temuncung-muncung gitu... dah serupa beruk orang nengok.....


Contoh ayat : Ingatkan handei ngat belake... sekali beruang jerkoh, menciput lari... bebadi sape laju la... lambat nasib la...

Ok, nanti kita sambung lagi..



    

Tuesday, 5 May 2020

Belajor loghat Pahang (2)

Alhamdulillah hari ke 12 berpuasa dan malam ke 13 bersolat tarawih. Mudah-mudahan kita semua sentiasa bersemangat untuk melakukan ibadah sehingga ke hari terakhir Ramadhan, insya-Allah.

Sambil-sambil berehat dan bersantai damai bersama keluarga selepas menunaikan solat tarawih, apa kata kita sambung kembali belajar loghat Pahang. Insya-Allah, malam ini beberapa perkataan untuk pemahaman kita bersama.


Contoh Ayat : Itu la akibatnyer.... jalan tok pandang ke depan... mata te melilo je nengok anok dare... sekali, kepala tu lagung ke tiang... mender nok kabor? kan dah bincut...



Contoh Ayat : Awok ni Manje... kan mok dah kabor.. kala nok duduk tu berambi la sikit... tengok la kerusi tu molek ker, ogek ker? Kan dah tepukang! Tu la takmboh ndengor kata... dah besor gajoh pon babir lagi.... kan buleh pekdoh.



Contoh Ayat : Pepalih la tak elok nyer ngelim karipak... saper la yak buat keje gini... kala nak nolong ngelim karipak, kelim la memolek... jangan la bekelebi gineh... jangan kata nok juei... nok makan pon tak cekak



Contoh Ayat : Orang dah kabor banyok kali dah... kala bawok moto te, jangan asik main SMS... Haaa... kan dah kena... tak pasei-pasei terjerungkang dala lubang te... saper nok jawak ni.... moto aboh aok ni.



Contoh Ayat : Haha... mender nok kabor... Tau taket.. memasing becempridei belaka nok nyelamat diri..., hok depan sekali te, awei2 lagi dah menciput, hok baju meroh mencanok lari tak cukup tanoh, yak baju oren te mencayok lajunyer, yak baju kelabu te mencibang nok selamat diri... yak lain tengoh memoteing lagi tak tau mana nok lutu......:m p/s : Becempridei : Lari dalam keadaan lintang pukang tanpa hala tuju... manakala Menciput, Mencibang, Mencanok, Mencayok dan Memoteing : Adalah 'speedometer' bagi tahap kelajuan dan gaya larian.... haha....

Ok, nanti kita sambung lagi..

Sunday, 3 May 2020

Bicara santai: Belajor loghat Pahang

Alhamdulillah, sepuluh hari berpuasa dan malam ke sebelas bertarawih bersama keluarga. Biarpun masih di dalam suasana  PKP, namun kehangatan Ramadhan tetap dirasai. Rahmat dan berkatnya.

Sambil melayani perasaan dan jasad yang terkurung di dalam rumah, apakata kita belajar sedikit loghat Pahang. Bolehlah menambah sedikit pengetahuan mengenai percakapan orang Pahang, disamping menghilangkan kebosanan.

p/s: Contoh ayat dalam lenggok loghat Pahang..



Contoh Ayat : Atan cuba berlagok hensem masa nok bergambo depan gepren dia... jadinyer masa dia tengoh kesot ke sana kesot ke sini... sedor-sedor dah terjelabok dalam air te... tak jadi bergambo...... teruih balik rumoh... tak jadi la nok berdating dah petang te.



Contoh Ayat : Yahhhh... Matnyer? Goner jadi gini neh?.. Sampei kena meghetoh dala jamban pulok? Aok kena cirit birit gamoknyer... bimbang terkincit ataih lece ni... Ni mesti sebab banyok sangat makan buoh kundang semalam ni...



Contoh Ayat : Keh dah kabor... jangan cuba naik 'roller-coaster' tu... aokme babir... nok naik jugek... kan dah kerayan.. daroh tinggi, sakit jantung, kencing manih, jiwa kaco, semer penyakit habih keluor......



Contoh Ayat : Orang dah kabor... jangan buat naya ke menatang... kan dah dapat! Ingatkan handei sangat... sekali kena balas balik... haaa... kan dah pesok seluor kena tanduk... dalam masuk tuuuu....


Contoh Ayat : Balerrrr... Saper pulok la bantei meghuoh dala lif neh... Bau dah la macam hampuraih.... Hangit melantong.... Tak tahan nak muntoooohhh ni

Ok, cukup lima perkataan dulu, nanti kita sambung lagi

Friday, 30 August 2019

Terima kasih..

Salam Jumaat


Salam Kemerdekaan yang ke-62. Moga aman makmur Malaysiaku tercinta.

Friday, 5 January 2018

Bicara santai: Peringatan banjir daripada orang Pahang

'Banjir di Kuantan'

"Dengo ni koi nok ngabo kale aokme mboh nengo, ari ni perentan pejo, keselamatan nombo satu kene jage, bebudok jangan dipalo main dibirei air, kang mencelubu ke air raban, menangeh tok belagu. Air ke lama ke naik ni, pasang radio, tengok tibi dan dengo arohan pehok bekuase, jangan muat babey, mengkale kabo suruh pindoh, pindoh la... Orang te sayang ke awok. Segala kelengkak penting-penting te taruh molek, bubuh tempat tinggi, bender hak mudoh punoh te macang geran tanoh, geran kereta moto, resit beranok, surat nikoh kala boleh bubuh dalang pelasetik, bungkuih leklok, nok muat antak baru bukannye mudoh, biolah rembek sikit kijenye janji selamat. Ini jelah koi nak ngabokan yek, ontok peringatan besame.." (sumber: Grup Whatsapp negerikoi)

#Harap sahabat-sahabat faham ye..

Sunday, 19 November 2017

Aku kepelikan...(??)

sumber foto: FB ALAM Malaysia

Macam ada yang tak kena dengan gambar ini, fikir saya sambil menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Apa agaknya yang pelik tu? Gambar ini sebenarnya terletak di dalam daerah tempat tinggal saya. Atau senangnya tak jauh mana dari tempat tinggal saya. 

Oleh kerana ia berada di dalam daerah saya, maka saya merasa suka(??) untuk mengongsinya dengan sahabat-sahabat. Apa reaksi sahabat semua, kepelikan? Terkejut? Saya bukan sekadar berkongsi gambar, tetapi turut sama berkongsi perasaan. 

Gambar ini saya dapati di dalam FB ALAM Malaysia. Rasanya tidak perlu saya ulas atau dalam bahasa lain ‘membebel’. Cukuplah gambar tersebut menjelaskan apa yang sedang berlaku ni satu sudut negeriku tercinta ini. Dulu bauksit... 

Saya kongsikan apa yang ditulis oleh admin ALAM Malaysia. Renung-renungkan... 

KEGILAAN MELAMPAU?... itulah ungkapan yang mungkin paling sesuai untuk menjelaskan foto ini. Terletak hanya beberapa meter di belakang Pejabat Hutan Daerah Kuantan tetapi penggondolan Hutan Simpan Bukit Galing, Kuantan, Pahang seakan-akan tidak dipedulikan langsung! Di manakah kewarasan pemimpin dan pemerintah Kerajaan Negeri Pahang sehinggakan Hutan Simpan seluas "sekangkang kera" buat menjana oksijen di Bandar Lestari itu pun mahu dikebas? Sekitar tahun 2007, Hutan Simpan Biodiversiti di tapak Universiti Islam Antarabangsa Kampus Kuantan yang terletak bersebelahan Hutan Simpan Bukit Galing ini juga digondolkan dengan kerjasama "orang dalam". Selepas itu, Kuantan juga menjadi perhatian dunia disebabkan kegilaan bauksit tanpa menghiraukan kesan pencemaran alam sekitar kepada penduduk. Kalau berterusan kegilaaan ini, maka hancurlah agaknya alam semulajadi dan bumi Pahang tidak lama lagi.