Pagi ini, aku bersarapan bersama Ummu Ikhwan. Tak jauh mana pun, masih dalam lingkungan lokaliti sendiri, tempat yang sudah akrab dengan langkah dan pandangan mata. Kami memilih untuk singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan kampung, warung yang atapnya zink, dindingnya papan separuh, tapi suasananya.. luar biasa damai.
Aku seperti biasa, memilih roti kahwin, roti lembut paduan roti telur dan roti kosong, kemudian dipanggang hingga keperang-perangan, cukup untuk membangkitkan nostalgia zaman dulu. Ummu Ikhwan pula tidak pernah berubah, tetap setia dengan kegemarannya, roti sardin panas yang baru diangkat dari kuali.
Sambil ‘mencicip’, kami berbual santai tentang hal-hal kecil yang indah, tentang hari semalam, tentang pokok jambu di halaman rumah yang mula berputik, tentang burung-burung yang setiap pagi datang bertandang di pagar. Di sekeliling, pohon kelapa melambai perlahan, dan dari jauh kedengaran bunyi ayam jantan masih bersahut-sahutan.
Aku menghirup indo-cafe panas pekat yang dihidang dalam gelas kaca. Wapnya naik lembut, mengisi udara dengan aroma yang mesra di hidung. Angin pagi menyapa lembut wajah, membawa bersama rasa syukur, kerana dalam hidup yang serba pantas ini, masih ada waktu untuk berhenti sejenak, menikmati pagi dengan tenang, ditemani insan yang dekat di hati.

4 comments:
moment simple macam ni lah paling bermakna
Biasanya warung2 kecik camni la best sarapan dengan tenang.
Bukan selalu Ustaz..sesekali tu ..kena bawa suri hati..damai jiwa nya. Perlu makan bersama ..bahagia tau..
Nampak ustaz bersederhana..tapi cukup sempurna, cukup bahagia..untuk bahagia..alhamdulillah..
Post a Comment