Sahabat Sejati

Monday, 3 November 2025

"Kau bukan muda lagi"

Sabtu... Kuala Lumpur!! I`m coming

Alhamdulillah.. hampir jam dua pagi, barulah langkah ini menjejak semula tanah halaman sendiri. 

Di luar rumah, angin dinihari menyapa perlahan, seolah-olah memahami betapa lelahnya perjalanan jauh dari Banting ke Sepang, kemudian ke ibukota cinta Kuala Lumpur, dan akhirnya pulang ke tempat yang paling menenangkan hati, tanah kelahiran. Mata berat, badan terasa seolah dipinjam dari usia yang jauh lebih tua, namun hati tetap bersyukur. Allah izinkan sampai, walau langkah terasa berpaut pada sisa tenaga yang hampir hilang. 

Sabtu dan Ahad itu bukan sekadar perjalanan. Ia satu musafir yang penuh urusan, penuh pertemuan, penuh cerita hidup yang menghidupkan jiwa. Fikir saya, menaiki bas ekspres mampu memberi ruang rehat, memejam seketika dari belakang kerusi penumpang. Namun sangkaan itu meleset. Rehat yang diharapkan hanyalah bayangan. Rupanya kaki lebih banyak berdiri, masa lebih banyak berkejar. Dari satu lokasi ke lokasi lain, demi menyelesaikan amanah yang tak mampu ditinggalkan. 

Dalam sibuk itu, hati sempat disapa rasa terkilan. Dua hari berlalu tanpa sempat menjenguk blog sahabat-sahabat, tanpa meninggalkan jejak seperti selalu. Terasa seperti meninggalkan keluarga yang setia menunggu. Namun, takdir Allah mengubat hati yang sedikit sebak itu dengan caraNya sendiri.. 

Di satu sudut, sebelum bengkel bermula, saya duduk berbual bersama dua sahabat lama. Mereka bukan sembarangan sahabat. Mereka insan yang telah merasai gelombang perjuangan, menyertai Global Sumud Flotilla. 


Saat mereka bercerita, mata dan hati ini diam. Laut luas yang pernah mereka rentasi; drone yang menyerang kapal tanpa belas; tangan-tangan zionis yang mengikat, menyiksa, memisah mereka dari kebebasan; penjara yang menelan cahaya.. semuanya ditutur dengan suara yang tenang, namun dalamnya luka, dalamnya kekuatan. 

Dan hari ini, mereka berada di hadapan saya, tersenyum, hidup, bebas. Allahu.. terkilan tadi seakan mengalir pergi. 

Dalam program yang sama, gelombang umat lain pula singgah di hati, kisah Sudan. Dua anak watan Sudan hadir, tenang namun jelas kesayuan di mata mereka. Dengan suara yang tertahan namun penuh fakta, mereka membuka jendela tentang keadaan di tanah air mereka hari ini. Nyawa bagai tidak bernilai, bumi berdarah, harapan cuba dicabut dari akar. Mendengar itu, dada terasa sesak. Dunia ini besar, dan deritanya lebih luas daripada apa yang mata kita mampu lihat. 

Namun dalam kepenatan musafir itu, ada bahagia yang halus. Program seperti ini mengumpulkan sahabat dari seluruh pelusuk negara. Wajah-wajah yang biasanya hanya ditemui di layar telefon, kini duduk di sisi, bersalaman, berkongsi senyum dan hikmah. Benarlah.. tanpa majlis begini, entah bila lagi Allah akan izinkan pertemuan. 

Dan akhirnya, kini di rumah, jam hampir dua pagi. Tubuh terasa longlai, lseluruh sendi seakan berbisik, “kau bukan muda lagi.” Tapi hati, hati terasa penuh. Bukan dengan penat semata, tapi dengan syukur, dengan pelajaran, dengan kisah-kisah pejuang dan penderitaan umat yang membesar hati ini untuk terus peduli. 

Kadang-kadang, lelah itu bukan kelemahan. Ia tanda bahawa kita masih bergerak, masih hidup, masih mahu memberi. 

Alhamdulillah atas penat yang berbaloi.

Isnin - demam, sakit urat, melepek. 

5 comments:

mama tisya said...

penat yg berbaloi tp yela bdn kdg2 perlu rehat juga..smoga cpt sembuh dr demam & sakit urat

paridah said...

assalam moga ustaz afiat tiasa....berehatlah hak tubuh kena tunaikan juga...misi bakti berterusan sekiranya sihat n mampu bergerak

Time Traveller said...

Jauh perjalanan tapi hasil yg begitu memuaskan.. alhamdulillah dpt dgr cerita terus dari mulut mereka yg bersama sumud flotilla..

Etuza said...

Hakikat kita buka muda lagi Ustaz, tetapi kemahuan untuk melalui jalan lurus beramal ibadah hakikat itu semakin terhampar luas, membesar harapan membesar pujian kepadaNya. Kita mahu ke akhirat negeria abadi..Semoga Allah perkenankan..aamiin.

Etuza said...

Subahanallah majlis ilmu ustaz hadir ustaz santuni amat bermakna..