Sahabat Sejati

Wednesday 3 December 2014

Selidik dulu teman-teman!


Terkejut besar juga pada mulanya saat mesej menerjah daripada whatssap group. Biar betul, sukar mahu mempercayainya. Apatah lagi keduanya antara murabbi yang amat saya kagumi. Keilmuan, kepetahan bahasa dan gaya penyampaian memang memikat halwa telinga. Namun, isu yang satu ini meresahkan saya. Iskk..takkan tergamak mereka berdua melakukan onar begitu. Fitnah kut. Tetapi, setelah saya amati memang itu yang tertera di halaman 32 buku tersebut.

Sebenarnya ia adalah isu tulisan kontroversi di dalam buku hasil tulisan al-Fadhil Ustaz Nidzam Abd Kadir dan al-Fadhil Ustaz Zamri Zainuldin. Buku tersebut berjudul "Beginilah al-Quran Mengajar Kami". Di halaman 32 tercatat:
"Ada tafsiran menyatakan bahawa Nabi Muhammad saw bukanlah nabi yang akhir. Ayat ini bukan bermaksud demikian. Lafaz al-Khatam bukanlah bermakna penutup tetapi perhiasan. Ini kerana al-Khatam bermakna cincin. Oleh itu, ada lagi nabi baru selepas Nabi Muhammad saw."

Jika dibaca berkali-berkali pun memang nampak akan ketidakbenarannya. Malah pendapat ini memang sangat menyesatkan. Haru betul kalau macam ni. Mengapa mereka berdua boleh menulis begitu? 

Alhamdulillah, mujur saya sempat bertenang. Akhirnya saya menemui jawapan yang dicari-cari setelah menggodek-godek di internet. Rupa-rupanya ada yang tidak bertanggungjawab melakukan 'printscreen' hanya sekerat-sekerat, tidak mengambil tulisan tersebut daripada permulaan. Maka jadilah apa yang mengelirukan dan menggemparkan sepertimana sekarang. 

Apakah niat sebenar orang yang melakukannya, wallahua`lam. Samada dengan niat mahu memfitnah atau sebaliknya, hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu jawapannya. Yang parahnya apabila ia di 'copypaste' dan dikongsi di facebook, whatssap, twitter dan sebagainya. Maka bersambung-sambunglah berita yang tidak benar itu. Bayangkan berapa banyak dosa orang yang melakukan dosa berantai ini. Allahu rabbi. 

Oleh itu, sahabat-sahabat sekalian. Selidikilah dahulu setiap berita yang didapati akan kesahihannya. Bimbang jika kita termasuk dalam orang-orang yang menyambung fitnah tanpa disedari. 
Berikut jawapan al-Fadhil Ustaz Zamri Zainuldin mengenai isu ini:            
"2-3 hari ini tersebar di laman sosial seperti whatsapp tentang isi kandungan muka surat 32 buku tulisan saya dan ustaz nizam "Beginilah al-Quran Mengajar Kami" yang telah disalah ertikan maksudnya oleh ramai orang awam.

Saya mengambil tanggungjawab untuk menjelaskan kekeliruan ini kerana ia melibatkan soal akidah. Jika dibaca pada MUKA SURAT 32 SAHAJA, ayat itu menerangkan tentang tafsir al-Quran yang mengatakan; 

1. Ada lagi Nabi Baru selepas Nabi Muhammad. 
2. Wajib taat kepada pemimpin kafir dan jahat. 

Sedangkan sebenarnya ayat-ayat dalam perenggan tersebut sedang menerangkan tentang CONTOH KITAB TAFSIR YANG SESAT DAN SALAH. 

Saya Ulang. CONTOH KITAB TAFSIR YANG SESAT DAN SALAH. 

Boleh lihat gambar kerana tajuk tersebut berada pada MUKA SURAT 31. Jadi, sudah tentu ayat pada perenggan tersebut (MUKA SURAT 32) menerangkan tafsir al-Quran yang salah dan sesat. 

Justeru di sini saya menyeru semua sahabat-sahabat untuk: 

1. Menyampaikan perkara ini jika ada kawan-kawan yang telah tersalah faham. 

2. Mengambil langkah berhati-hati sebelum menyebarkan ilmu agama di laman sosial. Bimbang disalah gunakan oleh mereka yang tidak bertanggungjawab. 

3. Memahami semua berita, maklumat dan ilmu dalam konteks yang betul, secara menyeluruh. Bukan sekerat-sekerat. 

#Alhamdulillah, selesai.

1 comments:

Kakzakie Purvit said...

Begitulah bila dunia menuju akhir zaman. Para ulama', murobbi dan ilmuan agama akan dilanda fitnah. Tazkirah, usrah, tabligh dan apa juga yg baik akan ada 'syaiton' cuba menabur fitnah. Rentetan itu mereka akan dipinggir. Hanya yg sedar, ada iman kental dan mendalaminya tidak akan goyah atau terpengaruh.. Kita didik anak-anak dan siapa juga jagaan kita moga tidak tergelincir.

Fitnah itu perbuatan keji. Berhati-hati menyebarkan yg kita tak pasti..

Post a Comment