Kuih pasung.
Ditempat saya, kuih yang berbentuk kon ini dikenali dengan nama itu. Turut dikenali dengan nama tepung pasung, tetapi semasa kecil dahulu saya senang memanggilnya dengan nama kuih tiga segi. Mungkin sebab bentuknya yang seperti itu. Saya tidak pasti pula di tempat lain ia digelar dengan nama apa.
Diperbuat daripada tepung beras sebagai bahan asas dan terbahagi kepada dua bahagian. Sebelah atas berwarna putih dan lebih nipis daripada bahagian bawah yang berwarna coklat. Dibalut dengan daun pisang sebelum dikukus sehingga masak. Sama seperti saya 30 tahun lalu, kebanyakan kanak-kanak menyukai bahagian bawah kerana rasa manis gula melaka berbanding bahagian atasnya yang tawar berlemak.
Kuih pasung dan stesen bas tepi sungai
(sumber: KGKP)
Usia-usia begini, saya terkenangkan arwah emak yang selalu membeli kuih ini. Lazimnya ia menjadi antara buah tangan yang mahu dibawa berkunjung rumah nenek. Sebelum menaiki bas berwarna hijau gelap di stesen bas Kuantan, yang lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan stesen bas tepi sungai, bonda singgah dahulu gerai kecil yang sederetan dengan kuih-muih yang beraneka.
Kadang-kadang jika bas belum sampai, kami akan mengisi perut terlebih dahulu di situ. Menunya tidaklah mewah, mi goreng atau kuih-muih berserta air bandung. Sambil menikmati rezeki Tuhan, anak mata tidak berkedip keasyikan melihat bot penambang yang membelah arus Sungai Kuantan untuk menghantar penumpang ke seberang.
Sekarang ini bot penambang yang menjadi pengangkutan utama ke Tanjung Lumpur dan Perkampungan Peramu telah pun pupus sejak terbinanya jambatan yang merentasi Sungai Kuantan. Stesen bas di tepi sungai Kuantan itu juga telah tiada. Malah, gerai-gerai kecil itu juga telah hilang tanda. Semuanya menjadi rata ditolak jentera besi.
Khabarnya akan dibangunkan bangunan hotel di situ. Saya tidak tahu apakah nasib peniaga-peniaga kecil tersebut, kemanakah mereka berpindah setelah pihak kerajaan negeri mewartakan kawasan itu untuk dibangunkan. Wallahu a`lam.
Tersentuh saya memikirkan kedai gunting milik pakcik tua di Medan Pelancong bersebelahan stesen bas tersebut. Tempat yang kerap saya kunjungi untuk bergunting rambut sewaktu bersekolah menengah dahulu, kebiasaannya tatkala hampir sesi persekolahan dibuka. Bayarannya cuma 3 ringgit. Tukang gunting yang saya panggil pakcik itu sangat peramah orangnya. Ada sahaja isu yang menjadi ulas bicaranya dengan orang yang sedang menanti giliran. Kadang-kadang saya sengaja menidurkan diri kerana tidak berminat dengan apa yang mereka sembangkan. Kawasan Medan Pelancong itu juga turut lenyap menjadi mangsa asakan arus pembangunan.
Ahh, jauh pula saya melalut mengenang cerita lama.
Kuih pasung, hari ini
“Kuih ni dulu memang abi suka. Selalu sangat abi suruh tok wan beli kalau nak pergi rumah nyang.” Saya memberitahu anak-anak pada suatu hari.
Anak-anak mengangguk.
“Tapi sekarang rasanya dah tak sama macam dulu.” Saya menyambung lagi.
Hari ini jarang-jarang dapat saya menemui kuih pasung ini. Jika ada pun sekali-sekala dijual di pasar malam. Ada masa-masanya saya beli juga, sementelah pula si kecil ‘Haikal’ amat menggemarinya. Saya pula, sekadar mahu mengambil rasa dan mengenang masa. Selain daripada saiznya yang semakin susut, rasanya juga nyata berbeza. Sudah tidak seenak seperti 30 tahun yang lalu.
Kuih pasung, ia bagaikan menjadi satu imbasan sejarah. Umpama terowong masa untuk mengenang hari-hari semalam yang semakin terluput dek usia menuju birai senja. Segala imaginasi, kadang-kadang saya bawa ke tidur. Realitinya ia sentiasa menerbitkan rasa rindu kepada zaman itu. Mata saya berkaca.
Al-fatihah buat ayahanda dan bonda..
2 comments:
assalam...ini kuih pasung ya...baru kak tau...suka mkn jer xtahu namanya...stesyen bas tepi sungai n medan selera tu mmg kak tau sbb setiap kali nk blk Jengka dari SMART akn ambil bas di sini smbil beli ole-ole kat gerai2 sini...wah sudah hndk ditiadakan pula...bukankh ini warisan sejarah Kuantan sejak lama yg harus dikekalkan. nak naikan hotel tinggi banyk lg tanah phg ni kan...
Kak paridah:
kuih pasung dulu-dulu sedap rasanya, berbeza sangat yang sekarang ini. Entahlah kuih ini yang berbeza atau saya yang semakin berubah dek injakan masa.
Memang banyak kenangan stesen bas tepi sungai ni...sekarang ni tinggal kenangan je...
Post a Comment