Sahabat Sejati

Wednesday, 31 December 2014

Bicara santai: 2014......Selamat datang 2015


Setiap dari kita mengimpikan dan mahu mendakap kecemerlangan dalam hidup. Walau siapa pun dia, peringkat mana sekalipun, sekiranya mempunyai akal yang waras pasti mempunyai cita-cita ke arah itu. Tinggal lagi bagaimana dan tahap kesungguhan untuk mencapainya. 

Beberapa jam lagi jendela 2014 akan melabuhkan tirainya. Selepas itu kita akan menyelak jendela 2015 yang akan dicoretkan dengan catatan baru. Tentunya 2014 yang ditinggalkan sarat dengan 1001 peristiwa suka duka yang menjadi kenang-kenangan. Tahun baru semestinya sinonim dengan azam baru. Masuk sahaja tahun baru, maka kedengaranlah daripada bibir-bibir empunya azam. Salah? Tidak. Lagipun setiap orang berazam dengan azam yang baik. Tidak pernah kedengaran lagi ada yang berazam dengan azam yang ‘entah apa-apa’. Jika ada tentu orang tersebut “mabuk pil kuda”, pinjam kata-kata Ustaz Azhar Idrus. 

Azam memberi maksud kemahuan dan keinginan. Saya menambah satu lagi, azam juga boleh bermaksud dengan niat. Maka niat yang baik akan memperolehi pahala. 

Dari Ibnu ‘Abbas, Rasulullah saw bersabda: 
“Sesiapa yang berniat untuk berbuat kebaikan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan (pahala) yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan untuknya 10 hingga 700 kebaikan, bahkan boleh lebih banyak lagi. Sesiapa yang berniat untuk berbuat kejahatan tetapi tidak jadi mengerjakannya, maka akan dituliskan untuknya 1 kebaikan yang sempurna, jika dia benar-benar mengerjakannya, maka Allah akan menuliskan 1 keburukan (dosa) untuknya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Saya memuji orang yang sentiasa berazam setiap tahun. Bagi saya ia mempunyai kemahuan untuk menjadi orang yang lebih baik. Cuma sebaiknya azam dilafazkan hendaklah diletakkan target untuk mencapainya. Taklah jadi macam azam hangat-hangat tahi ayam! 

Hmm, khabarnya sambutan tahun baru 2015 dibatalkan untuk menghormati musibah yang menimpa mangsa banjir. Tentunya ia satu keputusan yang tepat dan menunjukkan tanda keprihatinan yang amat tinggi. Lagipun apalah faedahnya sambutan tahun baru tersebut. Konsert, pergaulan bebas, selepas itu... Sama sahaja apa yang berlaku setiap tahun. Saya menulis berdasarkan pengalaman. Setiap tahun saya menyertai misi dakwah samada malam tahun baru, malam merdeka, hari kekasih dan sebagainya. Begitulah pemandangannya. 

Dengar ceritanya pula ia akan digantikan dengan program Malam Cinta Rasul 2015 yang terisi di dalamnya zikir dan munajat, qasidah munajat, kutipan tabung bantuan mangsa banjir dan sebagainya. Jika ditanya, saya beranggapan program Malam Cinta Rasul 2015 pun tidak perlu diadakan buat masa ini.  Tentu ada yang tidak senang dengan apa yang saya katakan ini. Sabar dulu!

Saya tidak maksudkan tidak boleh buat tetapi biarlah dibuat pada masa dan keadaan yang lain. Untuk menganjurkannya pun memerlukan kos yang agak besar, maka lebih baik kos tersebut digunakan untuk membantu mangsa banjir yang sangat menderita ketika ini. Sahabat-sahabat boleh melihatnya di internet. Sedih dan sebak. 

Jika keadaan sudah stabil dan sesuai maka buatlah program tersebut. Tiada apa-apa masalah. Oh, itu hanya pandangan saya sahaja. Jangan kata saya wahabi pula. Senyum.

Selamat menyambut 2015. Semoga hari ini lebih daripada semalam.

Monday, 29 December 2014

Kenangan masih basah: Rindunya kuih pasung yang dulu


Kuih pasung. Ditempat saya, kuih yang berbentuk kon ini dikenali dengan nama itu. Turut dikenali dengan nama tepung pasung, tetapi semasa kecil dahulu saya senang memanggilnya dengan nama kuih tiga segi. Mungkin sebab bentuknya yang seperti itu. Saya tidak pasti pula di tempat lain ia digelar dengan nama apa. 

Diperbuat daripada tepung beras sebagai bahan asas dan terbahagi kepada dua bahagian. Sebelah atas berwarna putih dan lebih nipis daripada bahagian bawah yang berwarna coklat. Dibalut dengan daun pisang sebelum dikukus sehingga masak. Sama seperti saya 30 tahun lalu, kebanyakan kanak-kanak menyukai bahagian bawah kerana rasa manis gula melaka berbanding bahagian atasnya yang tawar berlemak. 

Kuih pasung dan stesen bas tepi sungai

 (sumber: KGKP)

Usia-usia begini, saya terkenangkan arwah emak yang selalu membeli kuih ini. Lazimnya ia menjadi antara buah tangan yang mahu dibawa berkunjung rumah nenek. Sebelum menaiki bas berwarna hijau gelap di stesen bas Kuantan, yang lebih dikenali oleh penduduk tempatan dengan panggilan stesen bas tepi sungai, bonda singgah dahulu gerai kecil yang sederetan dengan kuih-muih yang beraneka. 

Kadang-kadang jika bas belum sampai, kami akan mengisi perut terlebih dahulu di situ. Menunya tidaklah mewah, mi goreng atau kuih-muih berserta air bandung. Sambil menikmati rezeki Tuhan, anak mata tidak berkedip keasyikan melihat bot penambang yang membelah arus Sungai Kuantan untuk menghantar penumpang ke seberang. 

Sekarang ini bot penambang yang menjadi pengangkutan utama ke Tanjung Lumpur dan Perkampungan Peramu telah pun pupus sejak terbinanya jambatan yang merentasi Sungai Kuantan. Stesen bas di tepi sungai Kuantan itu juga telah tiada. Malah, gerai-gerai kecil itu juga telah hilang tanda. Semuanya menjadi rata ditolak jentera besi. 

Khabarnya akan dibangunkan bangunan hotel di situ. Saya tidak tahu apakah nasib peniaga-peniaga kecil tersebut, kemanakah mereka berpindah setelah pihak kerajaan negeri mewartakan kawasan itu untuk dibangunkan. Wallahu a`lam. 

Tersentuh saya memikirkan kedai gunting milik pakcik tua di Medan Pelancong bersebelahan stesen bas tersebut. Tempat yang kerap saya kunjungi untuk bergunting rambut sewaktu bersekolah menengah dahulu, kebiasaannya tatkala hampir sesi persekolahan dibuka. Bayarannya cuma 3 ringgit. Tukang gunting yang saya panggil pakcik itu sangat peramah orangnya. Ada sahaja isu yang menjadi ulas bicaranya dengan orang yang sedang menanti giliran. Kadang-kadang saya sengaja menidurkan diri kerana tidak berminat dengan apa yang mereka sembangkan. Kawasan Medan Pelancong itu juga turut lenyap menjadi mangsa asakan arus pembangunan. 

Ahh, jauh pula saya melalut mengenang cerita lama. 

Kuih pasung, hari ini

“Kuih ni dulu memang abi suka. Selalu sangat abi suruh tok wan beli kalau nak pergi rumah nyang.” Saya memberitahu anak-anak pada suatu hari. 

Anak-anak mengangguk. 

“Tapi sekarang rasanya dah tak sama macam dulu.” Saya menyambung lagi. 

Hari ini jarang-jarang dapat saya menemui kuih pasung ini. Jika ada pun sekali-sekala dijual di pasar malam. Ada masa-masanya saya beli juga, sementelah pula si kecil ‘Haikal’ amat menggemarinya. Saya pula, sekadar mahu mengambil rasa dan mengenang masa. Selain daripada saiznya yang semakin susut, rasanya juga nyata berbeza. Sudah tidak seenak seperti 30 tahun yang lalu. 

Kuih pasung, ia bagaikan menjadi satu imbasan sejarah. Umpama terowong masa untuk mengenang hari-hari semalam yang semakin terluput dek usia menuju birai senja. Segala imaginasi, kadang-kadang saya bawa ke tidur. Realitinya ia sentiasa menerbitkan rasa rindu kepada zaman itu. Mata saya berkaca. 

Al-fatihah buat ayahanda dan bonda..

Sunday, 28 December 2014

Perniagaan ajaib yang tiada risiko kerugian, ayuh! (Peringatan buat diri saya)

 Banjir di LPT Temerloh (sumber: whatsApp)

Hujan itu rahmat,tetapi bila berlebihan ia akan mengundang banjir. Cuaca panas itu rahmat, jika berlebihan ia boleh menjadi kemarau. Angin yang bertiup nyaman itu rahmat, jika berlebihan akan bertukar menjadi puting beliung. Hatta, makanan yang disuap ke dalam mulut pun, jika berlebihan akan mengundang penyakit. Apa sahaja jika ia berlebihan akan mengundang musibah. Sama-sama kita merenungi dan menginsafi diri akan semua yang berlaku. 

Bencana banjir yang berlaku di penutup tahun 2014 ini, benar-benar menguji keimanan. Baik yang ditimpa musibah tersebut ataupun sebaliknya. Bagi yang diuji dengan musibah ini, ianya benar-benar mengukur sejauhmana kesabaran dan ketabahan menghadapinya. Tidak mudah untuk melihat harta benda yang dimiliki musnah serta kehilangan ahli keluarga sekelip mata. Tentunya segenap kekuatan diperlukan untuk menerimanya dengan berlapang dada. 

Manakala bagi yang tidak terkesan dengan musibah banjir ini, ia menguji pula kesediaan untuk sama-sama menghulurkan bantuan menurut kesanggupannya. Harta, tenaga, masa dan sebagainya sangat diperlukan ketika ini. Oleh itu, dalam kita bermuhasabah akan segala musibah dan ujian yang berlaku, janganlah pula kita lupa akan fadhilat dan kebesaran ganjaran membantu orang lain yang berada di dalam kesusahan. Setiap amal yang dilakukan akan menjadi lampu yang menerangi kegelapan kubur yang menyeramkan itu. 

Jom berniaga yang tiada risiko kerugian 

Firman Allah SWT: 
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu daripada azab seksa yang tidak terperi pedihnya.” (as-Saff: 10) 

Lihatlah. Allah menyeru dan bertanya. Allah SWT tidak menyeru kepada semua orang, tetapi Dia menyeru kepada segolongan sahaja iaitu orang-orang yang beriman. Dia bertanya apakah orang-orang yang beriman ingin melihat satu perniagaan yang boleh menyelamatkan mereka daripada azab api neraka. Mengapa orang-orang yang beriman. Tentunya orang-orang yang beriman sahaja yang percaya akan adanya azab api neraka yang sangat dahsyat itu. Maka sudah semestinya seruan ini akan disahut oleh orang-orang yang beriman. Oleh itu mahukah kita menyahut seruan yang datangnya daripada Penguasa langit dan bumi? 

Lalu kita tertanya-tanya apakah perniagaan tersebut. 

Allah SWT menyambung lagi firman-Nya: 
“(Iaitu) Kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya).” (as-Saff: 11)

Nah! Inilah perniagaannya. Allah menyatakan ‘barang dagangan’ dalam perniagaan tersebut ialah beriman kepada Allah, beriman kepada Rasul-Nya dan berjuang dengan harta dan diri.

Imam Ibnu Kathir menyebut di dalam tafsirnya: “Jihad atau berjuang dengan harta dan diri yang dinyatakan dalam ayat 11 surah as-Saff bukanlah terikat kepada jihad peperangan sahaja. bahkan ia mencakupi seluruh perjuangan dalam kehidupan.”

Imam ar-Razi pula menulis di dalam tafsirnya: “Perniagaan adalah pertukaran sesuatu dengan sesuatu yang daripada pertukaran itu mengharapkan keuntungan. Berniaga hendaklah melepaskan si saudagar daripada kerugian dan berniaga memerlukan kesabaran, maka perniagaan yang ditunjukkan oleh Tuhan ini sangat memerlukan kepercayaan dengan seluruh sikap hidup dan ucapan dengan lidah. 

Sebagaimana perniagaan yang mengakibatkan untung atau rugi, demikianlah pula perniagaan dengan Tuhan ini, barangsiapa yang bermodal dengan iman dan amal yang soleh dia pasti mendapat ganjaran dan laba yang berlipatkali ganda. Dan barangsiapa yang tidak mahu percaya dan tidak pula beramal soleh, jelaslah dia akan menyesal dan mendapat kerugian yang besar.”

Sanggupkah kita mengeluarkan harta benda dan meluangkan masa kita semata-mata mahu menggapai redha Allah dan termasuk orang-orang yang ‘berniaga’ dengan Allah? Kita sendiri mempunyai jawapannya. Tepuk dada tanya iman.

Susah? Sukar?

Tentunya. Sebab itulah Allah menyeru hanya kepada orang-orang yang beriman. Kerana sukarnya lalu Allah SWT mengganjarkan sebaik-baik keuntungan kepada sesiapa yang mahu menyahut seruan itu. Apakah yang diperolehi kepada yang menyahutnya?

Allah SWT menjelaskan dalam firman-Nya:
“(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu, dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam Syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” (as-Saff: 12)

Demikianlah ganjarannya. Itulah kemenangan yang agung dan besar. Allah akan mengampunkan dosa-dosa. Kemudian dimasukkan ke dalam syurga yang penuh dengan kenikmatan serta dijauhkan daripada azab neraka yang pedih (lihat as-Saff: 10).

Apakah yang lebih bernilai selain daripada keampunan daripada Allah SWT. Tentunya kita tidak akan dapat menilai akan harganya. Setiap daripada kita sangat mendambakan keampunan Allah. Demikianlah yang sentiasa kita panjatkan di dalam doa yang terlafaz. Pengampunan dosa bererti mendapat rahmat dan keredhaan Allah. Pengampunan dosa juga memberi erti berjaya memasuki syurga Allah SWT.

Belum habis lagi keberuntungan tersebut, kerana ia adalah kejayaan di akhirat. Allah SWT memberitahu pula akan ganjaran yang diperolehi daripada laba dunia iaitu pertolongan Allah dan kemenangan yang yang telah dekat.

Firman Allah SWT:
“Dan ada lagi limpah kurnia yang kamu sukai, iaitu pertolongan daripada Allah dan kemenangan yang cepat (masa berlakunya). Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Peniagaan ini sangat sukar tetapi mahal harganya. Apakah kita mahu menyambutnya. Bukankah perniagaan ini tiada risiko kerugian. Semuanya keuntungan sahaja. Sekali lagi ditegaskan semuanya keuntungan. Marilah kita menyahutnya dengan sepenuh jiwa dan raga.

Ada yang mahu ‘berniaga’ dengan Allah?

Hanya yang beriman sahaja mampu menyambut pelawaan ini.

“..Dan sampaikanlah berita yang menggembirakan itu kepada orang-orang yang beriman.” (as-Saff: 13)

Ayuh teman-teman. Ringankan tangan, hulurkanlah sumbangan kepada saudara-saudara kita yang sedang diuji dengan musibah bencana banjir. Hadirkan senyuman di setiap wajah mereka, Allah pasti menghadirkan senyuman kepada kita pula suatu hari nanti.