Juadah enak ketika hujan ~ foto hiasan (sumber) |
Makin menjadi pula hujan hari ini.
Bermula pagi, membawa ke tengahari. Kemudian semakin lebat menjelang petang. Sehinggalah entry ini sedang dicoret hujan masih 'mengganas' di luar, berdetak-detak memukul atap.
"Hai, nak jadi gelombang ketiga pula ke?" Saya mengusik rakan sekerja sewaktu menunggu-nunggu masa untuk pulang. Dia hanya tersenyum. Melihat keadaan hujan, seakan belum tamat lagi musim tengkujuh.
Terkenang keadaan rumahnya yang ditenggelami air banjir tempohari. Mujur juga sebahagian barang-barang sempat dialih ke tempat tinggi. Jika tidak, tentu lebih banyak lagi yang akan mengalami kerosakan.
Banyak perkara yang ditimpakan kepada manusia seperti banjir besar, kebakaran, tanah runtuh dan sebagainya, pastinya menjadi ujian untuk menilai seseorang sehingga zahir keperibadiannya yang sebenar.
Sebagai Muslim yang beriman, pastinya kita meyakini janji Allah SWT yang sesekali tidak akan berlaku zalim terhadap hamba-Nya. Malah apa jua yang berlaku pasti ada hikmah dan pengajaran untuk dijadikan iktibar kepada semua.
وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ
“Dan (pasti) Kami akan menguji kamu dengan sesuatu daripada perasaan takut, kelaparan, kekurangan harta, kehilangan jiwa dan (kekurangan) hasil tanaman. Khabarkan berita gembira kepada orang-orang yang sabar”. (Al-Baqarah: 155)
Walaupun Allah SWT menguji hamba-Nya dengan bermacam bentuk ujian, sama ada ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, kunci utama bagi menghadapi ujian itu ialah sabar.
Sabar adalah satu sifat mahmudah dan menjadi senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolong kita untuk berdepan dengan setiap cubaan yang digusari itu.
Hujan masih lagi keras menimpa bumi. Doakan agar semuanya baik-baik sahaja.
1 comments:
Mudah2an hujan yang menurunkan rahmat dan manfaat
Aamiin
Post a Comment