Sahabat Sejati

Monday, 14 June 2021

Pesan Murabbi: Apakah doa bagi mempermudahkan segala urusan?

Dalam rancangan televisyen “Wallahu A’lam”, Maulana al-Imam Dr. Ali Jum’ah -hafizahullahu Ta’ala- telah ditanya oleh hos rancangan tersebut: “Apakah doa bagi mempermudahkan segala urusan?” 

Maka, jawab Maulana al-Imam: “Amalan yang saya terima dari para guru saya adalah membaca Surah al-Inshirah (أَلَمْ نَشْرَحْ لَكَ صَدْرَكَ) sebanyak 40 kali dan setiap bacaannya didahului dengan Basmalah. 

Mungkin akan timbul persoalan setelah itu, dari mana datang amalan ini? Adakah ia warid dari al-Qur’an mahupun al-Sunnah? 

Sudah tentu jawapan bagi soalan tersebut: “Amalan ini tidak warid dari mana-mana nas secara langsung sama ada dari nas al-Qur’an mahupun nas al-Sunnah”. 

Jadi, amalan ini datang dari mana? Jawapannya adalah: “Amalan ini terhasil dari pengalaman (tajribah) para ulamak Islam.” 

Mungkin akan muncul pula soalan lain: “Adakah kita boleh mengamalkan sesuatu pengalaman dari individu lain sebagai jalan ikhtiar?” 

Jawapannya, “Ya! sudah tentu kita boleh mengambilnya sebagai jalan ikhtiar”. (Perkara ini tidak bertentangan dengan syara’ dan ia termasuk di bawah dalil umum yang diriwayatkan oleh Imam al-Muslim dalam kitab Sahihnya; Sahih Muslim)

 مَنِ اسْتَطَاعَ مِنكُم أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ 

“Barangsiapa di antara kamu yang mampu memberi manfaat kepada saudaranya, (maka) hendaklah dia melakukannya”. 

Peratusan untuk berjaya dan qabul selepas mengamalkan bacaan ini adalah sekitar 60% atau 70%. 

Namun, sekiranya ditanya lagi, bagaimana pula kalau sudah mengamalkan, namun hasilnya tidak seperti yang dipinta? 

Jawapannya: “Sekurang-kurangnya kamu sedang beribadat! Bukankah kamu telah membaca salah satu dari ayat-ayat suci-Nya? Jadi, kamu telah melakukan kebaikan, ia tidak merugikan apa-apa pun kepada diri kamu. 

Namun begitu, pengamalan ini perlu diiringi dengan satu syarat iaitu kamu meyakini melalui amalan dan bacaan yang mulia ini, hanya Allah Ta’ala jualah yang akan mempermudahkan segala urusan kamu. Dengan demikian, akan bertambah juga nilai keimanan kamu terhadap-Nya”.”

Wallahua'lam.

0 comments:

Post a Comment