Sahabat Sejati

Monday, 29 March 2021

JENIS-JENIS PEMBAHAGIAN SURAH DI DALAM AL-QURAN

Soalan:

Saya ada mendengar bahawa surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada beberapa jenis. Apakah yang dimaksudkan dengan pembahagian tersebut dan berapakah jenis surah-surah di dalam Al-Quran?. 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad saw, ahli keluarga baginda saw, sahabat baginda saw serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda saw. 

Susunan ayat dan surah-surah di dalam Al-Quran merupakan susunan yang tauqifi iaitu susunan yang diwahyukan oleh Allah SWT kepada Nabi Muhammad saw. Ia bukannya ijtihad daripada Nabi saw mahupun sahabat.Ini merupakan pandangan jumhur para ulama seperti yang dinyatakan oleh Imam Al-Suyuti. (Rujuk Asrar Tartib Al-Quran, hlm 42). 

Imam Al-Baihaqi menyebut bahawa Al-Quran pada zaman Nabi saw disusun surah dan ayatnya seperti susunan yang ada pada hari ini. (Rujuk Dalail Al-Nubuwwah,7/152; Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran, 1/256 , Al-Tajbir Fi Ilm Al-Tafsir oleh Imam Al-Suyuti,hlm 173) 

Perkara ini adalah berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Uthman Bin Abi Al-‘As. Kata beliau: 

 كُنْتُ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ جَالِسًا إِذْ شَخَصَ بِبَصَرِهِ ثُمَّ صَوَّبَهُ حَتَّى كَادَ أَنْ يُلْزِقَهُ بِالْأَرْضِ قَالَ ثُمَّ شَخَصَ بِبَصَرِهِ فَقَالَ أَتَانِي جِبْرِيلُ عَلَيْهِ السَّلَام فَأَمَرَنِي أَنْ أَضَعَ هَذِهِ الْآيَةَ بِهَذَا الْمَوْضِعِ مِنْ هَذِهِ السُّورَةِ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ 

Maksudnya: ”Aku duduk di sisi Rasulullah saw lantas Rasulullah saw meluaskan matanya kemudian membetulkannya sehingga hampir melekat dengan tanah. Lalu Nabi saw bersabda : Jibril telah datang kepada aku dan memerintahkan aku (dengan perintah daripada Allah) supaya meletakkan ayat ini di dalam surah ini. Ayat tersebut ialah إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنْ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ (Surah Nahl : 90). Riwayat Imam Ahmad (17918) 

Seperti mana yang dinyatakan oleh Al-Ja’bari, surah merupakan tajuk yang mana di dalamnya terkandung ayat-ayat Al-Quran dan ianya mempunyai permulaan dan penutup. Kenyataan Al-Ja’bari ini dinukilkan oleh Imam Al-Suyuti di dalam kitabnya Al-Itqan. Imam Al-Suyuti kemudiannya menyatakan bahawa nama-nama surah yang terdapat di dalam Al-Quran adalah tauqifi.(Rujuk Al-Itqan Fi Ulum Al-Quran, 2/347). 

Kembali kepada persoalan yang dikemukakan, surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat kategori dan bahagian. Bahagian tersebut ialah: 

Al-Sab’u Al-Tiwal 

Al-Miin 

Al-Mathani 

Al-Mufassal 

Nama-nama ini bukanlah rekaan para ulama yang pakar di dalam bidang Al-Quran. Akan tetapi nama dan kategorinya dinyatakan sendiri oleh Nabi saw. Ini dapat dilihat melalui hadis yang diriwayatkan oleh Wathilah Bin Al-Asqa’. Sabda Nabi saw: 

 أُعْطِيتُ مَكَانَ التَّوْرَاةِ السَّبْعَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الزَّبُورِ الْمَئِينَ وَأُعْطِيتُ مَكَانَ الْإِنْجِيلِ الْمَثَانِيَ وَفُضِّلْتُ بِالْمُفَصَّلِ 

Maksudnya: ”Aku diberikan Al-Sab’a Al-Tiwal sebagai ganti kepada Taurat. Aku juga diberikan Al-Miin sebagai ganti kepada Zabur. Dan Aku juga diberikan Al-Mathani sebagai ganti kepada Injil dan aku dilebihkan dengan diberikan Al-Mufassal.” Riwayat Imam Ahmad (16982) di dalam Al-Musnad 

Sheikh Syu’aib Al-Arnaut menyatakan bahawa sanad hadis ini adalah sanad yang hasan. Di dalamnya sanad tersebut ada seorang perawi yang bernama ‘Imran Bin Al-Qattan yang dikenali sebagai Ibnu Dawar. Beliau merupakan perawi yang diterima periwayatannya. Dan kebanyakan perawi yang ada di dalam sanad hadis ini adalah perawi yang dipercayai kredibilitinya (thiqah). (Rujuk Musnad Ahmad cetakan Muassasah Al-Risalah, 28/188). 

Namun apakah yang dimaksudkan dengan Al-Sab’u Al-Tiwal, Al-Miin ,Al-Mathani dan Al-Mufassal?. 

Al-Sab’u Al-Tiwal bermaksud tujuh surah yang panjang. Surah-surah yang berada di dalam kategori ini ialah: 

Surah Al-Baqarah 

Surah Ali Imran 

Surah Al-Maidah 

Surah Al-Nisa’ 

Surah Al-‘An’am 

Surah Al-Anfal 

Surah Al-Taubah 

Al-Miin pula ialah surah-surah yang mempunyai seratus ayat atau lebih sedikit atau hampir kepada seratus. Surah-surah yang termasuk di dalam kategori ini ialah Surah Yunus,Surah Hud, Surah Yusuf, Al-Isra’, Al-Kahf, Surah Toha. Surah Al-Anbiya’, Surah Al-Qasas dan Surah Al-Hajj. 

Al-Mathani ialah surah-surah yang jumlah ayatnya kurang daripada seratus. Imam Al-Zarkasyi menyatakan bahawa ianya dinamakan sebagai Al-Mathani kerana pengkhabaran dan kisah-kisah banyak diulang di dalam surah-surah kategori Al-Mathani. (Rujuk Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran,1/245) 

Al-Mufassal pula adalah kategori selepas daripada Al-Mathani. Ianya dinamakan sebagai Al-Mufassal kerana banyaknya Al-Fasl iaitu penutup atau pemisah ayat di antara Surah dengan Basmalah. 

Para ulama berselisih dalam menentukan surah apakah permulaan Al-Mufassal. Ada yang mengatakan ianya bermula daripada Surah Qaf. Ada pandangan yang menyatakan ianya bermula daripada Surah Al-Hujurat.Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Imam Al-Nawawi. (Rujuk Manahil Al-‘Irfan Fi Ulum Al-Quran, 1/352). Ulama tafsir kotemporari seperti Dr Fadhl Hassan Abbas pula menyebut bahawa pada pandangan beliau, Al-Mufassal bermula daripada Surah Muhammad. (Rujuk Itqan Al-Burhan Fi Ulum Al-Quran, 1/448). 

Al-Mufassal terbahagi pula kepada tiga bahagian. Yang pertama adalah yang panjang (Al-Tiwal).Ianya sehingga Surah Al-Buruj. Yang kedua adalah yang pertengahan (Al-Awsat). Ia bermula dari Surah Al-Tariq sehingga Surah Al-Bayyinah. Yang ketiga adalah yang pendek (Al-Qisar). Ia bermula daripada Surah Al-Zalzalah sehingga Surah Al-Nas. (Rujuk Manahil Al-‘Irfan Fi Ulum Al-Quran, 1/352). 

Kesimpulannya, surah-surah di dalam Al-Quran terbahagi kepada empat iaitu Al-Sab’u Al-Tiwal, Al-Miin, Al-Mathani dan Al-Mufassal. Ianya berdasarkan kepada nas hadis yang thabit daripada Nabi SAW. Semoga pencerahan yang kami berikan mampu memberikan kefahaman terhadap persoalan yang dikemukakan. 

Wallahu’alam.

1 comments:

paridah said...

assalam moga ustaz n famili sht walafiat..subhanallah tksh perkongsian ilmu

Post a Comment