يَا أَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمْ ۚ إِنَّ زَلْزَلَةَ السَّاعَةِ شَيْءٌ عَظِيمٌ ﴿١﴾ يَوْمَ تَرَوْنَهَا تَذْهَلُ كُلُّ مُرْضِعَةٍ عَمَّا أَرْضَعَتْ وَتَضَعُ كُلُّ ذَاتِ حَمْلٍ حَمْلَهَا وَتَرَى النَّاسَ سُكَارَىٰ وَمَا هُم بِسُكَارَىٰ وَلَـٰكِنَّ عَذَابَ اللَّـهِ شَدِيدٌ
Maksudnya: “Wahai umat manusia, bertaqwalah kepada Tuhan kamu! Sesungguhnya gempa hari kiamat itu suatu perkara yang amat besar. Pada hari kamu melihat (peristiwa-peristiwa yang mengerikan) itu, tiap-tiap ibu penyusu akan melupakan anak yang disusukannya, dan tiap-tiap perempuan yang mengandung akan gugurkan anak yang dikandungnya; dan engkau akan melihat manusia mabuk, padahal mereka sebenarnya tidak mabuk, tetapi azab Allah amatlah berat, mengerikan.
Surah al-Hajj (1-2)
Ibn Kathir berkata: Ditiupkan dengan tiupan yang menakutkan sedangkan manusia berada di pasar-pasar mereka dengan kehidupan harian mereka, saling bertengkar dan bergaduh sepertimana adat mereka. Tiba-tiba Allah SWT memerintahkan Israfil untuk meniupkan sangkakala dengan panjangnya. Tidak ada yang kekal di atas muka bumi kecuali mendengar suara tempikan yang kuat sehingga kepala mereka terdongak ke atas langit. Kemudian semua manusia dipandu ke mahsyar dengan api yang mengelilingi mereka dari segenap penjuru.
Firman Allah SWT:
فَلَا يَسْتَطِيعُونَ تَوْصِيَةً وَلَا إِلَىٰ أَهْلِهِمْ يَرْجِعُونَ
Maksudnya: “Maka dengan itu, mereka tidak berpeluang membuat sebarang pesanan (wasiat atau lainnya) dan (kalau mereka berada di luar) mereka tidak sempat kembali kepada keluarganya.
Surah Yasin (50)
Kemudian ditiupkan sangkakala kedua yang mematikan semua yang hidup kecuali tinggallah Allah, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya). Kemudian, ditiup dengan tiupan kebangkitan setelah itu. (Lihat Mukhtasar Tafsir Ibn Kathir, 3/165)
Al-Maraghi berkata: “Wahai sekalian manusia, takutlah kepada seksaan Allah SWT, taatlah dan janganlah kamu menderhakai-Nya, kerjakan segala kewajipan yang diperintahkan kepada kamu dan tinggalkan segala perkara haram yang dilarang melakukannya. Khitab ayat ini ditujukan kepada mukallaf yang ada pada ketika ia diturunkan, juga kepada generasi mukallaf yang akan lahir selepas mereka sehingga ke hari kiamat. Kemudian Allah SWT mengemukakan beberapa faktor mengapa mereka diperintah untuk takut kepada seksaan-Nya.
Akibat goncangan yang terjadi ketika berlakunya hari kiamat, sebelum manusia dibangkitkan dari kuburnya. Maka ia dianggap kejadian yang amat dahsyat dan bahaya yang begitu besar; tidak ada seorang pun yang mengetahui bilakah berlakunya kiamat, kecuali Tuhan yang mengadakannya.
Jika goncangan itu tidak dapat ditanggung oleh manusia, lantas apa yang terjadi pada mereka saat itu, seperti manusia dihimpunkan pada hari pembalasan dan hari penghisaban untuk menghitung segala amalan oleh Allah Yang Maha Tahu segala isi bumi dan langit, walaupun sebesar zarah. Kemudian Allah menghuraikan beberapa pemandangan yang menakutkan pada hari itu.
Kemudian digambarkan pada hari kiamat itu tentang manusia yang berada dalam kegoncangan, kebingungan dan kelalaian yang telah mencapai ke puncaknya. Sehinggakan ibu yang sedang menyusukan anaknya lalai terhadap anak yang sedang disusunya, padahal anak itu merupakan sesuatu yang merupakan paling berharga kepadanya. Bayangkan bagaimana seorang ibu lalai terhadap anaknya?
Manakala setiap wanita yang hamil akan mengalami keguguran iaitu janin yang di dalam rahimnya gugur sebelum tibanya waktu bersalin kerana takut terhadap hari kiamat. Al-Hasan ada mengatakan bahawa wanita yang menyusukan anaknya leka hingga berhenti daripada menyusui anaknya, manakala wanita hamil pula telah gugur kandungannya sebelum tiba waktunya melahirkan.
Pada hari itu, kamu dapat melihat manusia seolah-olah mabuk padahal mereka sebenarnya tidak mabuk. Tetapi keadaan itu berlaku kerana azab yang amat dahsyat sehingga akan mereka menjadi tidak sedar dan tidak mampu membezakan di antara yang batil dengan yang benar. Kelalaian ibu yang sedang menyusui dan keguguran kandungan wanita yang sedang hamil boleh jadi dimaksudkan sebagai perumpamaan untuk menunjukkan dahsyatnya apa yang berlaku pada hari itu. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 4516-1518)
Sayyid Qutb berkata: Demikianlah dimulakan surah ini dengan ancaman dan penerangan secara umum yang membayangkan suasana dahsyat yang tidak dapat diungkapkan. Ia hanya mengatakan satu kejadian gempa dan kejadian gempa itu adalah suatu peristiwa yang amat besar tanpa memberi sesuatu penentuan dan sesuatu takrif.
Kemudian barulah dijelaskan dan ternyata bahawa kejadian itu lebih menakutkan dan mengerikan dari semata-mata ancaman. Ia menayangkan satu pemandangan yang melibatkan setiap ibu penyusu yang lupa anak susuannya. Dia melihat tetapi tidak nampak dan dia bergerak tetapi tidak sedar, juga melibatkan setiap ibu hamil yang keguguran anak kandungannya kerana terlalu ngeri dan takut, dan seterusnya ia melibatkan seluruh manusia yang kelihatan dalam keadaan mabuk, tetapi mereka sebenarnya tidak mabuk.
Keadaan mabuk mereka dapat dilihat dengan jelas pada pandangan-pandangan mata mereka yang terpinga-pinga dan pada langkah-langkah mereka yang terhuyung-hayang. Ia merupakan satu pandangan yang penuh sesak dengan perhimpunan manusia yang berasak-asak, yang hampir-hampir ternampak kepada pandangan mata di saat membaca ayat ini. Dan dapat dihayati sepenuhnya oleh daya khayal.
Kedahsyatan peristiwa itu menyebabkan seseorang itu menjadi lupa, kebingungan dan tidak sampai ke mana-mana. Ia merupakan satu peristiwa dahsyat yang tidak dapat diukur dengan saiz besarnya, tetapi dapat diukur dari kesan-kesannya yang dahsyat pada jiwa manusia iaitu pada hati ibu-ibu penyusu yang lupakan anak-anak susuan mereka, sedangkan seseorang ibu penyusu tidak lupakan anak susuannya yang sedang menyusu melainkan apabila dia berada dalam keadaan terlalu takut, yang menghapuskan segala saki-baki kesedarannya. Kesan-kesannya yang dahsyat itu juga dapat dilihat pada hati ibu-ibu hamil yang keguguran anak-anak kandung mereka dan pada hati manusia yang kelihatan mabuk, sedangkan mereka tidak mabuk. (Lihat Fi Zilal al-Quran, 11/127-128)
Berdasarkan apa yang telah kami huraikan di atas, hendaklah setiap dari seorang muslim itu beriman dan percaya bahawa akan berlakunya tiupan sangkakala ini seperti yang telah tsabit di dalam al-Quran dan hadith.
Beriman dengan hari kiamat ini hendaklah disertakan bersama dengan amalan-amalan soleh untuk kita menghadapinya.
Semoga kisah-kisah berkaitan dengan hari kiamat ini akan menambah keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Amin.
1 comments:
Assalam moga ustaz n famili sht sjhtra...dahsyat sungguh situasi tika sangkakala berbunyi
Post a Comment