Sahabat Sejati

Thursday, 19 November 2020

Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (52)

Sambungan daripada : Solatullah wasalamuhu `ala Rasulillah (51) di bawah tajuk besar: DAKWAH TAHAP KEDUA: SERUAN SECARA TERBUKA 

foto hiasan ~ sumber

Pelbagai cara untuk Melawan Dakwah 

4.  Usaha tawar-menawar yang cuba diajukan oleh orang Quraisy untuk mempertemukan Islam dengan jahiliah pada suatu jalan tengah, dengan syarat orang musyrik rela meninggalkan sebahagian tradisi mereka dan Nabi pun mesti meninggalkan sebahagian ajarannya. Hal ini dikisahkan dengan indah oleh Allah:

"Maka mereka menginginkan agar kamu bersikap lunak, sehingga mereka pun bersikap lunak." (al-Qalam: 9)

Ada riwayat daripada Ibnu Jarir dan Tabrani yang menyatakan bahawa orang musyrik menawarkan kepada Rasulullah saw agar baginda menyembah tuhan-tuhan mereka selama satu tahun dan mereka pun akan menyembah tuhan baginda selama satu tahun. Sementara riwayat lain daripada Abd bin Humaid memuatkan kenyataan mereka, "Jika kamu menerima tuhan-tuhan kami, kami akan menyembah Tuhanmu."(1)

Ibnu Ishaq meriwayatkan dengan sanadnya bahawa ketika Rasulullah saw sedang tawaf di Kaabah, baginda mendapat tawaran daripada Aswad bin Mutalib bin Asad bin Abdul Uzza, Walid bin Mughirah, Umayyah bin Khalaf dan Ash bin Wail yang merupakan tokoh tertua dalam kalangan kaum mereka. Mereka berkata kepada baginda,

"Hai Muhammad, bagaimana jika kami menyembah apa yang kamu sembah dan kamu menyembah apa yang kami sembah? Dengan begitu, kami dan kamu boleh bersatu dalam urusan ini. Jika memang apa yang kamu sembah itu lebih baik daripada apa yang kami sembah, maka kami telah mengambil bahagian kami daripadanya. Sebaliknya, jika ternyata apa yang kami sembah lebih baik daripada apa yang kamu sembah, maka telah mengambil bahagianmu daripadanya."

Maka tentang mereka, Allah menurunkan ayat, "Katakanlah (kepada mereka hai Muhammad), "Hai orang-orang kafir, aku tidak akan menyembah apa yang kamu sembah," hingga akhir surah al-Kafirun.(2)

Demikianlah, Allah membalas tawaran mereka yang menggelikan dengan penolakan yang tegas. Perbezaan yang terdapat pada riwayat-riwayat di atas mungkin disebabkan mungkin disebabkan orang musyrik cuba mengajukan tawaran tersebut hingga berkali-kali.    

Rujukan: 

(1) Abu A`la al-Maududy, Tafhim al-Quran, jil. VI, hal. 501-502 
(2) Ibnu Hisyam, al-Sirah al-Nabawiyyah, jilid II, hal. 362

(Petikan daripada: Ar-Rahiq al-Makhtum oleh Syeikh Sofiyurahman al-Mubarakfuri, terbitan Kemilau Publika Sdn Bhd) 

Bersambung..

5 comments:

PeRdU cINta said...

Allahu. Terima kasih atas perkongsian Uataz. Dan kalau prasan sehingga hari ini pun ada banyak tawaran-tawaran dari pihak yang tidak sepatutnya dan mesti kita tolak dengan paling tegas.

paridah said...

assalam moga ustaz n keluarga sihat sejahtera..perkongsian ilmu bermanfaat

Nor Azimah Ali said...

Sollu alaih.

Normala Saad said...

Salam.Semoga ustaz dan keluarga berada dalam keadaan sihat selalu.

TukangKebun said...

Bahagian tawar menawar ni jarang dikisahkan. Terima Kasih kongsi ustaz.

Post a Comment