Sahabat Sejati

Tuesday, 29 June 2021

Menggabungkan korban dan aqiqah

Jika seorang ayah baru mendapat anak dan berbetulan pula dengan hari-hari korban, bolehkah dia berniat sekali korban dirinya dan akikah anaknya pada satu bahagian lembu atau seekor kambing? . 

Persoalan ini menjadi khilaf di kalangan ulamak. Sebelum itu, perlu diketahui bahawa dalam perbahasan fekah terdapat satu topik berkenaan penggabungan beberapa ibadah dalam satu amalan. Contohnya, 

1. Mengabungkan tahiyyatul-masjid bersama solat fardhu atau solat sunat yang lain, 

2. Menggabungkan puasa enam atau puasa isnin/khamis bersama puasa qadha, 

3. Menggabungkan mandi sunat jumaat atau hari raya bersama mandi wajib/junub. . 

Para dasarnya para ulamak menetapkan satu kaedah; dua amalan/ibadat dari jenis yang sama dan kedua-duanya mempunyai sisi tujuan yang sama dan masing-masing tidak memiliki tujuan khusus (dari pensyariatannya), boleh digabungkan dalam satu perbuatan sahaja (al-Suyuti & al-Sa'di). Sebagai contoh; solat tahiyyahul masjid. Tujuan Syariat memerintahnya ialah agar seseorang itu beribadah (solat) terlebih dahulu sebelum duduk dalam masjid. Tujuan ibadah turut terdapat dalam solat fardhu, maka dengan melakukan solat fardhu terangkum sekali tahiyyatul masjid kerana keduanya memiliki sisi tujuan yang sama.

Korban dan akikah dari segi amalan adalah sama iaitu menyembelih haiwan ternak (unta, lembu atau kambing). Namun apakah kedua-duanya mempunyai sisi maksud yang sama? Para fuqahak berbeza dalam menjawab persoalan ini, menyebabkan mereka berikhtilaf dalam memutuskan hukum apakah korban dan akikah boleh disatukan atau tdak?

Menurut mazhab Hanafi dan Hanbali; kedua-dua ibadat itu boleh digabungkan kerana ia memiliki sisi tujuan yang sama iaitu bertaqarrub kepada Allah dengan melakukan penyembelihan dan menjamu makan orang lain (Syeikh al-Munajjid, no. fatwa; 106630). Syeikh Sayid Sabiq menjelaskan; menurut mazhab Hanbali; jika bertepatan hari korban dengan hari akikah, mencukupi satu sembelihan bagi kedua-duanya sebagaimana jika bertepatan hari raya dan hari jumaat, mencukupi sekali mandi sunat sahaja untuk kedua-duanya" (Fiqh al-Sunnah, 3/193) 

Namun menurut mazhab Maliki dan Syafiie; tidak sah digabungkan (yakni mesti dilakukan setiap satu secara berasingan) kerana sekalipun ada sisi tujuan yang sama, namun masing-masing darinya turut memiliki tujuan dan sebab tersendiri, iaitu yang satu bersempena kelahiran anak dan yang satu bersempena 'idil-adha dan hari-hari tasyriq (Rujukan; fatwa Syeikh al-Munajjid, 106630). Dalam erti lain, kedua-duanya adalah ibadah sunat yang berdiri sendiri dan jamuan setiap satu darinya juga bersifat tersendiri (Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari, hlm. 911).

Kesimpulannya, para ulamak adakalanya melihat suatu masalah dari perspektif yang berbeza, kerana itu hukum fiqh mereka juga berbeza. Mungkin ada yang bertanya; pada pandangan ustaz, dalam masalah ini mana yang rajih? Bagi saya, tidak semestinya kita melihat khilaf ulamak dari sudut rajih dan marjuhnya. Adakalanya perlu dilihat sebagai ruang kemudahan bagi umat itu. Bagi yang mampu, buatlah kedua-duanya secara berasingan. Bagi yang kurang mampu, gabunglah kedua-duanya, beramal dengan pandangan kedua. Walaupun tidak dapat pahala maksimum, mudah-mudahan tidak ketinggalan pahala minimum. Itulah rahmat Allah untuk umat ini.

Saturday, 26 June 2021

Apakah ada nabi wanita?

Apa yang dinyatakan dalam al-Qur’an secara jelas, Rasul itu adalah dalam kalangan lelaki dan bukannya wanita. Inilah pandangan jumhur ulama’ sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari, 6/447. Hal ini juga dinukilkan oleh Imam al-Nawawi bahawasanya telah sepakat para ulama’ menurut Imam al-Haramain dalam al-Irsyad bahawa Maryam bukanlah Nabi (al-Azkar, m. 119) 

Dalilnya adalah firman Allah SWT:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِنْ قَبْلِكَ إِلَّا رِجَالًا نُوحِي إِلَيْهِمْ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى 

Maksudnya: “Dan tiadalah Kami mengutus Rasul - sebelummu (wahai Muhammad) melainkan orang-orang lelaki dari penduduk bandar,…” (Surah Yusuf: 109) 

Ayat ini telah menegaskan bahawa Allah SWT tidak mengutuskan nabi dalam kalangan wanita dan juga jin. Walaubagaimanapun, ada beberapa ulama’ yang berpegang bahawa adanya nabi dalam kalangan wanita. Antaranya adalah Imam al-Qurtubi, Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari dan Ibn Hazm. (Lihat Lawami’ al-Anwar al-Bahiyyah, 2/226). Antara wanita yang dianggap sebagai nabi adalah Maryam, Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa, Sarah dan Hajar. 

Menurut John DelHousaye, Bible ada menyebutkan beberapa bukti tentang adanya Nabi wanita. Dalam Perjanjian lama, ada disebutkan nama Maryam (Exodus 15:20), Deborah (Judges 4:4), Huldah (2 Kings 22: 14; Chronicles 34: 22), Noadiah (Nehemiah 6: 14) dan istilah “beberapa nabi wanita” (Isaiah: 8: 3). Manakala dalam Perjanjian Baru ada disebutkan tentang seorang wanita bernama Anna yang digambarkan oleh Lukas sebagai nabi wanita. (Lihat https://www.cbeinternational.org/resources/article/mutuality/q-who-are-women-prophets-bible) 

Dalam agama Yahudi pula terdapat 7 orang nabi wanita sebagaimana yang dinyatakan oleh Rabbi Shlomo Yitzchaki dan juga direkodkan dalam Talmud iaitu Sarah, Maryam, Devorah, Hannah (ibu Nabi Samuel), Avigail (isteri Nabi Daud), Huldah dan Esther. Hal ini juga dihuraikan dengan mendalam di dalam buku Kabbalistic Teachings of the Female Prophets: The Seven Holy Women of Ancient Israel oleh J. Zohara Meyerhoff Hieronimus. 

Menurut Imam al-Qurtubi ketika mengulas Surah Yusuf ayat 109:

“Ini adalah kritikan kepada mereka yang berpendapat ‘Dan mereka berkata: "Mengapa tidak diturunkan malaikat kepadanya? " (Surah al-An’am: 8) iaitu diutuskan kepada kami dalam kalangan lelaki, tidak ada pada mereka wanita dan juga jin, begitu juga malaikat. Ini bertentangan dengan apa yang diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda: ‘Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.’ (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 9/179) 

Tentang penetapan kenabian Maryam: ‘Manusia berbeza pandangan tentang kenabian Maryam. Dikatakan: (i) ‘Kenabiannya adalah kerana malaikat diutuskan kepadanya dan berkomunikasi dengan malaikat. Dikatakan: (ii) Beliau bukan nabi kerana beliau berkomunikasi dengannya sebagaimana manusia, beliau melihat fizikal malaikat sebagai diperlihatkan Jibril dalam sifat fizikal Dihyah (al-Kalbi); ketikamana disoal Nabi SAW tentang iman dan juga Islam. Pandangan (i) adalah yang lebih kuat. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an, 11/62) 

Berkenaan hadith yang dibawakan oleh Imam al-Qurtubi iaitu:

 إِنَّ فِي النِّسَاءِ أَرْبَعُ نَبِيَّاتٍ حَوَّاءُ وَآسِيَةُ وَأُمُّ مُوسَى وَمَرْيَمُ 

Maksudnya: “Sesungguhnya pada wanita ada empat Nabi iaitu Hawa, Asiah, ibu Nabi Musa dan Maryam.” 

Kami tidak menjumpai teks hadith ini dalam mana-mana kitab hadith. 

Ibn Hazm menyatakan bahawa beliau tidak mengetahui adanya isu berkenaan hal ini kecuali ketika beliau di Cordoba. Beliau membawakan tiga pandangan ulama’ dalam isu ini: 

Menolak adanya nabi wanita. 

Menerima adanya nabi wanita. 

Tidak memberi apa-apa pandangan sehingga datangnya dalil (tawaqquf) 

Ibn Hazm menegaskan bahawa kisah Maryam dan ibu Nabi Musa adalah bukti yang jelas tentang kenabian wanita. (al-Fasl fi al-Milal wa al-Ahwa al-Nihal, 5/12). Kisah Maryam tersebut adalah peristiwa Jibril datang kepadanya. Bagi beliau, antara ciri kenabian adalah didatangi malaikat. Manakala kisah ibu Nabi Musa pula adalah tentang ilham yang Allah SWT berikan terus kepada beliau untuk menghanyutkan Nabi Musa di Sungai Nil. Pandangan Ibn Hazm berkenaan kenabian Maryam ini juga dinukilkan oleh Imam al-‘Aini. Walaubagaimanapun, bagi beliau Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari bersama-sama dengan ulama’ lain dalam kalangan Ahl al-Sunnah wa al-Jama’ah dalam isu ini iaitu Nabi hanya dalam kalangan lelaki. (Lihat ‘Umdat al-Qari, 4/194). 

Pada hakikatnya, tidak bermakna seseorang itu boleh dianggap sebagai Nabi jika didatangi malaikat kerana jika dilihat pada sabda Nabi SAW ini, malaikat juga datang kepada orang biasa:

 أَنَّ رَجُلًا زَارَ أَخًا لَهُ فِي قَرْيَةٍ أُخْرَى، فَأَرْصَدَ اللهُ لَهُ، عَلَى مَدْرَجَتِهِ، مَلَكًا فَلَمَّا أَتَى عَلَيْهِ، قَالَ: أَيْنَ تُرِيدُ؟ قَالَ: أُرِيدُ أَخًا لِي فِي هَذِهِ الْقَرْيَةِ، قَالَ: هَلْ لَكَ عَلَيْهِ مِنْ نِعْمَةٍ تَرُبُّهَا؟ قَالَ: لَا، غَيْرَ أَنِّي أَحْبَبْتُهُ فِي اللهِ عَزَّ وَجَلَّ، قَالَ: فَإِنِّي رَسُولُ اللهِ إِلَيْكَ، بِأَنَّ اللهَ قَدْ أَحَبَّكَ كَمَا أَحْبَبْتَهُ فِيهِ 

Maksudnya: "Pada suatu ketika ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di desa lain. Kemudian Allah pun mengutus malaikat untuk menemui orang tersebut. Ketika orang itu ditengah perjalanannya ke desa yang dituju, maka malaikat tersebut bertanya; 'Hendak pergi ke mana kamu? ' Orang itu menjawab; 'Saya akan menjenguk saudara saya yang berada di desa lain.' Malaikat itu terus bertanya kepadanya; 'Apakah kamu mempunyai satu perkara yang menguntungkan dengannya? ' Lelaki itu menjawab; 'Tidak, saya hanya mencintainya kerana Allah Azza wa Jalla.' Akhirnya malaikat itu berkata; 'Sesungguhnya aku ini adalah malaikat utusan yang diutus untuk memberitahukan kepadamu bahawasanya Allah akan senantiasa mencintaimu sebagaimana kamu mencintai saudaramu kerana Allah.' (Riwayat Muslim, no. 4656) 

Selain itu, apa yang terjadi kepada ibu Nabi Musa seperti dalam ayat:

 وَأَوْحَيْنَا إِلَى أُمِّ مُوسَى أَنْ أَرْضِعِيهِ 

Maksudnya: "Dan Kami ilhamkan kepada ibu Musa:" Susukanlah dia;..." 

Bukanlah bermaksud wahyu yang diturunkan kepada Nabi tetapi ilham yang dinamakan ilham fitri. Al-Qur'an juga merekodkan lebah yang menerima "wahyu" yang diistilahkan sebagai ilham gharizi. Firman Allah SWT: 

 وَأَوْحَىٰ رَبُّكَ إِلَى النَّحْلِ أَنِ اتَّخِذِي مِنَ الْجِبَالِ بُيُوتًا وَمِنَ الشَّجَرِ وَمِمَّا يَعْرِشُون

Maksudnya: "Dan Tuhanmu memberi ilham kepada lebah: "Hendaklah engkau membuat sarangmu di gunung-ganang dan di pokok-pokok kayu, dan juga di bangunan-bangunan yang didirikan oleh manusia." (Surah al-Nahl: 68) 

Maka, adalah tidak tepat untuk kita katakan lebah turut menerima wahyu dalam ertikata, menjadi Nabi. 

Kesimpulannya, jumhur ulama’ menjelaskan bahawa Nabi hanya dalam kalangan lelaki sahaja. Allah SWT juga menegaskan:

 وَمَا أَرْسَلْنَا مِن قَبْلِكَ إِلاَّ رِجَالاً

Maksudnya: “Dan tidaklah Kami mengutus Rasul-rasul sebelummu (wahai Muhammad), melainkan dari kalangan orang-orang lelaki, yang Kami wahyukan kepada mereka.” (Surah al-Nahl: 43)

Semoga penjelasan ini dapat menambahkan pemahaman kita dalam agama dan membawa kita kepada jalan yang diredhai-Nya. Wallahu a'lam.

Wednesday, 23 June 2021

Malaikat yang membelah dada Nabi

Pertama: Nama malaikat 

Dalam isu ini para ulama’ telah khilaf berkenaan dengan berapa kali Rasulullah SAW dibedah dadanya. Ibn Hajar al- Asqalani berkata: “Sebahagian mereka ingkar berlakunya pembelahan dada pada malam Isra’. Mereka berkata hanya berlaku ketika kecil di perkampungan Bani Sa’d. Hal ini tidaklah diingkari kerana terdapat beberapa riwayat dan thabit pebedahan dada juga ketika dibangkitkan menjadi Rasul sebagai riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il. Ringkasnya saya nyatakan begini: 

Kali pertama ketika kecil dalam usia 4 tahun. Datang Jibril dan merebahkannya serta membedah dadanya. Ini seperti riwayat Muslim dalam Sahihnya daripada Anas bin Malik. 

Ketika dibangkitakan menjadi Rasul seperti riwayat Abu Nuaim dalam al-Dala’il. 

Ketika Isra’ dan Mi’raj dan ini thabit dalam Sahih Bukhari dan Muslim dan lain lagi seperti riwayat Anas bin Malik daripada Malik bin Sa’sa’ah dan lain. 

Berdasarkan beberapa riwayat di atas menunjukkan bahawa Jibril yang melaksanakan tugas pembedahan. 

Kedua: Air Yang Digunakan 

Mengikut sebahagian riwayat tidak menyebut apakah air yang digunakan. Tetapi dalam riwayat yang lain menyebut dengan menggunakan air zam-zam. Justeru, saya cenderung kepada pendapat bahawa dibasuh dengan menggunakan air zamzam kerana riwayat air zamzam adalah ithbat dan kaedah menyebut ithbat itu didahulukan dari penafian.

Sila rujuk kepada kitab yang muktabar seperti Fathul Bari, al-Sahih min Siratinnabi al-A’zam, al-Tabaqat oleh Ibn Sa’d, Dala’il al-Nubuwwah oleh al-Baihaqi dan lain-lain. Semoga Allah memberi kefahaman kepada kita semua dalam mencari fakta yang sahih lagi benar, amin.