Buah melaka 2021...
Sahabat Sejati
Thursday, 22 April 2021
Mulut kita...
Mulut kita sering mengupas tentang tuntutan berlapang dada. Tapi hati kita selalu sahaja sempit bila berbeza.
Mulut kita sering bersyarah tentang pedulikan apa kata manusia, yang penting Allah ada. Tapi hati kita selalu tidak tenteram bila ada orang mengata.
Mulut kita sering berbicara tentang pentingnya ikhlas walau manusia tidak tahu. Tapi hati kita tak tertahan-tahan meronta-ronta ingin juga orang tahu.
Mulut kita lantang berceramah tentang dosa mengumpat dan mengata. Tapi sebaliknya kita seakan berselera memakan daging saudara.
Mulut kita sangat fasih menerangkan bab keutamaan wehdah dalam fiqh ikhtilaf. Tapi, tingkah kita sepertinya suka kepada telingkah.
Wahai diri, peringatan buatmu (aku)
Salam 10 Ramadhan 1442H..
Friday, 16 April 2021
Persoalan puasa (2)
1 - Soalan:
Bagaimana kes pesakit buasir? Adakah batal puasanya?
Jawapan:
Lelaki atau perempuan yang terkena penyakit buasir terpaksa menolaknya dengan menggunakan jari ketika qadha’ hajat adalah batal puasanya mengikut nas Hanafi. Syeikh Hasanain Makhluf menambah, yang mengharuskan berbuka dan hendaklah qadha’ selepas sembuh penyakit. Walaupun begitu, al-Baghawi dan al-Hawarizmi berpendapat, tidak batal puasa dan inilah yang dii’timadkan oleh al-Azraie. Saya (peng.) bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh al-Baghawi, al-Hawarizmi dan al-Azraie kerana orang ini dari sudut yang lain adalah sihat.
2 - Soalan:
Apakah hukum menggunakan eye-mo?
Jawapan:
Menggunakan titisan seperti eye-mo di mata tidak membatalkan puasa kerana mata bukanlah ruang yang terbuka. Begitu juga dengan memakai celak tidaklah membatalkan puasa, seperti fatwa Syeikh al-Syarbasi. Ini kerana ia tidak mengenyangkan dan menghilangkan dahaga sebaliknya ia adalah keperluan untuk kesihatan.
3 - Soalan:
Apakah hukum suntikan melalui urat dan bukan melalui rongga terbuka?
Jawapan:
Suntikan melalui urat tidaklah membatalkan puasa. Mengikut fatwa yang dikeluarkan oleh Lajnah al-Azhar pada tahun 1948, apa-apa yang sampai ke dalam badan melalui bukan rongga yang terbuka, tidaklah batal puasa.
Dalam hal ini, Ijmak ulama masa kini bahawa suntikan yang mengandungi rawatan dan boleh memberi tenaga, tidaklah batal puasa, seperti dinukilkan oleh Dr. Yusuf al-Qardhawi dalam bukunya, Fiqh al-Siyam, (hal. 100). Hal ini juga dikemukakan oleh Syeikh al-Azhar Mahmud Shaltut, Syeikh Muhammad Salamah Jabr dan Syeikh Ali Tantawi.
Ini berbetulan dengan kalam Imam Nawawi dalam al-Majmu’ menyebut: “Jika dimasukkan uat ke dalam daging betis atau ditusuk dengan pisau dan lainnya sehingga sampai ubat tersebut kepada otak, nescaya tidak batal puasa tanpa khilaf kerana ia tidak termasuk dalam anggota rongga terbuka.” Saya (peng.) menyokong pendapat ini.
