Sahabat Sejati

Sunday, 24 July 2016

Tuan Guru Salleh Musa kembali ke rahmatillah


Daripada Abdullah bin 'Amru fin al 'Ash Rodiyallahu 'anhuma, aku mendengar Rasulullah saw bersabda: "Bahawasanya Allah SWT tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekali gus dari dada manusia, tetapi Allah menghilangkan ilmu dengan mematikan alim ulama'. Maka apabila sudah ditiadakan alim ulama', orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka, dan apabila pemimpin jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Maka mereka sesat dan menyesatkan orang yang lain." (Riwayat Muslim) 

Meninggalnya ulama adalah satu musibah yang besar kepada ummah, dan satu kelompongan yang tidak mampu ditampal semula. Walaupun ada kalimat yang berbunyi, "Yang patah akan tumbuh, yang hilang akan berganti", namun tidak mungkin ia akan sama dengan yang sebelumnya.

Dengan penuh dukacita, hiba dan redha dengan ketentuan-Nya, saya melahirkan ucapan takziah kepada keluarga, handai taulan serta seluruh murid Allahyarham Tuan Guru Haji Salleh Musa, Mudir Madrasah ar-Rahmaniah, Sik, Kedah, yang telah kembali ke rahmatillah pada 22 Julai 206, jam 8.15. 

Tiadalah perkataan yang diucapkan melainkan apa yang baik berkenaan beliau. Beliau adalah seorang yang alim dan sangat berjasa besar dalam menyumbang kepada perkembangan ilmu dan dakwah. Saya percaya pemergian beliau merupakan kehilangan yang amat besar kepada umat Islam, khususnya penduduk negeri Kedah Darul Aman.

Semoga Allah SWT melimpahkan rahmat, keampunan dan dikurniakan kebaikan serta ditempatkan bersama orang-orang yang soleh.

Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmat-Mu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlahnya. Amiinn.

 'Perjalanan terakhir'

Wednesday, 20 July 2016

Seronoknya...

foto hiasan (sumber: whatsapp group Rakan Masjid Qaryah Balok)

Seronok melihat surau dan masjid meriah dengan kebanjiran para jemaah. Ada sesetengahnya sehingga melimpah keluar. Golongan dewasa serta kanak-kanak berduyun-berduyun memakmurkan rumah Allah. Jika sebelum ini ada yang jarang-jarang datang ke surau atau masjid, tetapi berkat bulan ini mereka meringankan kaki untuk melangkah. Silaturrahim terjalin mesra sesama ahli qaryah. 

Seronok mendengar alunan kalamullah yang berkumandang. Gemersik kemerduan suara para hafiz yang dijemput menjadi imam terawih menggamit sesiapa yang mendengar. Kemudian ada pula majlis tadarrus al-Quran setelah selesai berterawih. Tidak cukup di surau dan masjid, bersambung pula di rumah. Pendekata, al-Quran menjadi sibuk dibuka dan dibelek helaiannya. Tidak seperti bulan-bulan sebelumnya, al-Quran diselimuti habuk kerana jarang bersentuh. 

Seronok melihat huluran tangan-tangan kemurahan. Infaq, sumbangan, derma dan sebagainya bagaikan bersambungan memenuhkan harapan si peminta. Bermacam-macam tabung yang tersedia menanti untuk diisi. Si pemberi menghulur tanpa berkira, si peminta pula wajah tersenyum girang. 

Alhamdulillah, inilah rahmat dan keberkatan yang satu, suasana yang jarang kedapatan di bulan-bulan lain. Inilah Ramadhan yang mampu menukar watak sesetengah insan. Menundukkan nafsu yang sekian lama menjadi bak raja. 

Mudah-mudahan ia menjadi kesinambungan pada bulan-bulan seterusnya... Syawal, Zulqaedah, Zulhijjah, Muharram.. sehinggalah bertemu Ramadhan kembali.. 

Seputar pesanan ulama, “Jadilah hamba Allah, jangan menjadi hamba Ramadhan...”

Wednesday, 6 July 2016

Rindu...


Rindu yang sangat meruntun jiwa ialah rindu kepada insan yang telah pergi buat selama-lamanya. Tiada mungkin untuk bertemunya kembali di dunia ini melainkan di akhirat dengan izin-Nya...

Jangan lafazkan selamat tinggal tetapi katakan semoga bertemu kembali. Jika tidak di dunia ini, insya-Allah di akhirat nanti...

Amiinn.

#abuikhwan01Syawal1437H@kampung