Sahabat Sejati

Saturday, 29 November 2014

Bila usia semakin menginjak...


Semakin jasad rakus dimamah usia, semakin berkurang keinginan untuk menelaah dan membaca. Sedangkan itulah yang menjadi makanan harian ketika bergulat di medan tempur menuntut ilmu suatu ketika dahulu. 

Deretan majmu` yang beraneka warna tersusun rapi di dalam rak bagaikan hanya bernafsu menjadi santapan anak mata. Namun sulit mahu mengundang rasa 'iman' membelek-belek helaiannya. Apatah lagi mahu diam sebentar duduk menghadam isi kandungannya.

Masa semakin pantas bergulir. Apakah aku mula dihinggapi penyakit malas membaca di saat usia mula menginjak senja? Allahu rabbi, hamba-Mu berlindung daripada sesuatu yang demikian...
 
“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada perasaan risau dan sedih, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu daripada sifat takut dan bakhil, aku berlindung kepada-Mu daripada tekanan hutang dan kezaliman manusia.” (Riwayat Abu Dawud)

Friday, 28 November 2014

Rehat Minda: Pesan Murabbi 3

Salam Jumaat...


Ya Allah...
Kami berlindung dengan-Mu daripada 
ditimpa kematian yang mengejut dalam
keadaan lalai daripada mengingati-Mu.

#Mood: Insaf...

Thursday, 27 November 2014

Alhamdulillah, tahniah achik!

foto hiasan (sumber)

Tuhan sahajalah yang tahu perasaan saya ketika ini. 

Saya bersujud syukur tatkala mendapat tahu keputusan UPSR anak ke-3 saya itu. Tiadalah ucapan sebaik-baiknya yang mampu saya panjatkan melainkan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah SWT. Sukar untuk saya gambarkan kegembiraan ini. Ya, hati bapa mana yang tidak gembira apabila melihat kejayaan anak-anak. 

Saya melihat kejayaan ini membuka ruang baginya untuk memasuki Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang sangat diidam-idamkan. Terasa penat lelahnya sejak dua tahun lepas terbalas sudah. Seingat saya dia mula memasang cita-citanya untuk memasuki MTNP ketika usia 10 tahun. Itulah menjadi sandaran motivasinya belajar. Insya-Allah dengan izin-Nya, achik akan dapat menyambung pengajian seterusnya di MTNP nanti. Aminn… 

Jadikanlah kejayaan ini sebagai galakan untuk mencipta kejayaan demi kejayaan seterusnya. Dalam pada itu, janganlah sekali-kali lupa bahawa kejayaan ini hanyalah satu permulaan. Perjalanan untuk mengukir kejayaan masih jauh dan panjang. Banyak onak dan ranjau yang perlu ditempuhi dalam perjalanan tersebut. 

Ingatlah, kejayaan sebenar bukanlah pada bilangan A yang tertera pada slip peperiksaan, bukan huruf A pada akademik. Tetapi yang lebih penting ialah A pada akhlaq dan peribadi. Itulah kejayaan dan kebanggaan yang sepatutnya diraikan. Bahkan itulah yang membanggakan dan menyejukkan hati abi dan ummi pada hakikatnya. 

Selamat maju jaya duhai anakandaku, Wan Nur Adawiyah. Abi dan ummi tidak pernah terlupa memanjatkan di dalam doa agar dirimu dan anak-anak yang lain sentiasa mendapat kebaikan, dan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Insya-Allah…

#Alhamdulillah, petang tadi menerima mesej daripada MTNP untuk menghadiri temuduga kemasukan. Mohon doa daripada sahabat-sahabat sekelian agar anakanda saya berjaya dalam temuduga tersebut.