Sahabat Sejati

Thursday, 30 October 2014

True MLM, pahala jariah vs maksiat jariah


“Alhamdulillah, siap.”

Saya menekan butang ‘sent’, proses terakhir menghantar email. 

Semalam saya menerima panggilan telefon daripada seorang kenalan yang meminta saya membuat ‘artwork’ banner Kursus Pengurusan Jenazah anjuran Badan Kebajikan Pekerja Islam tempat kerjanya. Tanpa banyak berkira saya segera memberi persetujuan. Sebenarnya banyak juga saya menerima tempahan membuat ‘artwork’ banner dan juga poster. Termasuklah banner atau poster untuk ceramah, kuliah, kursus dan sebagainya. Sekarang ini pun masih ada dua lagi tempahan ‘artwork’ banner dan poster untuk program Ceramah Perdana Ma`al Hijrah dan Backdrop Taklimat GST bersama Pusat Khidmat DUN dan Kastam Pahang. Insya-Allah malam nanti saya akan mula membuatnya. 

Tetapi jika difikir-fikir, nama sahaja tempahan. Sebenarnya saya tidak pernah mengenakan bayaran untuk kerja-kerja tersebut. Yalah, tidak sampai hati pula mahu sebarang meletakkan bayaran, lagipun yang menempahnya terdiri daripada kalangan kenalan saya juga. Hanya sekadar membuat ‘artwork’ tidaklah susah sangat, cuma dari segi masa perlu diuruskan dengan baik kerana saya bukan sepenuh masa membuatnya. Termasuk juga idea dan kreativiti yang kadang-kadang menjadi sedikit masalah. Yalah, idea bukannya datang dengan hanya memetik jari, kena pula saya yang memang tidak berapa pandai membuatanya.

Mahu dikatakan saya mahir dalam kerja-kerja menghasilkan ‘artwork’, tidaklah sampai tahap itu. Tidak. Eh, malu pula rasanya mahu mengaku demikian. Hanya sekadar boleh jika tiada orang lain, itu pun mungkin pilihan yang ke lima belas atau enam belas. Adakalanya terbit juga rasa cemburu tatkala melihat hasil kerja sahabat-sahabat di FB dan blog yang sangat kreatif dan cantik. Ahh, ingin rasanya memiliki kemahiran seperti itu. 

Saya tidak pernah belajar secara formal di dalam bidang penghasilan grafik. Saya hanya belajar sendiri melalui internet terutama blog dan youtube, selebihnya ‘try and error’. Semuanya semata-mata kerana minat yang mendalam di dalam bidang ini. Kata orang kalau sudah minat, apa pun sanggup dilakukan untuk mendapatkannya. Ada betulnya ungkapan ini. Selain daripada itu, selalu saya juga menghasilkan ‘artwork’ yang berisikan ungkapan kata-kata nasihat, tazkirah dan peringatan untuk dipanjangkan melalui sistem whatsapp, fb dan sebagainya. Bukan kerana saya seorang yang baik, bukan begitu maksudnya. Saya manusia realiti bukan manusia mithali. Manusia realiti yang ada buruk dan baik.

 
Sahabat sekelian.. 

Apa yang saya mahu sampaikan bukanlah berkenaan dengan minat dan kerja-kerja saya dalam penghasilan ‘artwork’ tersebut. Ia lebih daripada itu. Saya melihat ini adalah salah satu sumber amal jariah yang sangat mudah. Di zaman ini mahu membuat amal kebajikan cukup senang. Sementelah lagi dengan teknologi di hujung jari yang semakin canggih-manggih ini. Contohnya, selalu kita melihat di dalam fb ‘artwork’ kata-kata nasihat dan peringatan, oleh itu dengan hanya satu klik di butang ‘share’ maka kita telah memanjangkan satu kebaikan kepada ramai orang. Bagaimana pula jika setiap orang yang kita ‘share’, akan ‘share’ pula dengan rakan-rakan mereka. Tidakkah ini akan membina rantaian kebaikan. Bayangkan banyak mana pahala yang diperolehi. Inilah sistem MLM yang pasti tidak akan mengalami risiko kerugian. 

Bayangkan pula jika ketika kita bertemu Allah, tiba-tiba kita melihat catatan amal yang banyak sedangkan setahunya kita tidak pernah melakukan kebaikan sebanyak itu. Rupa-rupanya ada kebaikan yang pernah kita sampaikan telah dipanjangkan pula oleh orang lain, kemudian ia terus bersambungan walaupun setelah kita tiada. Tidakkah ia suatu yang menguntungkan? 

Begitulah sebaliknya, sifir yang amat mudah. Jika ada amal jariah yang sentiasa mengalir pahalanya walaupun selepas ketiadaan si pelaku. Maka di sana ada pula maksiat jariah yang sentiasa mengalir dosa walaupun si pelakunya telah tiada. Jika kita berkongsi sesuatu yang tidak baik, selepas itu mereka akan berkongsi pula dengan orang lain yang akhirnya berkembang dan terus berkembang. Tidakkah kita telah menempah gugusan dosa demi dosa. Bagaimana agaknya tatkala kita bertemu dengan Allah dalam keadaan kita rasakan telah membawa amal kebaikan. Tiba-tiba terlihat kantung amalan kita kosong. Rupa-rupanya kita pernah memanjangkan fitnah dan dikongsi pula oleh orang lain dan begitulah seterusnya ia terus bersambungan. 

Seperti yang telah saya sebutkan tadi, mudahnya mahu membuat pahala amal jariah di zaman ini. Hanya dengan satu klik sahaja, dapat mengundang pahala. Tetapi dengan satu klik juga ia akan mengundang dosa. Maka pilihlah yang mana satu idaman kalbu. Tepuk dada tanya iman, saya bertanya kepada diri sendiri...

Sunday, 26 October 2014

Bicara santai: Acara sentuh-sentuh

(Sumber: FB)

Entahlah, kisah apa pula yang mahu ditulis. Masa dan idea sering merencatkan’ mahu’ dan ‘mampu’. Dalam banyak keadaan keduanya tidak datang bersama. Kadang-kala ada masa tetapi idea pula entah ke manat. Ada masanya berderet idea tetapi tidak pula punya masa. Bilah jari-jemari telah lama di butang huruf, tetapi masih belum mampu memetik huruf pertama. Akhirnya ‘mahu’ yang tadi bertukar menjadi lesu. Demikianlah masa dan idea bukan milik mutlak kita. 

Mahu menulis isu kenaikan harga minyak. Tak payahlah. Saya bukanlah mahir untuk mengulas perihal kenaikan harga minyak. Lagipun jika diulas, bimbang pula terbawa-bawa dengan rentak panas baran dan hilang pertimbangan. Nanti lain diulas lain yang pula yang difahami. Serah sahaja pada yang pakar. Hmm, pakar apa-apalah. 

Seminggu dua yang lalu kecoh di laman sesawang berkenaan isu acara ‘IWTTAD’. Alaa, program yang ada peluk dan sentuh anjing tu. Berbagai pendapat dan komentar yang dapat dilihat. Ada yang pro dan ada yang kontra. Masing-masing mempertahankan hujah dengan bermacam-macam alasan. 

Saya membaca di laman sesawang, kata pihak penganjur tujuan acara itu adalah untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih peka terhadap makhluk berbulu dan berkaki empat itu. ia juga untuk mendidik orang ramai tentang bagaimana untuk mengamalkan kebersihan. Selain itu, ia adalah satu cara untuk membantu mereka mengatasi rasa takut terhadap anjing dan membawa bersama-sama rakyat Malaysia bagi menggalakkan toleransi dan persefahaman yang melampaui budaya, bangsa dan agama. Hmm, menarik tu, bagus bunyinya. 

Jika ditanya kepada saya, secara peribadi saya tidak nampak apa manfaatnya program tu. Mahu hilangkan rasa takut terhadap anjing? Jika sudah hilang rasa takut, apa faedah yang Muslim dapat? Sebaliknya, kalau ada rasa takut, apa pula kerugiannya? 

Islam tidak memandang jijik terhadap anjing, bahkan juga bukanlah haiwan yang wajar dicaci, dihina, dibelasah, diseksa, dibunuh sewenangnya atau apa sahaja salah laku. Anjing tetap haiwan yang wajar diberi kasih sayang dan belas ihsan, kerana ia juga makhluk Allah. Ada satu hadis yang mengisahkan tentang seorang yang banyak dosa, kemudian memberi anjing minum, lalu dia dimasukkan ke syurga kerana sifat belas ihsannya memberi minum kepada anjing itu. Namun dalam hadis tersebut tidak pula menyebut si pemberi minum itu mencium, membelai atau memeluk sang anjing. 

Saya beranggapan jika betul kita mahu mengajar mengenai sifat belas ihsan terhadap anjing atau apa sahaja binatang, boleh sahaja dilakukan di dalam dewan. Buat satu seminar, taklimat atau konvensyen yang berkaitan. Tidak perlu rasanya sehingga memeluk dan mencium anjing. 

Benar, wujud khilaf di kalangan ulama mazhab-mazhab dalam bab tubuh anjing itu najis mughallazah atau tidak. Yang pasti, haram SENGAJA menyentuh sesuatu yang akan menyebabkan perpindahan najis ke atas tubuh kita. Jadi, menyentuh anjing dalam keadaan anjing itu atau tubuh kita basah, lembap dan berair, maka haramlah menurut mazhab Syafie kerana najis boleh berpindah. Kenapa seluruh tubuhnya dianggap najis berat menurut mazhab syafie? Kerana pastinya anjing membersihkan dirinya dengan menjilat. Maka kemungkinan besar air liurnya ada di tubuhnya. 

Saya bukan mempersoalkan hukum, Siapalah saya untuk itu, tetapi saya melihat dari sudut kewajaran atau tidak. Di dalam suasana masyarakat yang bermazhab Syafie tentu ia akan mengundang fitnah dan kekeliruan di kalangan orang awam yang jahil dalam ilmu fiqh (termasuk saya). 

Apa pun, di dalam akhbar tempohari pihak yang menganjurkan acara sentuh anjing telah memohon maaf kepada rakyat Malaysia. Maka, maafkanlah mereka, tetapi jangan diulangi lagi ya..

Fikir-fikir  sejenak

Teringat tulisan Ustaz Khalil tempohari. 

"Daripada sibuk berkempen sentuh anjing lebih baik buat kempen sapu kepala anak yatim. Diriwayatkan bahawa Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang membelai kepala anak yatim kerana Allah SWT, maka baginya kebaikan yang banyak daripada setiap rambut yang diusap." 

Daripada sibuk berkempen sapu atas belakang anjing lebih buat buat kempen belajar macamana cara nak sapu atas khuf sebagai ganti untuk basuh kaki dalam berwudhu. 

Daripada sibuk berkempen membelai anjing lebih baik belajar cara yang betul untuk membelai dan mengucup hajar aswad di Kaabah. 

Di dalam Al-Quran pun Allah menceritakan kisah ashabul kahfi yang bersama-sama dengan anjing peliharaan mereka. Pengajarannya bukan supaya kita membelai anjing dalam kehidupan kita tetapi anjing pun membantu perjuangan Islam dengan caranya tersendiri. Di dalam hadis pun Nabi saw ada menceritakan kisah perempuan pelacur dimasukkan ke dalam syurga kerana memberikan minum kepada anjing yang dahaga. Menunjukkan anjing tidak boleh disakiti dan berhak untuk dirahmati dalam keadaan yang memerlukan. 

Mungkinkah program membelai anjing untuk mengatasi masalah rakyat yang stress akibat kenaikan harga minyak? Entahlah ..."

**Simpati dengan apa yang berlaku ke atas al-Fadhil Ustaz Azhar Idrus

Saturday, 25 October 2014

Salam Ma`al Hijrah 1436H


Hijrah adalah terlalu agung hikmahnya untuk kita teladani dan hayati. Ia bagaikan sebuah cahaya fajar yang memecah kegelapan dalam sebuah perjalanan hidup. Lalu ia menyinari seluruh perjalanan hidup dan menjadikannya penuh bermakna. Benar-benar hijrah itu pemisah di antara hak dan bathil, di antara kegelapan menuju ke arah terangnya cahaya hidayah. 

"Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (an-Nisa`: 100)

Selamat menyambut Ma`al Hijrah 1436H kepada semua pengunjung pondok kecil abuikhwan. Mudah-mudahan tahun baru ini memberikan tekad dan azam kepada kita semua untuk sentiasa memperbaiki diri dalam kebaikan.