Sahabat Sejati

Tuesday, 30 July 2013

Aku kepeningan... sabar, kan bulan Ramadhan


Apalah `nasib badan` pada malam ini berterawih di sebelah penagih candu. Berpinar-pinar kepeningan saya dibuatnya. Mujur tak tumbang sahaja. Sebenarnya saya tiada masalah dengan tabiat merokoknya, silalah merokok sampai 1 kontena pun. Saya tidak melarang. Tetapi seharusnya janganlah merokok ketika hampir mahu sembahyang, tahan-tahanlah dulu sehingga selesai terawih. Ataupun hilangkanlah bau rokok dulu sebelum sembahyang, sama ada bersugi atau berkumur-kumur dengan ‘listerine’. Kasihan orang yang di sebelah kanan dan kiri tercungap-cungap menahan nafas. Hilang ketenangan dan keasyikan mendengar lantunan bacaan kalamullah daripada imam hafiz.

Hadis Ibnu Umar ra:
Sesungguhnya Rasulullah saw pernah bersabda ketika dalam peperangan Khaibar: “Sesiapa yang memakan dari pohon ini iaitu bawang putih maka janganlah dia memasuki masjid.” (Sahih Muslim: no. 870)

Hadis Jabir ra katanya:
Rasulullah saw melarang makan bawang merah dan bawang muda. Oleh kerana terpaksa memakannya lalu kami memakan. Kemudian baginda bersabda: “Sesiapa yang makan dari pohon yang tidak sedap ini iaitu berbau busuk maka janganlah dia mendekati masjid kami kerana para Malaikat juga akan terhidu bau busuk sebagaimana manusia.” (al-Bukhari kitab Adzan 854, Muslim kitab Al-Masajid 564)

Hadis ini dan hadis-hadis lain yang semakna dengannya menunjukkan makruh seorang muslim mengikuti sembahyang berjemaah selama masih ada bau benda-benda tersebut, kerana akan mengganggu orang yang berhampirannya. Bukannya "saya tidak perlu sembahyang berjemaah, kerana saya seorang yang suka makan petai dan bawang". Jangan silap faham. Maknanya hilangkan dahulu bau yang tidak enak itu, kemudian barulah pergi ke masjid untuk bersembahyang.

Jika benda-benda seperti bawang boleh menyebab gangguan kepada jemaah yang lain, apalagi rokok tentunya lebih kuat dan busuk baunya. Mungkin orang yang merokok tidak sedar atau perasan akannya. Biasalah perokok, kalau asap rokok boleh ditelan apalah sangat dengan baunya.

Perlu diketahui, bahawa rokok itu, selain baunya yang busuk, mudharatnya juga amat banyak dan jelas. Ini termasuk dalam cakupan firman Allah SWT:

“Dan menghalalkan bagi mereka segala yang baik dan mengharamkan bagi mereka segala yang buruk.” (al-A’raf : 157) 

Mudah-mudahan ia memberi peringatan kepada semua.

Marah? Tidak, tetapi kasih sesama kita.

Monday, 29 July 2013

Anak 8 tahun masih tidur bersama ibu bapa

Soalan:
Assalamualaikum, saya ingin bertanya kemusykilan saya tentang hukum anak berumur 8 tahun masih tidur bersama ibu bapa. Ada yang berkata kena asingkan tempat tidur habis tempoh menyusu, saya tidak pasti kesahihannya. Terima kasih.

Jawapan:

Tidak digalakkan oleh agama untuk anak yang telah mumayyiz (yakni telah mengerti dan tahu membezakan) untuk tidur bersama dengan ayah dan ibunya kerana dikhuatiri berlaku pendedahan aurat dari bapa dan ibunya ketika tidur. Di dalam al-Quran, Allah berfirman (bermaksud):

“Wahai orang-orang beriman, hendaklah meminta izin kepada kamu hamba-hamba yang kamu miliki dan anak-anak yang belum baligh di kalangan kamu (sebelum mereka memasuki kamar-kamar kamu) pada tiga masa; masa sebelum solat subuh, masa ketika kamu menanggalkan pakaian di waktu tengahari dan masa selepas solat isyak. Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu. Adapun lain dari tiga masa itu, tidaklah menjadi dosa ke atas kamu dan juga ke atas mereka (untuk masuk tanpa meminta izin terlebih dahulu) kerana mereka adalah orang-orang yang berlegar di sekitar kamu, yakni sebahagian kamu sentiasa bergaul dengan sebahagian yang lain. Begitulah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat-Nya. Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (an-Nuur: 58). 

Dalam ayat di atas Allah memerintah anak-anak sekalipun belum baligh (tetapi telah sampai umur mumayyiz) supaya meminta izin sebelum memasuki bilik atau kamar ibu dan ayahnya terutamanya pada tiga waktu:

a) Sebelum subuh adalah masa kamu bangun tidur
b) Selepas solat isyak ialah masa kamu tidur
c) Waktu tengahari (ketika matahari tegak atas kepala) adalah waktu qailulah iaitu waktu disunatkan kita tidur seketika sebelum solat zohor.

Sebab perintah tersebut ialah untuk mengelak dari terdedahnya aurat ibu-bapa kepada anak-anak. Inilah yang kita fahami dari ungkapan Allah dalam ayat tersebut: “Itu adalah tiga masa berlaku pendedahan aurat pada kamu”.

Berkata ulamak –antaranya Syeikh Tohir Ibnu ‘Asyur: “Adalah suatu yang jelik ibu-bapa membiarkan anak-anak mereka (yang telah mumayyiz) melihat aurat mereka kerana pandangan anak-anak akan membekas (dan menjadi tabiat) dalam diri mereka. Wajib anak-anak diasuh supaya menjaga aurat sejak dari kecil (yakni memelihara diri dari mendedahkan aurat dan dari melihat kepada aurat orang lain) agar ia akan menjadi tabiat pada diri mereka apabila mereka besar nanti.” (Tafsir at-Tahrir wa at-Tanwir, surah an-Nur, ayat 58).

Jika pasti akan berlaku pendedahan aurat –seperti ibu dan bapa berniat berseronok atau berjimak pada malamnya-, maka haramlah membenarkan anak yang telah mumayyiz untuk turut tidur dalam bilik bersama ayah dan ibunya. Suami dan isteri wajib memastikan mereka tidak dilihat oleh orang lain ketika sedang berjimak. Diharamkan berjimak dengan dilihat orang lain termasuk anak kecil jika ia telah mumayyiz (sekalipun ia belum baligh).

Malah sebahagian ulamak (antaranya jumhur ulamak mazhab Maliki) melarang berjimak dengan dilihat oleh anak belum mumayyiz kerana mengambil contoh dari sahabat Nabi SAW bernama Ibnu ‘Umar RA yang memerintahkan anaknya yang masih di dalam buaian supaya di bawa keluar dari bilik sebelum ia berjimak dengan isterinya (kerana malu dengan anak itu). Menurut jumhur: perbuatan Ibnu Umar RA itu tidaklah wajib –kerana ia sukar dan sulit amalkan-, tetapi jika dapat diamalkan adalah baik. (al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178).

Berkata Syeikh Ibnu al-‘Uthaimin (salah seorang ulamak besar Arab Saudi); “Pandangan yang soheh dalam masalah ini ialah; diharamkan bersetubuh di hadapan orang lain, kecuali jika yang ada di hadapan itu adalah anak kecil yang belum mengerti dan belum dapat menggambarkan sesuatu, maka tidak mengapa. Adapun di hadapan anak yang sudah pandai menggambarkan apa yang berlaku di depannya, tidak harus melakukan persetubuhan di hadapannya sekalipun ia masih kecil kerana anak kecil sebegitu kadang-kadang ia bercakap menceritakan kepada orang lain apa yang dilihatnya tanpa ia maksudkan.

Anak kecil yang masih dalam buaian –sebagai contohnya- jika usianya baru beberapa bulan, tidak mengapa berlaku persetubuhan di hadapannya kerana ia tidak mengerti perbuatan tersebut dan belum dapat menggambarkannya. Namun jika anak itu telah berusia tiga atau empat tahun, tidak sepatutnya ibu-bapa melakukan persetubuhan di hadapannya kerana boleh berlaku pada pagi nanti ia menceritakan apa yang dilihatnya kpada orang lain.

Oleh demikian, adalah dibenci agama ibu-bapa bersetubuh di hadapan anak kecil mereka sekali belum mumayyiz jika ia sudah pandai menggambarkan dan memahami apa yang dilihatnya” (Dinaqalkan dari Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid).

Rujukan:
1. az-Zawaj, Dr. Muhammad Ibrahim al-Hafnawi, hlm. 279.
2. al-Muqtataf Min 'Uyun at-Tafasir, surah an-Nisa', ayat 19.
3. Fatwa Syeikh Muhammad Soleh al-Munajjid (www.islamqa.com), no. 104246.
4. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 3/178

Sumber: Ilmu dan Uama'

Sunday, 28 July 2013

Celoteh iklan raya


Saban tahun menjelang hari raya, di antara sesuatu yang menjadi penyeri ialah iklan raya. Seolah-olah jika tiada iklan raya seperti sesuatu yang asing dan tidak terasa hari raya. Kebelakangan ini memang begitu keadaannya.

Bermacam-macam iklan raya yang keluar di kaca televisyen. Bahkan ia bagaikan pelengkap hari raya selain mercun, bunga api dan duit raya. Ada iklan raya lucu, sedih, gembira dan ada yang biasa-biasa sahaja sekadar mempromosikan barangan. Iklan-iklan raya seperti TNB, TV3, KFC, TM, Astro, dan tentunya iklan raya Petronas yang ditunggu-tunggu kerana sentiasa menyajikan kreativiti yang tersendiri.

Tetapi saya mula perasan, iklan raya gedung-gedung tekstil semakin berkurangan atau telah pun tiada. Kalau dulu seminggu sebelum raya sudah berkumandang iklan memanggil supaya membeli pakaian, kain dan langsir yang dipelopori oleh Kamdar, Globe Silk Store, Gulati`s Sik Store, Super Kinta serta Yaohan. Mana tidak menjulingkan mata kanak-kanak melihat jenama pakaian ketika itu seperti Villa, Ladybird dan Kiki Lala. Tetapi iklan-iklan yang melibatkan gedung tekstil biasanya hanya gambar dan suara, jarang dalam bentuk klip video. Masa durasinya pun tidak lama seminit pun tak sampai.

Saya sendiri pun sebenarnya suka menonton iklan raya dan sentiasa tidak sabar-sabar menanti ia keluar di peti televisyen. Tetapi itu dulu, dengan teknologi internet yang ada sekarang ini, segalanya menjadi lebih mudah. Cari sahaja di youtube untuk menontonnya. Lagipun di internet masih dalam bentuk versi penuh, tidak seperti di dalam televisyen yang telah pun dipotong-potong mengikut masa dan kesesuaian seperti sesetengah iklan raya.

Apa pun, setiap penerbit mempunyai kreativiti yang berbeza dalam menyampaikan mesej, namun maksud yang disampaikan itu biasanya hampir sama iaitu konsep bersyukur, melahirkan keinsafan, menyemai keikhlasan, saranan agar balik kampung untuk bertemu dengan orang tua dan sebagainya. Semua nilai ini diterapkan biarpun sekadar iklan ayam goreng dan air berkarbonat.

Saya tidak nafikan ada iklan raya yang benar-benar memberi kesan sehingga mampu meruntun perasaan, malahan ada yang berjaya menumpahkan airmata penonton sehingga teresak-esak kesayuan, sekaligus lupa bahawa ia hanyalah satu iklan.


Begitu juga dengan diri saya, ada banyak iklan raya tetapi saya cukup tersentuh tatkala menonton iklan raya BERNAS. Iklan raya tahun lalu yang menampilkan dua anak yatim yang juga OKU, Fizi dan Ahmad, berpakat untuk pulang beraya di Segamat untuk menemui ibu Ahmad. Pada malam itu mereka berdua keluar dari Pusat Jagaan dan berusaha untuk ke Segamat dengan berbagai cara. Setelah melalui berbagai kesulitan akhirnya mereka sampai juga di Segamat dengan menumpang sebuah lori barang yang dipandu oleh seorang lelaki berbangsa India.

Saat yang men’touching’kan perasaan ialah apabila Ahmad menggamit Fizi ke pusara ibunya. Sambil memegang batu nesan ibunya lalu berkata: “Fizi, mak Ahmad. Mak Ahmad mak Fizi juga...” Turut ditonjolkan ialah semangat setiakawan yang saling lengkap-melengkapi di antara satu sama lain.

Remuk-rendam jiwa saya hingga bersulam airmata setelah menonton iklan tersebut. Untuk iklan ini saya mengangkat ibu jari. Inilah di antara iklan yang amat baik dari segi idea dan jalan ceritanya. Mudah-mudahan lebih banyak lagi iklan yang sebegini dihasilkan. Sekurang-kurangnya boleh membuatkan penonton berfikir sesuatu.

Taqdir kehidupan seseorang dengan yang lain tidak sama. Allah SWT yang telah mentaqdirkan perjalanan hidup seseorang. Bukanlah Allah SWT berlaku zalim terhadap para hamba-Nya. Tidak sesekali! Tetapi setiap apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya. Ada yang boleh kita tafsirkan tetapi lebih banyak yang terkandung rahsia di dalamnya.

Dan seharusnya kita melihat dan meneguhkan di hati bahawa semua yang berlaku adalah kebaikan daripada-Nya. Diberikan kesenangan kita bersyukur, ditimpa ujian dan musibah kita bersabar kerana semuanya adalah kebaikan.

Bersangka baiklah kepada-Nya, kerana DIA Maha Mengetahui apa yang terbaik buat hamba-Nya. Tiadalah balasan bagi kebaikan melainkan kebaikan jua.