Soalan:
Saya ingin mengetahui mngenai mimpi berjumpa Rasulullah saw. Bagaimana orang sekarang boleh mengetahui itu adalah Rasulullah, sedangkan tiada sesiapa pun di zaman ini pernah menemui Rasulullah secara `live`. Ertinya tiada sesiapa pun mengenal baginda, bagaimana boleh didakwa itu Rasulullah? Mohon bantu hilangkan kekeliruan saya.
Jawapan:
Mimpi bertemu Rasulullah saw adalah mimpi benar dan wajib dipercayai bahawa mimpi itu adalah benar.
Rasulullah saw bersabda (mafhumnya): “Sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka sesungguhnya dia telah melihat daku. Sesungguhnya syaitan tidak berupaya untuk menyerupai daku, apabila dimimpikan dalam tidur seseorang.” (Riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Hadis sebegini, amatlah banyak. Semuanya sahih, malah ada hadis (mafhumnya): “Sesiapa yang bermimpi melihat daku dalam tidurnya, maka dia akan bertemu dengan aku secara sedar (yaqazah) dan syaitan tidak boleh menyerupai aku di dalam mimpi.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demikian juga hadis (mafhumnya): “Sesiapa yang melihat daku dalam mimpinya, maka sesungguhnya dia melihat yang benar (haq).”
Al-Qadi `Iyaadz menyebut, beliau menukilkan daripada ulama muktabar, katanya:
“Allah mengkhususkan mimpi yang benar, hanya mimpi bertemu Rasulullah saw, kerana Allah menjaga kekasihnya, dari ditiru oleh musuh Allah (syaitan) untuk menyesatkan manusia.
Al-Imam an-Nawawi dalam syarah Muslimnya, ada menyebut:
“Mimpi berjumpa Rasulullah adalah mimpi benar, sama ada di dalam keadaan Rasulullah benar-benar dalam kenabiannya ataupun tidak.”
Menurut ulama muktabar, sesiapa yang bermimpi berjumpa Rasulullah saw dalam apa keadaan sekalipun , maka ia telah benar-benar menemui Rasulullah saw.
Adapun tentang bagaimana mengenalinya, sedangkan tidak pernah orang zaman ini bertemu dengan Rasulullah saw secara `live`, maka boleh dijelaskan dengan berbagai cara:
i) Orang yang bermimpi itu mendapati dirinya berada benar-benar di zaman Rasulullah. Iaitu pada suasana ketika itu, dengan bangunan lama, binatang-binatang peliharaan unta, kambing berkeliaran. Orang ramai berpakaian Arab, berpusu-pusu menanti Rasulullah saw yang akan keluar dari masjid atau rumah. Semua mengetahui dan bermimpi pun mengetahui dan yakin Rasulullah akan keluar menemui mereka. Lalu berlaku sungguh-sungguh Rasulullah keluar.
ii) Bermimpi bersama rombongan Rasulullah saw ke medan perang atau mengerjakan haji atau umrah. Atau bersama dalam satu misi dakwah yang Nabi saw sendiri mengetuainya. Semua dalam rombongan itu mengenali bahawa di hadapan mereka adalah Rasulullah. Dengan hati yang amat yakin bahawa itu adalah Rasulullah saw.
iii) Bermimpi Rasulullah sedang bertazkirah di hadapan orang ramai. Dalam suasana yang benar-benar diyakini di dalam hati bahawa itu Rasulullah sedang berbicara dan anda berada di dalam jemaah itu, tetapi tidak jelas butiran apa yang diperkatakan, tetapi itu adalah Rasulullah saw.
iv) Bermimpi seorang lelaki hebat, penuh beradab sedang berjalan di hadapan, di belakangnya sahabat-sahabat ramai. Orang yang bersama dengan anda mengatakan, “Itu Rasulullah, itu Muhammad Rasulullah, itu Muhammad Habibullah.”
v) Yang bermimpi berhadapan-hadapan dengan Rasulullah dalam satu suasana yang benar-benar diyakini itu adalah Rasulullah dan anda mengadap serta berhadapan dengannya.
Dan banyak lagi yang menunjukkan bahawa mimpi itu adalah Rasulullah yang benar-benar diyakini tanpa sebarang keraguan. Wallahua`lam.
Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din
Sahabat Sejati
Thursday, 28 February 2013
Wednesday, 27 February 2013
Doakan mereka...
Tiada yang lebih menyeronokkan selain daripada pulang ke kampung.
Bagi saya yang memang `budak kampung`, ada sesuatu yang istimewa yang menghadirkan satu perasaan. Apakah perasaan itu? Entahlah, sulit untuk saya jelaskan, namun saya menikmati perasaan itu sepuasnya. Biarpun tidak bagi sesetengah orang, mungkin bagi mereka ianya sesuatu yang biasa sahaja.
Di kampung ada kokokan ayam jantan yang bertenggek di tunggul mati, ada kicau burung yang melompat-lompat dari dahan ke dahan, ada juga sahutan katak di belakang paya selepas hujan dan anak-anak pula bebas berkejaran di tengah halaman nan luas.
Tetapi kedamaian sebenar ialah di kampung ada tangan yang hendak dicium, ada rindu yang mahu didakap dan ada wajah yang sentiasa menghadirkan ketenangan dan kedamaian yang sentiasa dirintih oleh hati sanubari. Benar, berada di dalam pelukan bonda menghadirkan seribu ketenangan, bagaikan turun sakinah dari langit Ilahi. Lalu saya menyedari, sekelip mata hilang terbang semua keresahan dan kegelisahan yang memagut dinding hati. Insan, sentiasa memerlukan penawar dalam hidup.
Namun itu semuanya telah pun berlalu, tidak sekali-kali ia akan kembali menyapa saya. Ia pergi jauh dan semakin menjauh. Seperti pertanyaan Imam al-Ghazali: Apakah yang paling jauh?” Biarpun berbagai jawapan yang diberikan oleh murid-muridnya, yang pasti jawapannya adalah “masa lalu...” Waktu akan terus datang dan pergi tanpa siapa pun dapat menghalangnya. Ia terus berlalu bersama kenangan yang dilewati.
Bonda telah pun berkelana ke alam abadi. Ayahanda pula terlebih dahulu menyahut panggilan Ilahi mendahului bonda. Kehidupan, ia hanyalah sebuah perjalanan, yang pasti ada akhirnya. Tiada siapa yang dapat menghalang, walau hebat manapun ia dan sehebat mana perancangan yang dibuat. Dunia adalah persinggahan sementara, ada hari datang dan ada hari pergi, tiada yang kekal melainkan DIA.
Kadang-kala saya seakan-akan menyesali kesilapan diri. Banyak yang tidak sempat saya lakukan sebagai amal bakti untuk keduanya. Hari-hari yang pergi umpama mewarisi kesedihan yang terpalit dalam memori. Saya merintih memohon keampunan-Nya atas ilmu-Nya Yang Maha Tahu.
Doakan mereka
Firman Allah SWT:
"Dan Kami berpesan kepada insan agar berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan kepayahan dan melahirkannya dengan kepayahan dan tempoh mengandung berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. Setelah dia besar sampai ke peringkat dewasa yang matang dan sempurna kekuatannya dan sampai ke peringkat umur empat puluh tahun, berdoalah dia dengan berkata: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmat-Mu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke dalam jiwa zuriat keturunanku. Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu dan sesungguhnya aku dari orang-orang Islam (yang tunduk patuh kepadamu)." (al-Ahqaf: 15)
Betapa indahnya bait-bait ayat ini. Ia tersusun dengan cantik dan menusuk kalbu. Firman Tuhan ini menceritakan satu perjalanan panjang kehidupan manusia. Bermula dari dalam kandungan, kemudian dilahirkan sehinggalah bercerai susu, kemudian menjadi remaja yang matang dan seterusnya mencapai usia 40 tahun. Lalu diketika itu disarankan pula agar sentiasa bertaubat dengan memohon doa kepada-Nya, memohon keampunan kepada kedua ibu bapa dan untuk zuriat keturunannya.
Kita ini sentiasa menyusahkan mereka, ketika di dalam kandungan membawa kita ke sana ke mari, kita menyusahkan ketika dilahirkan sehingga dikatakan berbagi nyawa di antara hidup dan mati. Ketika dibesarkan, kenakalan apa yang tidak kita lakukan yang memang mengundang keresahan mereka. Justeru, kenangilah kepayahan mereka dengan seadanya.
Saya tidak dapat mengundurkan masa kerana masa bukanlah milik saya. Namun ayat di atas mengajar akan kebaktian yang dapat kita lakukan kepada kedua ibu bapa walaupun mereka telah tiada. Benar, ianya adalah doa!
Ayuh, sahabat-sahabat! Jangan lupa untuk sentiasa mendoakan kepada ibu bapa samada mereka masih ada ataupun telah kembali mengadap Ilahi. Demikianlah satu-satunya kebaktian yang dapat dihulurkan tanpa perlu mengeluarkan modal...
Mudah-mudahan.
Labels:
Bicara santai,
Cetusan rasa,
diri,
keinsafan,
tazkirah
Monday, 25 February 2013
Poster: Palestin (1)
...اين انت يا عمر
"Dimanakah engkau wahai Umar,
Adakah engkau telah mendengar perkhabaran,
Sesungguhnya al-Aqsa sedang menunggu..."
Labels:
Cetusan rasa,
poster
Subscribe to:
Posts (Atom)


