Sahabat Sejati

Thursday, 13 January 2011

Taubat dan keampunan


“Setiap anak adam sering melakukan kesalahan dan sebaik-baik yang melakukan kesalahan ialah mereka yang sentiasa bertaubat.” (Ibnu Majah)

Sesungguhnya keampunan kepada orang yang berdosa seumpama air kepada ikan dan seumpama makanan kepada manusia yang sedang lapar. Untuk memperolehi keampunan, manusia perlu bertaubat kepada Allah.

Apa yang kita rasa jika ada orang kasih dan sayang kepada kita. Tentu kita rasa gembira dan seronok. Begitu juga Allah amat kasih dan sayang kepada orang yang bertaubat. Kasih sayang siapa lagi yang paling tinggi daripada kasih sayang Allah. Sebagaimana firman-Nya: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertaubat dan mengasihi orang-orang yang menyucikan diri." (at-Tahrim:8).

Ingatlah Allah membuka rahmat selebar-lebarnya untuk menerima taubat orang yang berbuat jahat di waktu malam sehingga siangnya, dan menerima taubat orang yang berbuat jahat di waktu siang sehingga malamnya. Hal keadaan ini berterusan sehinggalah matahari terbit dari barat (Hari Kiamat).

Rasulullah saw telah mengingatkan umatnya supaya merebut peluang bertaubat yang sentiasa terbuka luas, namun harus diingat ia ada tempoh akhirnya, selepas itu rayuan dan rintihan tidak akan dilayan lagi. Sabda baginda: "Sesungguhnya Allah SWT akan menerima taubat hamba-Nya selama roh belum sampai ke ghar-gharah (nazak).

Sesungguhnya Allah menerima taubat dan keinsafan kita semua selaku hamba-Nya. Namun demikian ia mestilah menurut syarat dan panduannya yang betul.

Renungan bersama

Kisah daripada Saiyidina Ali kaw, bahawa seorang lelaki setelah selesai dari menunaikan solat lantas berdoa kepada Allah SWT: "Ya Allah ya Tuhanku, aku bertaubat kepada-Mu sekarang juga." Apabila Saiyidina Ali mendengar doa orang itu lantas beliau pun berkata: "Wahai anda yang sedang berdoa, sesungguhnya taubat yang engkau lakukan secara demikian itu adalah taubat yang dusta, dan taubatmu itu memerlukan satu taubat yang lain."

Maka berkata pula lelaki itu: "Wahai Amir al-Mukminin, sekiranya engkau menyuruh aku bertaubat yang lain pula, maka apakah sebenarnya taubat itu, terangkan kepadaku."

Kata Saiyidina Ali kepada lelaki itu: "Bahawa yang di kata taubat itu ada enam pengertian:

- Sekiranya engkau telah melakukan dosa yang lalu, maka taubatnya hendaklah kamu menyesali segala kesalahan dan dosamu.

- Jika kamu melakukan kesalahan dan dosa kepada Allah SWT kerana meninggalkan perintah yang wajib, maka hendaklah kamu mengerjakan semula kewajipan yang ditinggalkan itu.

- Sekiranya kamu melakukan kezaliman kepada orang lain maka taubatnya ialah bahawa wajib bagi kamu memulangkan semula apa-apa juga yang berlaku kepada orang itu, sehingga tiada lagi perkara yang bersangkutan dengan orang yang kamu zalimi itu dan dia memaafkan segala penganiayaan yang kamu lakukan terhadapnya itu.

- Sekiranya kamu melakukan maksiat sehingga diri dan jiwamu sebati dengan maksiat itu, maka demikian jugalah kamu wajib melakukan taat kepada Allah sehingga jiwamu sebati dengan ketaatan itu.

- Sebagaimana lazat dan manisnya maksiat yang kamu lakukan, maka demikianlah pula kamu lakukan ketaatan sekalipun pahit.

- Sekiranya kamu melakukan maksiat kepada Allah dalam keadaan kamu gembira dengan gelak ketawa, maka sampailah giliran kamu menangis menyesali dosa yang kamu lakukan itu beserta mengerjakan ketaatan kepada Allah SWT.

Telah datang seorang lelaki mengadu kepada Rasulullah saw, lalu berkata: Aduh dosaku! Aduh dosaku! Sehingga dua kali atau tiga kali. Maka Rasulullah saw bersabda kepadanya: Ucapkanlah olehmu: Ya Allah, keampunan-Mu lebih luas daripada dosaku dan kasih sayang-Mu daripada amalanku. Maka doa itu diucapkan lagi oleh lelaki itu. Rasulullah saw pun bersabda lagi: Ulangi sekali lagi! Maka diucapkan lagi oleh lelaki itu. Lalu Rasulullah saw bersabda: Berdirilah! Sesungguhnya telah diampuni oleh Allah dosamu itu."

Alhamdulillah, Allah adalah Tuhan kita yang sangat pengasih dan penyayang.

Wednesday, 12 January 2011

Bicara santai: macam-macam

"Ana minta diri dulu..."saya bersalaman dengan rakan-rakan.

"Eh, tak minum dulu ke?" tanya sahabat saya yang sedang menyusun buku di dalam rak berhampiran pintu.

Insya-Allah lain kali." jawab saya sambil menuju ke kenderaan.

Jam sudah pun menghampiri satu pagi. Perkara biasa jika ada program di Pusat Tarbiyyah, kami akan memastikan semuanya benar-benar 'clear' baru berangkat pulang ke rumah. Kadang-kadang lebih lewat lagi.

Menyusuri jalan yang sunyi, kebanyakan bani insan sudah pun belayar di ulit mimpi.

Macam-macam cerita

Pheww...hari yang amat meletihkan, dengan kerja-kerja di pejabat yang bertimbun, tidak pernah habis. Keletihan semalam belum hilang, berperang pula dengan rasa mengantuk yang bukan calang-calang. Benar-benar mengantuk, apa ubatnya, minum kopi??

TIDUR. Itu ubat mengantuk kata Ustaz Hasrizal. Fitrahnya memang begitu.

Ketika sedang minum pagi, seorang rakan memberitahu cermin keretanya yang di hadapan sebelah penumpang telah dipecahkan. Pencuri telah melarikan beg yang berisi dokumen-dokumen penting. Mujur laptopnya tidak dibawa pada hari itu. Rakan saya segera membuat laporan polis kejadian tersebut.

"Dimana berlaku?" Saya bertanya.

Kejadian tersebut berlaku di perkarangan masjid ketika beliau singgah untuk solat maghrib. Kalau dulu jarang kita mendengar perkara begini berlaku di masjid. Sekarang masjid pula menjadi tempat pencuri "mencari makan". Ada yang hilang motor, hilang beg, hilang kasut, tabung derma kena pecah dan bermacam-macam lagi. Bingung rasanya.

Saya juga mempunyai pengalaman hilang kasut di masjid. Niat untuk beribadah, akhirnya keluar sumpah seranah. Terpaksa meminjam selipar masjid sebentar untuk ke kedai membeli selipar baru.

Seorang rakan pula menunjukkan SMS yang diterima: "Ini nombor baru ayah. Ayah ada masalah di balai polis sekarang, tolong top-up RM30."

Menggaru kepala sahabat saya. Beliau cuba menghubungi nombor tersebut tetapi tidak diangkat. Lalu beliau membalas SMS tersebut: "Sejak bila ayah pandai taip mesej ni?"

"Taktik ini telah pun didedahkan di dalam akhbar tidak lama dulu, ramai yang dah terpedaya," saya memberitahu rakan.

Macam-macam cara orang nak menipu.

Dunia oh dunia. Tidak lena tidur saya memikirkannya.

Tuesday, 11 January 2011

Usah ada 'nujum pak belalang' dalam perkahwinan

Soalan:

Saya merancang mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Ibu bapa saya merestui, tetapi salah seorang bapa saudara saya yang kebetulan mempunyai ilmu agama yang agak tinggi, memberitahu kami semua bahawa perkiraan nama saya dengan bakal suami saya yang di'bin' kepada ibu kami masing-masing, katanya hasilnya amat tidak sesuai. Jika dikahwinkan juga, pasti akan bergaduh. Kami sekeluarga agak bingung, benarkah ada ilmu agama yang dikira dari nama bakal pengantin, dengan nama ibu mereka, boleh dikira sebagai penentu masa depan, baik atau buruk. Mohon penjelasan.

Jawapan:

Hal sebegini banyak berlaku dalam masyarakat kita. Amalan sebegini, ada yang menamakannya sebagai firasat. Ada yang menamakannya kasyaf. Ada yang kata tenung makrifat. Ada yang kata nujum dam berbagai-bagai lagi.

Hakikatnya, yang sebahagian besarnya berlaku adalah 'auta' temberang kosong atau omong kosong.

Kerana apa yang disebut sebagai merenung nasib atau tengok nasib sehingga dapat memberitahu perihal masa hadapan seseorang, hendak jadi baik atau buruk, hendak kekal bahagia hingga ke akhir hayat atau bergaduh di pertengahan jalan.

Itu semua adalah perkara-perkara ghaib. Tiada manusia mengetahuinya melainkan Allah SWT sahaja Yang Maha Mengetahui.

Perihal perkahwinan, patut kita berpandu kepada ajaran Islam, bukan dengan kata-kata seperti persoalan anda di atas,ataupun kata mana-mana orang yang berpandu kepada tilik meniliknya.

Rasulullah saw bersabda, hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hatim al-Muzani yang mafhumnya: "Apabila datang kepadamu (wali), pinangan ke atas orang di bawah jagaanmu daripada calon suami yang kamu berpuas hati (redha) agamanya dan akhlaqnya, maka hendaklah kamu mengahwinkannya. Sekiranya kamu tidak melakukannya, nescaya akan mengundang fitnah (sesuatu yang buruk) dan mengundang kerosakan yang banyak (lebar) dibumi Allah." (Riwayat at-Tirmidzi).

Hadis di atas jelas memberitahu kita bahawa perkahwinan tidak dirujuk kepada firasat, tenung, makrifat atau 'nujum pak belalang'.

Yang menjadi fokus utama ialah komitmen keagamaan dan akhlaq yang terpuji. Jika kedua-dua ini jelas nyata, maka kahwinlah.

Rasulullah saw tidak pernah sekalipun dalam hidupnya, tatkala hendak mengahwinkan puteri-puteri baginda atau mengahwinkan anak-anak para sahabat, tidak sesekali dengan mengira nama bakal pengantin yang dicampurkan dengan 'bin' ibu mereka.

Dalam masyarakat Islam yang dipimpin oleh Rasulullah saw dahulu, ada satu peristiwa perancangan pernikahan yang Nabi saw tidak merestuinya, bukan kerana firasat atau tenung nasib, tetapi kerana fakta fizikal yang jelas.

Senario ketika itu berlaku dimana seorang perempuan bernama Fatimah binti Qais meminta nasihat baginda tentang dua orang calon suaminya, mana satu baginda hendak pilihkan sebagai suaminya. Seorang bernama Abu Jahm dan seorang lagi bernama Muawiyah.

Mendengar dua nama sahabat itu, Rasulullah saw tidak mengira atau menghitung nama mereka atau nama ibu mereka. Malah baginda tidak membuat sebarang perhitungan kerana baginda mengenali mereka berdua.

Nabi saw menasihatkan Fatimah binti Qais: "Usah berkahwin dengan Abu Jahm, kerana beliau selalu sangat mengembara dengan meninggalkan rumahnya. Dan, jangan pula berkahwin dengan Muawiyah kerana dia tidak mempunyai harta, tetapi berkahwinlah dengan Usamah bin Zaid, kerana dia lebih baik daripada kedua-duanya." Akhirnya Fatimah berkahwin dengan Usamah dan bahagialah mereka sepanjang hayat.

Apa yang bapa saudara anda lakukan itu, saya tidak mengetahui apa asas perbuatannya. Tetapi natijah daripada perhitungannya itu, dia seolah-olah mengetahui masa hadapan anda.

Amalan seperti itu menyamai amalan merenung nasib dan mendakwa dia mengetahui sesuatu yang ghaib, hal sedemikian tidak benar dan tidak mungkin benar. Firman Allah SWT (mafhum-Nya): "Tuhan sahajalah yang mengetahui segala yang ghaib, maka Dia tidak memberitahu perkara ghaib yang diketahui-Nya itu kepada sesiapa pun.
Melainkan kepada mana-mana Rasul yang diredhai-Nya (untuk mengetahui sebahagian daripada perkara ghaib yang berkaitan dengan tugasnya; apabila Tuhan hendak melakukan yang demikian) maka Dia mengadakan di hadapan dan di belakang Rasul itu malaikat-malaikat yang menjaga dan mengawasnya (sehingga perkara ghaib itu selamat sampai kepada yang berkenaan)." (al-Jinn: 26-27).

Daripada `Imran bin Husain ra. katanya, Nabi saw pernah bersabda (mafhumnya): "Bukan daripada golonganku (bukan umatku) sesiapa yang membuat ramalan perkara ghaib, atau orang yang meminta nasibnya diramalkan." (Riwayat dari al-Bazzaj dengan sanadnya yang kuat - jayyid).

Banyak lagi hadis yang seperti ini. Iaitu Rasulullah saw melarang umatnya merenung nasib atau memberitahu orang mengenai perkara ghaib.

Itu semua adalah kerja Allah SWT, kita hanya berpandu kepada fakta-fakta zahir, sama ada sesuai atau tidak sesuatu perkahwinan berdasarkan kepada fakta yang ada di hadapan kita.

Fakta sebenar adalah komitmen keagamaan dan kemuliaan akhlaq sebagaimana hadis baginda (mafhumnya): "Pilihlah orang yang komitmen keagamaannya, kamu pasti akan mendapat keberuntungan." Wallahua`lam bissawab.

Sumber: Bersama Dato Dr Harun Din