Sahabat Sejati

Friday, 3 December 2010

Tidak sembuh kerana dimakan sumpah?

Soalan:

Ada seorang di tempat kami suka sangat bersumpah, hampir tiap-tiap hari ada sahaja sumpahnya. Baru-baru ini dia sakit, diubati macam-macam cara tak sembuh-sembuh. Ada orang kata itulah suka sangat bersumpah dan sekarang ini dimakan sumpah. Orang yang dimakan sumpah atau disumpah dek sumpahnya tidak akan sembuh sakitnya selama-lamanya, betulkah begitu Dato`?

Jawapan:

Bersumpah atau (al-Yamin) adalah satu perbuatan yang disyariatkan. Boleh bersumpah kerana untuk kuatkan sesuatu dakwaan, kadang-kadang dituntut atau dipastikan seseorang itu bersumpah lebih-lebih lagi dimahkamah dalam kes-kes dikendalikan ada yang menuduh dan kemukakan bukti sedangkan yang kena tuduh tiada bukti dan kalau dia hendak nafikan tuduhan ke atasnya, maka dia diminta bersumpah.

Sumpah itu adalah bukti, dan terpulang sama ada kadhi atau hakim mahu terima atau menolaknya. Sumpah bukan boleh dimudah-mudahkan atau disengajakan tanpa ada keperluan, perlu diingat bahawa sumpah yang sebenar adalah menggunakan nama Allah.

Elokkah nama Allah untuk digunakan atau untuk dimainkan atau berbohong atau untuk dimainkan nama tersebut untuk sedap mulut berkata-kata, kerana itu Allah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 224 yang bermaksud: "Dan janganlah kamu jadikan Allah (nama Allah) dalam sumpah kamu sebagai benteng yang menghalangi kamu daripada berbuat baik dan bertaqwa serta mendamaikan perbalahan antara sesama manusia, ingatlah Allah Maha Mendengar lagi Maha mengetahui."

Sumpah yang terkeluar dari mulut yang tidak disengajakan atau tidak dimaksudkan bersumpah atau sumpah main-main atau terlajak tidak sengaja ia tidak mengapa, Allah akan memaafkan, diasaskan kepada ayat 225 surah al-Baqarah yang bermaksud: "Allah tidak mengira kamu bersalah disebabkan sumpah kamu yang tidak dimaksudkan untuk bersumpah, tetapi Dia mengira kamu bersalah dan dikenakan hukuman disebabkan sumpah yang disengajakan oleh hati kamu dengan niat bersumpah, ingatlah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyantun."

Adapun masalah dimakan sumpah atau sumpah makan diri, tidak tahulah saya benar atau tidak. Itu adalah perkara ghaib yang mungkin berlaku atau tidak. Tetapi yang nyata saya tidak pernah bertemu dengan nas syarak ada orang sakit dimakan sumpahnya, sakit tak sembuh. Yang anda imbas-imbas dengannya ialah perbuatan dosa seseorang itu mengundang padah, atau mungkin banyak sangat bermain dengan sumpah, atau sengaja main-main nama Allah dan sengaja mempergunakannya untuk berbohong atau kalau nak syok sendiri itu adalah mendatangkan dosa. Kalau dosa sudah banyak maka adalah balasan daripada Allah.

Dalam surah Ali-Imraan ayat 11 firman Allah yang bermaksud: "Lalu Kami ambil tindakan ke atas mereka, angkara dosa-dosa mereka (hingga membinasakan mereka) disebabkan dosa-dosa mereka, ingatlah Allah maha berat seksaan-Nya."

Dan dalam ayat lain, surah al-Ankabut ayat 40 Allah berfirman yang bermaksud: "Maka masing-masing daripada kamu akan menjatuhkan hukuman ke atas mereka hingga ada yang dibinasakan dengan dosa mereka."

Dan banyak lagi ayat yang membawa makna bahawa angkara dosa manusia di atas dunia ini Allah akan turunkan azab sengsara ke atas mereka sehingga ada kampung halaman dimusnahkan, nyawa dan harta benda mereka melayang dan dimusnahkan. Ini untuk menyedarkan manusia yang boleh mengambil iktibar daripada peristiwa itu. Mungkin kerana itulah ada orang yang mengaitkan ada orang dimakan sumpah sakit tak sembuh.

Penyakit boleh berlaku di alam manusia bukan semestinya kerana dosa dan sumpah tetapi Allah mengkehendaki berlaku demikian, walau apa pun eloklah sumpah jangan dimudah-mudahkan atau dimainkan, kerana Allah tidak suka namanya dimain-mainkan. Wallahua`lam.

Sumber: Bersama Dato' Dr Haron Din
Harakah bil 1579

Wednesday, 1 December 2010

Mari kita berfikir


Ahh, jam sudah pun menunjukkan pukul 2.15 pagi.

Sudah dinihari rupanya, patutlah sesekali ada kokokan ayam. Tapi mata belum mengantuk lagi, Nak buat apa ye? Ha! jom bersama saya kita berfikir sejenak, kita berfikir tentang sesuatu. Insya-Allah kita berfikir sesuatu yang boleh memberi kebaikan kepada kita. Penting sangat ke berfikir?

Sebenarnya Allah SWT yang menyuruh kita berfikir dan memerhati, begitu juga al-Quran diturunkan kepada manusia untuk difikir dan direnung isi kandungannya.

Firman Allah SWT:

"Inilah kitab al-Quran yang Kami turunkan kepadamu penuh mengandungi keberkatan agar kamu memperhatikan ayat-ayatnya dan supaya orang-orang yang berfikir dapat mengambil iktibar." (Surah Shod: 29).

Memerhati dan berfikir

Untuk berfikir tidak perlu kita menyendiri atau berkurung di ruangan yang sunyi, tidak perlu kita memencilkan diri dari orang ramai. Tidak perlu memegang kepala dengan kedua tapak tangan atau menelungkupkan muka pada kedua belah lutut. Apa yang penting keinginan kita untuk berfikir dan memerhati.

Di dalam al-Quran, Allah SWT menyebut tentang orang yang berfikir, merenung dan akhirnya memperolehi kebenaran. Dengan kebenaran yang diperolehi bertambah keimanan mereka dan menjadikan mereka semakin takut kepada Allah. Allah juga menceritakan orang yang tidak mahu berfikir dan hanya mengikuti golongan terdahulu membuta tuli, akhirnya mereka terbabas dari jalan yang benar. Betapa ruginya mereka.

Mari kita baca serba sedikit makna petikan ayat-ayat al-Quran ini dan memikirkannya. Mudah-mudahan dengan membacanya kita akan berasa tenang dan lebih mengerti tentang kehidupan kita ini. Sambil membaca kita hayati dan fikirkan maksud yang ingin disampaikan serta jadikannya panduan sepanjang kehidupan.

Allah SWT berfirman:

Katakanlah! "Kepunyaan siapakah bumi ini dan isinya, kalau kamu mengetahui?"

Mereka akan menjawab, Kepunyaan Allah." Katakanlah , "Mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?"

Katakanlah! "Siapakah Tuhan langit yang tujuh (lapis) dan Tuhan `Arsy yang besar?"

Mereka akan menjawab, "Semua itu kepunyaan Allah." Katakanlah, "Mengapa kamu tidak bertaqwa (mematuhi-Nya)?"

Katakanlah! "Ditangan siapakah terletak kekuasaan di atas segala sesuatu? Dia melindungi dan tidak dilindungi, jika kamu mengerti."

Mereka akan menjawab, "Semua kepunyaan Allah." Katakanlah, "Kalau demikian halnya, mengapa sampai kamu tertipu?"

Tetapi Kami telah memberikan kebenaran kepada mereka. Dan sesungguhnya merekalah orang-orang yang berdusta." (Surah al-Mukminuun: 84 - 90).

Ya, mengapa sampai kamu tertipu sedangkan sudah jelas keterangan yang diberi. Kerana kamu tidak mahu berfikir, kamu tidak mahu merenung. Lalu kamu termasuk orang-orang yang lalai dan orang-orang yang berdusta.

"Sesungguhnya kamu lalai (dahulu dari memikirkan) hal ini, lalu Kami bukakan tutup (mata) kamu, maka penglihatan mata kamu hari ini amat tajam." (Surah Qaf: 22).

Mahukah anda berfikir bersama saya...

Tuesday, 30 November 2010

Bicara sang ombak

Aku bertanya pada sang ombak,
Tidakkah jemu menghempas pantai,
Tidak kulihat dirimu berehat seketika,
Ku tunggu-tunggu jawapan sang ombak,
Bagai terngiang di telinga menyapa,
Deburanku ini zikir kepada-Nya.

Termanggu aku seketika,
Di redup petang hening nan damai,
Ku biarkan bayu lembut menerjah di pipi,
Ku biarkan deburanmu membingitkan telinga,
Kerna ku mengerti zikirmu pada-Nya.

Menyisihlah seketika dari kesibukan dunia,
Berehatlah sebentar dari kekalutan jiwa,
Cubalah mengerti bahasa sang ombak,
Wahai empunya diri dan pemilik mata hati,
Moga ianya menjadi setitis penawar,
Pengubat resah penghilang duka.

Tatkala azan berkumandang di senja sepi
Aku merenung menembusi diri,
Bersama langkah kuhayunkan kaki,
Meninggalkan pantai yang tak bertepi,
Aku bertanya mampukah bibirku jua berzikir,
Seperti ombak yang tidak jemu itu.

Sang kembara pun melangkah pulang,
Bersama secangkir hikmah dan pengajaran,
Moga esok masih ada senyuman,
Kerna aku ingin menyapa lagi sang ombak
Dan ku lihat ombak itu masih menghempas pantai...

abuikhwan
Kuantan, Pahang
29 November 2010
10:30 malam