Sahabat Sejati

Saturday, 30 October 2010

Tutuplah auratmu wahai wanita...


Kita perhatikan bagaimana 'trend' sesebuah organisasi, jabatan, malahan restoran hebat hari ini pasti meletakkan 'dress code' atau etika berpakaian tertentu bagi kakitangannya. Ianya pasti bertujuan untuk menjaga standard bagi organisasi tersebut. Contohnya, kita tidak akan dapat melihat individu yang berselipar jepun atau berkain pelikat di sebuah persidangan antarabangsa seperti PBB, WHO dan sebagainya. Semuanya menjaga standard.

Jika sesuatu organisasi mempunyai standard yang sedemikian, apatah lagi Islam yang merupakan satu agama dan cara hidup yang profesional, tentunya mempunyai standard yang lebih lengkap bagi mengatur kehidupan manusia. Islam tidak menolak fesyen kerana memang fitrah manusia untuk bergaya dan kelihatan menarik, tetapi garis panduan syarak perlu diletak di peringkat utama dalam semua keadaan. Dengan kreativiti pereka fesyen yang mempunyai roh Islam, pakaian wanita seperti jubah tetap menarik yang menepati urusan agama dan bersesuaian dengan era moden dan terkini.

Namun demikian terdapat juga kekeliruan dalam memahami erti menutup aurat. Di antaranya ialah:

1- Aurat dianggap memakai tudung sahaja.

2- Bertudung tetapi ber`T-shirt` berlengan pendek.

3- Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.

4- Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan- kawasan mudah `menggoda`.

5- Bertudung tetapi menayangkan jambul dan hujung rambutnya.

6- Bertudung tetapi hanya memakainya di sekitar pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.

7- Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.

8- Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

9- Bertudung tetapi menaiki motor sambil menayangkan betis sepanjang jalan.

Diriwayatkan dalam sebuah hadis:
"Allah sentiasa merahmati para wanita yang memakai seluar panjang (di sebelah dalamnya)." (Riwayat al-`Uqayli, Darul Qutni dari Abu Hurairah, Musannaf Abd Razak, no 5043; Kanzul Ummal, no 41245)

Menurut Imam Mujahid, hadis ini berlaku di satu ketika ada seorang wanita jatuh dari kenderaannya sehingga terselak kainnya di hadapan Nabi dan para sahabat, maka dengan segera Nabi saw memalingkan wajahnya, maka para sahabat berkata dia (wanita itu) memakai seluar. Lalu sebagai respon Rasulullah saw memuji dan menyebut hadis di atas. (Al-Bayan wa At-Ta`rif, Ibn Hamzah al-Husayni, 3/252, no 1831).

10-Bertudung dan sempurna penutupan aurat tubuhnya tetapi memanja-manjakan suaranya ketika berinteraksi dengan lelaki.

Firman Allah SWT:
"Janganlah perempuan-perempuan itu berlemah-lemah dengan perkataannya, sebab akan menaruh harapan orang yang dalam hatinya ada penyakit." (al-Ahzab:32)

Saturday, 23 October 2010

Hanya satu ngomelan


Jika dibuat perbandingan.

Umum mengetahui betapa bernilainya intan dan berlian, ianya dibungkus dengan kemas, diikat lalu disimpan di dalam peti besi terkunci rapi. Tidak cukup dengan itu, diupah pula pengawal keselamatan untuk menjaganya. Begitu juga dengan wanita. Wanita yang bermaruah tidak akan sewenang-wenangnya mempamerkan tubuhnya di khalayak ramai. Mereka tampil di khalayak ramai dengan menurut kehendak syarak.

Bilamana wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki yang bukan mahram, maka sesungguhnya dia telah menutup maruahnya dan maruah mukminat seluruhnya. Harga diri seorang wanita terlalu mahal harganya.

Firman Allah SWT:

“Wahai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isteri kamu, dan puteri-puteri kamu dan kepada wanita-wanita beriman hendaklah mereka menutup kepala dan melabuhkan tudung kepala hingga menutupi dada mereka. Semoga dengan ini mereka mudah dikenali (bahawa mereka adalah wanita-wanita yang mulia). Supaya mereka tidak akan diganggu (oleh lelaki-lelaki yang tidak sopan). Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab: 59).

Islam mengajar umatnya membentuk sifat-sifat menjaga kesucian bukan sahaja kesucian hati (iman)tetapi hingga pada cara umatnya berpakaian.

Berdasarkan nas al-Quran dan hadis amat jelas isu aurat bukanlah sesuatu yang kecil dan masalah remeh. Malah ia juga merupakan salah dosa utama yang diperjuangkan oleh syaitan. Kerana, dengan terbukanya aurat, ia boleh mencambahkan dosa-dosa lain seperti zina, bercerai suami isteri kerana curang, mengandungkan anak luar nikah, putusnya hubungan kekeluargaan membunuh anak luar nikah dan berbagai-bagai masalah lagi.

Perihal syaitan mensasarkan dosa ‘membuka aurat” ini sebagai agenda utamanya ada disebutkan dalam al-Quran yang bermaksud:

“Maka syaitan membisikkan fikiran jahat kepada keduanya agar menampakkan kepada mereka aurat yang tertutup...” (al-A`raaf: 20).
Sebagai pemimpin Islam sama ada ketua keluarga, ketua masyarakat apalagi ketua negara wajib membimbing rakyat agar menutup aurat dengan menunjukkan contoh dan tauladan.

Islamic Fashion Festival

Isu yang kecoh dan heboh ketika ini, baik di dalam blog, facebook maupun di kedai-kedai kopi. Dan saya sendiri pun mendapat info melalui facebook dan juga blog. Bermacam-macam reaksi yang dapat dilihat, ada yang menggesa penaungnya meminta maaf kepada seluruh umat Islam, ada juga yang membenarkannya dengan alasan yang berbagai-bagai.

Saya tidak bermaksud untuk mengulas panjang, kerana bagi saya telah cukup apa yang ditulis, ulasan dan pendapat. Rata-rata banyak di dalam blog.

Sekadar melontar satu pertanyaan, inikah yang dinamakan “Islamic fashion?” Tepuk dada tanya iman.

Sumber foto: Internet













Wednesday, 13 October 2010

Tanggungjawab bersama


“Dan orang-orang yang beriman lelaki dan perempuan, sebahagiannya menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang daripada berbuat kejahatan, dan mereka mendirikan solat dan memberi zakat serta taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu akan diberi rahamat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Bijaksana.” (at-Taubah: 71).

Realiti hari ini, kita melihat dan menyedari berbagai-bagai masalah yang melanda negara kita. Masalah moral seperti mat rempit, penagihan dadah, pembuangan bayi, zina, arak. Begitu juga masalah kenaikan harga barang, rasuah, pembunuhan tragis dan sebagainya. Kelihatan setiap hari semakin menanah dan membarah, sukar dibendung, selesai satu timbul sepuluh.

Apakah tindakan kita. Melihat sahaja sambil menggeleng kepala sambil mulut kita menghamburkan sumpah seranah kepada si pelaku.

“Patutnya orang macam ni elok dicampak ke kandang harimau je, atau kandang buaya. Diorang tu tak layak hidup dengan manusia.” Kata seorang ‘hakim’ yang tak bertauliah, senang.

“Aku kalau dapat orang yang buat kerja tu taulah nanti,aku kerat 24.” Kata pula seorang ‘penjual daging’ di pasar,nak mengerat aje.

Ada juga yang berkata, “ala.. polis kan ada, biarlah diorang siasat, nanti tak ada kerja pula.”

Benar, tetapi apa pula peranan kita. Sekadar itu sahaja?

Tanggungjawab

Adakah semua masalah ini dikira masalah tersisih atau terpinggir yang terpikul di atasa pundak sesetengah pihak sahaja. Sebenarnya setiap pihak ada peranan dan tanggungjawab masing-masing. Tanggungjawab orang alim (berilmu) adalah lebih besar dari tanggungjawab orang jahil, orang yang mempunyai kuasa lebih besar tanggungjawab dari orang yang tiada kuasa, yang berharta lebih besar tanggungjawab dari yang tidak berharta.

Jika rakyat biasa ada peranan sebagai rakyat biasa, jika pemimpin lebih luas dan besar lagi tanggungjawab yang terpikul, begitu juga kerajaan yang memerintah ada tugas dan tanggungjawab yang perlu di mainkan. Pendekata, semuanya ada peranan dan perlu memainkan peranan tersebut dengan bijak dan sebaiknya, tidak ada istilah lepas tangan dan itu kerja dia bukan kerja aku. Semuanya ada peranan mengikut kemampuan dan menurut ruang lingkup kekuasaan yang ada.

Rasulullah saw bersabda: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu semua akan ditanya atas apa yang kamu pimpin.”

Islam tidak meletakkan perbezaan untuk menjaga agama. Contohnya hanya mereka yang “golongan agama” sahaja yang bertanggungjawab pada agama, bahkan sesiapa yang mengaku Islam dan beriman bertanggungjawab terhadap agamanya. Umat Islam keseluruhannya bertanggungjawab mengaamalkan apa yang diperintahkan dan dalam masa yang sama bertanggungjawab melaksanakan amar makruf dan nahi mungkar, sebagaimana yang disebutkan di dalam surah at-Taubah ayat 71 di atas.

Peranan bersama

Satu kisah yang pernah diceritakan ketika belajar dahulu, dimana seorang pendengar telah berkata kepada seorang penceramah selepas ia berceramah: “Kamu telah berceramah selama 30 tahun, tetapi apa yang telah kamu lakukan???”

Penceramah tersebut menjawab, “kamu juga telah mendengar selama 30 tahun. Apa yang kamu telah lakukan???”

Masing-masing ada peranan. Inilah hakikatnya, baik seorang pendengar maupun yang bercakap, bertanggungjawab untuk mengubah dari percakapan atau apa yang didengar kepada amalan, walau siapa pun kita. Tidak perlu hanya menyalahkan di antara satu sama lain.

Namun demikian, tidak salah untuk menegur kepincangan dan kebobrokan yang berlaku seperti salahguna kuasa, rasuah, penyelewengan dan sebagainya kerana ia juga adalah satu tanggungjawab. Jika kesilapan tidak ditegur maka selamanya akan berada dalam kesilapan. Ini juga termasuk dalam perkara amar makruf nahi mungkar.

Marilah kita mengubah idea-idea di hujung lidah maupun di atas kertas menjadi realiti walau berbeza peranan dan tanggungjawab.