Sahabat Sejati

Thursday, 29 July 2010

Diam seketika

Dalam suasana yang penuh serabut ini, saya memerhatikan dunia sekeliling. Membuka mata dan fikiran tetapi mengunci kata-kata dari berbicara. Namun diam bukan diam seumpama menjeruk pekasam, tetapi diam mencari akal merawat rasa.

Seribu satu macam gawat. Mahu disebut satu persatu.... mat rempit, zina, buang anak, arak, judi.

Rasuah...
Penyelewengan...
ISA...

Kecelaruan pemikiran masyarakat hari ini semakin membarah. Lihat pula kegawatan yang berlaku di dalam diri, mana noktahnya. Yang tidak baik dilihat baik, yang tidak baik dilihat baik. Yang salah dianggap pejuang, yang benar itulah dianggap pengkhianat.

Gawatnya hari ini.

Sesaknya nafas memerhati semua yang berlaku, lalu saya jernihkan dengan merenung ungkapan mulia seorang Nabi:

Daripada Abu Hurairah r.a katanya: “Pada suatu masa ketika Rasulullah saw sedang berada di dalam satu majlis dan sedang bercakap-cakap dengan orang yang hadir, tiba-tiba datang seorang A`rabi (Arab Badwi) dan terus bertanya kepada Rasulullah saw, “Bilakah akan terjadinya hari kiamat?” Maka Nabi saw pun meneruskan percakapannya. Maka sebahagian yang hadir berkata, “Beliau (Nabi) mendengar apa yang ditanyakan,tetapi pertanyaan itu tidak disukainya.” Sementara yang lain pula berkata, “Bahkan beliau tidak mendengar pertanyaan itu.” Sehingga apabila Nabi saw selesai dari percakapannya beliau bersabda, “Dimana orang yang bertanya tentang hari kiamat itu tadi?” Lalu Arab Badwi itu menyahut, “Ya, saya wahai Rasulullah”. Naka Nabi saw bersabda, “Apabila amanah telah disia-siakan maka tunggulah hari kiamat.” Arab Badwi itu bertanya pula, “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?” Nabi saw menjawab, “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya, maka tunggulah kedatangan hari kiamat.” (Riwayat Bukhari).

Mengapa begini Malaysiaku yang tercinta....

Thursday, 22 July 2010

Allah ar-Razzaq


Satu fakta. Baca dan fikirkan.

Seekor ikan paus biru akan memakan sebanyak 2500 kg (2.5 tan) pada setiap kali makan. Jika ikan paus ini makan tiga kali sehari, bermakna ia akan memakan sebanyak 7500 kg (7.5 tan) sehari.

Jika seorang manusia makan sebanyak 1.5 kg setiap hari, sepanjang hidupnya selama 70 tahun, jumlah makanan yang dimakan oleh manusia hany alah menyamai jumlah makanan untuk 6 hari bagi ikan paus biru. Bayangkan betapa banyaknya makanan yang diperlukan oleh beribu-ribu ikan paus biru di lautan dan sedikitnya keperluan makanan kita di mana manusia telah menghabiskan sebahagian besar dari masa hidupnya berusaha mencari rezeki.

Maha Kuasa Allah yang telah memberi rezeki kepada makhluk-Nya yang begitu banyak di lautan, di daratan dan di mana-mana sahaja.

“Tidak ada sesuatu yang melata di muka bumi ini, melainkan ditanggung rezekinya oleh Allah. Dan Dia (Allah) mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya, semua itu tercatat di dalam kitab yang nyata.” (Hud: 6).

Betapa kerdilnya kita dan betapa berharapnya kita kepada Allah. Maha Suci Allah yang bersifat dengan sifat ar-Razzaq iaitu Maha Pemberi Rezeki. Banyak perkara di dunia ini yang dipermudahkan oleh Allah SWT untuk manusia agar digunakan dalam usahanya mencari rezeki. Oleh itu, jangan sesekali sampai kita lupa kepada Allah SWT apabila kita telah mendapat nikmat dari-Nya.

Friday, 16 July 2010

Jagalah lidah


Telah di riwayatkan di dalam sebuah hadith bahawa baginda saw bersabda, “sesiapa yang mengambil tanggungjawab untuk dua perkara bahawa dia tidak akan menyalahgunakan kedua-duanya, iaitu apa yang ada di antara dua bibir (yakni percakapan) dan apa yang di antara dua belah kaki (yakni kemaluan), maka aku jaminkan syurga baginya.”

Hadis yang lain menyatakan bahawa kebanyakan manusia akan masuk neraka kerana dua perkara ini. Sebuah hadis lagi menyatakan bahawa seseorang mengucap sesuatu perkataan hanya dengan tujuan manusia dapat kesempatan untuk ketawa sedikit dan gembira dengan lucunya, tetapi akibatnya ia dicampakkan jauh ke dalam neraka Jahannam seperti jauhnya langit dan bumi.

Hadrat Sufian Saqafi ra. telah bertanya kepada baginda Rasulullah saw, “perkara apakah yang baginda paling takut bagi umat tuan?” Baginda saw memegang lidahnya sendiri yang berkat lalu bersabda, “inilah.” (Misykat)

Disamping itu ada banyak lagi riwayat-riwayat yang menyatakan perkara ini dengan berbagai cara. Walhal kita sangat-sangat lalai daripadanya. Sesungguhnya manusia harus sedar supaya perkataan yang diucapkannya, walaupun tidak mendatangkan faedah apa-apa, sekurang-kurangnya tidak memerangkapnya dalam musibah dan bahaya.

Hadrat Sufian Thauri ra. adalah merupakan Imam hadis dan fiqh yang masyhur. Beliau berkata, “aku telah melakukan satu dosa yang akibatnya adalah selama lima bulan aku telah kehlangan taufik untuk sembahyang tahajjud.” Salah seorang telah bertanya. “Apakah dosa itu?” Beliau menjawab, “melihat salah seorang menangis, aku telah menyatakan kepada diri sendiri bahawa orang ini adalah mempunyai sifat riya` (yakni menunjuk-menunjukkan kepada manusia).” (Ihya`).

Itu adalah akibat bercakap sia-sia dengan dirinya sendiri. Walhal kita sentiasa meneruskan bercakap sia-sia akan perkataan yang lebih keras lagi mengenai orang lain secaraterang-terangan dan tanpa apa-apa alasan. Jika sekiranya ada permusuhan dengan sesiapa, maka kita tidak ragu-ragu untuk mengumpat dan membohonginya. Setiap kebaikannya di sisi kita menjadi sebagai keaiban dan setiap keaibannya menjadi keburukan yang terlalu besar, kemudian kita mengumumkannya.