Sahabat Sejati

Thursday, 27 May 2010

Sekadar renungan di tanah perkuburan


Kumail berkata, “Aku bersama-sama Ali ra. di dalam satu perjalanan. Beliau sampai di satu tempat yang tidak berpenghuni lalu beliau menghampiri sebuah kubur lalu berkata: “Wahai kamu penghuni kubur! Wahai kamu yang tinggal di kalangan orang-orang yang telah binasa! Wahai penghuni belukar lagi sunyi sepi! Betapa hal keadaanmu di dunia sebelah sana?” Beliau menyambung lagi: “Berita dari kami ialah bahawa segala apa yang telah kamu tinggalkan baik berupa harta dan kekayaan telah lama diagih-agihkan, anak-anakmu telah lama menjadi yatim, jandamu telah lama berkahwin semula. Sekarang beritahulah berita mengenaimu. “Beliau berpaling kepadaku: “Wahai Kumail! Jikalau mereka dapat berkata-kata, nescayalah mereka akan memberitahu kita bahawa perbekalan yang terbaik sekali untuk akhirat ialah taqwa. “Airmata mengalir tatkala beliau menambah kata-kata: “Wahai Kumail! Kubur adalah merupakan peti amalan, tetapi hanyalah disedari apabila seseorang itu meninggal dunia.”

Segala amalan kita sama ada baik atau buruk akan disimpan di dalam kubur. Dinyatakan dalam sebuah hadis bahawa seseorang itu akan menemui amalan-amalannya yang baik di kubur di dalam bentuk seorang yang menjadi teman setia yang bersahabat dan mententeramkan di sana.tetapi amalan-amalan buruknya menjadi sehodoh-hodoh makhluk yang akan mengeluarkan bau busuk, menambah lagi azabnya.

Suatu ketika Rasulullah saw bertanya kepada para sahabat: “Tahukah kamu hubungan antara kaum kerabat, harta dan amalan-amalan dengan diri kamu?”

Sahabat-sahabat pun menyatakan keinginan untuk mengetahuinya. Baginda bersabda:

“Ia dapat diumpamakan sebagai seorang yang mempunyai tiga saudara. Apabila dia hampir mati, dia pun memanggil salah seorang saudaranya lalu bertanya kepadanya: “Wahai saudaraku! Kamu maklum malapetaka yang menimpaku? Apakah pertolongan yang dapat kamu berikan pada saat ini?” Saudara itu menjawab: “Aku akan memanggil tabib untuk mengubatimu, dia akan memeriksa dan menjagamu. Apabila kamu mati, daku akan memandikan kamu, kafan dan membawa kamu ke kubur. Kemudian aku akan mendoakan kamu setelah dikebumikan. Saudara ini ialah sanak saudara dan kaum kerabat.”

Soalan yang sama ditanyakan kepada saudara yang kedua yang kemudian dijawab olehnya: “Daku akan sentiasa bersama-sama selagi hidupmu. Sebaik-baik sahaja kamu mati, maka daku akan berpindah kepada orang lain.” Saudara ini ialah harta dunianya. Dia menyoal pula saudaranya yang ketiga dengan soalan yang sama, kemudian di jawab:

“Daku tidak akan meninggalkanmu walau semasa kamu berada di dalam kubur, daku akan memberatkan timbanganmu di neraca apabila amalan-amalannya yang baik.”Sekarang beritahulah daku, saudara jenis yang manakah yang mendatangkan faedah yang lebih kepada orang tersebut?”

Sahabat-sahabat menjawab: “Ya Rasulullah! Saudara yang terakhir itulah yang paling bermanfaat kepadanya. Tidak ada keraguan mengenainya. Saudaranya yang dua lagi tidak mendatangkan apa-apa pertolongan.”

Thursday, 20 May 2010

15 Maksiat yang menurunkan bala

Daripada Ali bin Abi Talib ra. Rasulullah saw bersabda: “Apabila umatku telah membuat lima belas perkara, maka bala pasti akan turun kepada mereka, iaitu:

1. Apabila harta negara hanya beredar pada orang-orang tertentu.
2. Apabila amanah dijadikan sumber keuntungan
3. Zakat dijadikan hutang
4. Suami memperturutkan kehendak isteri
5. Anak derhaka terhadap ibunya
6. Sedangkan ia berbaik-baik dengan kawannya
7. Ia suka menjauhkan diri daripada ayahnya
8. Suara sudah ditinggikan di dalam masjid
9. Yang menjadi ketua satu kaum adalah orang yang terhina di antara mereka
10. Seseorang dimuliakan kerana ditakuti kejahatannya
11. Khamar (arak) sudah diminum di merata tempat
12. Kain sutera banyak dipakai (oleh kaum lelaki)
13. Para artis disanjung-sanjung
14. Muzik banyak dimainkan
15. Generasi akhir umat ini melaknat (menyalahkan) generasi pertama (sahabat)

Maka pada ketika itu hendaklah mereka menanti angin merah atau gempa bumi atau pun mereka akan dirobah menjadi makhluk lain.” (Tirmidzi).

Wednesday, 19 May 2010

Suka meniru


Semalam saya ke bandar kerana ada urusan penting. Setelah menyelesaikan beberapa urusan, sengaja saya masuk ke dalam sebuah pusat membeli belah. Hajat di hati membeli sedikit buah tangan untuk di bawa pulang.

Ramai juga pengunjung, maklumlah hari Sabtu. Kebanyakannya dikalangan remaja, budak sekolah. Apa yang menarik perhatian saya adalah 'dressing' dan penampilan mereka. Ada yang rambut terpacak, ada yang berseluar kecil di bawah. Ada juga yang koyak di lutut. Manakala yang perempuannya dengan baju ketat laksana sarung nangka. Menonjol apa yang tidak sepatutnya. Dengan dialog yang tidak sanggup kita dengar.

"Eh.. setan kau nak makan apa ha?"

"Gua nak makan mee gorenglah... babi."

Begitulah diantara dialog yang didengari. Terkejut rasanya.

Cerita zaman budak-budak

Melihat remaja kita yang suka meniru-niru budaya asing, teringat saya satu cerita yang pernah dikisahkan oleh seorang guru semasa sekolah rendah dahulu. Begini kisahnya.

Seekor kera berada di atas sepohon pokok. Ia ternampak seorang tukang gunting sedang menggunting rambut seorang budak di bawah pokok. Ia tertarik hati dan asyik melihat gelagat tukang gunting yang menggunakan gunting dan pisau cukur. Pekerjaan tukang gunting itu menarik perhatiannya sehinggalah selesai tukang gunting itu menggunting rambut budak tersebut.

Setelah selesai, tukang gunting itu pun beredar dari situ untuk makan. Dia meninggalkan perkakasnya di bawah pokok itu. Sang kera segera turun dari pokok untuk melihat gunting dan cukur yang digunakan oleh gunting tadi. Tergerak di hatinya untuk meniru perbuatan tukang gunting. Ia pun mengambil gunting lalu menggunting bulu/rambut di badan dan di kepalanya. Setelah itu ia mengambil pisau cukur pula. Cepat-cepat ia meraut bulu di badannya. Dalam kegopohannya pisau cukur itu memotong sebahagian hidungnya. Kera menjerit kesakitan. Darah bercucuran mengalir dari mukanya. Sang kera mula menyesal atas perbuatannya meniru perbuatan tukang gunting itu.

Berdasarkan kisah di atas kita mestilah mempunyai identiti sendiri. Jangan kita suka meniru budaya lain. Kerana sesuatu budaya itu tidak semestinya baik dan sesuai dengan keadaan kita. Lebih-lebih lagi jika meniru-niru perbuatan orang lain tanpa mengetahui baik dan buruknya.

Oleh itu marilah kita kembali kepada Islam yang lebih terang dan terserlah identitinya. Kita tidak perlu meniru budaya lain kerana Islam itu telah lengkap segalanya.

Maka berkatalah..."Islam adalah identitiku.. alhamdulillah."