Alhamdulillah, buku yang di'order' telah pun sampai. Terima kasih kepada pihak penghantar barang yang telah menjalankan khidmat cemerlangnya sehingga di hadapan pintu pagar.
Sukar untuk digambarkan perasaan ini. Sebagai peminat tegar sejarah, juga seorang yang suka membaca, ia adalah suatu yang amat mengujakan. Tentunya. Tidak sabar-sabar mahu membelek-belek lembarannya sehingga ke noktah yang terakhir, serta menyuap minda dengan isi yang terkandung di dalamnya.
Sejujurnya, kebelakangan ini saya amat kurang membeli buku. Tidak seperti dulu-dulu, saya akan pastikan setiap bulan ada buku baru yang dibawa masuk ke dalam rumah. Terutama lagi ketika fasa PKP serta PKPP tempohari, tiada buku yang dibeli.
Justeru, dengan keadaan yang sedikit longgar ini, saya akan cuba untuk istiqamah membeli buku setiap bulan samada secara atas talian ataupun dengan berkunjung ke kedai buku. Dan mudah-mudahan diri ini mempunyai banyak masa terluang dan dihindari sifat malas untuk membaca. Insya-Allah.
Ringkasnya, buku ini membongkar tentang kewujudan Laksamana Hang Tuah semasa zaman kegemilangan Empayar Melaka. Kajian ini telah dilakukan oleh dua orang penulis yang juga pensyarah di Universiti Putra Malaysia, di Okinawa dengan bantuan Kementerian Pendidikan Jepun.
Watak Hang Tuah merupakan seorang adiwira bangsa Melayu yang sudah sekian lama terpahat dalam hati budi orang melayu yang melambangkan keperwiraan, kesetiaan, keberanian, ketabahan, kebaktian dan kebijaksanaannya dalam memberi sumbang bakti kepada raja dan bangsanya.
Penulis buku ini telah ke Okinawa, Jepun untuk menjalankan kajian serta mendapatkan bukti sejarah yang tercatat dalam sebuah manuskrip Jepun yang dipanggil Rekidai Hoan. Dan lebih menarik lagi terdapat sebilah keris berukuran 22.1 cm dari ulu hingga hujung yang ditemui tanpa pemegang dan sarung, kerana bahagian-bahagian yang diperbuat daripada kayu rosak. Keris berlok 9 tersebut dijumpai diperkarangan Kuil Diraja Enkakuji Ryukyu berhampiran dengan istana Shunji abad ke-15 Pulau Ryukyu. Kini tersimpan dengan baik di Pusat Arkeologi Okinawa, Jepun.
"Bacalah dengan menyebut nama Tuhanmu yang telah menciptakan"
4 comments:
Terima Kasih atas perkongsian.
Baru teringat semula ada kajian ini semasa melihat senarai geran penyelidikan yang diberikan oleh suatu agency Jepun suatu masa dahulu.
Assalam moga ustaz n keluarga sihat sejahtera...buku sejarah ni mmg ralit dibaca...ustaz jangan lupa beli novel kak KELARAI IMPIAN tu ya tanda sokongan heh..heh..
Assalamualaikum ustaz dan family.
Saya pun suka sejarah tanah melayu dan sejarah pahlawan merangkap para ulamak nusantara, mendengar sejarah tanah melayu sekaligus sejarah islam membuahkan rasa kagum, sekaligus geram bila sejarah kegemilangan bangsa melayu sengaja diselewengkan..sehingga hilang jatidiri bangsa melayu yg sepatutnya hebat dan mendunia.
saya pun semakin hari semakin minat membaca aliran sebegini. seiring usia mungkin
Post a Comment