Sahabat Sejati

Tuesday, 21 September 2021

Jangan biarkan hati sekeras batu

foto hiasan ~ sumber

Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya di dalam jasad seseorang ada seketul daging, apabila baik daging itu maka baiklah seluruh anggota badan dan apabila rosak daging itu maka rosaklah seluruh anggota badan. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

Rasulullah saw menggambarkan bahawa fungsi hati secara maknawi, iaitu hati yang menentukan perjalanan hidup anak Adam di segenap perkara, hati juga yang memberi gambaran kehidupan sebenar untuk menjadi hamba Allah SWT. 

Sekiranya ia dimakmurkan dengan iman dan keyakinan, sudah tentu ia akan memandu seluruh anggota yang lain dengan penuh ketundukan dan kepatuhan dalam kebaikan. 

Namun, jika hati tidak diurus dan dirawat daripada kelalaian dan keingkaran yang bertapak di dalamnya, maka ia akan terputus hubungan dengan Allah SWT seumpama layang-layang yang terputus tali, terbang tanpa haluan. Akhirnya ia semakin menjauh. 

Al-Quran menggambarkan hati yang tidak dikawal lama-kelamaan akan menjadi keras sebagaimana kerasnya batu, bahkan lebih keras lagi. Ketika itu sukar untuk kebaikan masuk ke dalamnya. 

Firman Allah SWT: "Kemudian sesudah itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Sesungguhnya pada sebahagian batu-batu itu,terpancar dan mengalir air sungai daripadanya, dan ada pula di antaranya yang pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya, dan ada juga di antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah. Sedang Allah sekali-kali tidak lalai daripada apa sahaja yang kamu kerjakan.” (aL-Baqarah: 74) 

Syeikh an-Nasafi dalam tafsirnya, Madarik at-Tanzil, berkata: “Bahawa ia merupakan penerangan betapa kerasnya hati mereka berbanding batu. Kerana batu yang pejal tersebut boleh mengeluarkan air yang banyak, sedangkan hati akan menjadi gersang dan kering. Di samping itu, sebahagian batu gugur dari puncak gunung semata-mata kerana berasa takut dan gerun kepada Allah. Ia sentiasa mengikut fitrah Allah, sedangkan hati tidak tunduk dan patuh kepada segala yang diperintahkan.” 

Manakala Syeikh as-Sya’rawi pula menyebut di dalam tafsirnya: Kenapa Allah menyebut hati dan menyifatkannya dengan keras, di samping tidak menyebut berkenaan jiwa atau nafsu? Ini kerana hati merupakan tempat yang lembut, rahmat, kasih sayang dan lain-lain. Apabila kita mengisi hati kita dengan banyak zikrullah, nescaya ia memenuhi rahmat dan kasih sayang. 

Oleh itu, lembutkanlah hati untuk menerima segala kebaikan. 

Ibnu al-Qayyim rahimahullah mengatakan dalam kitabnya Bada’i al-Fawa’id [3/743], “Tatkala mata telah mengalami kekeringan disebabkan tidak pernah menangis kerana takut kepada Allah SWT, maka ketahuilah bahwa sesungguhnya keringnya mata itu adalah bersumber dari kerasnya hati. Hati yang paling jauh dari Allah adalah hati yang keras.” 

Ingatlah bahawa Allah SWT Maha Mengetahui atas setiap perbuatan kita dan kita pasti akan bertemu dengan-Nya pada hari kiamat nanti untuk dipertanggungjawabkan. Sedangkan di waktu itu kita amat berhajat dengan segala rahmat dan keampunan-Nya. 

Ya, kita semua amat berhajat kepada rahmat dan keampunan-Nya. Justeru, jangan sekali-kali melakukan perkara-perkara yang boleh menjadikan hati keras sehingga dibuang daripada mendapat rahmat Allah. Jika tidak kitalah yang akan menanggung penyesalan yang tidak terhingga. 

Ya Allah, lunakkanlah hati kami dengan mengingati-Mu dan bersyukur kepada-Mu… 

Anda mampu mengubahnya!!!

4 comments:

paridah said...

Assalammoa ustaz n fmli sht sjhtra didik hati agar luna seindah menyerap warna2 cantik nilai terpuji

Syazni Rahim said...

Terima kasih tuan atas ingatan

norhidana said...

terima kasih untuk ingatan ustaz...

Etuza said...

Subahanallah..terima kasih ingatan..

Post a Comment