Sahabat Sejati

Wednesday, 21 July 2021

Salam `Aidul Adha Mubarak 1442H


Assalamualaikum warahmatullah.

Selamat Hari Raya Aidiladha saya ucapkan kepada semua sahabat yang beragama Islam. Moga segala kepayahan serta pengorbanan yang kita hadapi dan harungi sekarang akan diganjari oleh Allah SWT dengan kebaikan di dunia dan akhirat. 

Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama. Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa. Kita perlu membuat perbandingan dengan apa yang pernah dilakukan oleh Nabi Ayyub as ketika diuji dengan penyakit, apabila menghadapinya dengan penuh kesabaran. 

Kita perlu menyedari betapa masa sihat dan senang itu lebih panjang berkali ganda daripada masa sakit dan bencana. Namun, ramai dalam kalangan manusia yang lupa akan masa sihat yang panjang untuk bersyukur, sehingga lupa untuk bersabar ketika susah dalam masa yang lebih singkat. 

Rasulullah saw meminta supaya kita sentiasa bersyukur apabila senang dan sihat supaya mendapat kelebihan dalam semua keadaan, serta bersabar apabila menghadapi kesusahan dan bencana. Di samping itu, mendapat kelebihan apabila berikhtiar dengan ilmu dan akal yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Sabdanya Rasulullah saw:

 ‌عَجَبًا ‌لِلْمُؤْمِنِ، ‌لَا ‌يَقْضِي ‌اللَّهُ ‌لَهُ ‌قَضَاءً ‌إِلَّا ‌كَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌إِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌ضَرَّاء ‌صَبَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ، ‌وَإِنْ ‌أَصَابَتْهُ ‌سَرَّاء ‌شَكَرَ ‌فَكَانَ ‌خَيْرًا ‌لَهُ. 

“Sungguh mengagumkan bagi seseorang yang beriman. Tiadalah ujian yang Allah timpakan kepadanya melainkan memberi kebaikan (pahala) kepadanya. Sekiranya dia mendapat kebaikan, dia bersyukur, maka itu kebaikan baginya. Sekiranya ditimpa ke atasnya perkara yang menyusahkannya, lalu dia bersabar, maka kebaikan baginya.” (Riwayat Muslim 2999) 

Sama-sama kita mengutip ibrah melalui peristiwa korban agar dapat menanam sikap sedia berjuang dan berkorban demi kepentingan Islam.

Allahu al-Musta`an.

1 comments:

paridah said...

Assalam moga ustaz n famili sht sjhtra..salam aidiladha maaf zahir batin

Post a Comment