Sahabat Sejati

Sunday, 23 October 2016

Alhamdulillah, selesai satu perkara...

Alhamdulillah, selesai juga kerja-kerja mencetak, meng’laminate’ dan seterusnya membuat penghantaran melalui perkhidmatan pos sijil-sijil peserta korban dan aqiqah pada tahun ini. Penat. Cukup penat, walaupun dilakukan bersama beberapa orang rakan. Mana tidaknya, sijil-sijil peserta korban dan aqiqah sebanyak lebih 500 keping perlu dimasukkan terlebih dahulu datanya sebelum dicetak. Kemudian di'laminate' sebelum dipos bersama dengan risalah yang mengandungi  gambar-gambar semasa program dilakukan.

Termasuk juga sijil-sijil bagi peserta yang membuat badal haji baru-baru ini. Bezanya, sijil peserta badal haji dihantar 'by hand' oleh wakil-wakil bertugas, kerana ia turut disertakan dengan sedikit buah tangan seperti air zam zam, tamar, sejadah dan sebagainya. Program korban dan aqiqah serta badal haji ini semuanya di bawah pengurusan NGO kami, Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang.

Dek kerana kesibukan inilah menyebabkan kebelakangan ini saya jarang dapat meng’update’ blog abuikhwan, serta jarang dapat berkunjung ke blog sahabat-sahabat. Saya keresahan dek kerana itu. Sememangnya. Anda akan dikunjungi dan anda akan mengecewakan jika gagal memberikan yang baru kepada pengunjung yang 'klik' ke blog anda. Begitu juga anda mengecewakan jika gagal membalas kunjungan sahabat-sahabat yang baik hati datang ke blog anda.

Demikianlah di antara keresahan saya...   

Ibadah korban dan aqiqah pada tahun ini meliputi empat tempat iaitu Sudan, Sri Lanka, India dan pedalaman Sabah. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar. Tahun lepas, sahabat saya yang menguruskan pelaksanaan ibadah tersebut di India mengalami kecederaan. Tangannya patah akibat dilempar batu oleh seekor gajah. Agaknya gajah tersebut mahu bergurau, tetapi yalah bergurau tidak kena 'gu'.

Peristiwa tersebut berlaku sehari sebelum dia dan rombongan yang menguruskan misi korban dan aqiqah pulang ke Malaysia. Kasihan, tetapi lucu juga tatkala dia bercerita detik-detik yang berlaku. Ketika sedang bergambar di satu tempat, tiba-tiba salah seekor gajah yang berada di belakang melempar seketul batu ke arah mereka. Besarnya lebih kurang buah kelapa. Menurutnya lagi, mujur dia sempat mengelak, lalu terjatuh dan batu tersebut terkena tangan. Jika tidak sempat mengelak, pasti kepalanya yang menjadi tempat batu tersebut singgah. 

Apa pun, semua itu adalah asam garam dalam melakukan kerja-kerja misi kemanusiaan dan kebajikan. Belum termasuk sahabat-sahabat yang menyertai misi bantuan kemanusiaan di Pakistan, Aghanistan, Ghazzah, Aceh, Filipina dan lain-lain. Semuanya ada 1001 satu kisah dan pengalaman yang tidak dicatat, melainkan diriwayatkan dari mulut ke mulut tatkala bersembang ketika 'mengetea' di kedai.       

4 comments:

Nor Azimah Ali said...

Alhamduillah...lega kan:)

paridah said...

Assalam moga ustaz sht sjhtra sekeluarga...wah sudah selesai semua urusan penting bolehlah tarik nafas lega.

Normala Saad said...

Salam. Seronok dengar orang buat kerja sukarela begini...beramal pada orang-orang yang sepatutnya....

saniahibrahim said...

Assalamualaikum ustaz...kagum dengan semangat kawan2 ustaz menghadapi cabaran dalam misi kemanusiaan .
Alhamdullilah dah pun selesai...
Takpe kami faham kesibukan ustaz tanpa kunjung balas .

Post a Comment