Sunday, 30 November 2025

Sarapan Nostalgia di Bandaraya Lestari

 

Usai menghantar anak ke terminal bas untuk pulang ke UiTM, kami sekeluarga tidak terus balik. Hati terasa sayang hendak berpisah begitu sahaja dengan pagi yang masih muda. 

Jadi, kami ambil keputusan untuk berjalan-jalan seketika di bandaraya Kuantan. Perut pun kebetulan sudah mula berbunyi minta diisi. Tanpa banyak fikir, kami singgah di Restoran Selera Padang di hadapan Jalan Mahkota, sebuah tempat yang sudah lama saya suka. 

foto Google

foto Google

foto Google

Bukan sekadar kerana makanannya, tapi kerana vibe klasiknya yang mengundang kenangan. Ruang dalamannya dihiasi dengan barang-barang lama, radio kayu, pinggan lama, gambar hitam putih, seolah membawa kita pulang ke zaman dulu yang penuh sederhana. 

Pagi itu, saya dan si Haikal 'yang istimewa' memilih lempeng, manakala Ummu Ikhwan dan angah Irsalina  memilih lontong sebagai teman santapan. 

Harumnya lempeng panas yang baru diangkat dari kuali, lembut disuap dengan sambal tumis bilis, benar-benar menyentuh jiwa yang rindu suasana kampung. 

foto Google

foto Google

Sambil menikmati sarapan, saya termenung sejenak, betapa indahnya detik kecil seperti ini. Sekadar duduk bersama keluarga, berkongsi cerita dan tawa, di sebuah restoran klasik di tengah bandar yang perlahan-lahan sibuk dengan kehidupan. 

Kadang-kadang, kebahagiaan itu tidak perlu dicari jauh. Ia ada di depan mata, di dalam secawan minuman dan sepinggan lempeng di pagi yang damai.

Saturday, 29 November 2025

Rutin bila tiba musim tengkujuh


Setiap kali masuk penghujung tahun, ada satu rutin yang sudah sebati dalam hidup kami, membuka bilik operasi bantuan banjir di bawah Khidmat Malaysia peringkat parlimen. 

Saat ramai mula merancang cuti akhir tahun, kami pula mula merancang gerakerja. Menyusun pasukan, menyediakan logistik, memantau paras air, dan memastikan setiap relawan tahu peranan masing-masing. 

 Merekod data mangsa banjir yang berpindah

Bila laporan air mula naik di mana-mana lokasi, suasana terus berubah. Telefon tak berhenti berbunyi, laporan masuk bertubi-tubi, dan kami bersiap siaga. Di bilik operasi, masa benar-benar menjadi emas. 

Kami menerima maklumat dan merekod, serta membuat analisis pantas, bantuan apa yang perlu dihantar, ke mana, dan siapa yang paling kritikal. 

Para relawan turun ke lapangan apabila ada ada mangsa banjir yang memerlukan. Membantu kerja-kerja pemindahan, mengangkat barang dan sebagainya. 

Operasi Clean & Clear (C&C)

Manakala selepas air surut, waktu itu bermulalah operasi C&C (Clean & Clear), membantu mangsa yang kembali ke rumah, membersihkan lumpur, membuang barangan rosak, dan mengembalikan sedikit ketenangan dalam kekacauan. 

2024 - Dapur Rakyat di Terengganu

Pada masa sama, Dapur Rakyat akan dibuka. Asap mula mengepul, aroma masakan memenuhi ruang, dan pek demi pek makanan panas dihantar ke kepada relawan yang membersihkan rumah serta mangsa yang masih terkesan. 

Setiap tahun, rutin ini mengajar kami satu perkara: Kemanusiaan tidak pernah letih, selagi kita tidak berhenti berbuat baik. 

Dan di tengah hiruk-pikuk banjir, kami belajar bahawa tangan yang membantu sering lebih kuat dari air yang menghanyutkan. 

2024 - Dapur Rakyat di Kedah

Friday, 28 November 2025

Salam Jumaat: Apabila kamu merasa sempit dengan dunia..

foto hiasan ~ sumber

Kadang-kadang dunia terasa sempit.
Masalah datang bertimpa-timpa, seolah-olah seluruh langit runtuh di atas pundak kita. Dalam saat begitu, jiwa mudah berbisik, “Wahai Tuhan.. betapa besarnya masalah yang aku tanggung.” 

Tetapi cuba tukarkan bisikan itu. Hadapkan diri kepada ujian dengan hati yang lebih gagah: “Wahai masalah, aku punya Tuhan yang Maha Besar.” 

Di situ, langkah kita menjadi lebih ringan. Di situ, kita ingat bahawa setiap kesulitan tidak datang untuk menenggelamkan, tetapi untuk mendekatkan. 

Dan di situ jugalah kita sedar bahawa kekuatan sebenar bukan terletak pada besar atau kecilnya ujian, tetapi pada sejauh mana kita kembali kepada Dia. 

Teruskan melangkah, walau perlahan, kerana Tuhan yang Maha Besar sedang 'memegang tanganmu'.

Allahu al-Musta`an.. 

Thursday, 27 November 2025

Lain yang disuruh, lain yang dibuat, tapi menang.. terima kasih cikgu Etuza


Hadiah contest “teka bilangan telur ayam di usia muda” daripada cikgu Etuza akhirnya selamat sampai ke tangan saya. Seperti biasa, terima kasih yang tak terhingga kepada encik kurier yang sentiasa setia menghantar sampai ke pintu pagar. Jasamu tetap dalam ingatan! 

Alhamdulillah, saya memberikan jawapan 6, dan menurut penganjur, ya, itu jawapan yang tepat. Yang kelakarnya.. rupa-rupanya saya terkeliru! Sepatutnya dikira telur warna jingga, tapi saya pula kira yang warna coklat. Kebetulan pula ada enam biji. Tulah.. kalau dah rezeki, memang tak ke mana. 😅

Saya hanya sedar kesilapan itu bila cikgu Etuza memuat naik foto jawapan di blognya. Terus saya tepuk dahi sambil ketawa sendiri, lain yang disuruh, lain yang saya buat, tapi entah macam mana tetap kena tepat. 

Apa pun, terima kasih banyak kepada cikgu Etuza. Jazakallahu khairan jaza’. Moga Allah limpahkan kesihatan, rezeki dan kebaikan buat cikgu dan seisi keluarga. 

Syukur.. hadiah kecil, tapi bahagianya besar.

**moga saya direzekikan bertemu dengan sahabat yang baik ini. 

Pesona Etuza Klik

Tuesday, 25 November 2025

Bicara santai: Jalan-jalan bawa keluarga

Tunggu order sampai

Petang Ahad, Ummu Ikhwan ajak keluar jalan-jalan di Bandaraya Kuantan jolokan Bandaraya Lestari. 

Tak sempat fikir apa-apa, saya terus setuju saja. Anak-anak pun mengangguk laju, lagipun anak yang di UITM ada balik. 

Langit petang itu kelabu, hujan renyai berkabus ketika kami keluar. 

Lama juga tak masuk mall, maka masuklah ECM dan KCM. Sekadar cuci mata, tengok orang, anak-anak pula beli Big Apple dan Happy Potato. 

Original Sup Gear Box di Serambi Teruntum ~ sumber foto

Sebelum balik, seperti biasa isi perut dulu. Kami singgah ke Serambi Teruntum untuk makan. Di situlah letaknya Key Original Sup Gear Box, bersebelahan dengan Lemang Aki dan beberapa kedai lain. 

Tapi tiba-tiba kami perasan sesuatu.. Rupanya sedang berlangsung Great British Circus di kawasan itu. Ada tersergam khemah besar dengan dua ekor kurita, iringan muzik dan suara bising yang memanggil-manggil. 

Patutlah banyak kenderaan parking di luar, tapi orangnya tak kelihatan. Hairan juga, kemana perginya rakyat jelata. Rupanya nengok sarkas. 

Cuma kami tak masuk pun. Tak berminat sangat. 

Kalau nak tengok haiwan, baik pergi zoo, lebih berbaloi dan lebih rasa “hidup”. 

Walaupun dengan keadaan cuaca yang kurang baik, petang kami tetap manis. Kadang-kadang yang penting bukan destinasi, tetapi masa bersama,  jalan perlahan, makan sama-sama, dan rasa tenang melihat keluarga tersenyum.

Monday, 24 November 2025

InsyaAllah, tahun ketiga jadi "Geng Sedut Darah'

Medal gangsa 'ADIWIRA PAHANG' daripada HTAA untuk penderma darah kali ke 48. Sahabat saya punya, bukan saya

“HTAA dah bagi tarikh kosong untuk derma darah Ramadan nanti..”
ujar seorang sahabat saya, pagi tadi. 

Seperti tahun-tahun sebelumnya, pihak Unit Tabung Darah HTAA menghantar senarai tarikh kosong kepada kami untuk ditawarkan kepada masjid-masjid yang berminat menjadi tuan rumah. Bagi Ramadan tahun 2026 nanti, ada 10 tarikh semuanya, cukup untuk kami susun satu perjalanan kecil sepanjang Ramadan nanti. 

2025 - Di MTBZ

Ramadan yang bakal tiba ini menandakan masuk tahun ketiga kami di Yayasan Amal Malaysia berkolaborasi dengan HTAA dan masjid-masjid sekitar Kuantan dalam kempen derma darah Ramadan. Dan ya.. ini juga tahun ketiga saya officially menyertai Geng “Sedut Darah”, nama manja kami bagi memudahkan cerita. 

Selalunya, bukan sahaja masjid di sekitar Kuantan yang berminat. Ada juga satu dua masjid dari daerah lain yang akan menghantar permohonan untuk turut serta menjadi tuan rumah. Bila semangat rakyat Malaysia untuk beramal bertemu dengan Ramadan, memang cepat saja jadual penuh. 

2025 - Di MTAA

Kempen Derma Darah Ramadan ini salah satu ikhtiar kecil kami membantu pihak Unit Tabung Darah HTAA menampung bekalan darah yang sering kritikal, terutama bila tiba musim perayaan. Ramai yang bercuti, banyak kes kecemasan, dan keperluan darah meningkat. 

Jadi, apa yang kami buat ini mungkin nampak sederhana.. tapi besar maknanya untuk mereka yang memerlukan. 

2025 - Di MSAS

Setiap Ramadan, selain ibadah dan amal peribadi, kami harap usaha kecil ini menjadi sebab lebih ramai orang dapat diselamatkan. Semoga tahun ketiga ini lebih lancar, lebih meriah, dan lebih banyak pahala yang mengalir untuk semua yang terlibat.

** Kempen derma darah ini diadakan pada sebelah malam. Tahun lalu 8 buah masjid di daerah Kuantan dan 1 di Temerloh.  

Sunday, 23 November 2025

Entah berapa kali ulang, puluhan mungkin..

Terbitan 1985

Baru sahaja saya menutup halaman terakhir sebuah buku yang sangat dekat di hati "Jatuhnya Kubu di Jerampai", novel sejarah lama terbitan Dewan Bahasa & Pustaka, cetakan pertama tahun 1985, tulisan Arman Sani. 

Entah kali ke berapa saya membacanya. Puluhan kali mungkin. Setiap kali habis, saya tetap rasa seolah-olah baru pertama kali mengenali watak-wataknya. 

Saya mula membaca buku ini sewaktu di perpustakaan sekolah rendah. Ketika itu, dunia saya tidak luas.. tapi buku-buku seperti inilah yang membuka pintu sejarah, membenarkan saya melangkah ke belantara Pahang abad ke-19 tanpa bergerak dari meja kayu di perpustakaan lama itu. 

Kisah dua jejaka yang menjadi penganiayaan Inggeris, Seisi kampung diusir ke pedalaman, keluarga menderita. Pasukan Inggeris tidak henti-henti mengacau, membunuh rakyat dan memusnahkan harta benda. Kemarahan itu menyatukan mereka dengan Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Nama-nama besar yang membakar semangat tanah air. 

Setiap halaman seperti membawa saya berjalan bersama mereka, merasakan debu, peluh, dan nyawa yang dipertaruhkan demi maruah bangsa. 

Bab akhir

Halaman terakhir (muka surat 123).. ah, sampai sekarang masih membuat saya hampir menitis air mata. Ada novel yang kita baca untuk hiburan, dan ada yang kita baca untuk mengenang. Yang ini.. jatuh dalam kategori kedua. 

Di usia sekarang, saya mula kembali mencari buku-buku lama yang pernah mewarnai zaman kanak-kanak dan remaja saya. Judul-judul yang pernah saya baca sambil duduk bersila di lantai koridor luar kelas, atau sambil tunggu loceng balik sekolah. 

Tapi, mencari buku lama bukan kerja mudah. Nasib baik sekarang ada internet. Walaupun harga ada yang mencanak, biasalah barang koleksi, tetapi kadang-kadang jumpa juga penjual yang baik hati, dan harga pun jadi mesra poket. 

Alhamdulillah, banyak juga buku lama yang sudah berjaya saya kumpulkan semula. Namun, masih banyak judul yang sedang saya buru. Doakan saya berjaya mengumpul semuanya ya. 

Lepas ni.. buku mana pula yang akan saya baca? Tunggu dulu. Nanti saya kongsi.

Saturday, 22 November 2025

Brisk walk pagi ini, mendung..

'trek tak berapa panjang, dapatlah 10 pusingan'

Pagi ini langit mendung, tapi hati tetap cerah. Saya dan Ummu Ikhwan keluar awal, menghirup udara segar di trek baharu yang masih belum benar-benar dikenali ramai. 

Kami brisk walk perlahan-lahan, cukup untuk memanaskan badan dan menyegarkan fikiran. Sepuluh pusingan terasa begitu cepat berlalu, mungkin sebab treknya tidak terlalu panjang, atau mungkin juga kerana sembang-sembang kecil bersama peneman yang paling memahami membuat langkah terasa lebih ringan. 

Di sekeliling, ramai juga yang sudah memulakan rutin. Ada yang berjalan laju seperti kami, ada yang berlari mengejar waktu, dan ada yang hanya menikmati suasana pagi yang redup. Sesekali terdengar bunyi tapak kasut berirama, berselang-seli dengan desiran angin yang lembut menyapa. 

Walaupun mendung, pagi ini tetap punya seri. Kadang-kadang, kebahagiaan itu cuma perlu beberapa langkah.. dan seseorang di sisi untuk berkongsi perjalanan. 

'mendung '

Friday, 21 November 2025

Thank you.. aok sudi neman koi

'Salam Jumaat'

Pagi ini, di warung kecil yang masih berwap teh panas, ia muncul dengan langkah kecil dan mata yang bersinar-sinar. Tak semena-mena ia panjat kerusi sebelah aku, duduk sambil menjulurkan kepala. Matanya jernih. 

“Terima kasih.. mujur aok sudi teman koi makan. Kalau tak, sunyi pulak.” Aku bersuara perlahan, tapi renungannya cukup untuk buat hati aku lembut. 

Sesekali dia jeling aku menyuap nasi. “Aok lapar?” aku tanya. 

Ia diam. Malu-malu, mungkin

“Tak apa.. nanti koi belanja aok ayam goreng. Tapi tak boleh makan sini.. nanti tuan kedai bising.” 

Aku menunjuk bawah meja. 

“Aok makan kat bawah.” Ia segera menurut. 

Aku ketawa kecil. Begitulah kisah sarapan pagi ini, ditemani makhluk kecil yang polos, yang tak minta apa-apa.. cuma sedikit perhatian.

Dan dalam hati, aku bersyukur. 

Kadang-kadang, teman sekecil itulah yang menghilangkan sunyi.

Thursday, 20 November 2025

Moga Allah membalas kebaikan..

foto hiasan ~ sumber

Mudah-mudahan, setiap insan yang pernah menaburkan kebaikan kepada kita, walau sekecil doa yang tak pernah kita dengar, atau sehalus senyuman yang melembutkan hati, diberikan Allah SWT balasan yang paling indah dan selayaknya. 

Ada antara mereka yang hadir hanya seketika dalam hidup kita, namun meninggalkan bekas yang panjang nilainya. Ada pula yang membantu tanpa meminta kita mengingati nama mereka pun. 

Kadang-kadang, kita tidak sempat membalas budi, masa berlalu, jarak memanjang, dan hidup membawa kita ke lorong-lorong yang berbeza. Namun hati tetap tahu, bahawa kebaikan itu pernah menyentuh kita. 

Di situlah syukur menjadi saksi, syukur kerana Allah mengutuskan mereka pada waktu kita memerlukannya. Syukur kerana kebaikan itu menjadi sebab hati kita kembali lembut, kembali berharap, kembali yakin bahawa dunia ini masih punya cahaya. 

Semoga Tuhan Yang Maha Membalas setiap amal, mencukupkan rezeki mereka, melapangkan langkah mereka, mengurniakan ketenangan dalam jiwa mereka, dan menurunkan rahmat tanpa henti atas setiap kebaikan yang mereka titipkan kepada kita. 

Dan mudah-mudahan, kita juga diberi peluang untuk meneruskan kebaikan itu kepada orang lain, sebagai tanda syukur yang paling nyata.

Tuesday, 18 November 2025

Pengembaraan Masa (Part 8): Layang-layang dan bayang-bayang sengketa

Baca di sini Part 7 

foto hiasan ~ sumber

Hari-hari di Kampung Permatang berjalan perlahan, tenang seperti arus anak sungai yang tidak pernah mendesak. Setiap pagi aku turun membantu Pak Andak di sawah. Di sinilah denyut hidup kampung bernafas, antara bau daun yang dibasahi embun dan suara burung yang memanggil pagi. 

Menjelang petang, langit membakar lembayung jingga yang tumpah di kaki langit. Angin meliuk-liukkan padi yang semakin menguning, seolah-olah seluruh hamparan itu sedang berzikir lembut. Di atas permatang yang panjang, aku dan Busu berlari-lari kecil, tawa kami berbaur dengan desir angin. Layang-layang merah yang kuikat sendiri terbang tinggi, mengepak seperti burung yang baru belajar percaya pada sayapnya. 

Pada saat itu, di tengah sawah lama, aku terasa seakan seluruh dunia menjadi sebuah kenangan yang sedang dilukis perlahan. 

foto hiasan

“Abang! Abang tengok! Layang-layang ni naik lagi tinggi!” jerit Busu sambil berlari. 

Aku ketawa kecil. Dalam riang Busu, aku rasakan dunia ini menjadi sedikit lebih ringan. Entah kenapa, zaman ini yang asing telah mula menyatu dengan nadiku. 

Namun ketenangan itu tak kekal lama. Dari celah semak di pinggir sawah, muncul tiga bayang tubuh sasa. Langkah mereka kasar. Wajah mereka bukan wajah ingin bersahabat. 

“Busu.. mari sini,” kataku perlahan, tangan menyentuh bahunya. 

Dia terhenti. Layang-layang masih tergantung di angkasa, tapi benangnya mula melonggar dek tangan yang mula bergetar. 

Alang, anak ketua kampung yang pernah aku dengar sebagai pemuda yang sukar dijangka, melintasi kami di pinggir bendang. Tatapannya tajam, tapi aku memilih diam. 

Bukan kerana takut.. tetapi kerana aku tidak mahu mengubah apa-apa. Aku tetamu di masa ini. Sekali aku campur tangan dalam sejarah, mungkin seluruh jalan waktu akan berubah. 

“Apa ke budak dua orang ni main macam tak tahu adab?” ujar Alang, suaranya serak. “Ini kawasan aku. Siapa suruh main sini?” 

Wajahnya angkuh seperti biasa. Di kiri dan kanannya dua pemuda lain, kuncu setia, ketawa terbahak-bahak dengan nada yang menjengkelkan. 

Aku melangkah ke hadapan. Biar tubuhku jadi perisai buat adik kecil ini. 

“Maaf, Alang. Kami tak tahu ini kawasan larangan,” aku cuba menahan nada, cuba untuk berbahasa. Menahan diri dari berlaku onar walau dadaku sedang marah. 

Dia mendekat, mata tajam menikam pandang. “Kau ni siapa sebenarnya? Asal usul kau tak pernah orang kampung tahu. Pak Andak kutip kau dari mana?” 

Aku diam. Kata-kata yang hendak kujawab terhenti, apa yang boleh aku katakan? Aku dari abad ke-21, terperangkap dalam dunia mereka? 

Tidak mungkin!

Busu menyentuh hujung bajuku. “Jangan ganggu abang aku..” suaranya perlahan, tapi cukup membuatkan Alang tergelak besar. 

“Heh! Tengok ni, nak jadi hero konon,” sindir Alang. 

Seketika kemudian, dia melangkah pantas, tangan kasarnya menyentap layang-layang dari tangan Busu dan melemparkannya ke tanah. Tapaknya memijak layang-layang merah itu, senyum puas terukir di bibirnya. Aku sudah tak mampu diam. Lengan kiriku pantas menarik tangan Alang dari bahu Busu. 

“Cukup!” 

Alang merenungku tajam. “Berani kau?” 

Aku tahu.. aku akan menyesal, tapi tanganku terangkat, menepis lengan Alang. Tubuhnya tersentak ke belakang. Sunyi sesaat. Kuncunya terkejut. Wajah Alang merah padam. Nafasnya kencang. 

“Kau tahu siapa aku?” Alang bertanya seraya menepuk-nepuk dadanya dengan nada bongkak, 

“Nanti.. kau akan tahu padahnya..” katanya perlahan. Dia berpaling. “Mari!” Menggamit kuncu-kuncunya pergi. 

Langkah mereka menjauh, tetapi amaran itu tak hilang dari dada. Layang-layang itu koyak. Tapi Busu memungutnya, dan tersenyum tipis. 

“Tak apa bang.. kita buat baru.” 

Aku usap rambutnya. Dalam hati, aku tahu, gelora zaman ini tidak sekadar ombak tenang. Akan ada badai. Dan aku.. kini bukan lagi sekadar tetamu masa. Aku sedang menjadi sebahagian daripada sejarahnya. 

Bersambung Part 9.. 

Monday, 17 November 2025

Pengembaraan Masa (Part 7): Rahsia hampir terbongkar?

Baca di sini Part 6 

foto hiasan ~ sumber

Peristiwa pertemuan dengan Sultan Mansur Syah di pasar tempohari masih bermain diingatanku. Dikatakan baginda memerintah dengan bijaksana di atas kerajaannya, bermesyuarat dengan orang tua untuk pemerintahan yang baik dalam perkara yang keadilan serta keselamatan negeri. Baginda menyatukan rakyatnya. 

Demikianlah yang pernah aku baca di dalam buku sejarah di zamanku. Cuma wajahnya ini tidak sama dengan potret yang kulihat di Muzium Melaka. Yalah, potret tersebut hanya imaginasi pelukis sahaja. 

Isi hati Seri Seroja 

Petang itu, matahari sudah hampir condong ke barat. Warna jingga menyiram langit dan menyentuh permukaan sawah yang mulai kering. Aku dan Pak Andak duduk di pondok yang dibina di bawah pokok sentang yang rendang, tempat biasa Pak Andak melepas lelah selepas separuh hari membanting tulang. 

foto hiasan ~ sumber

Pak Andak membuka terendak di kepala, mengibas sedikit peluh di dahi lalu tersandar pada tiang pondok. 

“Letih hari ni, Zahran.. tapi syukur. Lihatlah langit tu. Kalau bukan kerana penat, kita takkan tahu nikmat tenang begini.” 

Aku hanya tersenyum. Tangan masih menggenggam sebatang ranting kecil, melukis sesuatu yang tidak bermakna di atas papan lantai. 

Tak lama kemudian, dari arah rumah yang samar dalam kehijauan, Seri Seroja datang perlahan. Busu mengikuti dari belakang sambil mulutnya becok menghalau burung tiak yang cuba menghampiri rumpun padi. 

Langkah Seri Seroja sopan, membawa dulang yang beralaskan daun pisang. Di atasnya ada nasi, goreng ikan sepat, sayur lemak pucuk paku dan air minuman yang terisi daun pandan yang dilipat rapi. 

“Ayah.. Zahran.. ini bekal. Mak pesan, makan sebelum sejuk.” 

Pak Andak bersuara, “Ha.. elok sangat. Mari Zahran, kita makan dulu. Rehat sekejap. Hari ini Seroja rajin benar menolong ibunya.” 

Seri Seroja duduk bersimpuh di tengah pondok, Wajahnya tunduk seperti biasa, tapi matanya beberapa kali menjelingku sekilas. Diamnya.. bukan kosong. Seperti ada yang ingin diselami. Busu di sebelahnya. 

Aku menyambut air minuman yang berisi daun pandan. 

“Terima kasih… Seri Seroja. Enak benar air ini, wangi sekali.” 

Dia tersenyum nipis.  

“Air dari perigi tua di belakang rumah. Orang kata, kalau orang luar minum air dari situ.. dia akan terus tinggal di sini.” Dia mengusik. 

Aku terbatuk kecil. Bukan kerana air, tapi kerana usikannya begitu tepat menyentuh hati. 

“Mungkin itu cuma cerita lama, cerita orang tua-tua sahaja,” balasku, tenang. 

“Tapi cerita lama kadang-kadang ada benar, bukan?” tanya Seri Seroja perlahan. 

“Zahran… boleh hamba tanya satu perkara?” 

Aku menoleh, sedikit cemas. “Boleh, selagi soalan itu tidak berat untuk dijawab.” 

Dia merenung sawah yang luas di hadapan. Suaranya halus, hampir ditiup angin. “Zahran.. tuan bukan orang sini, kan? Gaya tuan berkata-kata, caranya melihat, dan kadang-kadang.. seperti tuan tahu lebih dari yang biasa.” 

Aku terdiam. Pak Andak sudah mula terlelap sedikit setelah menikmati makan (atau sengaja terlelap?), bersandar di tiang pondok dengan topi pelepah menutupi wajah. Aku, Seri Seroja dan Busu hanya tinggal bertiga dalam damai petang itu. 

“Maafkan hamba.. jika kata hamba lancang,” tambahnya perlahan. 

Aku menunduk, memicit jemari sendiri. Lalu dengan nada yang lembut, aku menjawab: 

“Kadang-kadang, Seroja.. seseorang datang bukan kerana dia tahu ke mana harus dituju. Tapi kerana ada sesuatu yang membawanya. Hamba.. hanya sedang mencari tempat untuk diam sebentar dari ribut yang panjang.” 

Dia mengangguk. Dan selepas diam seketika, dia bersuara lagi: “Jika benar begitu.. hamba doakan, semoga damai di sini akan menambat hati tuan. Walau hanya seketika, biarlah seketika itu memberi makna.” 

Aku menoleh. Untuk pertama kalinya, mata kami bertaut lama. Tidak lama, tapi cukup untuk aku merasa, ada sesuatu yang mengikat antara kami, walaupun belum bernama. 

“Terima kasih.. Seri Seroja. Kata-katamu seperti air perigi itu juga, jernih, tapi dalam.” 

Kami tidak berbicara lagi selepas itu. Hanya duduk menatap sawah yang mulai tenggelam dalam cahaya keemasan. Tapi dalam diam itu.. hati aku resah. 

Mungkin dia sudah tahu. Atau mungkin dia hanya meneka. Tapi aku belum bersedia membuka kisah tentang masa yang kulewati.. dan masa yang belum tiba. 

Pak Andak - Bicara Lelaki Dewasa 

Sebaik Seri Seroja berlalu semula ke rumah.. Pak Andak yang kelihatan lena tadi, tiba-tiba membuka mata. Dia menghela nafas panjang, memandang ke arah Busu yang bermain-main dengan beberapa ketul anak batu.

"Busu nak buat apa dengan batu-batu tu?" Tanya Pak Andak.

Nak guna untuk halau burung yang makan padi." Jawab Busu, sekilas berlalu ke hujung batas sawah.

Tinggal aku berdua dangan Pak Andak. 

“Zahran… aku ini orang lama. Dari renungan mata pun kadang-kadang aku boleh membaca sedikit.” 

Aku menoleh, gugup. “Apa yang Pak Andak nampak?” 

“Entah.. Cuma rasa di hati. Bahawa engkau ni orang yang sedang mencari jalan pulang. Tapi belum tahu.. pulang ke mana.” 

Aku tunduk. Kali ini, tidak mampu menjawab. 

“Tapi satu pesanku, nak. Kalau kau benar dari tempat yang jauh.. sejauh mana pun itu, jangan kau tinggalkan luka sebelum pergi. Kalau kau harus berlalu… tinggalkan damai.” 

Aku mengangguk, menahan rasa di kerongkong. “Hamba mengerti, Pak Andak. Hamba tak mahu sejarah menangis kerana langkah hamba yang khilaf.” 

Mimpi yang menghantui 

foto hiasan ~ sumber

Malam itu, aku tidur dalam lena yang sunyi. Angin dari celah dinding papan membawa bau kayu basah dan bunga tanjung. Dalam mimpi, aku berada di tengah sebuah padang hijau, luas, tidak berpenghujung. Langitnya berwarna ungu tua, dan kabut nipis menyelimuti tanah. 

Dari kejauhan, Seri Seroja berjalan menghampiri, berpakaian putih bersulam benang perak. Rambutnya terurai, tidak seperti selalu. Wajahnya damai, tapi matanya menyimpan sesuatu. 

Dia berdiri di hadapanku, meletakkan tangan di dada, lalu berbisik: “Jika kau tetap di sini.. takdir akan menyimpang. Tapi jika kau pergi.. hati-hati yang tertinggal akan retak perlahan.” 

Aku cuba menyentuh tangannya, tapi bayangnya kabur, seperti kabut yang tidak boleh digenggam. 

Suaranya mengalun sekali lagi: “Antara kasih dan sejarah.. kau tidak boleh memilih kedua-duanya.” 

Aku tersedar. Nafasku berat. Bulan di luar jendela hampir tenggelam. Dan dalam gelap yang sepi itu, aku menyedari.. 

Masa depan belum pun tiba, tapi ia sedang menunggu keputusan hari ini. 

Bersambung Part 8 

Sunday, 16 November 2025

Di tepi sungai Pahang, aku terkenang..


Aku duduk di jeti kayu yang menghadap sungai Pahang. Airnya mengalir tenang, membawa bersama bayang langit sore dan kenangan lama yang tiba-tiba datang menyinggah. 

Di hadapan, sepinggan nasi berlauk masak lemak cili api ikan kerai tersaji sederhana, lauk kampung yang pernah mewarnai masa kecilku. Di sisi, kacang botor hijau muda menjadi ulam penyeri, renyah dikunyah sambil menikmati desir angin yang lembut menampar pipi. 

Tiada muzik yang lebih indah daripada bunyi alam kala itu, desir air yang memukul tebing, kicau burung yang terbang pulang, dan sesekali bunyi enjin perahu kayu dari seberang. Semuanya berpadu dalam harmoni yang sukar diganti dengan hiruk-pikuk kota. 

Setiap suapan terasa seperti mengembalikan aku ke masa lalu, masa ketika arwah ayah masih di anjung bersama kerusi malasnya yang setia, dan arwah mak masih tersenyum sambil memanggil aku pulang sebelum senja benar-benar turun.

Segalanya terasa dekat, walaupun waktu sudah lama pergi.. 

Masa ketika di meja makan bukan sekadar tempat menjamu selera, tetapi ruang kecil yang menyimpan tawa, teguran dan nasihat yang waktu kini sudah memahat jadi doa dalam hati.

Aku kembali menatap sungai Pahang. Dalam setiap hembusan anginnya, ada bisikan lembut yang menenangkan hati. Dan dalam setiap hembusannya, seolah-olah ada bisikan lembut berkata:  "Hidup ini indah, jika kita tahu menghargai yang sederhana, dan kenangan adalah antara anugerah paling halus yang Tuhan titipkan..."

Saturday, 15 November 2025

Coretan pagi Sabtu yang dingin

'Menekuni lembaran demi lembaran yang mengenyangkan minda'

Hasrat hati nak buat brisk walk pagi ini. Tapi hujan renyai yang turun sebaik sahaja selepas subuh seakan memegang tangan dan berkata, “Rehatlah dulu.” 

Jadi, pagi ini aku biarkan sahaja ritma hujan menepuk lembut atap rumah. Dengan secawan minuman panas di sisi, aku menyelak kembali naskhah yang sudah lama setia dalam simpanan, “MALACCA HAS FALLEN – Keruntuhan Sebuah Empayar Agung”, terbitan 2019. 

Entah bagaimana, aku boleh tenggelam sampai ke muka surat 206 tanpa sedar masa bergerak. Lembaran demi lembaran dihadam mengenyangkan minda. 

Di celah-celah helaian sejarah itu, tiba-tiba terlintas tentang siri imaginasi PENGEMBARAAN MASA ABAD ke-15 - yang telah berhenti pada Part 6 - baca. 

Terdetik juga soalan yang tak pernah terjawab: Perlu ke aku sambung? Ada ke orang nak baca? Atau sebenarnya aku ni syok sendiri je.. 😊 

Tapi, begitulah kan.. Ada cerita yang hidup bukan kerana ramai yang membaca, tetapi kerana hati sendiri terasa ingin bercerita.

Friday, 14 November 2025

Hadiah daripada anakanda


Mr. kurier datang dengan senyum nipisnya, menghulurkan satu bungkusan berat yang dibalut kemas. Saya ucapkan terima kasih, seolah-olah rasa syukur itu tak habis-habis mengalir. 

Rupa-rupanya ia adalah parcel, 'hadiah' daripada anak saya yang sedang menuntut di UITM. Bungkusan itu menampakkan isinya. Empat naskhah buku elok terikat berada tangan saya. 

Saya menghubungi beliau menerusi aplikasi vc. 

"Guna baucer.." terangnya.

“Kenapa tak beli buku untuk pengajian?” saya bertanya sambil membelek bungkusan. 

“Untuk belajar guna online.. ebook..” jawabnya, selamba seperti biasa. 

Saya tergelak kecil. “Zaman abi dulu senget bahu pikul beg. Zaman kamu, bawa tablet je sekeping..” Dia angguk kepala, senyum di hujung bibirnya menguntum. 

Katanya lagi, dia sebenarnya dah beli beberapa novel kesukaannya, rupanya ada lebihan baucer yang kawan hadiahkan. “Dia tak minat membaca. Jadi tak tahu nak beli buku apa..” tambah anak saya. 

Saya hanya mengangguk. Diam-diam saya tersentuh. Dalam banyak pilihan, dia pilih untuk mengisi ‘kelebihan’ itu dengan hadiah untuk ayahnya.. hadiah untuk penyakit saya yang paling kronik, sejarah. 

Akhirnya empat buku itu kini berada dalam genggaman: 

• Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 1

 • Jangan Selewengkan Sejarah Melayu Siri 2 

• Misteri Taming Sari 

• Pertempuran di Hutan 

Semua genre sejarah. Semua yang seakan memanggil nama saya sejak lama. Anakanda saya memang sudah maklum, minat saya terhadap sejarah ini bukan sekadar hobi, tapi satu ketagihan yang sudah sebati dengan darah dan tulang. 

Saya menatap keempat-empat buku itu. Entah kenapa, hati saya terasa penuh. Bukan kerana judulnya yang menarik, tetapi kerana fahamnya dia akan jiwa seorang ayah yang selalu tenggelam dalam kisah bangsa sendiri. 

Kadang-kadang, hadiah bukan sekadar barang. Ia adalah petanda bahawa seseorang memahami kita lebih dalam daripada kata-kata. 

Dan hari ini, saya menerima bukan empat buku, tapi empat rasa kasih dalam bentuk yang paling sunyi dan indah.

Thursday, 13 November 2025

Hari Kedua – Tenang, Pagi, dan Persaudaraan

Pasang banner untuk majlis penutup di balai raya KOA Sg Yol

Hari kedua bermula dengan solat Subuh berjemaah di surau kecil itu. Sejuk pagi kampung memang lain, udara segar menusuk lembut ke dada, buat rasa syukur tu datang perlahan-lahan tanpa disuruh. 

Usai solat, Ustaz Hairul Anuar, AJK YAM Pahang, menyampaikan tazkirah ringkas. Pesannya lembut, tentang sabar, syukur, dan terus jadi hamba meski di mana bumi kita berpijak. 

Habis tazkirah, suasana kembali santai. Ada yang sambung bersembang, ada yang “qadha” tidur dengan kepala bersandar pada tiang surau, dan ada juga yang tetap membelek telefon, walaupun semua tahu, line internet di sini seteguh pokok beringin.. iaitu tak berganjak langsung, sama sahaja seperti semalam. "Tak ada line.." 

Pagi di Sungai Yol 

Sementara menanti sarapan, layan memanah dulu

Jam tujuh, kami mula bersiap untuk acara brisk walk menyusuri laluan kampung. Angin pagi menyapa, ayam masih berkokok, dan kami berjalan sambil menyapa penduduk yang lalu lalang. Sesekali terdengar suara kanak-kanak memanggil sambil tersipu-sipu. Suasana sejuk, hati pun sejuk. 

Selesai berjalan, kami sarapan bersama dengan penduduk di dewan orang ramai. Rancangan asal nak masak sendiri, tapi apakan daya, ada sedikit kekangan. Jadi kami tempah saja sarapan. Walau begitu, makan pagi dalam suasana kampung, ditemani ketawa kecil dan gelas plastik yang berkabus, tetap terasa nikmatnya. 

Kesihatan Itu Amanah 

 

Selepas sarapan, bermulalah sesi taklimat kesihatan oleh Dr. Zul, juga AJK YAM Pahang. Suaranya lembut, tapi penuh semangat mengingatkan tentang pentingnya menjaga tubuh yang dipinjamkan Allah ini. 

Selesai taklimat, Dr. Zul dan pasukannya memulakan pemeriksaan kesihatan, dan alhamdulillah, sambutan penduduk sangat baik. Seorang demi seorang datang, dari anak-anak sampai warga emas, semua ingin tahu keadaan kesihatan masing-masing.

Gembira Sama-Sama 

Sebahagian pemenang hadiah cabutan bertuah

Seterusnya, acara cabutan bertuah, khas untuk penduduk Orang Asli. Riuh satu dewan kecil tu bila nombor dipanggil. Ada yang gelak sampai terpegang perut, ada yang malu-malu naik ambil hadiah. Paling seronok, semua senyum, semua gembira. Hadiah mungkin kecil, tapi nilainya besar pada hati dan hubungan yang terbina.

Tirai Penutup 


Tibalah saat yang paling ditunggu, perasmian penutup oleh Pengurus MUIP Raub. Sederhana, tapi penuh makna. Selepas itu, setiap keluarga Orang Asli menerima pek makanan barangan asas, hadiah kecil tanda kasih dan berkongsi rezeki. Ketika jam menghampiri 4.30 petang, program Ziarah Mahabbah pun melabuhkan tirainya. 


 

Penat? Ya. 

Berbaloi? Sangat. 

Wajah-wajah relawan dan penduduk kampung yang bersinar sudah pun cukup menjadi bukti. Ada rasa puas, rasa syukur, rasa sayang. 

Sebelum pulang, kami berjabat tangan, saling mendoakan, saling mengucap, “InsyaAllah, nanti kami datang lagi.” 

Dan dalam hati, kami tahu, Sungai Yol bukan lagi sekadar lokasi program. Ia sudah menjadi tempat tinggal sepotong kenangan yang lembut dalam jiwa.

Moga bertemu kembali

Tuesday, 11 November 2025

Hari Pertama – Sungai Yol Menyambut Kami

Pasang banner di simpang jalan utama ke Kuala Keloi

Hari pertama di Sungai Yol bermula dengan pendaftaran para relawan pada jam 3 petang. Seorang demi seorang tiba dengan beg galas, senyum penuh semangat, sesekali mengangkat tangan menyapa, seolah-olah kami semua sudah lama mengenali, walaupun hakikatnya baru bertemu. 

Selesai pendaftaran, kami sama-sama membuat persiapan di padang futsal untuk acara Sukaneka Rakyat. Gelak tawa anak-anak sudah kedengaran dari jauh, tidak sabar menanti permainan bermula, mungkin. 

Acara kanak-kanak

Berbagai acara diatur, pecahkan belon di kaki, lari bawa bola pingpong dalam sudu, rebut kerusi, sepak penalti kerusi (ini yang paling lawak, yang tak pernah menendang bola, boleh menang?), memanah belon, penuhkan air dalam botol dan banyak lagi permainan yang buat perut sakit menahan ketawa. 

Kanak-kanak menjerit kegembiraan, lelaki dewasa tiba-tiba jadi macam budak kecil semula, dan kaum ibu pula tidak kalah meriah sorakan mereka. Wajah polos anak-anak Orang Asli bercampur tawa para relawan, satu pemandangan yang menyentuh hati. 

Sebahagian daripada mereka, ada yang malu untuk bergambar 

Bukan sekadar sukaneka, ternyata ia jadi ruang kami menjalin ikatan dan kasih, tanpa perlu berlebih kata. Dan yang paling seronok, semua dapat hadiah. Tak ada yang pulang dengan tangan kosong. Yang tak menang pun tetap menang dalam senyuman, tapi yang menang dapat hadiah besar.

Malam yang redup, hati yang senang 


Selepas Maghrib, berlangsung tazkirah santai. Penduduk Orang Asli Muslim turut hadir, duduk tenang, mendengar butir nasihat tentang syukur, ukhuwah dan keindahan Islam. Hening kampung jadi lebih syahdu, ditemani suara serangga malam yang tak pernah lupa bertasbih. 

Alhamdulillah, masyarakat orang asli yng beragama Islam

Selesai tazkirah, kami menikmati nasi Arab yang disediakan khas oleh Yayasan Amal Malaysia. Bau rempahnya sahaja sudah buat perut berdondang sayang. Makan berhidang sederhana, tapi nikmatnya luar biasa, mungkin sebab dimakan dalam suasana persaudaraan. 

Selepas semua beredar, sebahagian relawan melabuhkan badan di lantai surau, kepenatan seharian terserlah pada wajah mereka, tapi ada sinar puas juga di mata. Saya pula duduk berbual dengan beberapa sahabat di serambi surau. Angin malam hutan menyapa, bintang berkelip malu di celah awan gelap. Hujan pula turun renyai-renyai berkabus


Perbualan kami mengalir tanpa henti, kisah dakwah di dalam negara, luar negara, pengalaman bertemu budaya asing, sampai cerita lucu ketika cirit-birit di Sri Lanka. Gelak tawa berselang usikan sesama sendiri, rasa macam duduk bersama keluarga.

Tiba-tiba seorang sahabat bertanya, “Jam berapa dah ni?” 

Saya tengok jam. “Baru pukul 10.” 

Dia terlopong kecil, kemudian ketawa, 

“La… ingatkan dah dekat 12. Banyak negara kita cerita tadi.. dari Raub sampai Istanbul, sampai ke Afrika. Lambat betul masa kat sini” 

Begitulah bila tiada line internet, masa berjalan perlahan, dan manusia kembali menjadi.. manusia. Henfon hanya terbaring di sisi, sunyi sepi tak disentuh. Anehnya, hati pula lebih hidup. 

Dan dalam gelap yang damai itu, saya terfikir, kadang-kadang Allah tak bagi line bukan sebab ujian, tapi sebab Dia nak kita sambung line hati sesama manusia dan kepada Dia. 

Hujan masih turun. 

Malam itu kami tidur dengan hati yang lapang. Penat, tapi indah.