Baca di sini Part 5
![]() |
| foto hiasan |
Satu pagi yang bening, Pak Andak mengetuk daun pintu bilikku.
"Zahran, kalau sudi, marilah ikut aku ke pasar pagi. Kita bawa hasil sayuran dan buah-buah. Mungkin kamu nak lihat suasana pasar di Kota Melaka.”
Aku segera bangun. Dada berdebar, bukan sekadar mahu melihat hiruk-pikuk pasar, tapi kerana ini kali pertama aku benar-benar akan menyusuri jantung zaman Kesultanan Melaka dari mata dan kaki sendiri.
Teruja! Aku menggenggam hujung kain selimutku yang kusut. Inilah saat yang selalu aku bayangkan dalam buku-buku sejarah, tetapi kini, aku hidup di dalamnya. Ah, Melaka.. izinkan aku memahami degupmu dengan mataku sendiri.
Berperahu Menyusuri Sungai
Kami bertolak seawal fajar. Embun masih melekat pada pucuk nipah. Dengan perahu panjang buatan tangan, Pak Andak mendayung perlahan menyusur sungai yang jernih dan tenang, dihiasi riak kabus pagi yang memeluk permukaan air. Aku duduk di hadapan dan Busu di tengah.
Burung bangau berdiri satu kaki di tepi tebing. Daun-daun jatuh tenang ke permukaan air, dan bunyi dayung menyentuh sungai menjadi irama sunyi yang damai.
“Air sungai Bertam ini, Zahran.. bagaikan nadi desa. Dari sinilah hidup mengalir,” kata Pak Andak perlahan.
Aku angguk. Dalam hati, aku sedar, zaman ini punya roh yang tak terganti.
Pasar Pagi di Pinggir Kota Melaka
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Setibanya kami di jeti kecil berhampiran muara sungai, suasana sudah pun riuh. Aku menjejakkan kaki ke tanah, memandang sekeliling.
Di sinilah, fikirku, barangkali dahulu Parameswara berhenti berehat, di bawah pohon besar, memerhati anjing buruannya mengejar pelanduk putih. Sejarah yang selalu hanya hidup dalam buku, kini terasa bagai bernafas di hadapanku. Ah, Melaka.. setiap inci tanahmu seperti menyimpan gema kisah yang membina sebuah empayar.
Orang ramai berjalan dengan bakul mengkuang, ada yang menjinjit tembikar, ada yang membawa kambing atau ayam hidup. Peniaga berseru, pelanggan menawar, anak-anak kecil berkumpul menonton beberapa pemuda sedang memasang kelir.
“Sirih, kapur, tembakau!”
“Gaharu, setanggi!”
“Pakaian dari Palembang, kain sulam tangan!”
Bau kunyit, kapur barus, daun pandan dan ikan kering bersatu dalam udara.
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Pak Andak membentang tikar di bawah pohon sena besar, menyusun sayur dan buah-buahan dari ladang. Aku membantu mengikat daun kunyit dan lada secara berikat, sambil mata melilau melihat keindahan yang tidak mungkin ditiru oleh mana-mana zaman moden.
Dalam hati aku berbisik, Oh.. beginilah rupanya pasar di pinggir Kota Melaka. Bukan sekadar jual beli, ini nadi sebuah tamadun, denyut yang menghidupkan empayar. Jika dunia moden punya bangunan tinggi dan lampu neon, di sini manusia memiliki jiwa dan harum sejarah yang tak pernah pudar.
Ketibaan Datuk Pembesar dan Sultan
Tiba-tiba, orang-orang di pasar mula bergerak ke tepi.
Dari arah pintu kota, kelihatan seorang pembesar negeri berjalan masuk bersama dua pengawal bersenjata lembing dan perisai. Wajahnya yang bermisai tebal menampakkan ketokohannya, namun tenang, seorang yang biasa mengurus rakyat dan urusan harta negeri.
Langkahnya teratur, kain persalinannya beralun perlahan ditiup angin pagi. Orang-orang pasar menunduk hormat, dan aku dapat merasakan aura wibawa seorang penjaga amanah negeri, bukan sekadar pembesar, tetapi penimbang adil antara rakyat dan raja.
“Jaga timbangan. Jangan tipu sukatan,” katanya dengan suara yang tegas namun beradab kepada seorang peniaga muda.
Tiba-tiba dia memandang ke arah kami. Wajahnya berubah ceria, senyuman kecil terukir. “Eh, Andak Musa rupanya. Sudah lama tidak nampak kamu di kota. Masih kuat mendayung dan bertani rupanya,” tegurnya berseloroh tetapi penuh hormat.
Pak Andak tersenyum, menunduk sedikit. “Alhamdulillah, Datuk. Hidup sederhana, makan rezeki dari tanah. Selagi tubuh diberi kudrat, selagi itu hamba bekerja.” Sosok yang dipanggil datuk itu mengangguk, matanya bersinar bangga.
“Kamu ini, ketika muda dahulu.. bukan calang-calang orang. Kalau tidak kerana keberanian orang seperti kamu dalam perang menentang pasukan Pahang suatu masa dulu, belum tentu aman kita hari ini.”
Benar, Pahang ketika di bawah kekuasaan Siam pernah menyerang Melaka, sepertimana yang pernah aku baca dari buku sejarah.
Aku terpempan. Dunia terasa berputar sebentar. Pak Andak.. seorang pahlawan dahulu? Di balik wajah tenang dan tangan kasar mengikat daun kunyit, tersembunyi sejarah seorang yang pernah menghunus keberanian demi negeri.
"Itulah Datuk Syahbandar. Dia yang menjaga keamanan di sini serta pelabuhan Melaka." Bisik Pak Andak kepadaku.
Aku mengangguk, kagum.
![]() |
| foto hiasan ~ sumber |
Belum sempat suasana reda, tiba-tiba bunyi paluan gong kecil kedengaran dari jauh. Seekor gajah besar muncul dari celah bayang pintu kota, melangkah megah bagaikan bumi sendiri memberi laluan. Di atasnya, seorang lelaki berpakaian serba kuning diraja, dengan tengkolok bertatah permata dan kain songket bersinar ditimpa cahaya pagi. Itulah Sultan Melaka, wajahnya tenang namun tegas, diiringi Temenggung yang gagah di sisi.
Manakala di hadapan dan belakang haiwan besar tersebut, sekira-kira dua belas orang pengawal istana mengiringi dengan memegang tombak kehormatan negeri.
Serta-merta.. semua orang duduk hormat di tempat masing-masing.
Tiada siapa berdiri. Tiada siapa bersuara.
Kanak-kanak tunduk, perempuan mendekap anak ke dada, peniaga menundukkan kepala.
Suasana sunyi.. seperti bumi sendiri menahan nafas.
Sultan Melaka sedang lalu.
Bukan sebagai raja yang menindas, tapi sebagai payung rakyat.
“Daulat Tuanku..” bisik orang ramai.
Dan aku.. di celah mereka semua, turut tunduk. Walau aku bukan dari zaman ini, aku tetap merasa daulat itu hidup, bukan kerana takhta, tapi kerana adilnya pemerintahan.
Seolah seluruh semesta bersaksi: keadilan adalah mahkota sebenar seorang raja.
Bersambung Part 7..




No comments:
Post a Comment