Thursday, 30 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 5): Rahsia Yang Dititipkan Masa

 Baca di sini Part 4

foto hiasan ~ sumber

Pagi di desa ini.. tidak pernah bising dengan enjin, tidak pernah sesak dengan berita yang meresahkan jiwa. 

Yang ada hanya kokokan ayam jantan bersahut-sahutan, daun kelapa bergesel lembut, dan unggas dari belukar memuji Tuhan dalam bahasa yang hanya alam mengerti. 

Embun pagi menyentuh pipi seperti kasih ibu yang merindui anaknya pulang. Dan aku menurut langkah Pak Andak dan Busu ke sawah, lewat lorong tanah padat yang dipijak generasi demi generasi, diapit buluh yang melengkung dan senduduk ungu yang tumbuh tanpa dipinta. 

Di sini, hidup bersandar pada alam. Rumah kayu beratap nipah dan ijok, dapur berasap kayu, bunyi alu dan lesung bernyanyi dari serambi rumah, dan anak-anak ketawa mandi sungai, membina rakit dari batang pisang. 

Tiada siapa mengejar masa. Di sini, masa yang mengalir perlahan.. menenangkan jiwa. 

Dan entah sejak bila, aku sendiri sudah mula selesa, selesa hidup tanpa telefon, tanpa skrin, tanpa berita yang menghakis iman perlahan-lahan. 

Seolah aku kembali kepada fitrah. Hidup untuk Tuhan, untuk tanah, untuk sesama manusia. Bukan untuk dunia yang menggantikan rasa dengan angka, dan menggantikan hati dengan mesin.

Seri Seroja 

Seri Seroja. Nama itu sendiri seperti kelopak doa yang gugur ke tasik senja. 

Dia tidak banyak bicara, tetapi wajahnya membawa satu teduhan yang jarang ditemui di zaman aku datang. Lembut, sopan, dan setiap tunduk matanya adalah maruah dan budi yang tidak perlu dipromosikan. 

Dia membantu di dapur, menjahit di serambi, dan kadang-kadang bersenandung gurindam lama dengan suara serendah angin petang. Aku cuba menjaga jarak, tetapi mata sering tewas, bukan kerana parasnya.. tetapi kerana dia adalah jelmaan ketenangan zaman ini. 

Namun aku tahu, aku tidak boleh. Aku bukan dari sini. Dan takdir di zaman ini bukan milikku untuk disentuh sesuka hati

"Jika aku menyentuh satu helaian pun dari takdir zaman ini, mungkinkah sejarah juga akan bergeser, akan berubah?" 

Lalu aku simpan rasa itu, dalam diam, dalam doa, dan dalam setiap tarikan nafas yang aku sembunyikan dari mata dunia.

Rahsia Masa Yang Dibawa 

foto hiasan ~ sumber

Mereka tidak akan mengerti jika aku katakan bahawa aku datang dari masa yang belum wujud bagi mereka. Mereka tidak akan faham tentang kereta yang meluncur tanpa kuda, tentang lampu yang menelan gelap hanya dengan satu sentuhan, atau tentang suara manusia yang terbang melalui udara. 

Sekali aku tersasul menyebut “kereta”, dahi Pak Andak berkerut kecil. Mujur aku cepat menukar kisah, menukar nada, menukar jalan cerita. 

Di sini, lidah bukan sekadar alat bercakap, ia benteng masa. Aku belajar menapis kata, merendahkan bicara, memelihara adab, mengatur bahasa agar dinding zaman tidak pecah oleh kelalaianku sendiri.

"Jika aku gagal menyesuaikan diri, masa akan menelan aku." 

Maka aku belajar. Belajar menerima takdir tanpa menyoal terlalu banyak. Belajar membungkus rindu pada keluarga dan dunia lampu neon. Belajar menjadi insan baru di bumi lama yang suci dan mulia ini. 

Petang itu, ketika aku mengangkat memenuhkan air di dalam tempayan, aku terdengar suara Pak Andak melalui celah papan:  

“Aku rasa.. dia bukan orang sini. Tapi tak apa. Kalau Allah kirimkan dia, tentu ada hikmah-Nya.” 

Tanganku kaku. Tali timba basah dan dingin, dan hatiku pecah perlahan seperti air yang menitis dari hujung timba ke tanah. 

Sudahkah mereka meneka? Atau aku sedang menunggu suatu ujian, ujian untuk memilih antara kembali ke dunia aku, atau kekal di zaman yang mula menghidupkan jiwaku semula? 

Angin petang menyisir wajahku lembut. Aku pejamkan mata, perlahan.

“Jika benar Kau kirimkan aku ke sini, Ya Allah.. tuntunlah aku dalam hikmah yang belum aku nampak.” 

Dan malam itu, buat pertama kalinya, aku tidak lagi bertanya bila aku akan pulang. Sebaliknya, aku bertanya dengan hati yang berat dan jujur: 

"Adakah aku mahu kembali?"

Bersambung Part 6.. 

Pengembaraan Masa (Part 4): Tersangkut Antara Langit Dan Waktu

Baca di sini Part 3 

foto hiasan ~ sumber 

Sudah dua hari aku di sini. Langit di tanah ini.. seakan-akan lebih luas daripada langit yang pernah memayungi kehidupanku di masa yang kutinggalkan. Birunya dalam, jernih tanpa hiruk pikuk asap kota; seolah-olah setiap hela nafasku menyingkap tirai baru yang selama ini tidak pernah aku sedari wujud dalam hidup. 

Subuhnya pekat. Bukan sekadar gelap, tetapi gelap yang bersujud. Unggas masih belum lena, desah malam masih mencari tempat berteduh sementara embun menggigil di hujung daun. Udara yang singgah ke dadaku terasa seperti zikir alam, membasuh resah masa yang kubawa dari dunia lain. 

Di rumah bertiang empat belas itu.. beratap nipah yang luas memayungi rasa aman, dan lantainya dari papan jati tua yang kukuh. Rumah itu tidak tercatat di mana-mana peta sejarah yang pernah aku baca.  Namun hatiku tahu, inilah persinggahan yang DIA pilihkan untuk roh dan jasadku menghela nafas kembali. 

Pak Andak Musa, lelaki pertengahan usia, berwajah garang pada mata yang pertama, tetapi senyumnya bening seperti air telaga selepas hujan. 

Mak Andak Rukiah, halus tutur kata, halus hatinya. Tidak pernah bertanya dari mana aku datang, tidak juga hairan mengapa aku datang tanpa bekal, tanpa saudara, tanpa sekeping masa yang jelas. 

Mereka menyambutku bukan dengan syak, tetapi dengan redha. Dan dalam diam, aku malu pada kelembutan itu. 

foto hiasan ~ sumber

Setiap pagi aku turun ke bendang bersama Pak Andak. Kaki meredah tanah lembut, lumpur melekat di betis, burung bangau bertenggek di badan kerbau sambil mengintai rezeki. Pak Andak tenang, diam lebih banyak daripada berkata-kata. Sesekali beliau menoleh, mengajar dengan bahasa mudah:

“Jangan lawan sawah.. ikut nafas tanah.” 

Aku hanya mengangguk, meskipun dalam hatiku bertanya.. berapa lama lagi aku akan mengikut nafas tanah orang lain? 

Tengah hari, matahari memaku bayang ke bumi. Aku membantu Busu membawa gugusan daun tembesu ke kandang kambing, membetulkan titi kecil dari buluh di belakang rumah, atau membelah kayu hingga bahu terasa seperti disiat. Tetapi letih itu.. letih yang membahagiakan. Letih yang mendidik hati supaya tunduk pada kehidupan alam. 

Petang datang dengan angin dari hujung sawah. Kanak-kanak kampung ketawa berkejaran, gasing berputar, layang-layang bernafas di langit. Aku memandang mereka, terasa masa seolah-olah memegang bahuku dan berbisik: 

“Beginilah dunia sebelum kau belajar berlari mengejar masa.” 

Dan malamnya, aku bersama Pak Andak ke surau kecil di tengah kampung. Lampu minyak bergoyang, bacaan imam meresap damai, lantai tikar mengkuang sejuk di dahi. Seusai solat, aku hanya duduk di anjung rumah, memandang langit yang penuh bintang-bintang yang di zaman aku sudah lama mati ditelan cahaya lampu jalan dan gedung tinggi. 

Namun yang paling sukar.. bukan kerja sawah, bukan sunyi malam, bukan bahasa lama yang perlu aku kunyah lembut di lidah. Yang paling sukar adalah menyembunyikan siapa aku sebenarnya.

Bersambung Part 5.. 

Wednesday, 29 October 2025

Perjalanan ke Raub – Menyusuri Jejak Ziarah Mahabbah

sumber foto

Jam menunjukkan 8.30 pagi. Tayar kenderaan mula bergolek perlahan, melanyak aspal jalan yang keras dan berkilau di bawah cahaya matahari yang baru memanjat kaki langit. Angin pagi masih segar, menyapa lembut wajah kami bertiga yang dalam rangka perjalanan ke daerah Raub, sebuah daerah yang sarat dengan nostalgia dan damai kehijauan bukit-bukau. 

Di kiri kanan jalan, kabus pagi masih bersisa di celah pepohonan, menebar suasana tenang dan syahdu yang sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Destinasi pertama kami ialah pejabat MUIP, bagi menghadiri mesyuarat berkenaan program Ziarah Mahabbah di Kampung Orang Asli (KOA) Sungai Yol. Mesyuarat yang dijadualkan bersama Pengurus Majlis Ugama Islam Islam Pahang MUIP, Jabatan Agama Islam Pahang, JAKOA, PERKIM Raub dan PMOA JAKIM berlangsung dalam suasana ceria dan harmoni. 

Mesyuarat di MUIP

Masing-masing membawa semangat yang sama, untuk menjalin kasih, mengukuh ukhuwah dan memperluas dakwah kasih sayang dalam kalangan masyarakat Orang Asli. Di meja mesyuarat yang sederhana itu, kami bukan sekadar bertukar pandangan, tetapi menyatukan niat dan doa agar perjalanan misi ini diberkati Tuhan. 

 Ke KOA Sungai Yol

Selesai mesyuarat, kami meneruskan perjalanan ke KOA Sungai Yol. Jalan menuju ke kampung itu berlekok dan sempit, dikelilingi kehijauan rimba yang sesekali menyingkap pemandangan aliran kecil di tepi jalan. Airnya jernih, mengalir tenang seolah-olah menyambut kedatangan kami. 

Di celah dedaun hutan, suara burung bersahutan, irama alam yang menenangkan jiwa dalam perjalanan yang sederhana namun bermakna. Sesekali kelihatan anak-anak kecil berlari di tepi jalan tanah merah, melambai sambil tersenyum malu, wajah polos yang membawa damai ke dalam hati. 

Timbalan tok batin Medang menyambut kami, tok batin tiada kerana pergi berubat 

Di penghujung jalan, kami disambut mesra oleh Timbalan Tok Batin, iaitu Medang, sosok berwajah teduh dengan senyum yang mengundang hormat. Langkahnya perlahan namun penuh wibawa, mencerminkan seorang pemimpin yang dekat dengan masyarakatnya. 

Tujuan kami jelas, mendapatkan beberapa maklumat tentang penduduk kampung, sebagai persiapan awal untuk menjayakan program yang mendekatkan hati antara masyarakat Islam dan saudara-saudara kita di pedalaman. 

Sambil berbual di serambi rumahnya yang sederhana, angin hutan meniup lembut kain langsir lusuh yang menutupi jendela. Aroma suasana kampung menginjak petang menambah kedamaian. Sesekali mata saya memandang ke arah bukit yang biru di kejauhan, lalu terlintas dalam hati, betapa luasnya kasih Tuhan yang mempertemukan insan-insan dari dua dunia yang berbeza di bawah satu payung rahmah. 

Di tengah kehijauan dan kesederhanaan itu, saya belajar sesuatu yang besar, bahawa dakwah bukan hanya tentang bicara di pentas atau pena di kertas, tetapi tentang hadir dan menghulur tangan dengan kasih. 

Perjalanan ini mungkin sekadar urusan kerja di atas kertas, namun jauh di dasar hati, saya tahu, setiap langkah ke perkampungan ini adalah langkah menuju kasih, menuju pengertian, menuju mahabbah yang sejati.

Monday, 27 October 2025

Makan aiskrim malam di Mixue

Setiap hari bila pulang dari kerja, saya akan melalui deretan kedai moden yang tumbuh seperti cendawan selepas hujan, Mixue, Momoyo, dan macam-macam lagi. Tak jauh pun dari rumah, berjalan kaki pun belum sempat berpeluh. 

Tapi entah kenapa, tak pernah lagi terlintas nak singgah. Mungkin sebab jiwa masih pekat dengan cara hidup generasi X — minum teh panas lebih nikmat daripada makan aiskrim malam-malam. 

Tunggu anak-anak pi order, belasah je apa yang diorang bawa mai 😆

Tapi malam ini lain ceritanya. Anak-anak bersungguh-sungguh mengajak saya dan Ummu Ikhwan ke Mixue. “Makan aiskrim malam-malam?” saya separuh bergurau. Terus teringat zaman kecil dulu, pantang arwah mak nampak kami makan aiskrim waktu malam, katanya “nanti batuk!” Nak makan, tunggu siang esok. 

Aiskrim dulu pun bukanlah sehebat sekarang; cuma ais batu dalam plastik panjang, berperisa sirap, oren, atau jagung, atau perisa bubur kacang. Orang kampung panggil “aiskrim Malaysia.” Tapi nikmatnya, aduh.. tak ada tandingan. 

Akhirnya malam ini saya dan Ummu Ikhwan akur juga dengan ajakan anak-anak. Lagipun, bukan selalu dapat duduk bersama sambil bergelak kecil, menikmati manisnya aiskrim dan lebih manis lagi, masa bersama keluarga. 

“Oh ya, kamu tolong order ya.. Abi dan Ummi ikut aje.” 

Di meja itu, sambil menyedut aiskrim perisa mangga lembut, saya sempat tersenyum sendiri. Zaman berubah, citarasa berubah, tapi kasih dalam keluarga tetap manis, tak pernah cair ditelan waktu.

Perisa mangga

Sembunyikan, biar tangan kanan tidak tahu.. pesan sahabat

foto hiasan

Teringat nasihat seorang teman, agar tidak menonjolkan kerja-kerja kebajikan serta kemanusiaan yang dilakukan. Katanya, biarlah tangan kiri tidak mengetahui kebaikan yang dilakukan oleh tangan kanan. 

Maksudnya biarlah kebajikan yang dilakukan dengan disembunyikan. Saya sekadar tersenyum, tetapi hati kecil turut mengiyakan apa yang dimaksudkannya. Benar sahabatku, terima kasih atas nasihat yang telah menginsafkan hati! 

Dalam berkira-kira, saya menyimpulkan, pada hakikatnya, apa yang saya lakukan bukanlah atas dasar individu atau menonjolkan diri sendiri semata-mata. Tetapi ianya adalah kebajikan bersama Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Ada sebab dan alasan mengapa saya sering tonjolkan aktiviti dan program yang melibatkan NGO kami ini. 

Bagi saya, ada perbezaan yang ketara di antara sesuatu yang dilakukan oleh individu dan kumpulan atau organissasi. Jika dari sudut individu, ia adalah suatu yang boleh diterima, "sembunyikan dan sembunyikan"

Namun, bagi pertubuhan atau organisasi yang bergerak di atas sumbangan orang ramai, setiap program kebajikan perlu ditonjolkan. Mengapa? Ianya agar orang ramai dapat melihat apa yang telah dilakukan dengan setiap sen sumbangan mereka. Malahan, dengan menonjolkan gerak kerja yang dilakukan dapat meraih kepercayaan orang ramai dan korporat untuk terus menyumbang. 

Benar, memang kebaikan yang dilakukan individu perlu ‘didiamkan’. Namun, ulama juga mengharuskan sesuatu kebaikan yang dibuat ditunjukkan kepada orang ramai. Ia tidak lain bertujuan untuk menggalakkan dan memotivasikan orang ramai yang melihat agar mahu turut sama berbuat kebaikan menuai bakti. 

Walau bagaimanapun, perlulah berhati-hati agar tidak terjerumus ke dalam jurang gelap riyak yang membinasakan. Sebesar debu sifat riyak yang berputik, maka ia akan membakar hangus amalan yang dilakukan dan memufliskan diri di akhirat kelak. 

Terima kasih sahabat, akan saya ingat nasihat yang dititipkan. Saya mengambil sebesar manfaat daripadanya. Doakan agar saya dapat menjaga hati daripada sifat-sifat mazmumah. Allahu al-Musta`an. 

“Dan tetaplah memberi peringatan, kerana sesungguhnya peringatan itu memberi manfaat bagi orang-orang yang beriman” (adz-Dzaariyaat: 55)

Sunday, 26 October 2025

Secebis Penat, Selaut Pahala.. Mudah-mudahan

Pagi ini saya ke Megamall, menyertai kempen Derma Darah anjuran Yayasan Amal Malaysia Cawangan Pahang. Sebagai urusetia, tugasan kami bermula seawal pagi, memastikan segalanya berjalan lancar dari awal hingga akhir.

Penat? Memang penat. Semalam baru pulang ke rumah, hari ini sudah merempit semula — merempit manja katanya. Tapi dalam setiap langkah, saya teringat pesan seorang murabbi yang selalu menenangkan jiwa: 

“Jika kamu penat berbuat kebaikan, ingatlah penat itu hanya satu perasaan. Ia akan hilang.. tetapi pahalanya akan terus berpanjangan.” 


Hari ini, biarpun tubuh terasa letih, hati terasa lapang. Gembira melihat wajah-wajah penderma yang datang dengan senyum dan keikhlasan. Bahagia juga bertemu rakan-rakan relawan yang sama-sama berjuang dalam diam, memberi tanpa mengharap balasan. 

Terima kasih kepada semua yang terlibat, pihak Unit Tabung Darah HTAA, para penderma, dan para relawan yang sentiasa ada di barisan hadapan kebaikan. 


Moga setiap titis darah yang disumbangkan menjadi titis kasih yang menyelamatkan nyawa, dan setiap langkah yang kita ayunkan hari ini, menjadi langkah menuju redha-Nya.

Petang, zzz.. zzz.. 

Saturday, 25 October 2025

Kiriman dari Keningau, rezeki petang Jumaat

Petang Jumaat sampai, kebetulan saya di luar kawasan

Petang semalam, waktu sedang sibuk di luar kawasan, masuk mesej daripada Ummu Ikhwan, katanya ada parcel sampai dari Keningau. Dalam hati dah terdetik, “Mesti kiriman daripada cikgu Etuza..” 

Hari ini barulah sempat saya buka bungkusan yang tersusun elok dengan pelekat “FRAGILE” di luar kotaknya. Perlahan-lahan saya koyak pembalut, dan... jeng jeng jeng! 

Mangkuk tingkat merah tu bolehlah Ummu Ikhwan guna

Benar, kiriman istimewa daripada cikgu Etuza — Elcafe Kopi Pracampuran dengan Ginseng dan Moringa, siap dengan satu set mangkuk dua tingkat serta sudu sup. Wah, memang comel dan sungguh bermakna! 

Terima kasih banyak, cikgu Etuza. Moga sentiasa diberkati rezeki dan bahagia bersama keluarga tercinta. 

Oh ya, kengkawan boleh singgah ke blog beliau juga, sentiasa ada entri baharu yang menarik untuk dibaca. Baca blog cikgu Etuza di sini

Misi Di Bumi Andalas (Part 5): Hujung Sebuah Perjalanan

 Part 4 baca di sini

Suasana pagi di Kota Medan dari jendela hotel

Setiap permulaan ada pengakhiran, setiap pertemuan ada perpisahan. Benar kata orang tua, begitulah sunnah perjalanan dunia, tidak ada yang kekal, melainkan kenangan dan doa yang tinggal di hati. 

Pagi itu, hujan renyai turun sejak sebelum subuh. Titik-titik kecil membasahi halaman Hotel Madani, membentuk garis nipis di cermin jendela. Buku catatan saya sedikit basah, namun lembarannya menyimpan rapi jejak misi yang baru berlalu. Di luar sana, Masjid Raya Medan berdiri megah dalam kabus pagi. Saya menatapnya lama, pandangan terakhir sebelum meninggalkan bumi Andalas ini. 

Sebentar lagi, sahabat-sahabat akan datang menjemput kami. Hari ini hari terakhir, dan hati terasa berat,  bukan kerana perjalanan berakhir, tapi kerana setiap langkah di sini telah diwarnai dengan senyuman, doa, dan persahabatan yang sukar dilupakan. 

Cuaca dingin 

Pagi itu kami menuju ke rumah Muien, memenuhi undangan terakhir sebelum pulang ke tanah air. Saya tidak ingat benar di mana lokasinya, cuma tahu masih dalam daerah Kabupaten Deli Serdang. Rumahnya sederhana, namun hangat dengan aura kasih dan keramahan. 

“Silakan.. ini makanan kampung kami. Tak seberapa, tapi dari hati,” ujar Muien sambil meletakkan hidangan di atas meja. 

“Wah, kalau begini tiap hari, memang tak mahu balik, Muien,” saya berseloroh sambil ketawa kecil. Dia turut ketawa, “Kalau tinggal seminggu lagi, bisa tambah berat badan ni."

”Kami makan sambil berbual mesra. Ada lauk ikan bakar, sambal hijau yang menggoda, dan ulam segar yang baru dipetik dari kebun belakang rumah. Setiap suapan terasa berbeza, mungkin kerana ia disertai rasa ukhuwah dan kasih seorang sahabat.

Usai makan, kami berpelukan erat. “Insya-Allah, suatu hari nanti kita jumpa lagi,” kata saya perlahan. 

“Pasti, kalau tak di Medan, di tanah yang lebih indah, di syurga-Nya nanti,” balas Muien dengan mata yang basah. 

Di rumah Muien. Bang Khairul berdiri, pemandu yang banyak berjasa

Langkah kami berat meninggalkan halaman rumah itu. Di sepanjang jalan, hanya bunyi tayar meniti jalan basah dan suara enjin yang mengiringi keheningan. 

Dalam perjalanan menuju ke bandara, pemandu kami, Bang Khairul, sempat bersuara, “Bapak, mungkin mau beli oleh-oleh dulu? Ada toko dekat sini, khas Medan punya."

”Saya tersenyum, menoleh pada sahabat di sebelah. “Boleh juga, kami ikut saja, asalkan sempat sebelum pesawat terbang.” 

Kami berhenti seketika di sebuah kedai, membeli kopi Medan, kain batik, jambu manis dan sedikit kerepek untuk dibawa pulang. Tak banyak, tapi cukup sebagai tanda kenangan dari bumi yang memberi sejuta makna. 

Fatah dan Muien menghantar kami ke bandara. Selamat tinggal bumi Andalas dan orang-orang baik

Jam menunjukkan 2.50 petang ketika kami tiba di Bandara Kualanamu. Deru pesawat bersahutan, dan angin dari landasan terasa di wajah. Tiket di tangan, doa di hati, semoga penerbangan kali ini tidak tertunda. 

Dalam keheningan ruang menunggu, saya membuka semula buku catatan yang kini hampir penuh. Setiap barisnya menulis tentang amanah, persahabatan, dan keindahan memberi. 

Setiap kali misi seperti ini berakhir, hati saya diselimuti rasa sebak. Bukan kerana perjalanan telah tamat, bukan juga kerana ingin segera pulang. Tapi kerana saya tahu, saya baru sahaja berpisah dengan sekumpulan manusia baik, yang hidupnya sederhana tapi hatinya kaya dengan iman. 

Di bumi Andalas ini, saya belajar bahawa memberi itu bukan tentang banyaknya jumlah, tapi tentang seikhlas mana hati yang menghulur. Dan ukhuwah itu.. bukan diukur pada lamanya kenal, tapi pada doa yang terus mengalir selepas berpisah. 

Ketika pesawat mula bergerak meninggalkan landasan, saya menutup mata seketika. Dalam doa, saya bisikkan, “Ya Allah, rahmatilah bumi ini, lindungilah mereka yang telah menyambut kami dengan kasih, dan terimalah segala amal kecil ini sebagai titipan buat-Mu.” 

Langit di luar beransur jingga, dan di situ berakhir satu bab perjalanan. Namun di hati, misi ini tidak pernah benar-benar selesai. Ia terus hidup, dalam ingatan, dalam doa, dan dalam setiap hela nafas yang syukur.

Berakhir sebuah misi.

Friday, 24 October 2025

Misi Di Bumi Andalas (Part 4): Jus Pinang Muda dan Sebuah Malam yang Tenang

Part 3 baca di sini
 

Destinasi terakhir

“Terima kasih kerana menjamu kami, akhi,” saya ucapkan sambil menyalami tuan rumah dengan senyum yang ikhlas. 

“Alhamdulillah, rezeki ini berkah. Moga Allah tambahkan lagi pahala atas kebaikan tuan rumah ini,” saya menyanbung dengan nada lembut. 

Kami meneruskan perjalanan ke destinasi seterusnya. Kali ini, arah kenderaan kami menuju ke Pondok Pesantren Tahfizh Al-Quran & Alim an-Nahl, yang terletak di Gg. Tawon, Desa Sampali, Kecamatan Percut Sei Tuan, masih dalam daerah Kabupaten Deli Serdang. 

Jalanan kampung yang kami lalui berliku, namun indah. Di kiri-kanan, rimbunan semak menghijau dan pepohon kelapa sesekali bergoyang ditiup angin lembut. Suasana kampung Indonesia punya daya tenang yang tersendiri, sederhana tapi damai. 

Kami harus menyelesaikan semua agihan hari ini juga, kerana petang esok kami bakal berangkat pulang ke tanah air. Setibanya di pesantren, kami disambut dengan ramah oleh mua’llim yang telah menunggu di serambi. Senyumannya menyambut kami seolah-olah sudah lama mengenali. 

Gimik penyerahan kepada beberapa pelajar

Acara penyerahan pun dimulakan. Beberapa naskhah mushaf dihulurkan kepada pelajar tahfiz yang dipilih mewakili rakan-rakan mereka. Seperti biasa, sesi dokumentasi dan rakaman foto dilakukan,  bukan untuk menunjuk, tapi sebagai bukti kepada para pewakaf yang telah mempercayakan amanah ini kepada kami. 

Selesai majlis ringkas itu, saya menghela nafas panjang. Ada rasa lega, puas, dan syukur yang bercampur di dada. Teringat kata-kata sahabat saya, “Kita bukan siapa-siapa, tapi Allah bagi peluang jadi penyampai Al-Quran kepada hamba-hamba-Nya.” Sungguh, kata-kata itu berputar lama dalam hati. 

"Terima kasih pewakaf yang dermawan." Jauh disudut hati saya mendoakan kebaikan buat mereka.  

Petang mulai melabuh. Kami bertolak pulang ke hotel penginapan. Dalam perjalanan, kami singgah di sebuah warung kecil di tepi jalan. Walau sederhana, tempatnya cantik, dihias dengan gantungan tanaman hijau dan lampu mentol kecil yang menambah suasana tenang menjelang senja. 

Jus Pinang Muda, boleh cuba komersialkan di Malaysia pula 

Sambil menunggu pesanan minuman, pandangan saya tertarik pada sesuatu di penjuru rak warung: segugus buah pinang muda bergayut di dahan, masih hijau segar. Saya menunjuk ke arah itu, lalu bertanya pada Muien, 

“Eh, kenapa pinang muda tu digantung kat situ, Muien?” 

Dia ketawa kecil. “Itu bahan untuk buat jus.” 

Saya terdiam seketika. “Ha? Jus? Jus pinang muda?” 

Dia mengangguk sambil ketawa lagi. “Iya, di sini orang minum jus pinang muda. Rasanya sedikit manis pahit dan kelat. Tapi pahit dan kelat yang lebih, katanya bagus untuk tenaga dan kesihatan.” 

Saya tersenyum sambil membelek menu yang tertera di hadapan, benar, ada tercatat “Jus Pinang Muda.” 

“Hebat juga orang Medan ni,” saya berseloroh. “Kalau di tempat kita, pinang tu buat nyirih. Di sini jadi minuman pula, tak pening ke nanti.” Kami semua tertawa kecil, menikmati suasana santai di warung yang sederhana itu. Angin petang menghembus lembut, membawa bau kopi dan pinang muda yang baru dikisar. 

Malam itu, di bilik hotel, saya termenung lama di tepi jendela. Lampu-lampu kota Medan berkelip dari kejauhan, seolah-olah mengucapkan selamat tinggal. Hati saya tenang, puas kerana misi kecil ini telah disempurnakan. Dalam diam, saya berdoa agar setiap mushaf yang kami serahkan menjadi pelita yang menerangi hati para santri di sana. 

Entah pukul berapa saya terlelap malam itu. Yang pasti, dalam lena yang perlahan datang, masih terasa hembusan angin Medan — lembut, damai, dan berbau keberkatan.

Bersambung part 5..

Thursday, 23 October 2025

Misi Di Bumi Andalas (Part 3): Jejak di Desa Saentis

Part 2 baca di sini 

 

Destinasi berikutnya

Usai penyerahan mushaf di Pondok Pesantren Terpadu As-Sudaniyyah, kami segera berangkat ke destinasi berikutnya. Tidak boleh berlama-lama, kerana masa bukanlah rakan akrab dalam setiap misi. Ia sentiasa mencemburui, berlari mendahului langkah kami. 

Kenderaan terus meluncur di atas aspal jalanan Medan, menembus kawasan perkampungan dan tanaman menghijau. Angin siang membawa bau tanah yang segar, dan di kejauhan kelihatan anak-anak berbasikal dengan gelak tawa yang menghiburkan. 

Terpaksa menapak membawa mushaf kerana laluan tidak muat kereta

Perjalanan kami kali ini menuju ke Desa Saentis, tepatnya di Gg. Darmin, Kecamatan Percut Sei Tuan, Kabupaten Deli Serdang. Di sanalah terletaknya Pondok Pesantren Tahfizh Alim Anwaruzzain, sebuah institusi yang dikelilingi kehijauan dan kedamaian. 

Setibanya di sana, suasana pesantren menyambut kami dengan sederhana tapi hangat. Wajah-wajah para pelajar, atau dalam bahasa tempatan disebut santri, bersinar dengan senyum yang tulus. Mereka berdiri di halaman, menyambut kedatangan kami dengan penuh adab dan sopan. 

Sebanyak 100 naskhah mushaf Al-Quran diserahkan pada pihak pesantren. Seperti biasa, kami melakukan sedikit gimik penyerahan untuk tujuan dokumentasi dan laporan kepada para pewakaf di tanah air. Namun di sebalik kamera yang merakam, hati kami sebenarnya lebih sibuk menahan rasa haru. Melihat setiap mushaf itu diterima dengan ciuman penuh hormat oleh para santri, terasa betapa besar nilai sekeping kitab suci di tangan mereka. 


Kami sempat beramah mesra bersama para pelajar dan tenaga pengajar. Dalam sebuah ruangan kecil, kami dibawa menyaksikan sesi hafazan, suara-suara muda melantunkan ayat-ayat Allah dengan tartil dan penuh khusyuk. Tidak lama kemudian, mereka pula menghiburkan kami dengan alunan selawat dan qasidah, lembut dan merdu, membuatkan suasana siang itu bertukar menjadi majlis penuh barakah. 

Sebelum bergerak ke destinasi seterusnya, kami memenuhi jemputan Ustaz Fatah, yang rumahnya tidak jauh dari pesantren itu, sekitar dua puluh minit perjalanan. Rumahnya sederhana, tapi sambutannya luar biasa. Hidangan sudah tersedia di atas hamparan di lantai, nasi hangat, ikan bakar berempah, sambal terasi, dan sayur daun ubi tumbuk serta beberapa jenis lauk yang tidak sempat saya tanya namanya, lauk tradisi Medan yang tidak mampu ditolak. 

Di rumah ustaz Fatah yang memangku bayinya, usai menikmati juadah yang tidak mampu ditolak 

Kami makan sambil berbual mesra, berkongsi kisah perjuangan dan rencana dakwah di tanah masing-masing. Di celah suapan, terasa benar nikmatnya ukhuwah, sederhana, tapi membahagiakan. 

Ketika matahari mulai condong ke barat, kami memohon diri untuk ke destinasi terakhir misi hari ini. Perut kenyang, hati pun lapang. Di sepanjang jalan, fikiran saya terbayang wajah para santri tadi,  senyuman mereka, suara hafazan mereka, dan mushaf yang kini menjadi teman baru di perjalanan hidup mereka. 

Dan di situ, saya sedar.. perjalanan ini bukan sekadar tentang memberi, tetapi juga tentang belajar — belajar erti syukur, sabar, dan kecilnya diri di hadapan kebesaran dakwah Allah.

Para santri sedang menghafal 

Bersambung Part 4.. 

Wednesday, 22 October 2025

Misi Di Bumi Andalas (Part 2): Subuh di Kota Medan

Part 1 baca di sini

Subuh di hadapan Masjid Raya Al-Mashum atau Masjid Raya Medan

Dinihari itu, sebelum matahari menyingsing, kedengaran alunan ayat-ayat suci dari corong pembesar suara Masjid Raya Al-Mashun (turut dikenali Masjid Raya Medan), masjid megah yang berdiri anggun di hadapan hotel penginapan kami. 

Suaranya meresap lembut ke dalam hati, menimbulkan rasa tenang yang sukar digambarkan. Dari jendela bilik, saya memerhati suasana sekitar yang mulai hidup; beberapa jemaah berjalan perlahan menuju ke masjid, udara pagi Medan terasa sejuk dan nyaman. Waktu subuh di sini sekitar jam 4 lebih.

Usai solat Subuh, kami bersiap untuk hari yang bakal padat dengan urusan misi. Sarapan pagi disediakan di hotel, Hotel Madani, yang memang terkenal dalam kalangan musafir Muslim. Menu ringkas tapi mengenyangkan, cukup untuk memberi tenaga buat memulakan perjalanan. Setidaknya, dapatlah berjimat sedikit kerana sarapan termasuk dalam pakej penginapan. 

Selesai makan, kami menunggu Fatah dan Muien datang menjemput. Hari ini, rancangan kami ialah membeli mushaf Al-Quran untuk diagihkan kepada beberapa pesantren sekitar pinggir Kota Medan. Tak lama kemudian, mereka tiba dengan senyum yang sama seperti semalam, wajah penuh semangat dan keikhlasan yang terasa dari hati. 

Sesi tawar menawar bermula untuk mendapatkan harga terbaik

Kami dibawa ke sebuah toko buku Islam yang terkenal di kota ini, menjual pelbagai kitab, tafsir dan mushaf dalam pelbagai reka bentuk. Kira-kira dalam 20 minit kami pun memberhentikan kenderaan di hadapan Toko Buku & Kitab Sumber Imu Jaya yang terletak di Jalan Riau Gg, Buntu Kecamatan Medan Timur. Saat menoleh himpunan kutub di toko ini, saya teringat kedai buku Jaaffar Rawas di Kota Bharu Kelantan. 

Di sana bermulalah sesi yang panjang, meneliti, memilih dan menawar harga. Akhirnya, setelah berbincang dengan pemilik toko yang sangat ramah, kami berjaya mendapatkan 250 naskhah mushaf Al-Quran dengan harga yang berpatutan. 

Di Indonesia, ada mushaf khas untuk kegunaan pelajar pesantren atau tahfiz yang berbeza dengan mushaf bacaan umum. Setiap mushaf telah dicop print "TAHFIDZ" dengan 18 baris per halaman juga disebut membantu dalam menghafal. 

Selain itu curu-ciri mushaf ini memuat ketentuan tajwid, adab dan doa-doa, khat dan susunannya lebih kemas, dan disertai terjemahan di tepi halaman yang membantu tadabbur. Sungguh menarik, setiap naskhah bukan sekadar buku, tapi alat untuk menanam kalam Allah dalam dada generasi muda. 

Destinasi Pertama 


Selesai urusan jual beli, kami terus bergerak menuju destinasi pertama: Pondok Pesantren Terpadu As-Sudaniyyah yang terletak di Kelurahan Indra Kasih, Kecematan Medan Tembung. Perjalanan mengambil masa hampir sejam, melewati kawasan pinggiran kota yang hijau dan tenang. 

Setibanya di sana, kami disambut dengan wajah-wajah ceria para pelajar dan tenaga pengajar. Sebanyak 100 naskhah mushaf diserahkan pada pihak pesantren. Sebagai tanda kenangan dan dokumentasi untuk para pewakaf di tanah air, kami adakan sedikit gimik penyerahan, beberapa pelajar dipanggil ke hadapan untuk menerima mushaf pertama daripada kami. 

Beramah mesra dan btukar-tukar fikiran dengan mudir tahfidz

Saat mushaf itu bertukar tangan, ada getar halus di dada. Terasa seolah-olah amanah itu berpindah dari satu tangan ke tangan yang lain, dari pewakaf yang dermawan, melalui kami sebagai perantara, lalu sampai kepada mereka yang akan menjadikan kalam Allah itu teman sepanjang hayat. 

Wajah-wajah muda itu tersenyum, mata mereka bercahaya. Dan di tengah suasana sederhana itu, saya tahu, misi kecil kami telah pun mula meninggalkan jejak di bumi Andalas 

Bersambung part 3.. 

Tuesday, 21 October 2025

Misi Di Bumi Andalas (Part 1): Permulaan Perjalanan

Bermula perjalanan

Pesawat kami dijadualkan berlepas tepat jam tiga petang. Langit di luar jernih, sesekali berarak awan nipis yang kelihatan tenang, seolah-olah turut mendoakan perjalanan kami. Hari ini saya dan seorang sahabat seperjuangan berangkat membawa misi kecil tapi besar maknanya — agihan mushaf Al-Quran ke bumi Medan, Indonesia. 

Selesai pengumuman dibuat, kami melangkah ke perut pesawat dengan hati yang sarat harapan. Deruman enjin mula menggema, lalu tubuh besi itu perlahan-lahan meninggalkan tanah air. Dari jendela kecil, saya menikmati pemandangan lautan awan yang membentang putih, bagai kapas suci yang menenangkan jiwa. 


Sekitar sejam kemudian, pesawat mendarat dengan selamat di Bandara Internasional Kualanamu, yang menjadi pintu masuk utama ke bumi Sumatera Utara. Di balai ketibaan, dua sosok yang amat saya kenali sudah menunggu dengan senyum lebar. 

“Alhamdulillah, akhirnya jumpa juga, akhi!” ujar salah seorang sambil merangkul erat bahu saya. Fatah namanya.

“Sudah lama kita tak bersua sejak di Pahang, ya,” sahut seorang lagi yang bernama Muien, matanya redup penuh kenangan. 

"Mana Huzaifah?" Saya bertanya. Sepatutnya mereka bertiga yang menyambut kami. 

Mereka bertiga pernah menuntut di sebuah maahad tahfiz di negeri Pahang, sahabat seperjuangan dalam jalan ilmu dan dakwah. Pertemuan semula ini terasa seperti menyambung helaian lama yang pernah terhenti. 

"Huzaifah tak dapat datang, dia berada di luar kota, ada urusan." jelas Muien. Fatah di sebelahnya mengiakan. "Huzaifah kirim salam," sambungnya lagi. 

Sulthan Coffee dari lantai atas

Kami dibawa menikmati juadah petang di sebuah kedai yang cukup unik, Sulthan Coffee, namanya. Kami naik lantai atas yang dilengkapi dengan meja dan kerusi bernuansa warna oren. Suasananya sederhana, namun aromanya menggoda: nasi uduk hangat, sambal pedas yang membangkitkan selera, jus alpukat yang menyejukkan tekak dan secangkir kopi Medan yang harum pekat menutup hidangan. 

Usai makan, mereka menghantar kami ke hotel yang sudah ditempah lebih awal dari Malaysia. Sebuah penginapan sederhana, namun cukup selesa untuk melepas lelah, bernama Madan Hotel. 

Malam itu, saya rebahkan diri di katil dengan hati yang lapang. Di luar, angin malam Medan berbisik lembut di celah jendela. Esok, misi pengagihan mushaf akan bermula, ke pondok-pondok tahfiz dan pesantren yang menanti dengan penuh harap. 

Dalam diam, saya berdoa, semoga setiap helaian Al-Quran yang sampai nanti menjadi cahaya penunjuk bagi ummah di sini.

Bersambung Part 2.. 

Friday, 17 October 2025

Thank you Allah..

Malam datang dengan tenangnya. Selepas seharian berbasikal pagi dan petang, badan terasa ringan, peluh yang keluar bagaikan mencuci segala lelah. 

Kini saya duduk di beranda rumah. Angin malam menyapa perlahan, membawa bunyi cengkerik dan sesekali burung tukang bersahut. 

Lampu jalan jauh kelihatan suram. Suasana hening, hanya ditemani bunyi alam. Dalam hati terasa syukur, kerana masih diberi kesihatan untuk bergerak, masih ada peluang menikmati kehidupan begini, sederhana tetapi cukup membahagiakan.

Malam ini saya pejam mata dengan rasa tenang, berharap esok pagi masih berpeluang kayuh lagi.

Wednesday, 15 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 3): Keramahan Penghuni Rumah ini

Baca di sini Part 2

foto hiasan ~ sumber

Angin petang berhembus lembut, membawa bersama bunyi cengkerik yang mula bersahut-sahutan. Cahaya matahari semakin condong arah ke barat. 

“Cantik sungguh kampung ini ye, Pak Andak” aku bersuara perlahan. Dia mengangguk, senyum nipis terukir di bibirnya. 

“Dari dulu, begitulah adanya Kampung Permatang ni Zahran. Tanahnya subur, air sungainya jernih, orangnya baik-baik..” dia berhenti sejenak, menyedut rokok daun ditangannya. 

"Andai kamu lihat pemandangan Kota Melaka pula, pasti.." 

Tiba-tiba kedengaran suara lembut memberi salam dari luar rumah. Suara itu bening, seolah-olah datang bersama hembusan angin petang yang menyapa lembut di beranda. 

 “Assalamualaikum..” 

Kami menoleh hampir serentak. Seorang gadis melangkah perlahan melewati tangga rumah, menundukkan wajah dengan sopan. Kain sarung yang diselimpangkan di kepala menutupi hampir separuh wajahnya, namun dari gerak langkahnya yang tertib dan suaranya yang halus, tergambar keperibadian yang santun. 

“Kamu dari mana, Seri?” tegur Pak Andak dengan nada lembut seorang ayah yang penuh kasih. 

“Dari rumah Mak Ngah, ayah. Tolong Mak Ngah menumbuk padi." 

"Mana adik kamu?" Pak Andak bertanya lagi. 

"Busu ada di bawah, menghalau ayam masuk reban. Seri masuk dulu ya, ayah..” Suaranya jernih dan teratur, bagai alunan dari zaman lain. 

Pak Andak tersenyum sambil memandangku sekilas. “Itulah anakku, Seri Seroja namanya.” 

Aku mengangguk perlahan, namun dalam hati terasa sesuatu yang aneh, nama itu bergema indah, Seri Seroja - berputar lembut di dalam fikiranku. 

Seri Seroja melangkah masuk ke dalam, dan sesaat kemudian hanya tinggal bayang kain sarungnya yang beralun di pintu. Namun entah mengapa, kehadirannya meninggalkan kesan yang sukar kuungkap, seperti sehelai kenangan yang baru tersentuh oleh waktu. 

Seri Seroja, seorang gadis dalam lingkungan sembilan belas tahun, berwajah ayu dan manis, persis wanita-wanita Melayu lama yang hanya wujud dalam lukisan dan sejarah. Wajahnya lembut, penuh sopan, dan tenangnya bagai bunga tanjung yang gugur perlahan. Siapa pun yang memandang, pasti jatuh hati tanpa sedar. 

Dan seorang lagi bernama Busu Ariffin, adik lelaki kecil dalam lingkungan sepuluh tahun, ceria dan banyak bertanya. 

“Ayah, siapa ni?” tanya Busu sambil berlari ke sisi Pak Andak. 

“Orang singgah, nak. Kita layan sebagai tetamu.” 

Busu segera menyua tanggannya kepadaku untuk bersalam, dengan senyum dan seribu soalan, membuatkan aku hampir terlupa akan kerisauan yang bersarang dalam benak. 

Kopi panas dan lepat pisang Mak Andak Rukiah

foto hiasan ~ sumber

Tidak lama selepas itu, Mak Andak Rukiah muncul dari dapur membawa dulang yang ditutup tudung saji anyaman daun mengkuang pandan. 

Dua cawan kopi panas berasap dan sepinggan kuih lepat pisang yang masih hangat berbalut daun. Aroma kopi kampung itu menampar lembut deria, berpadu dengan bau daun pisang yang lembab. harum dan mengasyikkan, sebagai hidangan petang. 

“Makanlah, Zahran. Jangan malu-malu,” ujar Mak Andak dengan senyum yang tulus. “Lepat pisang ni Mak Andak buat sendiri, baru kukus tadi.” 

Aku mencapai sepotong lepat itu. Daun pisangnya masih lembap dan panas. Bila dibuka, harumnya seolah memanggil ingatan lama, pada zaman kecil, pada tangan seorang ibu yang juga pandai membungkus kasih dalam sehelai daun. 

Seri Seroja melintasi kami untuk ke dapur, sempat menunduk sopan. Sekilas, aku terpandang matanya, teduh, tapi ada sesuatu di situ, sesuatu yang membuat aku tertanya-tanya sama ada aku sedang melihat masa lalu.. atau masa depan. 

“Berehatlah dulu, Zahran,” ujar Pak Andak memcah lamunan pendekku. “Kau rehat, malam ni tidur di sini. Esok kita fikir nak ke mana.” 

Aku angguk perlahan. Jiwaku masih dilanda goncangan halus, antara percaya dan tidak aku terperangkap di negeri Melaka pada abad ke 15. Tetapi keramahan penghuni rumah ini.. bagai menenangkan badai yang belum bernama. 

Bersambung Part 4 

Tuesday, 14 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 2): Hujung Desa, Tempat Aku Belajar Menjadi Siapa

Baca di sini Part 1

foto hiasan ~ sumber

Aku mengekori Pak Andak menuju ke rumahnya. Langkahnya tenang, sesekali disulami senda gurau tentang hal kampung. Aku lebih banyak mendengar, membiarkan suaranya yang parau lembut itu mengisi ruang sore yang nyaman. 

Mataku melingas kiri dan kanan, rumah beratap nipah, anak-anak bermain di batas sawah, sekawan itik beriringan menuju paya dan aku perasan kebanyakan lelaki di sini menyisip keris di pinggang. Semuanya terasa asing, seolah-olah aku sedang menapak di dalam lembaran sejarah yang hidup kembali.

Aku tahu orang di sini juga melihat aku dengan perasaan yang asing. Maklumlah cara berpakaian dan perwatakanku cukup berbeza dengan mereka.   

“Singgah dulu, Andak!” jerit satu suara dari sebuah warung beratapkan daun rumbia. Di hadapannya beberapa orang tua sedang menghirup kopi panas, asapnya menari-nari di udara. 

Pak Andak menoleh sambil tersenyum, “Lain kalilah, Awang.. aku ada tetamu dari jauh hari ni.” 

“Dari jauh ya?” sahut Awang, separuh teruja. “Jauh mana tu, Andak? Dari hulu sungai ke, atau dari pulau seberang?” 

Pak Andak ketawa kecil, menepuk bahuku. “Ha.. yang tu rumahku.” Pak Andak menudingkan jarinya ke sebuah rumah yang berbumbung panjang tebar layar.

Dalam kepalaku ligat berfikir, “Kampung bunian mana pula aku sampai ni..” 

Rumah Pak Andak yang damai

foto hiasan ~ sumber

Rumah Pak Andak Musa terletak di hujung jalan tanah merah, hampir mencecah kaki hutan yang rimbun. Rumah kayunya berdiri megah di atas tiang tinggi, berdinding papan tebal berwarna kelabu tua, beranda luasnya dihiasi ukiran awan larat yang halus, seolah-olah tangan tukang zaman silam menitipkan doa di setiap lengkung ukiran itu. 

Dari situ, mataku memandang jauh ke belakang rumah, sawah menghijau terbentang seperti hamparan sutera, dan di kejauhan, bukit-bukau berbalam dalam kabus petang. Cantik. Ya, terlalu cantik hingga aku terpaku seketika, seolah sedang memandang lukisan yang hidup. 

Sebaik melangkah naik ke rumah, seorang perempuan separuh usia menyambutku dengan senyum lembut yang terasa benar keikhlasannya. 

“Ini isteriku, Mak Andak Rukiah,” ujar Pak Andak perlahan. “Kita ada tetamu hari ini.” 

Mak Andak mengangguk, lalu berlalu ke dalam rumah. Tidak lama kemudian, beliau muncul kembali dengan sebuah tepak sirih tembaga yang berkilau disinari cahaya petang. Ukirannya halus, bunga timbul dan kerawang berpintal rapi, seakan menyimpan cerita lama yang tidak terucap. 

“Makanlah sirih, tanda selamat datang,” katanya lembut sambil menyua tepak sirih berisi cembul ke arahku. 

Aku mencapai sehelai daun sirih, secalit kapur, dua piak pinang dan secubit gambir, tangan ini bergerak seolah-olah sudah biasa melakukannya. Semua ramuan itu dilipat-lipat lalu kumasukkan ke dalam mulut. Saat kunyahan pertama, tiba-tiba terlintas wajah arwah nenek, dengan tepak sirihnya yang hampir serupa, yang dulu aku hanya pandang tanpa mengerti maknanya. 

Kini, dalam rumah kayu yang asing ini, aku seperti kembali ke pangkuan masa lalu yang tak pernah aku alami, namun entah mengapa terasa sangat dekat di hati. 

Bersambung part 3.. 

Monday, 13 October 2025

Pengembaraan Masa (Part 1): Lintasan Asar di Jalan Lama

foto hiasan ~ sumber

Petang itu aku dalam perjalanan pulang ke kampung kerana urusan keluarga. Lebuhraya penuh sesak, deretan kenderaan seolah-olah tidak berkesudahan. Maklumlah cuti sekolah dah pun bermula. 

Aku mengambil keputusan untuk meninggalkan hiruk-pikuk itu, lalu membelok memasuki susur keluar ke jalan lama. Jalan yang sunyi dan berliku, menyusuri pinggir hutan dan desa yang seakan dilupakan masa. 

Roda kenderaan terus berputar tenang membelah aspal jalan. Di kiri dan kanan terbentang kehijauan hutan. Sesekali aku terlihat rumah kayu yang uzur di tepi jalan, dindingnya condong, namun diserambinya masih tergantung pasu bunga orkid yang mekar. 

Cuaca panas terik, dan perut terasa kosong. Di tepi jalan, aku terlihat sebuah surau kecil berusia, beratap zink dan berdinding papan lusuh. Terselit di celah pokok cengal dan senduduk yang merimbun, seolah-olah menyambut sesiapa yang singgah. 

Aku berhenti, mengambil wuduk dan menunaikan solat Zohor. Usai solat, aku baring sebentar di saf belakang, hanya mahu melepaskan lenguh dan memejam mata sejenak. 

Hanya sejenak, fikirku. Tetapi.. aku terlelap. 

Pemandangan asing 

foto hiasan ~ sumber

Tiba-tiba bahuku terasa digoncang perlahan. Dan saat mata ini terbuka semula, satu pemandangan yang asing. Suasana dalam surau itu telah berubah, tidak seperti surau yang kusinggah tadi. 

Aku menggosok pelupuk mata beberapa kali untuk menjelaskan pandangan. Ah.. surau ini, atapnya bertumpang tiga dan dibuat daripada ijuk. Berdinding kelarai bertam dianyam cantik. Unik. Menjadikan suasana dalam surau ini damai dan sejuk. 

“Aku bermimpi..?” hati tertanya-tanya. 

Langit di luar kelihatan sedikit kelam, seperti sudah menghampiri waktu Asar. Di sekelilingku ada beberapa orang jemaah.. tetapi mereka tidak seperti orang biasa. Pakaian mereka seakan baju Melayu lama, berkain pelikat yang dililit tinggi, berbaju tanpa kolar, dan kepala dililit kemas destar. Wajah mereka tampak tenang, tapi asing. 

Aku bingung. Mencari telefon.. tiada. Beg sandangku pun tiada di sisi. 

Tiba-tiba seorang pakcik tua berjanggut nipis putih mendekatiku, dengan senyum mesra dan pandangan yang dalam. 

“Anak, bangunlah… Asar hampir masuk. Kita solat berjemaah, ya?” tuturnya, lembut. 

Dalam keadaan terpisat-pisat, aku bangun perlahan, tubuh terasa ringan tapi minda berkabut. Aku hanya mengangguk. 

Seorang anak muda melaungkan azan. Suaranya merdu, bergema dalam ruang papan itu. Suara itu bukan dari zaman ini, getus hatiku.. 

Usai solat, pakcik tadi menghampiriku semula. “Namaku Musa, orang kampung memanggilku Pak Andak Musa. Aku lihat anak ini bukan orang sini, ya?” 

Aku menggaru kepala. “Er… saya… sebenarnya saya…” Sulit untuk aku menjelaskan. 

“Tak mengapa. Jangan gelisah. Allah tentukan segalanya.” 

Beberapa orang jemaah yang berjalan keluar, seraya melemparkan senyuman kepadaku. Lalu kubalas senyuman mereka walaupun dengan perisa yang agak kebingungan. 

"Siapa namamu anak muda?" sambungnya lagi. 

"Err.. Zah.. Zahran.." 

Dia merenungku lama, lalu tersenyum lagi. 

foto hiasan ~ sumber

“Marilah Zahran ikut aku pulang. Rumahku tidak jauh dari sini. Tak elok dibiarkan orang asing bersendiri. Kalau lapar, makan. Kalau penat, berehat. Kampung ini.. terbuka untuk sesiapa yang jujur langkahnya.” Tuturnya lembut, tersusun. Lenggok bahasa orang lama yang pernah aku dengar dalam filem-filem klasik di kaca televisyen. 

Aku termangu. Dunia ini terasa kabur, seakan mimpi. Tapi tangan Pak Andak yang menyentuh bahuku terasa benar. Hangat. Manusia. Ya, manusia.. 

“Baiklah, Pak Andak…” kataku perlahan. 

Aku melangkah keluar dari surau lalu mengikuti langkahnya. Dan tanpa aku sedar, aku telah melangkah masuk ke dalam sejarah. 

Bersambung part 2..