Monday, 12 April 2021

Menjelang Ramadhan

Kita telah pun berada di hari-hari terakhir bulan Sya'ban. Bermakna dalam beberapa hari lagi kita akan memasuki gerbang Ramadhan yang dirindui. Saya percaya orang beriman pasti merasa gembira dengan kedatangan bulan yang diberkati ini.

Alhamdulillah, Ramadhan tahun ini terdapat sedikit kelonggaran berbanding tahun lalu. Keputusan pihak berkuasa membenarkan solat tarawih dilakukan di masjid dan surau walaupun masih mengekalkan penjarakan, namun ia amat melegakan. Begitu juga dengan amalan tadarus dibenarkan dengan mematuhi SOP yang telah digariskan.

Walaupun demikian, tazkirah tarawih masih tidak dibenarkan lagi di tempat saya (negeri Pahang). Terkilan juga rasa dihati dengan arahan tersebut, memandangkan bazar Ramadhan diberi kebenaran pula. Ramai kalangan sahabat saya terpaksa membatalkan jadual kuliah mereka setelah dari awal menyusunnya. 

Terdengar beberapa rungutan kurang berpuas hati dengan apa yang berlaku. Apa boleh buat,  keputusan pihak berkenaan wajib dipatuhi. Mereka mempunyai alasan yang tersendiri. Moga apa yang telah diputuskan menatijahkan kebaikan kepada semua.

Kadang-kadang sambil mengelamun seorang diri, teringat suasana Ramadhan dulu-dulu. Bilakah agaknya senua ini akan berakhir. Bilakah kita semua akan dapat menjalani kehidupan seperti sediakala. Entahlah saya tidak mampu menjawabnya. 

Namun saya percaya semua ini pasti akan berakhir, kerana Tuhan tidak menurunkan sesuatu penyakit melainkan bersama penawarnya. Bilakah masa ia akan berakhir? Hanya Dia yang Maha Mengetahui. 

Saya yakin..

4 comments:

  1. Assalam moga ustaz n famili sht sejhtera..insyaaAllah mudahan dpt nikmati rahmat Ramadan walau apa situasinya

    ReplyDelete
  2. selamat menyambut bulan ramadhan 1442 ustaz, alhamdulillah tahun ini solat tarawih dah dibenarkan di lakukan di masjid dan surau, malam tu terasa meriah tak sunyi macam tahun lepas

    ReplyDelete
  3. Salam ramadan dan selamat berpuasa

    ReplyDelete
  4. In shaa Allah... semuanya akan baik-baik saja. Alhamdulillah masih dapat berterawih walaupun di rumah. Daerah kami sekarang PKP.

    ReplyDelete