Monday, 5 April 2021

Persoalan puasa (1)

1 - Soalan: 

Apakah hukum memakan pil kecil diletak di bawah lidah untuk orang yang gila atau sakit jiwa? 

Jawapan: 

Orang yang gila atau sakit jiwa yang membawa kepada pengsan dan seumpamanya, memerlukan penggunaan pil kecil yang diletakkan di bawah lidahnya hingga menjadi tenang. Dalam hal ini, sebahagian ulama menganggap hukumnya tidak batal puasa kerana ia bukan bersifat makanan dan mengenyangkan, tetapi ubat yang tidak sekali-kali menghilangkan lapar dan dahaga. Hal ini diharuskan. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal.73). Walaupun begitu, amat perlu ditanya kepada pakar perubatan untuk mengetahui implikasi dan kesan jika mengambil atau tidak ubat tersebut. 

 

2 - Soalan: 

Apakah hukum berbekam pada masa puasa? 

Jawapan: 

Berbekam pada siang hari pada bulan Ramadan menjadi khilaf. Yang masyhur dalam kalangan ramai sahabat dan tabiin bahawa ia tidak batal puasa berdasarkan kepada nas. Dikatakan Sa’d bin Abi Waqas R.A melakukan bekam. Begitu juga al-Zubair bin al-Awwam R.A, Ummu Alqamah dan lain-lain. Kecualai Imam Malik dan Abu Hanifah menganggap berbekam hukumnya batal puasa. Manakala Ata’ berpendapat, wajib kifarah. 

Pendapat yang masyhur adalah jumhur yang tidak makruh berbekam jika tidak membawa kelemahan kepada orang yang berpuasa. Lihat Su’alat al-So’imin, (hal. 65-66). Saya (peng.) lebih cenderung kepada pendapat supaya tidak berbekam ketika berpuasa untuk keluar dari sebarang khilaf. 

 

3 - Soalan 

Apakah hukum meletakkan minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit.

Jawapan: 

Meletakkan atau melumuri minyak atau sesuatu pada gigi yang sakit, sekalipun yang berpuasa merasainya pada halkumnya, tidaklah batal puasanya. Inilah fatwa yang dikemukakan oleh Syeikh Hasanain Makhluf (Mantan Mufti ad-Diyar al-Misriyyah). Saya (peng.) sependapat dengan fatwa mantan Mufti Mesir ini. Ini kerana ia termasuk dalam darurat dan bukan bersifat makan dan minum.

2 comments:

  1. assalam moga ustaz n famili sht sjhtra...alhamdulillah perkongsian ilmu bermmanfaat tksh

    ReplyDelete
  2. terima kasih untuk perkongsian ustaz... selain soalan ini kalau sekarang soalan paling ramai orang tanya mesti tentang ambil vaksin adakah batal puasa atau tidak hehehhe... kalau fikir logik memangla tak batal tapi kalau ada niat memang tak nak puasa memang macam-macam alasan akan dicari

    ReplyDelete