Wednesday, 10 February 2021

Perihal Dajjal (1)

Sebagaimana yang kita ketahui, Dajjal merupakan fitnah yang paling dahsyat yang akan berlaku di akhir zaman. Oleh itu, Nabi saw sentiasa memberi pesanan kepada umatnya agar berjaga-jaga dengan fitnah ini. 

Doa ini sering diucapkan Rasulullah saw dalam tasyahud akhir sebelum salam. Doanya seperti berikut: 

 اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عَذَابِ جَهَنَّمَ ، وَمِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَمَاتِ ، وَمِنْ شَرِّ فِتْنَةِ الْمَسِيحِ الدَّجَّالِ 

"Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu dari siksa jahannam, dari fitnah kubur, dari fitnah kehidupan dan kematian, dan dari fitnah al-masikh ad-Dajjal." (Muslim dari Anas dan Abu Hurairah). 

Definisi Dajjal 

Bagi menjawab persoalan di atas, kami mulakan terlebih dahulu dengan definisi Dajjal. Kata Dajjal (دجال) berasal dari kata dajala, artinya, menutupi (sesuatu). Kamus Lisan al-’Arab mengemukakan beberapa pendapat mengapa disebut Dajjal.

• Kerana ia adalah pembohong yang menutupi kebenaran dengan kepalsuan. 
• Kerana menutupi bumi dengan bilangannya yang besar. 
• Kerana ia menutupi manusia dengan kekafiran. 
• Kerana ia tersebar dan menutupi seluruh muka bumi. 

Dajjal dari sudut bahasa bermaksud menutup akan sesuatu. Ini kerana, Dajjal antara sifatnya adalah al-Kazib (pendusta) dan pendustaan adalah menyembunyikan atau menutupi akan sesuatu. 

Selain itu, Dajjal juga bermaksud menyembunyikan kebenaran dan membuat tipudaya terhadap manusia serta menampakkan kecantikan pada perkara yang bathil. Dajjal juga datang dalam sighah (acuan) mubalaghah (melampau) iaitu “فَعَّال” kerana Dajjal ini banyak melakukan pendustaan dan tipudaya. 

Manakala dari sudut istilah pula, Dajjal boleh dikenali dengan beberapa sifat yang dikhabarkan oleh Baginda saw melalui hadith-hadithnya. Antaranya ialah: 

• Seorang manusia. 
• Rambutnya kerinting dan kusut masai. 
• Sebelah daripada matanya buta.
• Tertulis pada dahinya كفر (kufur). 

Nas Hadis Berkenaan Dajjal 

Daripada Anas bin Malik ra beliau berkata, sabda Rasulullah saw:

 الدَّجَّالُ مَمْسُوحُ الْعَيْنِ مَكْتُوبٌ بَيْنَ عَيْنَيْهِ كَافِرٌ... 

Maksudnya: “Dajjal itu matanya terhapus (seolah-olah tidak bermata), tertulis di antara kedua matanya kafir… Riwayat Muslim (7550) 

Daripada Abdullah ibn Umar r.anhuma beliau berkata, sabda Rasulullah saw:

 بَيْنَا أَنَا نَائِمٌ رَأَيْتُنِي أَطُوفُ بِالْكَعْبَةِ فَإِذَا رَجُلٌ آدَمُ سَبْطُ الشَّعَرِ بَيْنَ رَجُلَيْنِ يَنْطُفُ رَأْسُهُ مَاءً فَقُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا ابْنُ مَرْيَمَ . فَذَهَبْتُ أَلْتَفِتُ فَإِذَا رَجُلٌ أَحْمَرُ جَسِيمٌ جَعْدُ الرَّأْسِ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ قُلْتُ مَنْ هَذَا قَالُوا هَذَا الدَّجَّالُ ، أَقْرَبُ النَّاسِ بِهِ شَبَهًا ابْنُ قَطَنٍ 

Maksudnya: “Ketika aku sedang tidur, aku melihat diriku bertawaf di Ka’bah. Tiba-tiba (aku melihat) seorang lelaki yang berkulit sawo matang, berambut lurus (berada) diantara dua lelaki. Kepalanya (seperti) menitiskan air. Aku bertanya: “Siapakah orang ini?” Mereka menjawab: “(Isa) putera Maryam.” Kemudian aku menoleh dan (melihat) seorang lelaki berkulit merah, bertubuh besar, berambut keriting, cacat mata kanannya, seakan-akan matanya seperti sebutir anggur yang menonjol keluar. Aku berkata: “Siapa ini?” Mereka berkata: “Ini ialah Dajjal!” Orang yang paling mirip dengannya ialah Ibnu Qathn[1].” Riwayat al-Bukhari (6508) 

Daripada Ibn ‘Umar r.anhuma, bahawa Rasulullah saw menceritakan Dajjal di tengah-tengah manusia, lalu beliau bersabda:

 إِنَّ اللَّهَ لَيْسَ بِأَعْوَرَ ، أَلا إِنَّ الْمَسِيحَ الدَّجَّالَ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُمْنَى كَأَنَّ عَيْنَهُ عِنَبَةٌ طَافِيَةٌ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak buta sebelah, dan ketahuilah sesungguhnya al-Masih al-Dajjal adalah buta mata sebelah kanannya. Matanya bagaikan anggur yang terjuntai.” Riwayat al-Bukhari (3184) 

Dalam satu hadis yang panjang, yang diriwayatkan daripada Nawwas ibn Sam’an ra, beliau berkata: Rasulullah saw menyebut dalam menyifatkan Dajjal dalam sabdanya:

 إِنَّهُ شَابٌّ قَطَطٌ عَيْنُهُ طَافِئَةٌ كَأَنِّى أُشَبِّهُهُ بِعَبْدِ الْعُزَّى بْنِ قَطَنٍ 

Maksudnya: Sesungguhnya dia (Dajjal) itu ialah seorang pemuda, yang rambutnya keriting, matanya menonjol ke depan. Aku perumpamakan dia dengan Abdul ‘Uzza Ibni Qathn. Riwayat Muslim (7560) 

Daripada ‘Ubadah bin al-Samit ra, Rasulullah saw bersabda:

 إِنِّي قَدْ حَدَّثْتُكُمْ عَنِ الدَّجَّالِ حَتَّى خَشِيتُ أَنْ لاَ تَعْقِلُوا ، إِنَّ مَسِيحَ الدَّجَّالِ رَجُلٌ قَصِيرٌ ، أَفْحَجُ ، جَعْدٌ ، أَعْوَرُ مَطْمُوسُ الْعَيْنِ ، لَيْسَ بِنَاتِئَةٍ ، وَلاَ حَجْرَاءَ ، فَإِنْ أُلْبِسَ عَلَيْكُمْ ، فَاعْلَمُوا أَنَّ رَبَّكُمْ لَيْسَ بِأَعْوَرَ 

Maksudnya: “Sesungguhnya aku telah menceritakan mengenai Dajjal kepada kamu hingga aku khuatir kamu tidak lagi mampu memahaminya. Sesungguhnya Masih al-Dajjal itu seorang lelaki yang pendek, berkaki bengkok, berambut kerinting, buta sebelah matanya, tidak terlalu tersembul dan tidak pula terlalu tenggelam. Jika kamu merasa bingung, ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu Tabaraka wa Ta’ala tidak buta sebelah.” Riwayat Abu Daud (4320) dan Ahmad (2344) 

Daripada Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda:

 وَأَمَّا مَسِيحُ الضَّلاَلَةِ ، فَإِنَّهُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ ، أَجْلَى الْجَبْهَةِ ، عَرِيضُ النَّحْرِ ، فِيهِ دَفَأٌ 

Maksudnya: “Adapun Masih al-Dhalalah (Dajjal), maka sesungguhnya dia buta sebelah matanya, dahinya lebar, dadanya bidang dan badannya agak bongkok.” Riwayat Ahmad (7892) 

Daripada Huzaifah ra, Rasulullah saw bersabda:

 الدَّجَّالُ أَعْوَرُ الْعَيْنِ الْيُسْرَى ، جُفَالُ الشَّعَرِ ، مَعَهُ جَنَّةٌ وَنَارٌ ، فَنَارُهُ جَنَّةٌ وَجَنَّتُهُ نَارٌ 

Maksudnya: “Dajjal itu cacat matanya yang kiri, kerinting rambutnya, bersamanya syurga dan neraka. Nerakanya ialah syurga dan syurganya ialah neraka.” Riwayat Muslim (7474) dan Ibn Majah (4071)

Mengapakah Tidak Disebut Lafaz Dajjal di dalam al-Qur’an? 

Bagi menjawab persoalan ini, kami ingin memetik jawapan daripada sebuah kitab yang membincangkan berkaitan tanda-tanda Kiamat. Para ulama’ telah menjawab persoalan ini dengan beberapa jawapan. Antaranya: 

Pertama: Dajjal disebut atau terkandung di dalam beberapa ayat al-Qur’an. Contohnya: 

Firman Allah SWT:

 يَوْمَ يَأْتِي بَعْضُ آيَاتِ رَبِّكَ لَا يَنفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِن قَبْلُ أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا 

Maksudnya: “Kedatangan sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu (yang menjadi tanda-tanda Hari Kiamat). Pada hari datangnya sebahagian daripada tanda-tanda Tuhanmu itu, tidak berfaedah atau bermanfaat lagi iman seseorang yang tidak beriman sebelum itu atau yang tidak berusaha mengerjakan kebaikan mengenai imannya”. (Surah al-An’am: 158) 

Di dalam ayat ini, tidak disebut lafaz Dajjal secara jelas tetapi tanda-tanda (آيات) yang dimaksudkan di dalam ayat ini adalah Dajjal, terbit matahari dari barat dan juga al-Dabbah (الدابة). Ini disebut di dalam kitab-kitab tafsir. 

Selain itu di dalam riwayat Muslim terdapat sebuah hadith yang menjelaskan berkaitan makna ayat di atas dan ini adalah antara tafsiran yang terbaik iaitu menafsirkan ayat al-Qur’an dengan hadith Nabi saw. Hadith tersebut adalah: 

Daripada Abu Hurairah ra, bahawa Nabi saw bersabda:

 ثَلَاثٌ إِذَا خَرَجْنَ لَا يَنْفَعُ نَفْسًا إِيمَانُهَا لَمْ تَكُنْ آمَنَتْ مِنْ قَبْلُ، أَوْ كَسَبَتْ فِي إِيمَانِهَا خَيْرًا: طُلُوعُ الشَّمْسِ مِنْ مَغْرِبِهَا، وَالدَّجَّالُ، وَدَابَّةُ الْأَرْضِ 

Maksudnya: “Tiga perkara apabila ia keluar tidak akan memberi manfaat akan iman seseorang itu yang sebelumnya mereka itu tidak beriman atau sebelumnya mereka tidak berusaha untuk melakukan kebaikan pada imannya. (Tiga perkara tersebut adalah) terbitnya matahari dari barat, keluarnya Dajjal dan juga al-Dabah yang melata di bumi”. Riwayat Muslim (158) 

Kedua: Al-Qur’an telah menyebut Nabi Isa as dan Nabi Isa as yang akan membunuh Dajjal. Maka dengan itu, sudah memadai menyebut Nabi Isa as yang membawa kepada hidayah daripada menyebut Dajjal yang menyeru kepada kesesatan. Sudah menjadi adat (kebiasaan) orang arab adalah sudah memadai menyebut salah satu daripada perkara yang berlawanan. 

Ketiga: Al-Qur’an tidak menyebut Dajjal bagi menghina atau memperkecilkannya. Ini kerana, Dajjal apabila turun ke dunia akan mendakwa ketuhanan (uluhiyyah) dan ketuannan (rububiyyah) sedangkan dia adalah manusia biasa. Oleh sebab itu, Allah SWT tidak menyebut namanya di dalam al-Qur’an bagi menghina dan memperlekehkannya. 

Persoalan yang timbul, mengapa al-Qur’an menyebut Firaun sedangkan Firaun juga mendakwa dirinya sebagai Tuhan. Jawapannya adalah kerana Firaun zamannya telah berlalu dan berakhir. Di samping itu juga, agar kita mengambil iktibar dan pengajaran daripada kisah tersebut. Adapun Dajjal kisahnya belum berlaku dan akan berlaku apabila tiba waktu dan ketikanya. 

Setelah melihat beberapa pendapat di atas, pendapat yang pertama adalah lebih tepat dan betul berbanding pendapat-pendapat yang lain. Walaupun lafaz Dajjal tidak disebut secara jelas di dalam al-Qur’an tetapi Allah SWT telah mengutuskan Nabi Muhammad saw untuk menjelaskan berkaitan hal tersebut.

bersambung..

Nota Hujung: 

[1] Beliau ialah Abd al-'Uzza bin Qathan bin Amr al- Khuza'i. Ada yang mengatakan bahawa beliau berasal daripada kalangan Bani Musthaliq dari suku Khuza'ah. Ibunya bernama Halah binti Khuwailid. Ibnu Qathan tidak memiliki pertalian sahabat dengan Rasulullah SAW kerana dia telah meninggal pada zaman jahiliah. Adapun tambahan riwayat yang mengatakan bahawa dia pernah bertanya kepada Nabi SAW, "Apakah keserupaannya denganku itu membahayakan bagiku?" Lalu Nabi menjawab, "Tidak, engkau muslim sedang dia kafir" adalah tambahan yang da'if daripada riwayat al-Mas'udi yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad, yang dicampur dengan hadis lain. (Lihat Ta'liq Ahmad Syakir atas Musnad Ahmad 15/30-31; al-lsobah fi Tamyiz al-Sahabah, 4/239, dan Fath al-Bari, 6/488 dan 13/101).

1 comment:

  1. Assalam ustaz moga sihat sejhtra bersama fmili...pesona dajal mohon dilindungi Allah

    ReplyDelete