Sunday, 14 December 2025

Sarapan pagi, jepuk musim hujan

 

'Jepuk (cekodok) - sedap pulak makan time hujan ni..' 

Asalnya mahu keluar sarapan pagi bersama Ummu Ikhwan. Seperti biasa, pilihan kami tentulah warung kecil di tepi jalan kampung, yang kopinya sederhana, tetapi suasananya sentiasa terasa akrab dan menenangkan. 

Namun hujan turun sejak selepas subuh, perlahan-lahan pada awalnya, kemudian semakin menjadi. 

“Tak apalah, hari lain kita pergi,” tutur Ummu Ikhwan, nada suaranya lembut dan redha. 

Jika diikutkan, boleh sahaja kami keluar. Bukannya ribut, bukannya hujan lebat. Tapi entah kenapa, dalam hujan begini, rasa malas itu datang tanpa dipanggil. Barangkali kerana tubuh mahu berehat, atau jiwa mahu diam seketika. 

Saya menjangkakan hujan cuma singgah sebentar. Rupanya ia setia menemani pagi hingga santak Zohor barulah ia sidang. Itu pun masih renyai-renyai, berkabus, dan langit terus mendung seolah-olah belum bersedia melepaskan awan. 

Hujan begini (di tempat saya), kalau diikutkan hati, tidurlah yang paling nikmat. Berbungkus dalam selimut, bunyi titisan hujan menjadi zikir alam, dan mata pun terpejam tanpa dipaksa, alamatnya tengah hari baru terjaga. 

Tapi dalam malas itu, ada nikmat kecil yang sering kita terlepas pandang. Nikmat duduk diam. Nikmat menangguhkan yang dirancang tanpa rasa rugi. Nikmat menerima bahawa tidak semua hari perlu diisi dengan keluar dan berjalan. 

Ada hari yang Allah jadikan untuk kita berhenti seketika. Untuk duduk di rumah, mendengar hujan, dan mensyukuri sederhana. Kerana bahagia itu bukan selalu di warung hujung kampung, kadang-kadang ia hadir di ruang tamu yang sunyi, bersama secawan air panas dan hati yang tenang. 

Dan pagi itu, kami memilih untuk tidak ke mana-mana, dan kami bersama membuat jepuk (cekodok) air gula untuk dinikmati pagi sebelum makan tengahari.

18 comments:

  1. musim hujan ni bohong laa kalau cakap berselubung dlm selimut tu nikmatttt

    ReplyDelete
    Replies
    1. insyaAllah bagi diri saya ia juga satu satu nikmat yang tidak terperi😄

      Delete
  2. Sedapnya makan cekodok panas-panas di kala hujan

    ReplyDelete
  3. Lamanya juga hujannya, bertenang di rumah adalah lebih baik. Menikmati cekodok panas-panas juga suatu nikmat :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. alhamdulillah, rasa lapar je rasa time hujan haha

      Delete
  4. Baca penulisan tuan macam baca novel la, dah biasa menulis ya? Salam singgah ya rasanya Cuya first time datang sini

    ReplyDelete
    Replies
    1. terima kasih atas kunjungan.. akan membalas kunjungannya

      Delete
  5. Seharian hujan hari ni. Cekodok pun sedap, bancuh pulak kopi o panas memang ngam.

    ReplyDelete
    Replies
    1. memang ngam.. sambil duk tepi tingkap tengok hujan

      Delete
  6. Cekodok dan hujan gandingan serasi Ustaz 👍🏻

    ReplyDelete
  7. sedap ni. musim hujan sejuk sejuk layan jepuk panas memang ngam

    ReplyDelete
  8. Simpel sedap..mampu makan mampu milik itu hebatnya

    ReplyDelete
  9. Fuhhh sedapnya jeppuk (ohhh sebutan jemput), kalau utara cucoq, walau apa pun namanya memang sedap la....alamak adakah kena buat cucur juga?.

    ReplyDelete
  10. Jepuk ni la paling laku tatkala hujan. Cicah cili sos. Emmm.. kenyang dengan makan jepuk je..

    ReplyDelete