Monday, 22 January 2024

Selamat datang bulan Rejab 1445H


Hari ini telah masuk 10 Rejab 1445H. Pantasnya masa berlalu sehari ke sehari. 

Rasanya masih belum terlewat untuk saya ucapkan "Selamat menyanbut kedatangan bulan Rejab 1445H" kepada sahabat-sahabat.

Bulan yang diagungkan oleh Allah SWT. 

Bulan Rejab merupakan bulan ketujuh dalam tahun Hijrah dan memiliki keutamaan yang penting dalam Islam. Bulan ini juga dipanggil sebagai bulan Mikraj kerana pada bulan ini terdapat peristiwa Israk dan Mikraj. Oleh itu, agama Islam menuntut umatnya untuk menghidupkan bulan ini dengan amalan-amalan ibadat seperti berzikir, istighfar, berpuasa, bersedekah serta melakukan amal kebajikan yang lain.

Juga digalakkan untuk kita melazimkan doa: 

اَللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبَ وَشَـعْبَانَ وَبَلِّـغْنَا رَمَضَانَ 

“Ya Allah, berkatilah kami (limpahkanlah kasih sayang kepada kami) dalam bulan Rejab dan Syaaban, serta pertemukanlah kami dengan bulan Ramadhan.” 

Salah satu daripada keistimewaan bulan Rejab ialah bulan ini merupakan salah satu daripada bulan Haram dalam Islam. Bulan Haram bermaksud bulan Zulkaedah, Zulhijah, Muharam, dan Rejab. Orang Arab amat memuliakan bulan ini dengan tidak dibenarkan untuk berperang dalam bulan ini. Hal ini sebagaimana hadis yang dijelaskan oleh Nabi saw:

 عن أبي بكرة – رضي الله عنه – عن النبي – صلى الله عليه وسلم – قال: ((إن الزمان قد استدار كهيئته يوم خَلَق الله السموات والأرض، السنة: اثنا عشر شهرًا، منها أربعة حُرُم؛ ثلاثٌ متواليات: ذو القعدة، وذو الحجة، والمحرم، ورجب مُضر الذي بين جمادَى وشعبان)) 

“Abu Bakrah berkata bahawa Nabi saw bersabda: “Zaman (masa) terus berjalan dari sejak awal penciptaan langit dan bumi. Satu tahun ada dua belas bulan antaranya ada empat bulan haram (suci), tiga bulan berurutan, iaitu Zulkaedah, Zulhijah dan Muharam serta Rejab yang berada antara Jamadilakhir dan Syaaban.” (al-Bukhari) 

Masyarakat Arab sangat memuliakan bulan haram sekalipun dalam kehidupan mereka dipenuhi dengan kebodohan dalam penyembahan berhala. Mereka juga melarang sama sekali daripada berperang dalam bulan tersebut. 

Selain itu, keistimewaan bulan ini dimana malam pertamanya adalah antara malam dikabulkan doa sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud: “Lima malam doa tidak ditolak, iaitu malam pertama bulan Rejab, malam Nisfu Sya’ban, malam Jumaat, malam Hari Raya Eidulfitri, malam hari raya Eiduladha.” Hadis Riwayat Al-Baihaqi. 

Sesungguhnya bulan Rejab ini juga menjadi penanda aras atau tanbih (ingatan) kepada umat Islam agar bersedia untuk menghadapi bulan Ramadhan; bulan yang di dalamnya terkandung rahmat dan maghfirah (keampunan) daripada Allah SWT. Wallahua’lam.

No comments:

Post a Comment