Tuesday, 28 February 2023

Bulu kucing yang tertanggal adakah najis?

sumber foto

Soalan: 

Assalamualaikum w.b.t. Adakah bulu kucing yang tertanggal adalah najis? Dan adakah tidak sah solat jika terdapat bulu kucing pada anggota badan ketika bersolat? Mohon pencerahan. 

Jawapan: 

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat. 

 Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّ اللَّـهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَىٰ وَيَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ وَالْبَغْيِ ۚ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya.”[1] 

Al-Sa‘di menyatakan bahawa berlaku adil itulah adalah wajib, sedangkan berbuat baik (Ihsan) pula adalah merupakan nilai tambah yang disunatkan seperti manusia memberi manfaat dengan hartanya atau jasadnya atau ilmunya atau lain-lain perkara yang bermanfaat sehinggakan termasuk juga di dalamnya (suruhan) berbuat baik kepada haiwan ternakan yang dimakan atau selainnya (tidak dimakan).[2] 

Kucing ialah haiwan yang suci Kucing merupakan haiwan yang suci dan selalu berkeliaran di sekeliling manusia. Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada melaporkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.” Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

 إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ 

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”[3] 

Maka, kita ketahui bahawa di sana ada kelonggaran dan hukum khas yang diberikan kepada kucing kerana ia termasuk dalam haiwan yang biasanya berkeliaran di tempat tinggal manusia atau dijadikan sebagai haiwan peliharaan.  

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum).[4] 

Selain itu, dalam mazhab al-Syafi‘i, air baki jilatan kucing itu adalah suci dan tidak makruh menggunakannya.[5] Ibn Qudamah juga ada menyatakan bahawa bagi setiap haiwan hukum kulitnya, bulunya, peluhnya, air matanya atau air liurnya adalah mengikut hukum bekas minumannya (air yang telah diminum) sama ada suci atau najis.[6] Justeru, berdasarkan kepada kenyataan ini, bulu kucing dianggap suci dan bukan najis kerana air baki jilatannya dihukumkan sebagai suci. 

Manakala al-Khatib al-Syirbini pula menyatakan bahawa bahagian yang terpisah daripada haiwan yang hidup, hukumnya adalah seperti bangkainya. Dalam erti kata lain, haiwan yang hidup itu, sekiranya bangkainya adalah suci maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai suci. Sekiranya bangkainya adalah najis maka bahagian yang terpisah itu juga adalah dikira sebagai najis. 

Oleh itu, bahagian yang terpisah daripada manusia, ikan atau belalang adalah suci, manakala haiwan selainnya adalah dianggap najis. Adapun, bahagian yang terpisah daripada haiwan yang sudah mati, hukumnya mengikut sebagaimana haiwan tersebut mati (disembelih ataupun tidak) tanpa syak lagi melainkan pada bulu haiwan yang boleh dimakan. Hukumnya adalah suci secara ijma‘ para ulama.[7] 

Oleh itu, secara asasnya menurut mazhab Syafi‘i bulu kucing yang tercabut semasa ia masih hidup dianggap sebagai najis kerana kucing termasuk dalam kategori haiwan yang tidak halal dimakan. Walaupun begitu, ia adalah dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing. Hal ini dinyatakan oleh Syeikh Ibrahim al-Bajuri sebagaimana berikut:

 وخرج بالمأكول غيره كالحمار والهرة فشعره نجس لكن يعفى عن قليله بل وعن كثيره فى حق من ابتلى به كالقصاصين 

Maksudnya: “Dikecualikan dengan hukum haiwan yang halal dimakan (halal bulunya) iaitu selainnya seperti keldai dan kucing. Maka bulunya adalah najis namun dimaafkan jika sedikit. Bahkan (turut dimaafkan) dalam jumlah banyak (bulunya) bagi individu yang ada kesulitan dengannya seperti pemotong bulu.”[8] 

Kesimpulannya 

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa bulu kucing yang tercabut atau tertanggal termasuk dalam kategori najis yang dimaafkan jika sedikit. Begitu juga dimaafkan bagi mereka yang bekerja sebagai doktor haiwan, penjaga zoo dan lain-lain kerjaya yang tidak dapat mengelakkan diri daripada kucing. Lebih-lebih lagi, kucing termasuk dalam haiwan peliharaan dan sukar untuk dikawal. Oleh kerana itu, jika badan, pakaian atau tempat solat terkena bulu kucing, maka solat yang dikerjakan adalah sah. 

Pun begitu, untuk mengelakkan daripada khilaf, sebaiknya dipastikan pakaian itu benar-benar bersih daripada bulu kucing sebelum menunaikan solat. Adapun sekiranya kucing datang menggeselkan badannya ketika kita sedang solat dan meninggalkan bulunya, ia dimaafkan mengikut pandangan sebahagian ulama’ Syafi‘iyyah kerana tidak dapat dielakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen. Wallahua‘lam.

[1] Surah al-Nahl: 90 [2] Lihat Tafsir al-Sa’di, hlm. 447. [3] Riwayat al-Tirmizi (92) [4] Lihat Subul al-Salam, 1/33. [5] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172. [6] Lihat al-Mughni, 1/39. [7] Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/235. [8] Lihat Hasyiyah al-Baijuri ‘ala Ibn Qasim al-Ghazi, 2/290.

2 comments:

  1. kucing ni payah nak cakap, lagi di halang lagi lah dia mengacau. Sebab tu bilik sembahyang memang kunci tak nak dia masuk dalam tu hehheeh. Apa pun terima kasih untuk perkongsian ye ustaz

    ReplyDelete
  2. assalam moga ustaz n famili tiasa afiah sjhtra tksh perkongsian ilmu

    ReplyDelete